Nama lain | Anjing gembala Chiribaya Anjing gembala Peru |
---|---|
Negara asal | Peru |
Catatan | Pra-Columbus |
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing Chiribaya[a] atau anjing gembala Peru[b] ialah satu baka anjing pra-Columbus purba dari barat daya Peru. Ia telah disahkan sebagai anjing gembala llama. Anjing ini bukan hanya bahagian penting dalam struktur sosial orang Peru purba, tetapi turut menerima layanan istimewa selepas kematian.[1] Terdapat tinggalan yang berusia 1,000 tahun.[2]
Keragaman anjing ini telah dirujuk dalam pelbagai dokumentari berbahasa Sepanyol dengan istilah berlainan, seperti "anjing gembala Chiribaya" dan "anjing gembala Peru", walaupun orang Peru purba tidak memelihara biri-biri. Nama aslinya tidak diketahui. Ia telah dirujuk dengan lebih taksa dengan istilah "anjing Peru", tetapi ini juga telah diterapkan pada keragaman botak purba, yang dirujuk dengan lebih terperinci sebagai "anjing botak Peru", atau "orkid Inka Peru", iaitu salah satu kegemaran dalam pertunjukan anjing Amerika Selatan.
Mumia
Anjing ini ditemukan dalam keadaan tertanam di tanah perkuburan bersebelahan dengan 42 mumia manusia budaya Chiribaya yang berkembang maju di Daerah Ilo, Rantau Moquegua, di pantai selatan Peru, yang kelihatannya telah mengebumikan haiwan peliharaan mereka dengan segala penghormatan pada sahabat dan rakan sekerja setia. Penemuan ini adalah kerana penyelidikan ahli antropologi Sonia Guillén,[1] yang mengkhusus dalam kajian mumia purba dari budaya pra-Columbus yang makmur dari Chachapoyas hingga pesisir Moquegua. Mumia tersebut bertarikh dari tempoh "pertengahan lewat", sekitar tahun 900 hingga tahun 1350 M.[3]
Di kawasan pelabuhan di Ilo adalah Pusat Mallqui (daripada perkataan untuk 'mumia' dalam bahasa Quechua), yang didedikasikan untuk penyelidikan mengenai budaya Chiribaya. Masyarakat ini berkembang sebagai chiefdom. Wilayah mereka mempunyai ciri yang menjadi impian setiap ahli arkeologi: tanahnya sangat kering dan mengandungi sejumlah besar nitrat, yang memastikan pemeliharaan tinggalan fizikal bagi penghuni yang mendiami tempat ini.
Sonia Guillén berhujah bahawa makam seseorang mencerminkan kedudukan sosial, kedudukan politik, dan kedudukan keagamaannya dalam masyarakat mereka. Dalam kes anjing ini, makam tersebut mencadangkan bahawa, setelah menyelesaikan kehidupan produktif dalam tamadun Chiribaya, anjing tersebut menerima layanan baik, sama ada mati atau hidup.
Martha Meier Miró Quesada, seorang wartawan, penerbit, dan pembikin filem dokumentari, dan pasukan beliau dapat merekodkan penemuan tersebut dan penyiasatan Sonia Guillén dalam gambar dan, pada tahun 2006, menerbitkan dokumentari berjudul El Perro Pastor Chiribaya ("Anjing Gembala Chiribaya").[4][5]
Ciri
Ermanno Maniero, presiden Kelab Kenel Peru, dan doktor veterinar Viviana Fernández dari Universiti Kebangsaan San Marcos dengan teliti memeriksa mumia yang ditemukan dan menentukan bahawa anjing-anjing ini bertungkai pendek dan mempunyai tubuh lebih panjang berbanding dengan ketinggian; mempunyai pelbagai jenis warna bulu yang dapat berbeza-beza antara kuning dengan merah, sesetengah warna dengan tompok gelap pada belakang atau kepala; mempunyai telinga terpotong dan falls;[Penjelasan diperlukan] dan mempunyai kaki seperti kaki kelinci, yang membolehkan haiwan itu bergerak di atas pasir atau tanah dengan kurang usaha, iaitu kualiti yang mungkin penting di persekitaran orang Chiribaya.[6]
BBC melaporkan lebih banyak ciri: Anjing itu kecil, mempunyai muncung panjang, berwarna kuning air, dengan bulu panjang, dan menyerupai anjing pengutip keemasan kecil.[3]
Padang ragut
Orang Chiribaya membangunkan ekonomi pinggir laut, dengan penggunaan penangkapan ikan dan sumber marin lain, tetapi juga terlibat dalam pertanian, termasuk penggunaan intensif haiwan ternakan. Tekstil[6] dan petroglif merealisasikan kegiatan haiwan ternakan bertumpukan llama oleh orang Chiribaya, yang menggarisbawahi kepentingan anjing "gembala" dalam masyarakat mereka. Menurut penyelidikan yang dijalankan oleh ahli genetik Jane Wheeler, yang bekerja di lembah tengah Ilo dan mengkaji tinggalan-tinggalan llama dan alpaka di rantau ini, orang Chiribaya menternak sejenis llama yang mempunyai bulu terpanjang dan terhalus, tetapi ini diabaikan oleh para penakluk Sepanyol, yang menggunakan llama ini sebagai haiwan beban, lalu menyebabkan kepupusannya.[7] "Kerana mempunyai sedemikian banyak llama, orang Chiribaya memerlukan anjing gembala. Kemudian, anjing tersebut menjadi rakan sekerja dengan orang sehinggakan kematiannya mencetuskan penghormatan", kata Sonia Guillén.[Penjelasan diperlukan]
Zuriat
Mumia anjing Chiribaya menyebabkan para penyelidik pada mulanya berhipotesis bahawa keturunan kepada keragaman ini kekal sehingga kini. Ini kelihatannya disahkan secara anekdot oleh keserupaan antara tinggalan terpelihara dengan banyak anjing yang tinggal di Pelabuhan Ilo, di Lembah Tambo, dan di bandar raya Mollendo (Jabatan Arequipa). Malah, "Abdul", si anjing pengawas di kemudahan di Pusat Mallqui, disangkakan mungkin merupakan keturunan anjing Chiribaya. Bulu kuning, telinga terkulai, dan muncung pendek memadani ciri-ciri pada mumia tersebut. Martha Meier menarik perhatian kepada perincian ini, dengan berkata bahawa anjing tempatan yang dipanggil chusco memadani ciri-ciri yang diketahui pada anjing Chiribaya, maka tidak hairanlah bahawa selama bertahun-tahun, ini telah tersebar di serata Peru: "Perkara yang kita lakukan sekarang ialah mendapatkan ketulenan baka anjing ini semula. Jadi, ayuh mula bekerja untuk mengumpulkan DNA anjing di kawasan Ilo untuk perbandingan dengan mumia tersebut, dan kemudian bermulalah proses pemilihan dan penuaan. Kerja akan mengambil masa beberapa tahun, tetapi ini berbaloi", kata pembikin filem itu.[perlu rujukan]
Bukti DNA
Kajian DNA mitokondrion bagi anjing Chiribaya mendapati tiga haplotip, dua daripadanya tidak ditemukan sebelum ini.[2]
Catatan
- ^ Jawi: انجيڠ چيريبايا; Sepanyol: perro chiribaya; bahasa Inggeris: Chiribaya dog
- ^ Jawi: انجيڠ ݢمبالا ڤيرو; Sepanyol: perro pastor peruano; bahasa Inggeris: Peruvian shepherd dog
Rujukan
- ^ a b Kisner, D. "Judul tidak dikenal pasti". Caretas (dalam bahasa Sepanyol). Jil. 1948. Empresa Editora Caretas. m/s. 121–122.
- ^ a b Leonard, Jennifer A.; Wayne, Robert Keith; Wheeler, Jane Collins; Valadez Azúa, Raúl; Guillén, Sonia Elizabeth; Vilà Arbonès, Carles (22 November 2002). "Ancient DNA Evidence for Old World Origin of New World Dogs" [Bukti DNA Purba untuk Asal Usul di Dunia Lama bagi Anjing Dunia Baru]. Science (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Amerika untuk Kemajuan Sains. 298 (5598): 1613–1616. Bibcode:2002Sci...298.1613L. CiteSeerX 10.1.1.714.9691. doi:10.1126/science.1076980. ISSN 0036-8075. JSTOR 3832847. PMID 12446908. S2CID 37190220.
- ^ a b Collyns, Dan (23 September 2006). "Mummified dogs uncovered in Peru" [Anjing termumia ditemukan di Peru] (dalam bahasa Inggeris). BBC News. Dicapai pada 2 September 2013.
- ^ El Pastor Chiribaya - I Parte [Anjing Gembala Chiribaya - Bahagian I] (dalam bahasa Sepanyol). YouTube. 23 April 2008. Dicapai pada 17 Mei 2025.
- ^ El Pastor Chiribaya - II Parte [Anjing Gembala Chiribaya - Bahagian II] (dalam bahasa Sepanyol). YouTube. 23 April 2008. Dicapai pada 17 Mei 2025.
- ^ a b "Perro Pastor Chiribaya del sur del Perú: pastor de llamas precolombino" [Anjing gembala Chiribaya dari selatan Peru: anjing gembala llama pra-Columbus] (dalam bahasa Inggeris). cinabrio blog. 12 Mac 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 4 Mac 2016. Dicapai pada 17 Mei 2025.
- ^ Wheeler, Jane C. (Disember 2005). "Pre-Conquest Alpaca and Llama Breeding" [Pembiakbakaan Alpaka dan Llama Prapenaklukan]. The Camelid Quarterly (dalam bahasa Inggeris). Rysko Pearson Productions.
Bacaan lanjut
- de Pastino, Blake (25 September 2006). "Photo in the News: Dog Mummies Found in Ancient Peru Pet Cemetery" [Foto dalam Berita: Mumia Anjing Ditemukan di Perkuburan Haiwan Peliharaan Peru Purba] (dalam bahasa Inggeris). National Geographic. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Oktober 2006. Dicapai pada 2 September 2013.
- Hall, Chris (12 November 2013). "Archaeologists Find More Than 100 Mummified Dogs in Peru" [Ahli Arkeologi Menemukan Lebih daripada 1,000 Ekor Anjing Termumia di Peru] (dalam bahasa Inggeris). Dogster. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 September 2015. Dicapai pada 17 Mei 2025.