| Sebahagian daripada siri |
| Mitologi Timur Dekat purba |
|---|
Agama-agama Timur Dekat purba kebanyakannya politeistik, dengan beberapa contoh penyembahan satu tuhan yang dipanggil monolatri (contohnya, Yahwisme dan Atenisme). Sesetengah sarjana percaya bahawa persamaan antara agama-agama ini menunjukkan bahawa agama-agama ini ada pertalian, kepercayaan yang dikenali sebagai paternisme.[1]
Banyak agama Timur Dekat purba dan pecahannya boleh dijejak ke agama Semitik purba. Agama-agama lain di Timur Dekat purba termasuk agama Mesir purba, agama Luwi dan Het di Anatolia dan agama Sumeria di Mesopotamia purba. Pecahan agama Semitik purba termasuk agama Kanaan dan agama Arab pra-Islam. Agama Yahudi berkembang daripada agama Kanaan, kedua-dua agama Indo-Eropah dan Semitik mempengaruhi agama Yunani purba, dan Majusi ialah hasil agama Indo-Iran purba terutamanya agama Iran purba. Kemudiannya, tradisi-tradisi agama ini kuat mempengaruhi agama monoteistik kemudian seperti Kristian, Mandaeisme, Druzisme, Gnostisisme, Islam, dan Manichaeisme, yang mewarisi monoteisme mereka daripada agama Yahudi dan Majusi.
Gambaran keseluruhan
Sejarah Timur Dekat purba merangkumi lebih daripada dua alaf, dari Zaman Gangsa hingga Zaman Besi Awal, di rantau yang kini dikenali sebagai Timur Tengah, berpusat di Hilal Subur. Terdapat banyak kontak budaya, jadi adalah wajar untuk merangkumkan seluruh rantau dalam satu istilah. Akan tetapi, itu tidak bermakna setiap tempoh sejarah dan setiap rantau tidak boleh dilihat satu per satu untuk penerangan terperinci. Rencana ini akan cuba menggariskan ciri-ciri umum agama-agama Timur Dekat purba, dan merujuk kepada subrencananya untuk penerangan mendalam.
| Dewa-dewa Timur Dekat purba |
|---|
| Agama-agama Timur Dekat purba |
Timur Dekat purba merangkumi subrantau-subrantau berikut:
- Mesopotamia (Sumer, Assyria, Babylonia dan Akkad): agama Mesopotamia purba, agama Sumeria, agama Babylon
- Mesir Purba: agama Mesir purba, Atenisme
- Levant (Kanaan, Ugarit, Ebla, Mitanni): agama Kanaan, Yahwisme, Agama Yahudi, Samaritanisme, Kristianiti
- Semenanjung Arab (Nabatea, Saba, Mina): politeisme Arab
- Anatolia (Het, Liga Assuwa, Arzawa): mitologi Het, agama Hurri, agama Hatti, agama Luwi, agama Lydia
- Kaukasus dan Dataran Tinggi Armenia (Urartu): agama Urartu
- Iran purba (Elam, Media, Parsi): Majusi
- Cyprus, Crete (Tamadun Minos): agama Minos
- Afrika Utara purba (Libya, Mauretania, Numidia): agama Berber tradisional
Sumber terawal, dari sekitar 2500 SM, memberikan sekilas pandangan tentang agama Sumeria dan agama Mesir purba.
Agama Het awal mempunyai ciri-ciri yang berasal dari agama Proto-Indo-Eropah tetapi agama Het kemudian semakin diserap ke dalam agama Mesopotamia. Majusi Parsi ialah pembentukan semula agama Iran purba, yang berkongsi akar Proto-Aryan yang sama dengan agama Veda India.
Agama Yunani purba dan kemudiannya agama Etruscan serta agama Rom purba sangat dipengaruhi oleh agama Timur Dekat purba, tetapi biasanya tidak disertakan dalam istilah ini. Misteri-misteri Yunani-Rom pada zaman Helenistik juga secara sengaja dihubungkan dengan agama Mesir purba.
Namun, asal-usul Mithraisme Rom tidak dapat dipastikan. Terdapat teori yang mengatakan ia berasal dari agama Veda India,[2] Majusi dan agama Yunani-Rom seperti Orion.[3]
Terdapat pelbagai amalan umum yang sering dikongsi oleh agama-agama ini:
- Upacara penyucian dan pembersihan
- Pengorbanan (korban tumbuhan dan korban haiwan, persembahan curahan, dan jarang tetapi begitu banyak dalam mitologi, korban manusia)
- Politeisme (namun Mesir dan Yunani masyarakat Henoteistik)
- Agama yang ditaja oleh negara kota (teokrasi)
- Pelacuran suci
- Penilikan
- Sihir (penyeruan, pembangkitan dan azimat)
Biasanya, agama Timur Dekat purba berpusat pada teokrasi, dengan satu kultus paling berkuasa untuk satu rantau yang berkisarkan satu dewa dari sebuah negara kota. Terdapat juga tema mitos dan dewa super-rantau, seperti dewa Tammuz dan turun ke alam bawah tanah.
- Apantomansi: menenung haiwan
- Kleromansi: mencabut undi
- Hepatoskopi: menenung hati haiwan
- Nefomansi: menenung awan
- Ornitomansi: menenung burung terbang
- Kapnomansi: penilikan melalui asap
- Oneiromansi: penilikan melalui mimpi
Semitik
Mesopotamia

| Sebahagian daripada siri tentang |
| Agama Mesopotamia Purba |
|---|
Astrologi
Pemadanan dewa dan dewi dengan jasad-jasad samawi—planet, bintang, matahari dan bulan—dan menentukan di mana semua dewa berdiam di syurga terdapat dalam agama Assyro-Babylon.
Personifikasi dua jasad langit yang utama—matahari dan bulan—ialah langkah pertama dalam kemunculan sistem ini, dan ini diikuti dengan menentukan di mana dewa-dewa lain ditempatkan oleh Shamash dan Sin. Proses ini, yang mencapai kemuncaknya dalam tempoh pasca-Hammurabi, membawa kepada pemadanan planet Zuhrah dengan Ishtar, Musytari dengan Marduk, Marikh dengan Nergal, Utarid dengan Nabu, dan Zuhal dengan Ninurta.
Sistem ini menggambarkan gabungan harmoni antara dua faktor, satu berasal daripada rakyat, satu lagi merupakan hasil renungan di sekolah-sekolah yang terikat pada kuil-kuil di Babilonia. Faktor popularnya ialah kepercayaan bahawa pergerakan jasad-jasad cakerawala mempunyai pengaruh terhadap kejadian-kejadian di bumi—kepercayaan yang masuk akal jika melihat betapa hidup, tumbuh-tumbuhan dan bimbingan bergantung sangat pada matahari dan bulan. Bermula dengan kepercayaan ini, para paderi dan pendeta membina satu teori tentang adanya hubungan rapat antara kejadian-kejadian di bumi dan fenomena-fenomena di langit. Oleh sebab langit sentiasa memperlihatkan perubahan yang berterusan bahkan kepada pemerhati yang kurang mendalam, maka satu kesimpulan dibuat bahawa terdapat kaitan antara perubahan-perubahan di langit dengan pergerakan nasib individu dan alam semula jadi yang juga sentiasa berubah, begitu juga dengan rupa bumi.
Maka, membaca tanda-tanda langit bererti memahami maksud kejadian-kejadian di Bumi. Apabila dengan ini dicapai, mungkin peristiwa lain dapat diramalkan dengan membaca kedudukan dan hubungan antara matahari, bulan, planet dan bintang-bintang tertentu. Mitos-mitos yang melambangkan perubahan musim atau kejadian alam diprojeksikan ke langit, yang dipetakan untuk sepadan dengan pembahagian-pembahagian bumi.
Semua dewa, demon dan roh ditetapkan satu tempat di langit, dan realiti, termasuk yang jatuh dalam bidang sejarah politik, ditafsirkan mengikut kerangka teologi cakerawala. Sistem ini, dalam peredaran masa, begitu kuat mempengaruhi pemikiran manusia sehinggakan ajaran-ajaran dan aliran-aliran keagamaan, yang pada asalnya merupakan pancaran kepercayaan animisme, akhirnya mengambil bentuk yang dipengaruhi oleh tafsiran "cakerawala" terhadap kejadian-kejadian dan doktrin. Pengaruhnya dapat dikesan dalam mantera, petanda dan himne, serta telah melahirkan ilmu astronomi, yang dipelajari dengan bersungguh-sungguh kerana pengetahuan tentang langit merupakan asas utama kepada sistem kepercayaan yang dihuraikan oleh para pendeta Babilonia dan Assyria.
Untuk menunjukkan bagaimana doktrin-doktrin agama disesuaikan dengan teori cakerawala yang meresapi segala-galanya, memadailah untuk memperhatikan tiga dewa Anu, Enlil dan Ea. Pada mulanya, ketiga-tiga dewa ini menguasai bandar masing-masing. Kemudiannya, kekuasaan mereka dipindahkan ke langit dengan Anu menguasai langit, Enlil menguasai bumi serta udara di atasnya, dan Ea menguasai lautan. Lama-kelamaan, mereka dibayangkan tinggal di langit dan mula dianggap sebagai tiga "laluan" atau zon di langit. Maka, kepercayaan agama diubah untuk sesuai dengan fahaman yang langit mengawal semua perkara.
"Lalauan" dalam kes ini ialah bulatan ekliptik atau laluan yang diikuti matahari melintasi langit, yang dipisahkan kepada tiga bahagian atau zon—zon utara, milik Anu; tengah milik Enlil; selatan milik Ea. Teologi cakerawala agama Babylon-Assyria jelas dicipta oleh para pendeta. Namun, walaupun datang daripada pendeta, kepercayaan lama daripada orang ramai, ajaran dan strukturnya, kini difahami dengan sistem berasaskan bintang ini.[penjelasan diperlukan]
Etika
Dari segi etika, agama Babylon dan pada tahap yang lebih rendah Assyria juga telah membuat idea yang jelas tentang sifatsifat dewa dan kewajipan yang manusia ada. Shamash, dewa matahari, mengutamakan keadilan; Marduk digambarkan penuh dengan belas kasihan dan penyayang; dan Ea dianggap sebagai pelindung umat manusia, seperti orang bapa. Para dewa juga boleh menjadi murka, dan sesetengah dewa dilihat agak keras. Namun, rakyat bertambah percaya bahawa para dewa murka bukan tanpa sebab. Para dewa tidak membezakan dengan khusus antara kesalahan akhlak dan kecuaian ibadat, namun dalam lagu-lagu pujian dan doa, serta dalam upacara penebusan dosa untuk menenangkan para dewa, pesanan utamanya ialah manusia mesti berusaha menjadi suci dan bersih di mata dewa, berendah hati, dan yang paling mustahaknya mengakui kesalahan dan dosa dengan jujur. Semua ini menunjukkan bahawa etika kian menjadi faktor yang penting dalam agama mereka.
Walau bagaimanapun, dalam isu apa yang berlaku selepas mati, agama mereka kurang memberikan harapan. Sepanjang semua zaman dalam sejarah Babylon-Assyria, satu tanggapan diikuti bahawa terdapat satu gua yang besar lagi gelap di bawah bumi, berhampiran dengan Apsu—jurang air tawar yang mengelilingi dan mengalir di bawah bumi. Di sana, semua orang mati dihimpunkan dan hidup dalam kesedihan, debu dan kegelapan, tanpa melakukan apa-apa. Kadangkala, seseorang yang dirahmati dibenarkan untuk tinggalkan nasib ini dan pergi ke sebuah pulau yang indah. Pemerintah juga biasanya diberikan rahmat ilahi, dan dalam tempoh awal sejarah—kerana kepercayaan bahawa para pemerintah berada lebih hampir dengan para dewa daripada manusia lain—raja-raja didewakan selepas mereka mangkat. Malahan, dalam beberapa kes, mereka dipuja sebagai dewa semasa masih hidup.
Demonologi
Agama Timur Dekat purba mengenali satu sistem yang terperinci tentang hantu yang baik, neutral dan jahat (yang lebih menyerupai daemon Yunani daripada konsep Kristian tentang iblis jahat), dan banyak perubatan terdiri daripada memapas, contohnya Lamashtu, hantu betina yang bertanggungjawab atas komplikasi semasa kelahiran dan kematian bayi.
Dalam mitologi Assyria dan Babylon tujuh hantu jahat dikenali sebagai Shedu atau Lamassu, bermaksud "hantu ribut". Mereka digambarkan dalam bentuk lembu bersayap, berasal daripada lembu gergasi yang digunakan sebagai jin pelindung istana-istana diraja, nama "Shed" juga bermakna seorang cerdik pandai yang baik dalam kesusasteraan sihir Babylon.[4]
Levant
Dewa-dewa yang disembah dalam agama Kanaan semasa Zaman Gangsa Lewat termasuk El Elyon dan anak-anaknya, Elohim, dewi Anat dan Hadad, dewa ribut dan pembunuh yang masyhur Yam. Penggubalan Alkitab Ibrani bermula berabad-abad selepas keruntuhan Zaman Gangsa, tetapi banyak nama ini masih tercermin dalam bahasa Ibrani Alkitabiah, termasuk Elohim dan gelaran Ba'al, asalnya gelaran Hadad, sebagai saingan atau musuh Yahweh.
Iran Raya
Tanah Iran purba mempunyai berbagai-bagai kepercayaan, dan agama seperti Majusi, Mazdakisme, Manicheanisme, Yazdanisme, Mandeanisme dan lain-lain. Mitanni purba berpusat di Kurdistan moden, dan daripada penggalian didapati mempunyai sejarah amalan Majusi.
Mesir
Upacara dan kepercayaan agama yang dominan di Mesir purba bergabung dan berkembang dari masa ke masa. Contohnya, semasa Kerajaan Baru, dewa Ra dan Amun disatukan menjadi Amun-Ra.[5] Sinkretisme sedemikian berbeza daripada pengelompokan semata-mata, juga dipanggil "keluarga" seperti Amun, Mut dan Khonsu. Dari masa ke masa, dewa mengambil bahagian dalam pelbagai hubungan sinkretik, contohnya, gabungan Ra dan Horus menjadi Ra-Herakty. Begitu juga, Ptah, Seker, dan Osiris menjadi Ptah-Seker-Osiris.
Anatolia
Sangat dipengaruhi mitologi Mesopotamia, agama Het dan Luwi mengekalkan elemen-elemen Indo-Eropah yang banyak, contohnya Tarhunt dewa guruh, dan sengkatanya dengan dewa berupa ular Illuyanka.
Tarhunt mempunyai anak lelaki, Telepinu dan anak perempuan, Inara. Inara terlibat dengan perayaan musim bunga Puruli. Dia seorang dewi pelindung (dLAMMA). Išḫara ialah dewi sumpah janji.
Lihat juga
- Kosmologi Timur Dekat purba
- Sejarah agama
- Kemetisme (Kebangkitan semula agama Mesir purba)
- Panbabylonisme
- Agama di Timur Tengah
- Neopaganisme Semitik (Kebangkitan semula agama Kanaan)
- Zuisme (Kebangkitan semula agama Sumeria)
Rujukan
- ^ Samuel H. Hooke (1970). The Siege Perilous: Essays in Biblical Anthropology and Kindred Subjects. Ayer Publishing. m/s. 174. ISBN 0-8369-5525-0.
- ^ Antonía Tripolitis (2002). Religions of the Hellenistic-Roman age. Wm. B. Eerdmans Publishing. m/s. 3–. ISBN 978-0-8028-4913-7.
Ia berasal dari Veda, India, berhijrah ke Parsi melalui Babylon, kemudian ke barat melalui Timur yang di-Helenistik, dan akhirnya merentasi dunia Helenistik-Rom. Dalam perjalanannya ke barat, ia menggabungkan banyak ciri budaya tempatan.
- ^ Michael P. Speidel, Mithras-Orion: Greek Hero and Roman Army God, Brill Academic Publishers (Ogos 1997), ISBN 90-04-06055-3
- ^ Lihat Delitzsch, Assyrisches Handwörterbuch. pp. 60, 253, 261, 646; Jensen, Assyr.-Babyl. Mythen und Epen, 1900, p. 453; Archibald Sayce, l.c. pp. 441, 450, 463; Lenormant, l.c. pp. 48–51.
- ^ Sarah Iles Johnston, Religions of the Ancient World: A Guide, Harvard University Press 2004, p.9
Bibliografi
- Umum
- Gordon, Cyrus. The Ancient Near East, (Edisi ke-3, Disemak), W. W. Norton and Company, Inc., New York, 1965.
- Gray, John. Near Eastern Mythology: Mesopotamia, Syria, Palestine. Hamlyn Publishing, 1969.
- James, E.O. The Ancient Gods: The History and Diffusion of Religion in the Ancient Near East and the Eastern Mediterranean, 1960.
- Leick, Gwendolyn. A Dictionary of Ancient Near Eastern Mythology Routledge, London & New York, 2003.
- Pritchard, James B., (ed.). The Ancient Near East: An Anthology of Texts and Pictures. Princeton University Press, New Jersey, 1958.
- Pritchard, James B., (ed.). The Ancient Near East, Volume II: A New Anthology of Texts and Pictures. Princeton University Press, New Jersey, 1975.
- Sasson, Jack et al., (eds.). Civilizations of the Ancient Near East. Charles Scribner's Sons, New York, 1995.
- Smith, Mark S. God in translation: deities in cross-cultural discourse in the biblical world, vol. 57 of "Forschungen zum Alten Testament", Mohr Siebeck, 2008, ISBN 978-3-16-149543-4.
- Smith, Morton. The Common Theology of the Ancient near East, Journal of Biblical Literature, 1952.
- Snell, Daniel. Religions of the Ancient Near East. Cambridge University Press, Cambridge, 2010.
- van der Toorn, Karel (1995). Dictionary of Deities and Demons in the Bible. New York: E.J. Brill. ISBN 0-8028-2491-9.
- Kanaan dan Ugarit
- Pardee, Dennis. Ritual and Cult at Ugarit. Society of Biblical Literature, Atlanta, Georgia. 2002.
- Parker, Simon B. (ed.). Ugaritic Narrative Poetry. Society of Biblical Literature, U.S.A., 1997.
- Smith, Mark S. The Ugaritic Baal Cycle, Volume I: Introduction with Text, Translation and Commentary of KTU 1.1-1.2. E.J. Brill, Leiden, the Netherlands, 1994.
Pautan luar
| Ketahui lebih lanjut tentang Agama-agama Timur Dekat purba di Wikipedia: | |
| Maklumat dari Wikidata | |
| Takrifan dari Wikikamus | |
| Imej dan media dari Commons | |
| Sumber pembelajaran dari Wikiversity | |
| Berita dari Wikiberita | |
| Petikan dari Wikipetikan | |
| Teks sumber dari Wikisumber | |
| Buku teks dari Wikibuku | |
- Dewa dan Dewi Mesopotamia Purba, di Oracc
- Agama Mespototamia dan Pantheon Mesopotamia di Ancient History Encyclopedia
- ASOR (American Schools of Oriental Research), Boston University
- Universiti Michigan. Tradisi Sihir pada Zaman Purba Akhir
- Soalan Lazim Mitologi Kanaan/Ugarit, ver. 1.2 oleh Chris Siren
- Kanaan dan Israel Purba oleh Muzium Arkeologi dan Antropologi Universiti Pennsylvania.









