
Barisan Ke-3 Ukraine (Rusia: Третий Украинский фронт, rumi: Tretiy Ukrainskiy front) ialah sebuah Barisan dalam Tentera Merah Soviet semasa Perang Dunia Kedua.

Ia ditubuhkan pada 20 Oktober 1943, berdasarkan arahan Stavka bertarikh 16 Oktober 1943, dengan menukar nama Barisan Barat Daya. Ia merangkumi Tentera Darat Pengawal Pertama, Tentera Darat Pengawal Ke-8, Tentera Darat Ke-6, Tentera Darat Ke-12, dan Tentera Darat Ke-46 serta Ketumbukan Udara Ke-17.
Kemudiannya, ia turut merangkumi Tentera Darat Gempur Ke-5, Tentera Darat Pengawal Ke-4 dan Tentera Darat Pengawal Ke-9, Tentera Darat Ke-26, Tentera Darat Ke-27, Tentera Darat Ke-28, Tentera Darat Ke-37, Tentera Darat Ke-57, Tentera Darat Kereta Kebal Pengawal Ke-6, serta Tentera Darat Pertama, Tentera Darat Kedua dan Tentera Darat Keempat Bulgaria. Flotila Danube turut diletakkan di bawah kawalan operasi Barisan ini. Ia termasuk Briged Ke-83 Infantri Laut.
Operasi penyerangan Zaporizhzhia dan Dnipropetrovsk
Pada separuh pertama bulan Oktober 1943, Barisan Barat Daya (dikenali sebagai Barisan Ukraine Ke-3 bermula 20 Oktober) yang diketuai oleh Jeneral Ketumbukan Rodion Malinovsky ditugaskan untuk menyerang Garis Panther-Wotan Jerman, dan seterusnya memastikan kawalan ke atas pangkalan terdepan di tebing timur Sungai Dnieper di sepanjang paksi Izyum - Dnipropetrovsk semasa Pertempuran Hilir Dnieper. Namun, cubaan pertama untuk membina pangkalan terdepan telah gagal. Tiga ketumbukan infantri — Tentera Darat Pengawal Ke-8, Tentera Darat Pengawal Ke-3 dan Tentera Darat Ke-12 — bersama dua kor, Kor Mekanis Pengawal Pertama dan Kor Ke-23 Kereta Kebal dengan sokongan udara dari Ketumbukan Udara Ke-17 telah dihimpunkan untuk serangan baharu.
Pada 10 Oktober 1943, Pengawal Ke-8 pimpinan Chuikov memulakan serangan, dengan kor kereta kebal dimasukkan ke dalam pertempuran pada 13 Oktober; Tentera Darat Ke-12 menyerang dari utara dan Pengawal Ke-3 dari selatan Zaporizhzhia. Tentera Jerman berundur dari Zaporizhzhia dan memusnahkan jambatan kereta api merentasi Dnieper ketika berundur.[1]
Pada 23 Oktober, Malinovsky, yang ingin menawan Dnipropetrovsk dan memerangkap Tentera Darat Pertama Panzer di bahagian timur selekoh Dnieper, menghantar Tentera Darat Ke-46 yang baru tiba ke dalam pertempuran. Bersama Pengawal Ke-8, mereka cuba memerangkap tentera Jerman di tebing barat Dnieper antara Dnipropetrovsk dan Dniprodzerzhynsk, lokasi kepada Stesen Hidroelektrik Dnieper yang besar. Unit Tentera Darat Ke-46 cuba sampai ke stesen itu tepat pada masanya untuk menghalang kemusnahan empangan oleh tentera Jerman yang berundur. Pada 25 Oktober, Dnipropetrovsk berjaya ditawan, tetapi kemudahan dan empangan itu telah sebahagiannya dimusnahkan.[2]
Pada masa yang sama, Koniev dari Barisan Ke-2 Ukraine menyerang ke arah Kryvyi Rih dari utara dengan Tentera Darat Pengawal Ke-7, namun Tentera Darat Panzer Pertama terselamat buat sementara waktu kerana serangan Koniev di Kryvyi Rih terhenti di Sungai Ingulets di utara Kherson.[3] Namun begitu, Vatutin yang memimpin Barisan Pertama Ukraine di utara Poltava menghantar Tentera Darat Kereta Kebal Pengawal Ke-5, yang menembusi kawasan utara Kryvyi Rih dan hanya dihentikan oleh pertahanan Jerman yang kukuh serta kesukaran bekalan logistiknya sendiri. Kesimpulannya, kedua-dua operasi ini membolehkan dua Barisan itu membentuk satu pangkalan terdepan Krementchug–Dnipropetrovsk yang kemudian diperluas hingga ke Zaporizhzhia hasil kejayaan menembusi Garisan Wotan oleh Barisan Selatan.
Kemudian, unit-unit Tentera Darat Ke-6 merampas pangkalan terdepan di selatan Zaporizhzhia, dan menjelang akhir Disember, bersama-sama dengan Barisan Ke-2 Ukraine menguasai kubu strategik utama di Sungai Dnieper.
Setelah pembebasan tebing kanan Ukraine oleh tentera Barisan Ke-3 Ukraine, dengan kerjasama Barisan Ke-4 Ukraine menerusi Operasi Nikopol–Krivoy Rog tahun 1944, mereka mara ke kawasan Ingulets, di mana pada bulan Mac–April mereka melancarkan penyerangan ke kawasan Nikolayev–Odessa. Selepas menyempurnakan operasi Penyerangan Bereznegovatoye–Snigirevka, barisan ini bersiap untuk menyerang Odessa.
Sebelum Penyerangan Odessa, Barisan Ke-3 Ukraine menerima pengukuhan yang besar. Ia kini terdiri daripada tujuh ketumbukan: Tentera Darat Gempur Ke-5, Tentera Darat Ke-6, Tentera Darat Pengawal Ke-8, Tentera Darat Ke-28, Tentera Darat Ke-37, Tentera Darat Ke-46 dan Tentera Darat Ke-57. Malinovsky juga membentuk satu kumpulan kavalri-mekanis yang terdiri daripada Kor Kavalri Pengawal Ke-4 dan Kor Ke-4 Mekanis di bawah Leftenan Jeneral Pliev. Sasaran mereka ialah pelabuhan Nikolayev dan pelabuhan Laut Hitam yang besar, Odessa. Serangan bermula pada 6 Mac 1944 apabila tentera Soviet menyeberangi sungai Ingulets, Visun dan Ingul. Mereka dibantu oleh Armada Laut Hitam dalam menyempurnakan pembebasan Ukraine selatan, serta membebaskan sebahagian besar RSS Moldavia dan mara ke Dniester, lalu menawan beberapa pangkalan terdepan di tebing kanannya, termasuk pangkalan terdepan Kitskansky.
Romania dan Bulgaria

Pada Ogos 1944, Barisan Ukraine Ke-3 terlibat dalam Penyerangan Jassy–Kishinev Kedua, yang membawa kepada pembebasan sepenuhnya RSS Moldavia, dan Romania mengisytiharkan perang ke atas Jerman.
Pada 8 September, selepas memutuskan hubungan diplomatik dan mengisytiharkan perang ke atas Bulgaria, tentera Soviet memasuki wilayah Bulgaria dan menduduki sebahagian daripada negara itu. Keesokan harinya, satu rampasan kuasa telah dianjurkan oleh pakatan yang diketuai oleh komunis Bulgaria, yang mengambil alih pemerintahan dan akhirnya bertukar pihak serta mengisytiharkan perang ke atas Jerman. Dari 28 September hingga 20 Oktober 1944, Barisan Ukraine Ke-3, dengan kerjasama Tentera Pembebasan Rakyat Yugoslavia serta penyertaan tentera Barisan Tanah Air di Bulgaria, melaksanakan Penyerangan Belgrade, yang membawa kepada pembebasan ibu kota Yugoslavia, Belgrade, dan sebahagian besar wilayah Serbia.
Antara Oktober 1944 hingga Februari 1945, Barisan Ukraine Ke-3 turut terlibat dalam Pengepungan Budapest, termasuk Tentera Darat Ke-46. Tentera Soviet menyeberangi Sungai Danube dan menawan pangkalan terdepan di tebing kanannya. Pada Januari 1945, mereka menangkis serangan balas musuh yang cuba menyelamatkan pasukan Jerman yang terkepung di Budapest, dan pada bulan Mac, semasa Operasi Frühlingserwachen Jerman, satu serangan balas telah mematahkan kekuatan tentera Jerman di kawasan Tasik Balaton. Kejayaan dalam pertempuran ini membolehkan Penyerangan Vienna dimulakan pada 16 Mac, bersama sayap kiri Barisan Ke-2 Ukraine. Selepas itu, pasukan barisan ini menyempurnakan pembebasan Hungary, mengusir musuh dari bahagian timur Austria dan menawan ibu kotanya, Vienna.
Barisan ini turut merangkumi Tentera Darat Ke-57 dari Oktober hingga Disember 1944.
Pada 15 Jun 1945, berdasarkan arahan Stavka bertarikh 29 Mei 1945, barisan ini telah dibubarkan dan distrukturkan semula sebagai Kumpulan Tentera Selatan. Tentera Darat Ke-26 digabungkan bersama Tentera Darat Ke-37 ke dalam kumpulan ini.
Barisan Ukraine Ke-3 pada Oktober 1943 semasa operasi Zaporizhzhia–Dnipropetrovsk
Panglima Barisan: Jeneral Ketumbukan Rodion Malinovsky Tentera Darat Pengawal Pertama
- Kor Ke-34 Pengawal Raifal
- Divisyen Ke-59 Pengawal Raifal
- Divisyen Ke-61 Pengawal Raifal
- Divisyen Ke-279 Raifal (Unit disenaraikan dua kali)
- Kor Ke-32 Raifal
- Divisyen Ke-259 Raifal
- Divisyen Ke-266 Raifal
- Divisyen Ke-279 Raifal (Unit disenaraikan dua kali)
- Briged Mekanize Pengawal Pertama
- Briged Mekanize Pengawal Ke-2
- Briged Mekanize Pengawal Ke-3
- Briged Kereta Kebal Pengawal Ke-9
- Briged Kereta Kebal Ke-3
- Briged Kereta Kebal Ke-39
- Briged Kereta Kebal Ke-135
- Briged Infantri Bermotor Ke-56
- Kor Pertama Penerbangan Campuran Pengawal
- Kor Pertama Penerbangan Campuran
- Kor Ke-9 Penerbangan Campuran[4]
Para pemerintah
Panglima:
- Jeneral Ketumbukan Rodion Malinovsky (Okt. 1943 – Mei 1944);
- Jeneral Ketumbukan, pada September 1944, Marsyal Kesatuan Soviet Fyodor Tolbukhin (Mei 1944 – penghujung perang).
Anggota Majlis Tentera:
- Leftenan Jeneral pada September 1944, Kolonel Jeneral A. Zheltov (keseluruhan tempoh).
Ketua Staf:
- Leftenan Jeneral Theodosius K. Korzhenevich (Okt. 1943 – Mei 1944);
- Leftenan Jeneral pada Mei 1944, Kolonel Jeneral Sergey Biryuzov (Mei–Oktober 1944);
- Leftenan Jeneral pada April 1945, Kolonel Jeneral Simon P. Ivanov (Oktober 1944 – penghujung perang).
Nota
- ^ Erickson, John, The Road To Berlin, Cassell Military Paperbacks, 2003, hlm. 138
- ^ Erickson, hlm. 139
- ^ Atlas Mira Moskva 1988 Ukrainska SSR Moldavskaja SSR hlm. 46
- ^ Boevoi Sostav Sovietskoi Armii bahagian III, Januari–Disember 1943, hlm. 253 — dalam BSSA Barisan Hadapan disenaraikan sebagai Barisan Hadapan Barat Daya, tetapi ia menukar nama kepada Barisan Hadapan Ukraine Ke-3 pada Oktober; dari November 1943 ia disenaraikan dengan nama Barisan Hadapan Ukraine Ke-3