Devi Upanishad (IAST: Devī Upaniṣad) merupakan sebuah Upanisad kecil dalam tradisi Hindu yang mengandungi hanya 32 mantra dan dikaitkan dengan Atharvaveda. Devi Upanisad dikarang dalam bahasa Sanskrit. Ia tergolong dalam kumpulan 19 Upanisad yang dikaitkan dengan Atharvaveda, dan diklasifikasikan sebagai salah satu daripada lapan Upanisad Shakta. Sebagai sebuah Upanisad, teks ini merupakan sebahagian daripada korpus kesusasteraan Vedanta yang mempersembahkan konsep falsafah dalam agama Hindu. Devi Upanisad merujuk kepada Mahadevi sebagai perlambangan kesemua dewi. Ia juga merupakan salah satu daripada lima Upanisad Atharvashiras yang penting dalam tradisi falsafah Tantra dan Shakta.
Mantra-mantranya terdiri daripada bentuk prosa dan juga syair. Tema utama teks ini ialah Dewi atau Tuhan sebagai Ibu Ilahi. Ayat-ayatnya kelihatan diambil daripada Devi Sukta dalam Rigveda, Devi Mahatmya dalam Markandeya Purana serta Durga Sukta dalam Mahanarayana Upanisad.[1]
Sejarah
Menurut Cheever Mackenzie Brown, seorang profesor Pengajian Agama di Universiti Trinity, teks penting dalam tradisi Tantra dan Shaktam ini mungkin dikarang antara abad ke-9 hingga abad ke-14 Masihi.
Devi Upanisad tergolong dalam lima Upanisad Atharvashiras yang masing-masing dinamakan sempena lima dewa utama atau tempat suci (pancayatana), iaitu Ganapati, Narayana, Rudra, Surya, dan Devi. Falsafahnya juga dapat ditemui dalam Tripura Upanisad, Bahvricha Upanisad, dan Guhyakala Upanisad.
Walaupun ditulis dalam bahasa Sanskrit dan dianggap sebagai sebuah Upanisad kecil, teks ini turut disenaraikan pada kedudukan ke-81 dalam antologi moden 108 Upanisad yang disebut dalam Muktika Upanisad, sebagaimana dinyatakan oleh Rama kepada Hanuman. Beberapa manuskrip menyebut teks ini dengan judul Devyupanisad.
Kandungan
Pada suatu ketika, semua dewa menghampiri Dewi (Ibu Ilahi) dan bertanya siapakah dirinya yang sebenar. Sebagai jawapan, Dewi menyatakan bahawa dialah Brahman, dan seluruh alam ini—yang terdiri daripada benda dan jiwa, lima unsur asas, ilmu duniawi dan rohani, yang belum lahir dan yang telah lahir, malah segala sesuatu yang wujud di mana-mana—adalah dirinya. Dialah juga yang hadir dalam rupa Rudra, Vasu dan Visvedeva (pelbagai makhluk ilahi yang menghuni alam-alam). Dialah yang membantu Vishnu, Brahma dan yang lain-lain untuk terus wujud. Hanya dengan kuasa dan rahmatnya, mereka yang melakukan upacara korban mengikut Veda dapat memperoleh hasil dari pengorbanan mereka.
Mendengar kenyataan ini, para dewa memuji Dewi dengan satu pujian yang indah: "Salam hormat kepada Dewi yang membawa tuah, asal usul alam semesta dan cahaya yang bersinar terang. Kami berlindung di bawah naunganNya—Dewi Durga, Sarasvati yang menguasai pertuturan, isteri kepada Siva (sebagai Parvati) dan kekuatan Vishnu (Vaisnavi). Kami tunduk menyembahnya."
Upanisad ini kemudian memperkenalkan beberapa mantra Devi yang terkenal seperti Pancadasaksari (ka e i la hrim, ha sa ka ha la hrim, sa ka la hrim) dan Navaksari atau Navarnamantra (aim hrim klim camundayai vicce).
Akhir sekali, teks ini menyenaraikan pelbagai ganjaran rohani dan faedah yang diperoleh daripada pengulangan Upanisad ini serta mantera-mantera yang terkandung di dalamnya.
Lihat juga
Pautan Luar
- Devi Upanishad, diterjemahkan oleh Dr. A. G. Krishna Warrier, diterbitkan oleh The Theosophical Publishing House, Chennai
- Devi Upanishad oleh Vathula Ramachandra Sharma (teks Tamil)
Rujukan
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism