Đại Việt Quốc 大越國 | |||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| 1527–1677 | |||||||||
Dinasti Mạc (hijau) dan Lê Terpulih (biru) pada 1570 | |||||||||
Peta Vietnam sekitar 1650, Mạc sebagai negara baki . | |||||||||
| Status | Negara ufti China[1][2][3]
| ||||||||
| Ibu negara | Đông Kinh (1527–1592) Cao Bằng (1592–1677) | ||||||||
| Bahasa yang umum digunakan | Vietnam | ||||||||
| Agama | Neo-Konfusianisme, Buddhisme, Taoisme, Agama rakyat Vietnam, Katolikisme | ||||||||
| Kerajaan | Raja mutlak | ||||||||
| Maharaja | |||||||||
• 1527–1529 | Mạc Đăng Dung (pertama) | ||||||||
• 1638–1677 | Mạc Kính Vũ (terakhir) | ||||||||
| Sejarah | |||||||||
• Pertabalan Mạc Đăng Dung | 1527 | ||||||||
• Kehilangan Thăng Long | 1592 | ||||||||
• Penyerahan kepada dinasti Lê Akhir | 1627 | ||||||||
• Kehilangan Cao Bằng | 1677 | ||||||||
| Mata wang | Syiling kuprum aloi dan tunai logam | ||||||||
| |||||||||
Dinasti Mạc (Vietnam: Nhà Mạc/triều Mạc; Hán-Nôm: 茹莫/朝莫) (1527–1677), officially Đại Việt (Chữ Hán: 大越), merupakan sebuah dinasti Vietnam yang memerintah Vietnam bersatu antara tahun 1527 hingga 1540, dan utara Vietnam dari tahun 1540 hingga 1593. Dinasti Mạc kehilangan kawalan ke atas ibu kota Đông Kinh (Hanoi moden) buat kali terakhir dalam peperangannya menentang Dinasti Lê Akhir dan para penguasa Trịnh pada tahun 1592. Selepas itu, ahli-ahli Dinasti Mạc memerintah wilayah Cao Bằng dengan sokongan langsung daripada dinasti Ming dan Qing China sehingga tahun 1677 (dengan sebahagian ahli Dinasti Mạc diterima sebagai pegawai dalam Dinasti Lê Akhir sejak tahun 1627).
Sejarah
Pengasas Dinasti Mạc ialah Mạc Đăng Dung, seorang keturunan sarjana terkenal Dinasti Trần, Mạc Đĩnh Chi.[4][5] Beliau memulakan kerjayanya sebagai pengawal peribadi kepada Maharaja Lê Uy Mục sekitar tahun 1506, kemudian menyertai ketenteraan dan dinaikkan pangkat sehingga menjadi jeneral tertinggi dalam tentera Dinasti Lê.
Dalam tempoh ketidakstabilan politik yang menyaksikan beberapa maharaja dinasti Lê dibunuh, Mạc Đăng Dung semakin mengukuhkan kuasanya walaupun menghadapi permusuhan daripada pesaing lain. Selepas tercetusnya perang saudara di istana semasa pemerintahan maharaja muda Lê Chiêu Tông (1516), beliau berjaya menewaskan para panglima perang lain. Pada tahun 1522, Mạc Đăng Dung memaksa Lê Chiêu Tông turun takhta dan melantik maharaja boneka, Lê Cung Hoàng. Lê Chiêu Tông kemudian melarikan diri ke Thanh Hóa tetapi akhirnya ditangkap dan ditewaskan pada tahun 1526.
Pada tahun 1527, Mạc Đăng Dung menyingkirkan Lê Cung Hoàng dan mengisytiharkan dirinya sebagai Maharaja Dinasti Mạc dengan gelaran Minh Đức. Rampasan kuasa ini ditentang oleh ramai pegawai Konfusian; ada yang dibunuh dan ada yang menyertai pemberontakan.
Pemberontakan besar diketuai oleh Nguyễn Kim dan menantunya Trịnh Kiểm, yang menubuhkan Dinasti Lê Terpulih dengan melantik Lê Trang Tông sebagai maharaja. Mereka berpusat di kota Thanh Hóa dan Nghệ An untuk menentang Dinasti Mạc. Kedua-dua pihak cuba mendapatkan sokongan luar, terutama Dinasti Ming China.
Melalui diplomasi tunduk dan rasuah besar-besaran, Mạc Đăng Dung berjaya menghalang campur tangan Dinasti Ming pada tahun 1528. Pada tahun berikutnya, beliau turun takhta dan menyerahkan jawatan maharaja kepada anaknya, Mạc Đăng Doanh, namun terus memerintah sebagai Maharaja Tertinggi (Thái thượng hoàng) sehingga kemangkatannya pada tahun 1541.
Pemulihan Dinasti Lê
Pemberontakan Dinasti Lê Terpulih di selatan semakin kuat, dan dalam tempoh tiga tahun berikutnya, semua wilayah di selatan Sungai Merah berjaya ditawan oleh tentera Lê. Pada tahun 1533, Maharaja Lê, iaitu Lê Trang Tông dimahkotakan secara rasmi di Istana Tây Đô yang telah dirampas semula. Peristiwa ini menandakan bermulanya era Dinasti Utara dan Selatan, dengan Dinasti Lê dan Mạc terlibat dalam perang saudara yang berlarutan selama kira-kira 40 tahun.
Pada tahun 1540, Mạc Đăng Doanh mangkat dan Mạc Đăng Dung kembali menaiki takhta. Dinasti Ming China kemudian mengancam untuk menyerang Vietnam dengan angkatan besar seramai 110,000 orang dari Guangxi. Di bawah tekanan ini, Mạc Đăng Dung terpaksa akur kepada tuntutan berat Dinasti Ming, termasuk merangkakkan diri di hadapan pegawai China, menyerahkan sebahagian wilayah kepada China, menurunkan tarafnya daripada maharaja kepada gabenor, serta menyerahkan dokumen rasmi seperti daftar cukai kepada pihak Ming.[6][7] Pendirian rasmi Dinasti Ming ialah membahagikan Vietnam, dengan Dinasti Mạc memerintah di utara dan Dinasti Lê di selatan Sungai Merah. Bagaimanapun, golongan penguasa Nguyễn dan Trịnh menolak pembahagian ini, menyebabkan peperangan berterusan.
Pada tahun 1541, Mạc Đăng Dung meninggal dunia dan digantikan oleh cucunya, Mạc Phúc Hải.
Perang saudara
Mạc Phúc Hải memerintah selama enam tahun sahaja sebelum mangkat akibat sakit. Sepanjang pemerintahannya, beliau ditewaskan oleh tentera Trịnh dan kehilangan lebih banyak wilayah. Takhta kemudian diwarisi oleh Mạc Phúc Nguyên (1546–1561), yang terpaksa berperang dengan bapa saudaranya, Mạc Chính Trung untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai pemerintah. Mạc Phúc Nguyên meninggal dunia pada tahun 1561 akibat penyakit cacar.
Selepas itu, Mạc Mậu Hợp menaiki takhta dan memerintah dari tahun 1562 hingga 1592, menjadi pemerintah penting terakhir Dinasti Mạc. Pada tahun 1572, ibu kota berjaya dirampas oleh tentera Trịnh, namun dapat ditawan semula setahun kemudian. Pada tahun 1592, Trịnh Tùng melancarkan serangan besar-besaran ke utara dan menawan Hanoi serta seluruh wilayah utara. Mạc Mậu Hợp ditangkap semasa berundur dan kemudian dibunuh. Dinasti Mạc akhirnya kehilangan hampir keseluruhan Vietnam Utara, hanya mengekalkan kawasan sekitar wilayah Cao Bằng di bawah perlindungan rasmi tentera Dinasti Ming.
Kemerosotan
Pada tahun 1592, pemimpin baharu Dinasti Mạc ialah Mạc Kính Chỉ. Beliau berjaya mengumpulkan angkatan besar dan menewaskan tentera Trịnh Tùng, namun setahun kemudian beliau dan tenteranya ditewaskan sepenuhnya oleh pasukan Trịnh yang baharu. Selepas itu, adiknya Mạc Kính Cung berundur ke wilayah Cao Bằng dan memerintah di sana selama lebih 30 tahun (1593–1625). Dari pangkalan di Vạn Ninh (kini wilayah Quảng Ninh), tentera Mạc kerap melancarkan serangan terhadap pihak Trịnh. Trịnh kemudiannya meminta bantuan Nguyễn, dan tentera gabungan Trịnh–Nguyễn berjaya menewaskan Mạc.
Pada tahun 1598, satu suruhanjaya rasmi Dinasti Ming mengiktiraf Mạc sebagai pemerintah wilayah Cao Bằng. Oleh itu, Dinasti Mạc kekal di kawasan tersebut di bawah perlindungan China, sambil sesekali menyerang wilayah yang dikuasai Trịnh.
Pada tahun 1627, tentera Dinasti Lê menyerang Cao Bằng. Pemerintah Mạc ketika itu, Mạc Kính Khoan terpaksa menyerah diri dan menerima gelaran Thông quốc công daripada Dinasti Lê, sekali gus menurunkan status wilayah Mạc kepada sebuah duci di bawah kekuasaan Lê.
Selepas kejatuhan Dinasti Ming Selatan, Dinasti Qing mengambil peranan sebagai orang tengah dalam konflik Lê–Mạc sambil menerima ufti daripada kedua-dua pihak. Maharaja Kangxi cuba mendamaikan kedua-dua kerajaan tersebut. Namun demikian, selepas pihak Lê menawan Cao Bằng tanpa kebenaran Qing, Maharaja Kangxi menuntut agar Trịnh Tạc memulangkan wilayah itu kepada Mạc. Menjelang tahun 1673, Qing tidak lagi berminat untuk melindungi Mạc. Pada tahun 1677, pemberontakan Tiga Panglima Wilayah di selatan China menyebabkan Qing berpihak kepada Lê, yang menuduh Mạc menyokong pemberontak. Maharaja Kangxi kemudian memerintahkan penangkapan Mạc Kính Vũ ketika beliau melarikan diri ke Guangxi, China, sekali gus menandakan berakhirnya Dinasti Mạc.
Hubungan dengan Ming dan Qing China
Dinasti Lê menjalinkan hubungan ufti dengan Dinasti Ming sebagai pertukaran untuk pengiktirafan dan perlindungan ketenteraan.[1][2][3] Sebagai sebahagian daripada hubungan ufti ini, Dinasti Ming memberikan sokongan ketenteraan dari luar kepada negara Lê dalam peperangan menentang Dinasti Mạc bermula pada tahun 1537.[3]
Selepas penyerahan Dinasti Mạc kepada pihak Ming pada tahun 1540, istana Ming secara simbolik menarik balik status Dinasti Lê sebagai sebuah kerajaan merdeka dan mengklasifikasikannya semula sebagai dutongshisi, iaitu satu kategori yang hanya sedikit lebih tinggi daripada sebuah kedatuan.
Selepas tahun 1540, Dinasti Ming menerima ufti daripada kedua-dua dinasti Vietnam ini, iaitu Dinasti Lê dan Dinasti Mạc. Keadaan ini berterusan sehingga kejatuhan Dinasti Ming Selatan, selepas itu kedua-dua pihak menjadi negara ufti kepada Dinasti Qing.[3][8]
Catatan
- ^ a b Le Loi di Encyclopædia Britannica
- ^ a b Womack, B. (2012). "Asymmetry and China's Tributary System". The Chinese Journal of International Politics (dalam bahasa Inggeris). 5 (1): 37–54. doi:10.1093/cjip/pos003. ISSN 1750-8916.
- ^ a b c d Baldanza, Kathlene (2014). "Perspectives on the 1540 Mac Surrender to the Ming". Asia Major. 27 (2): 115–146. JSTOR 44740553.
- ^ Taylor, p. 232.
- ^ Lockhart & Duiker, p. 229.
- ^ Dardess, p. 5.
- ^ Yamazaki
- ^ Baldanza, Kathlene (2016). Ming China and Vietnam: Negotiating Borders in Early Modern Asia. Cambridge University Press. m/s. 207. ISBN 9781316531310.








