![]() Lukisan yang menggambarkan bulan dalam penulisan Imam al-Qazwini, yang bertajuk Ajaibul Makhluqat. Salinan dibuat pada 1537/944, berkemungkinan di barat India.[1] | |
Umum | |
---|---|
Pengarang | Zakaria al-Qazwini |
Tajuk asal | عجائب المخلوقات وغرائب الموجودات |
Negara | Parsi |
Bahasa | Arab |
Genre | Kosmografi |
Penerbitan | |
Diterbitkan pada | 1280 |
Ajaibul Makhluqat wa Gharaibul Maujudat (Arab: عَجَائِبُ الْـمَخْلُوقَاتِ وَغَرَائِبُ الْـمَوْجُودَاتِ) atau Keajaiban Makhluk-makhluk dan Keanehan Yang Wujud (Jawi: كعجائبن مخلوق-مخلوق دان کأنيهن يڠ وجود) ialah sebuah karya penting dalam bidang paradoksografi dan kosmografi yang dikarang oleh Imam Zakaria al-Qazwini, yang dilahirkan di Qazwin pada tahun 1203 sejurus sebelum serangan Mongol ke atas Kerajaan Khuarizmiyah.
Latar belakang karya
Karya beliau telah dikritik kerana dianggap kurang asli. Sebahagian besar karyanya merupakan saduran daripada Mujam Buldan oleh Yaqut al-Hamawi.[2]
Imam al-Qazwini menyebut lima puluh nama sebagai sumber penulisan beliau, yang paling penting antaranya adalah ahli kaji bumi dan sejarawan lama seperti Al-Istakhri, Ahmad ibnu Fadlan, Abul Hasan Ali Al-Masudi, Ibnu Hauqal, Abu Raihan Al-Biruni, Ali ibnu Atsir, Syamsuddin Al-Maqdisi, dan Ar-Razi. Walaupun karya al-Qazwini adalah himpunan sumber yang diketahui dan tidak diketahui, ia mempengaruhi karya-karya kosmografi dan geografi Islam terkemudian melalui gaya dan bahasanya. Kosmografi Imam al-Qazwini bertujuan untuk menghiburkan pembacanya dengan memperkayakan penjelasan saintifik melalui cerita-cerita dan puisi.
Rangka kerja

Kosmografi Imam al-Qazwini terdiri daripada dua bahagian, bahagian pertama berkaitan dengan sfera langit beserta penghuninya, iaitu para malaikat, dan kronologi. Ilmu falak pada masa itu dihimpunkan bersama dengan idea-idea ilmu nujum.[2]
Bahagian kedua membincangkan tentang alam bumi iaitu tentang empat unsur, tujuh wilayah bumi, laut dan sungai, sejenis ilmu hayawanat mengenai alam haiwan (termasuk manusia dan jin), tumbuh-tumbuhan, dan batu-batuan.[2] Beliau membincangkan di sini tentang manusia dan fakulti jiwanya, wataknya, kelemahannya dan penyakitnya.
Kosmografi Ahmad at-Tusi sangat serupa dan mempunyai judul yang sama;[3] dan juga karya yang kedua ini memasukkan oleh konsep ilmu tauhid dan keesaan dalam penciptaan.[perlu rujukan]
Kosmografi makluk langit

Imam al-Qazwini menyatakan bahawa bumi berayun pada semua arah sehinggalah Allah menciptakan malaikat untuk memikulnya di atas bahunya dan mengimbangnya dengan tangannya. Sekeping bidur yang dibuat daripada jacinth hijau diletakkan di bawah malaikat itu, bidur itu dipikul oleh lembu jantan gergasi yang bernama Kuyutsa,[a] yang kemudiannya berdiri di atas ikan gergasi yang bernama Bahamut.[7][8][9][b]
Kosmografi al-Qazwini di atas telah dibandingkan dengan catatan yang serupa dalam Mujam Buldan oleh Yaqut al-Hamawi[13] dan Kharidatul Ajaib oleh Ibnu Wardi, dengan perbezaan kecil dicatatkan.[7]
Masa
Ketika membincangkan tajuk mengenai masa, Imam al-Qazwini membuat perbandingan selari antara kalendar Islam, Romawi dan Iran. Oleh itu, beliau mengaitkan hari-hari dalam seminggu dengan sejarah suci agama Yahudi, Kristian, dan Islam, contohnya hari-hari suci seperti hari Jumaat (iaitu hari solat berjemaah dalam Islam), Sabtu (iaitu Sabat dalam agama Yahudi) dan Ahad (iaitu hari rehat dalam agama Kristian) serta bagaimana hari-hari tersebut dianggap suci. Hari-hari itu juga dikaitkan dengan perkara dan perbuatan yang halal dan haram.[perlu rujukan]
Ilmu malaikat (angelology)

Dalam membicarakan berkenaan ciptaan Allah, Imam al-Qazwini menunjukkan bahawa Allah menciptakan banyak perkara yang tidak diketahui oleh manusia (Quran 16:8). Bahagian asas yang sangat penting daripada ciptaan ini ialah Arasy Allah; Kursi-Nya adalah para malaikat dan jin. Bagi sesetengah pandangan ulama, Kursi adalah langit kelapan manakala Arasy adalah langit kesembilan. Tambahan pula, Arasy Allah adalah kiblat bagi penghuni alam langit, ia adalah seperti Kaabah bagi manusia dan jin di bumi.
Para malaikat mendiami alam langit. Malaikat adalah makhluk yang baik dan sempurna tanpa perasaan negatif atau nafsu; mereka taat, dan yang paling penting, mereka diperintahkan oleh Allah untuk menjaga keteraturan ciptaan dan mentadbir segala sesuatu di bumi. Jin dan syaitan adalah makhluk yang cacat dan tidak sempurna yang mempunyai nafsu dan kemarahan serta keingkaran. Karya Imam al-Qazwini juga mengandungi ilmu malaikat yang berakar sebahagiannya daripada Quran dan Hadis.
Terdapat dua jenis malaikat dalam Al-Quran, satu jenis adalah penjaga neraka (96:18) dan jenis lagi ialah malaikat yang paling dekat dengan Allah (4:170, 83:21). Imam al-Qazwini juga menyebut malaikat yang memikul Arasy Allah, mereka berjumlah empat dan salah satu dari mereka adalah dalam bentuk manusia, lembu jantan, helang, dan singa. Pada Hari Kebangkitan, Arasy akan dipikul oleh lapan orang malaikat (Quran, Al-Haqqah 69:17). Di samping mereka ialah malaikat Ar-Ruh, yang pertama dari segi susunan dan yang terbesar. Nafasnya menghidupkan makhluk, dan dia mengetahui susunan langit, bintang, planet, unsur, batu-batuan, dan lain-lain. Dialah yang menentukan pergerakan dan kepegunan segala sesuatu dengan kehendak Allah. Malaikat ini diikuti oleh Israfil; dia menyampaikan perintah Allah dan meniup sangkakala. Dia tidak disebutkan dalam Al-Quran tetapi dalam hadis dan dikaitkan dengan Hari Kebangkitan. Israfil membawa Loh Mahfuz dan Pena. Sama ada malaikat-malaikat yang disebutkan di atas ialah Jibril, Mikail, atau yang lain, kesemuanya mempunyai peranan dalam menjaga keteraturan ciptaan. Dipercayai juga bahawa setiap malaikat mempunyai kira-kira tujuh puluh sayap.
Kemudian Allah mengutus malaikat untuk mendiami bumi. Salah seorang yang diusir ialah Azazil ketika masih muda, yang mana ia dididik oleh para malaikat yang lain. Dia menimba ilmu mereka dan menjadi seperti mereka bahkan menjadi guru kepada mereka. Dia jatuh daripada keredaan kerana dia ingkar kepada Allah; dia tidak mahu sujud di hadapan Adam sebagai khalifah Allah di bumi. Azazil disebutkan dalam Al-Quran (Al-Baqarah 2:32, dan lain-lain) sebagai Iblis. Iblis juga dipercayai hadir di tempat mandi, pasar, persimpangan jalan, dan minuman yang memabukkan serta dikaitkan dengan seruling, puisi, tatu, pembohongan, dan penyakit.
Allah juga mengazab dan memenjarakan ramai jin dan mengusir mereka ke laut, hutan, gua dan tempat terpencil. Jin dan hantu (ghul) kemudian dianggap sebagai makhluk bumi, menduduki darjat antara haiwan dan manusia, dan dibincangkan dalam bahagian kedua penulisan Al-Qazwini.[2]
Kosmografi makhluk bumi
Ditempatkan dalam alam dunia yang lebih rendah, Bumi melahirkan mineral, tumbuhan, dan pelbagai bentuk kehidupan, meliputi kedua-dua spesies haiwan dan manusia. Kerangka taksonomi al-Qazwini menggariskan tujuh kategori utama haiwan daratan: umat manusia, jin, makhluk yang digunakan untuk pengangkutan, binatang ternakan, binatang liar, spesies burung, serangga, dan akhirnya, entiti anomali atau hibrid.
Manusia

Dalam hierarki keseluruhan ciptaan Allah (makrokosmos), manusia menduduki puncak penciptaan, yang dianggap sebagai intisari makhluk (mikrokosmos). Manusia memiliki kemampuan unik untuk menzahirkan kedua-dua kualiti makhluk langit (malaikat) dan makhluk neraka (syaitan). Dianugerahkan jiwa dan akal yang rasional, manusia mampu berfikir, menyatakan dengan jelas, dan menggunakan kehendak dengan bebas, membolehkan seseorang mencapai kepada puncak atau nadir kewujudan. Jiwa manusia digambarkan sebagai abadi, sememangnya diciptakan untuk keabadian, oleh itu, kehidupan manusia dicirikan oleh peralihan yang berpindah dari keadaan sebelum lahir dalam rahim kepada kewujudan duniawi, dan seterusnya ke syurga atau neraka.
Berdarjat tepat di bawah manusia ialah jin, makhluk yang dicipta dari api tanpa asap, memiliki kemampuan untuk mengambil bentuk yang berbeza dan berubah-ubah. Tambahan pula, qaul lain menyatakan bahawa jin mungkin melambangkan atau menjelmakan puak yang tidak taat dalam kalangan manusia, serta qaul lainnya, mencadangkan bahawa malaikat berasal dari cahaya yang terpancar dari api, manakala entiti api (syaitan atau jin) berasal dari sisa asapnya.
Sebuah kisah tradisional menceritakan bahawa jin mendahului Adam dalam penciptaan, mendiami alam daratan, air dan pergunungan, dengan kasih sayang Allah terhadap mereka pada mulanya tidak terukur. Mereka dilaporkan memiliki sistem politik sendiri, panduan kenabian, kerangka agama, dan kod undang-undang. Walau bagaimanapun, mereka kemudiannya menjadi degil dan sukar dikawal, mendustai ketetapan nabi mereka, maka akibatnya suatu kemerosotan yang mencetuskan anarki meluas di seluruh negara-negara mereka. Akhirnya, kemunculan nabi Sulaiman mengambil alih kekuasaan ke atas mereka, memerintahkan ketaatan mereka seterusnya.
Mengenai Yakjuj dan Makjuj (Gog and Magog), dalam kitab beliau yang lain iaitu Atsarul Bilad (آثَارُ الْبِلَادِ وَأَخْبَارُ الْعِبَادِ), menyatakan kediaman mereka berada di wilayah bumi yang ketujuh. Beberapa qaul lain, bagaimanapun, secara masyhur menempatkan tempat tinggal mereka di suatu tempat antara wilayah bumi yang kelima dan ketujuh.[14]
Ilmu haiwanat



Menurut kitab, sebab daripada Allah di sebalik penciptaan spesies burung adalah, sebahagiannya sebagai langkah pencegahan terhadap ketidakpercayaan manusia mengenai kewujudan makhluk langit, terutamanya malaikat. Imam al-Qazwini mengukuhkan lagi perkara ini dengan memetik ciptaan anomali lain seperti burung yang mempunyai tiga sayap, unikorn yang dipercayai wujud dalam legenda, keldai India yang bertanduk, dan kelawar tanpa sayap, dan ini semua adalah sebagai bukti kewujudan malaikat.
Di antara kumpulan burung yang banyak ini, Imam al-Qazwini mengenal pasti Anqa atau Simurgh (sering disamakan dengan Phoenix) sebagai yang paling terkenal, menggambarkannya sebagai nenek moyang bagi semua burung, yang mendiami Gunung Qaf dalam keadaan kesendirian. Penceritaan ini mempunyai susur galur purba, dengan akar yang dapat dikesan kembali ke era Zoroaster. Tradisi yang lebih kontemporari menggambarkan Anqa sebagai makhluk burung yang sangat bijak, kebijaksanaannya terkumpul selama berabad-abad, memberikan amaran awal dan panduan adab kepada manusia. Burung yang hebat ini dilaporkan wujud secara aseksual lama sebelum penciptaan Adam, bersifat tunggal dan terkemuka dalam kekuasaan. Zaman kegemilangan Simurgh diletakkan semasa pemerintahan nabi Sulaiman, satu tempoh di mana bukan sahaja manusia menajdi menteri, tetapi juga haiwan dan burung menjadi menteri pada zaman itu, dan nabi Sulaiman boleh berbicara dengan mereka semua, Simurgh berkumpul berhampiran takhtanya nabi Sulaiman. Dan Anqa sendiri terlibat dalam dialog dengan nabi Sulaiman dan memegang kedudukan tertinggi.
Burung Huma ialah burung syurga yang sering disebut dalam sastera Parsi klasik dan juga dicatat oleh Imam al-Qazwini, adalah burung penting kedua yang disebutkan. Pendaratannya di atas kepala seseorang ditafsirkan sebagai petanda bahawa orang tersebut akhirnya akan menjadi raja di wilayah mereka. Makhluk lain yang ditampilkan dalam simbolisme mistik Iran ialah salamander, atau burung api, makhluk yang dilaporkan tidak dilihat sejak zaman Nabi Muhammad. Imam al-Qazwini hanya membuat rujukan ringkas tentang burung hudhud, meskipun peranannya penting dalam mistik Iran. Beliau menggambarkan burung ini sebagai dikurniakan keupayaan untuk mengesan sumber air bawah tanah dari jauh, namun paradoksnya tidak dapat melihat jaringan yang menghalang pandangannya secara langsung. Dalam hal ini, hudhud ditafsirkan sebagai lambang takdir: kedatangannya menandakan kebutaan metaforika pandangan jauh manusia, menjadikan seseorang tidak mampu meramal nasib mereka sendiri.
Helang merupakan satu lagi kemasukan burung yang luar biasa dalam katalog Imam al-Qazwini, dibezakan oleh keupayaannya yang dilaporkan untuk menimbulkan ketakutan pada singa dan pemancaran api dari sayapnya. Makhluk yang dikonseptualisasikan oleh Imam al-Qazwini sebagai kacukan pelik adalah burung hering, digambarkan dengan cakar ayam jantan, manakala burung unta, dicirikan oleh kaki unta dan tubuh burung. Makhluk terakhir ini dikatakan hidup dengan memakan batu dan api, dilaporkan ia mampu bertahan di dalam api selama sepuluh tahun. Tambahan pula, ia mempunyai keupayaan pencernaan untuk anggota badan kuda dan burung lain, namun tidak dapat mencerna biji kurma. Burung unta juga digambarkan sebagai takut pada bayangannya sendiri dan sentiasa menghadap melawan arah matahari.
Imam al-Qazwini juga menyenaraikan bentuk burung lain yang jarang dan beranomali, seperti burung besar yang berasal dari Khuzistan, yang didakwa menyerang unta dan gajah serta memiliki telur seperti kristal. Burung lain ialah burung putih yang tinggal di atas batu di Laut Cina, yang pandangannya sahaja boleh menyebabkan pemerhati ketawa hingga mati kecuali burung itu turun ke atas batu, dan burung lain adalah dari Tabaristan, yang dilihat pada musim bunga, dikatakan beliau burung itu membawa seratus burung pipit di ekornya dan memakan satu pada setiap hari.
Selain burung, Imam al-Qazwini membincangkan teori spekulatif yang mencadangkan persetubuhan antara spesies sebagai asal usul zirafah, iaitu makhluk yang menggabungkan kulit berbintik harimau bintang, bahagian belakang yang melandai seperti dubuk, dan ciri-ciri yang menyerupai kedua-dua unta dan lembu. Kitabnya juga merangkumi makhluk aneh, termasuk penyu laut gergasi yang sering disalah anggap oleh pelayar di lautan sebagai pulau kecil dan ketam laut, ia digambarkannya secara deskriptif sebagai haiwan aneh menyerupai lima ular bersambung dengan satu kepala.[15]
Ilmu jauhari
Pelbagai jenis batu dikaitkan sama ada mempunyai kaitan dengan jinn atau dianggap sebagai penawar terhadap pelbagai penyakit. Zamrud dikreditkan dengan kuasa penyembuhan terhadap penyakit dan dipercayai mempunyai keberkesanan untuk menghalau roh jahat. Batu yang dirujuk sebagai talk digunakan dalam pembuatan azimat pelindung dan penyediaan ramuan sihir. Penemuan awal ambar dikatakan ia ditemui oleh Iblis sendiri. Menurut Aristotle, yang mana risalah tentang batuan beliau sering dipetik oleh Imam al-Qazwini, menceritakan bahawa batu faylaq digunakan oleh Iskandar Agung untuk melindungi tenteranya daripada bala tentera syaitan, batu ini meneutralkan pengaruh ahli sihir dan syaitan, memberikan perlindungan daripada jinn. Satu batu tertentu yang bernama bahta digambarkan ditemui di pinggir kegelapan mutlak dalam alam di mana pengaruh matahari tiada, terletak berhampiran lautan kosmik purba.
Analisis
![]() |
Menurut Carl Brockelmann, beliau menyatakan bahawa kitab Ajaibul Makhluqat sebagai "kosmografi paling berharga dalam budaya Islam," kitab Imam al-Qazwini mencapai pembaca yang luas di seluruh dunia Islam, dibuktikan oleh banyaknya manuskrip yang masih ada dan terjemahan dari bahasa Arab ke dalam pelbagai bahasa umat Islam di negara-negara lain. Sebahagian daripada teks monumental ini kemudiannya dijadikan petikan-petikan untuk pendidikan khalayak Barat oleh para sarjana.
Dalam pengkonsepan Imam al-Qazwini, alam semesta berfungsi sebagai manifestasi muktamad bagi hakikat mutlak, iaitu Allah. Perintah Allah, "Jadilah!" (Kun!), dianggap sebagai daya pendorong di sebalik peruntukan lokasi dan penetapan saling kebergantungan di antara semua entiti alam semesta. Dalam tradisi keilmuan Islam, manusia diberikan tanggungjawab yang berat untuk memahami kedalaman ciptaan Allah sejauh mungkin. Vektor teleologi ulung struktur alam ini bertemu pada Allah itu sendiri.
Disiplin sains Islam tradisional secara hakiki terjalin dengan kosmologi, ia mengambil peranan asas dalam skema metafizik keseluruhan. Sementara kosmologi menggali dimensi bukan jasad alam semesta, kosmografi lebih tertumpu kepada aspek ketaranya dan proses dinamik di dalamnya. Imam al-Qazwini menekankan kepentingan utama usaha manusia dalam mengkaji dengan teliti struktur ciptaan Allah yang menakjubkan dan dirancang dengan kebijaksanaan-Nya, merenungkannya dengan rasa penuh keajaiban, dan mengasimilasi kerumitannya ke tahap tertinggi yang dapat dicapai. Melalui penglibatan akal dan rohani sedemikian, manusia bersedia untuk memupuk kegembiraan di alam dunia ini dan di alam akhirat.
Berdekatan dengan prinsip kosmologi ini, Imam al-Qazwini menjelaskan terminologi penting dalam penulisan beliau: 1) Keajaiban merujuk kepada fenomena yang mengelirukan pemahaman manusia kerana ketidakmampuan untuk memahami sebab dan akibat yang mendasarinya; 2) Ciptaan merangkumi keseluruhan kewujudan selain daripada Tuhan, dikategorikan sebagai sama ada 'esensial' (berkaitan dengan jasad dan substansi rohani) atau 'aksidental' (segala yang lain); 3) Keanehan merujuk kepada sesuatu yang jarang, menyimpang daripada yang biasa dan lumrah, sehingga menimbulkan kehairanan; 4) Ciptaan itu sendiri terbahagi dan dicirikan oleh etiologi yang tersembunyi, tidak dapat difahami dalam perinciannya oleh akal manusia, namun dapat dilihat dalam keseluruhannya (dicontohkan oleh sfera-sfera cakerawala).
Tambahan pula, Imam al-Qazwini mendedahkan dalam mukadimahnya bahawa pemergiannya dari rumah dan sanak saudara didorong oleh usaha beliau dalam menuntut ilmu melalui kitab-kitab, yang dianggap beliau sebagai teman paling berharga bagi manusia dalam perjalanan di dunia. Beliau menyatakan kekaguman yang mendalam terhadap unsur-unsur yang menakjubkan dan keanehan dalam ciptaan Tuhan, mengulangi pengesahan dari Al-Quran (50:6) tentang kesempurnaan ciptaan-Nya. Dalam penjelasannya tentang entiti yang dihasilkan dalam alam semesta yang kuat dan luas (Al-Quran 51:47), beliau menggambarkan laluan orbit matahari, berdasarkan postulat saintifik. Serentak dengan itu, beliau memasukkan riwayat di mana Malaikat Jibril memberitahu Nabi Muhammad bahawa matahari menempuh jarak bersamaan dengan perjalanan 500 tahun atau persangga (satu farsakh kira-kira 6 km) di antara dua sebutan berturut-turut Tidak dan Ya oleh baginda.
Dalam persepsi Imam al-Qazwini, fenomena luar biasa tidak hanya terdapat di langit dan di Bumi, seperti yang digariskan oleh Al-Quran (10:101), tetapi juga di lautan dan di sepanjang pinggir pantainya, yang terakhir diselubungi ketidakjelasan mengenai asal dan hujungnya, membentuk sebahagian daripada domain yang tidak diketahui yang didiami oleh organisma yang menakjubkan dan misteri. Mengikuti naratif ilmu tauhid Yahudi-Islam, Imam al-Qazwini mengesahkan tindakan Tuhan pada zaman awal penciptaan dengan mencipta satu bahan, yang kemudian dicairkan, dan dari wap yang dihasilkan maka langit berkumpul, manakala sisa sedimen bahan ini membentuk bumi. Pada mulanya langit dan bumi bersatu, kemudia keduanya dipisahkan oleh perintah dan pekerjaan Allah (Al-Quran 21:31), dan ciptaan disempurnakan selama enam hari. Akhirnya, Allah membentuk tujuh langit dan tujuh bumi (Al-Quran 65:12).
Tidak kira status epistemologinya (dikenali atau tidak dikenali), setiap entiti yang diciptakan mengandungi lambang kebijaksanaan Allah yang halus dan berfungsi sebagai bukti keesaan Dzat Allah yang tidak serupa dengan segala sesuatu. Mengikuti model geosentrik yang dirumuskan oleh Ptolemy, Imam al-Qazwini menggambarkan sembilan sfera cakerawala iaitu Bumi, Bulan, Utarid, Zuhrah, Matahari, Marikh, Musytari, Zuhal, dan Sfera langit bagi segala Sfera, yang merangkumi semua yang lain dan mengawal kitaran harian. Walaupun beliau menggunakan nama saintifik untuk merujuk kepada sfera atau planet-planet, badan-badan astral dan tumbuhan, beliau juga mempercayai kepercayaan mengenai pengaruh Bulan, Kutub Utara, dan Kutub Selatan terhadap tabii manusia dan haiwan, termasuk kapasiti terapeutik yang dikatakan ada pada mereka, memetik kebijaksanaan orang-orang hikmah terdahulu.
Tujuan akhir kewujudan manusia dianggap sebagai pencapaian kesempurnaan dan penghindaran tekun daripada tabiat dan tingkah laku yang merugikan. Akhlak yang mulia diberi bobot yang lebih besar daripada kebalikannya, baik di dunia ini mahupun di akhirat, manakala akhlak yang buruk dianggap sebagai pelanggaran yang tidak dapat diampuni, yang mendorong manusia jatuh ke kedalaman neraka yang paling bawah jika tiada dilakukan taubat oleh seseorang itu. Oleh itu, individu yang memiliki akhlak yang baik disamakan dengan malaikat, manakala akhlak yang jahat adalah sama seperti syaitan yang dibenci, keprihatinan tersirat pada imam al-Qazwini di sini, mungkin, berpusat pada kajiannya terhadap antropologi.
Pengaruh terkemudian
Imam Ahmed Bican Yazıcıoğlu mengolah semula kosmologi Imam al-Qazwini dalam kitab beliau iaitu Durrul Maknun (الدُّرُّ المَكْنُونُ) pada tahun 1453, menyediakan pembaca Turki beliau dengan versi yang dikhulasahkan (dikurangkan kepada kira-kira seperlima daripada kitab yang asal) dalam prosa Turki yang ringkas, dengan penambahan beberapa bahan baru.[16] Olahan Imam Bican kemudiannya disertakan oleh Giovanni Battista Donado ke dalam karyanya Della Letteratura de Turchi (yang bermaksud Kesusasteraan Turki), di Venice (1688), dalam senarai ringkas karya-karya Turki yang dirasakan beliau sebagai layak diterjemahkan ke dalam bahasa Itali.[17]
Nota penerangan
- ^ "الصخرة أن تدخل تحت قدمي الملك ثم لم يكن للصخرة قرار فخلق الله تعالى ثورا عظيما يقال له كيوثاء (..Batu itu pun masuklah ke bawah duli malaikat itu, kemudian tiadalah baginya tetap, maka diciptakan Allah Taala akan suatu lembu jantan yang besar lagi perkasa yang bernama Kuyutsa)"
- ^ Sebuah tesis oleh Chalyan-Daffner (2013) mentranskripsi nama lembu jantan ini dalam edisi Wüstenfeld sebagai "Kīyūbān/Kibūthān",[10] namun telah dinyatakan bahawa ini mungkin dalam bentuk penulisan Arab yang telah rosak.[11] Hermann Ethé menterjemahkannya sebagai Leviathan.[12]
Petikan
- ^ "Islamic Medical Manuscripts, Natural History 3". www.nlm.nih.gov.
- ^ a b c d Netton, Ian Richard, penyunting (2013), "Al-Qazwini", Encyclopedia of Islamic Civilization and Religion, Routledge, m/s. 686, ISBN 9781135179670
- ^ "al-Ḳazwini", The Encyclopaedia of Islām (dalam bahasa Inggeris), I, E. J. Brill ltd., 1938, m/s. 68
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaency-islam-kaf
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>
tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaramaswamy
- ^ Berlekamp, Persis (2011) Wonder, Image, and Cosmos in Medieval Islam. Yale University Press. p. 197 and fig. 79, apud Ramaswamy[5]
- ^ a b Chalyan-Daffner (2013), m/s. 213–216.
- ^ "Ḳāf", The Encyclopaedia of Islām (dalam bahasa Inggeris), 7 (ed. new), E. J. Brill ltd., 1973, m/s. 401
- ^ Wüstenfeld (1849), m/s. 145.
- ^ Chalyan-Daffner (2013), p. 214, note 195.
- ^ Guest, Grace D.; Ettinghausen, Richard (1961), "The Iconography of a Kāshān Luster Plate", Ars Orientalis, 4: 53, note 110, JSTOR 4629133
- ^ Ethé (1868), m/s. 298.
- ^ Jwaideh, Wadie, penyunting (1987) [1959], The Introductory Chapters of Yāqūt's Muʻjam Al-Buldān, Brill Archive, m/s. 34–35, ISBN 9004082697
- ^ Van Donzel, Emeri J.; Schmidt, Andrea Barbara (2010). Gog and Magog in Early Eastern Christian and Islamic Sources: Sallam's Quest for Alexander's Wall. Brill. m/s. 81. ISBN 978-9004174160.
- ^ Kruk, Remke (2024). "The Wonders of the World". Dalam Vrolijk, Arnoud; van Ommen, Kasper; Scheper, Karin; Baarda, Tijmen C. (penyunting). Prophets, Scholars and Poets. The Collections of the Middle Eastern Library of Leiden University (dalam bahasa Inggeris). Leiden University Press. m/s. 100–111. ISBN 9789087284077. OCLC 1441774888.
- ^ Laban Kaptein, Eindtijd en Antichrist, p. 30. Leiden 1997. ISBN 90-73782-90-2
- ^ Laban Kaptein (ed.), Ahmed Bican Yazıcıoğlu, Dürr-i Meknûn. Kritische Edition mit Kommentar, p. 36ff. Asch 2007. ISBN 978-90-902140-8-5
Rujukan
- al-Qazwini, Zakariya (1849). Wüstenfeld, Ferdinand (penyunting). 'Aja'ib al-makhluqat [Kosmographie: Die Wunder der Schöpfung]. 1. Göttingen: Dieterich. (edition of the Arabic text; full text)
- al-Qazwini, Zakariya (1868). Wüstenfeld, Ferdinand (penyunting). Die Wunder der Schöpfung: Nach der Wüstenfeldschen Textausgabe, mit Benutzung und Beifügung der Reichhaltigen Anmerkungen und erbesserungen des Herrn Prof. Dr. Fleischer. 1. Leipzig: Fues’s Verlag. (German translation)
- Ansbacher, Jonas. Die Abschnitte über die Geister und wunderbaren Geschِpfe aus Qazwînî's Kosmographie, in: Fuat Sezgin, Islamic Geography vol. 201.
- Barati, Parwiz (2009). کتاب عجایب ایرانی: روایت، شکل و ساختار فانتزی عجایبنامهها به همراه متن عجایب نامهای قرن هفتمی (dalam bahasa Parsi). Tehran: Nashr Afkar.
- Bosworth, C. E.; Afshar, I. (1984–2011). "ʿAjāʾeb al-Maḵlūqāt". Dalam Yarshater, Ehsan (penyunting). Encyclopædia Iranica.
- Chalyan-Daffner, Kristine (2013). Natural Disasters in Mamlūk Egypt (1250–1517): Perceptions, Interpretations and Human Responses (PDF) (Ph. D.). Heidelberg University. m/s. 213–252.
- Giese, Alma (1986). Die Wunder des Himmels und der Erde. Bibliothek arabischer Klassiker. 11. Stuttgart and Vienna: Thienemann, Edition Erdmann. ISBN 9783522621106. OCLC 230831113. (partial German translation)
- Lewicki, T. (1960–2007). "al-Ḳazwīnī". Dalam Bearman, P.; Bianquis, Th.; Bosworth, C.E.; van Donzel, E.; Heinrichs, W.P. (penyunting). Encyclopaedia of Islam, Second Edition. doi:10.1163/1573-3912_islam_SIM_4093.
- Maqbul Ahmad, S. (1981). "al-Qazwīnī, Zakariyā ibn Muḥammad ibn Maḥmūd, Abū Yaḥyā". Dalam Gillispie, Charles Coulston (penyunting). Dictionary of Scientific Biography. 11. New York: Charles Scribners’s Sons. m/s. 230–233.
- Richter-Bernburg, Lutz (1998). "al-Qazwīnī, Zakariyyā' ibn Muḥammad (c.600–82/c.1203–83)". Dalam Meisami, Julie Scott; Starkey, Paul (penyunting). Encyclopedia of Arabic Literature. 2. London: Routledge. m/s. 637–638. ISBN 0-415-06808-8.
- Streck, M. (1913–1936). "al-Ḳazwīnī". Dalam Houtsma, M. Th.; Arnold, T. W.; Basset, R.; Hartmann, R. (penyunting). Encyclopaedia of Islam, First Edition (1913-1936). doi:10.1163/2214-871X_ei1_SIM_4034.
- Ruska, Julius. Das Steinbuch aus der Kosmographie des Zakarijâ ibn Muhammad ibn Mahmud al-Kazwînî, in: Fuat Sezgin, Islamic Geography vol. 201.
- Von Müller, Johann. Auszüge aus dem persischen Werke Adschaibul-machlukat des Zacharia ben Mohammed Elkazwini in Sezgin Islamic Geography vol. 201.
- Wüstenfeld, Ferdinand, in: Fuat Sezgin, Islamic Geography, vol. 201.
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Ajaibul Makhluqat |
- Manuskrip Perubatan Islam di Perpustakaan Perubatan Negara A.S, https://www.nlm.nih.gov/hmd/arabic/bioQ.html#qazwini
- Versi digital penuh pada Perpustakaan Digital Cambridge
- Versi digital bagi Kitāb ʿajā'ib al-makhlūqāt va gharā'ib al-mawjūdāt Or. 8907 Perpustakaan Universiti Leiden
- Rencana Encyclopædia Iranica
- Kitab Ajaibul Makhluqat lengkap (dalam bahasa Arab)
![]() |
Wikisumber bahasa Melayu mempunyai teks asal berkaitan rencana ini:
[[:s:::ar:عجائب المخلوقات وغرائب الموجودات|عجائب المخلوقات وغرائب الموجودات]] |