Empat Isteri | |
---|---|
![]() | |
Pengarah | B. S. Rajhans S. Hassan Sahab (penolong pengarah) |
Penulis | Henry C. Kum |
Lakon layar | Henry C. Kum |
Cerita oleh | Henry C. Kum |
Dihasilkan oleh | Run Run Shaw |
Dibintangi | Daeng Idris Normadiah Saloma Latifah Omar Mariani |
Sinematografi | C. Ramachandra |
Disunting oleh | H. R. Narayana |
Muzik oleh | P. Ramlee |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Shaw Brothers |
Tarikh tayangan |
|
Masa tayangan | 1 Jam 35 Minit |
Negara | Singapura |
Bahasa | Melayu |
Empat Isteri merupakan sebuah filem drama Melayu hitam putih yang diterbitkan di Singapura pada tahun 30 April 1955 yang diarahkan oleh B. S. Rajhans.
Sinopsis
Kadir (Daeng Idris), orang kaya banyak harta, mempunyai syarikat perniagaannya sendiri, Kadir & Co., di Singapura dan Bangkok. Dia mempunyai pembantu kanan (pengurus) yang cukup setia, Yusof (A. Rahim), yang memperkenalkan Rokiah (Saloma), penyanyi dan penari kelab malam.
Tertarik dengan Rokiah, Kadir meminta izin isterinya Aminah (Normadiah), ingin berkahwin dengan Rokiah. Tiada larangan dan bantahan dari Aminah, walaupun hatinya luruh bagaikan 'kaca terhempas ke batu'. Sesudah bernikah, mereka tinggal sebumbung.
Kerana masing-masing mahu tunjuk kuasa, tidak mahu mengalah, berlakulah perkelahian Aminah dan Rokiah semata-mata kerana kerusi mahu dialihkan, yang menyebabkan Rokiah meminta Kadir mencari rumah lain.
Sebagai isteri kedua, Kadir lebih sayangkan Rokiah berbanding Aminah. Kadir memenangkan Rokiah memarahkan Aminah. Ini membuatkan Aminah begitu kecewa. Di hatinya, sudah tergerak mahu melakukan balas dendam.
Dalam pada itu, kerana Rokiah bekas kekasih Yusof, mereka terus menjalinkan perhubungan terlarang. Main kayu tiga, curang terhadap suaminya, Kadir.
Dendam masih membara. Aminah, berpakat dengan Sulong (S. Shamsuddin) dan Marsita (Siti Tanjung Perak), membawa Fatimah (Latifah Omar), anak saudaranya dari Kuala Lumpur, datang ke Singapura untuk dikahwinkan dengan Kadir, supaya harta yang ada tidak terlepas kepada orang lain.
Aminah berpura-pura sakit, hilang ingatan dan meracau. Dia memberitahu, hanya apabila Kadir dan Fatimah berkahwin barulah sakitnya pulih. Kadir yang sememangnya mata keranjang, terus setuju.
Perkahwinan Kadir dan Fatimah, membuatkan Rokiah mengamuk, marah-marah. Bagaimanapun, dapat ditenteramkan oleh Yusof, yang menyatakan, "biarkan dia kahwin 100 kali pun tetapi kau sudah ada rumah, intan berlian pada kau banyak, harta yang ada dalam rumah ini hak engkau."
Disebabkan ada urusan penting di Bangkok, Kadir pun pergi ke sana. Segala urusan di Singapura diserahkan kepada Yusof. Apa lagi, 'seperti tikus jatuh ke beras.'
Di Bangkok, Kadir terpikat dengan Ramulah (Mariani), penyanyi dan penari kelab malam yang diperkenalkan oleh Salleh (Salleh Kamil), yang juga selaku pengurus dan kekasihnya.
Ramulah bersetuju kahwin dengan Kadir, tetapi tidak disenangi oleh Salleh yang sememangnya mencintai Ramulah, tetapi tidak dilayan oleh Ramulah.
Dalam pada itu, di Singapura, Fatimah jatuh sakit lalu meninggal dunia. Aminah pula terpaksa keluar rumah, bersama Sulong dan Marsita, kerana rumah yang mereka diami itu mahu dijual, atas tipu muslihat Yusof dan Rokiah.
Kerana menyangka, Ramulah berlaku curang, Kadir merasa tersinggung dan tidak mahu lagi bersamanya. Ini diambil kesempatan oleh Salleh supaya Ramulah kembali kepadanya.
Tetapi Ramulah tetap menolak, dan berlakulah pergaduhan antara mereka, yang menyebabkan Salleh tidak sengaja membunuh Ramulah.
Kembali ke Singapura, Kadir mendapati rumah tempat Aminah tinggal selama ini telah dijual oleh Yusof dan Rokiah. Dia mencari Aminah, yang kini bercucuk tanam, Sulong berniaga ayam, dan Marsita menjual nasi lemak dan mee siam.
Yusof dan Rokiah di tangkap polis sebaik saja sampai di lapangan terbang Bangkok, dihantar semula ke Singapura, atas tuduhan menipu.
Setelah puas mencari, Kadir bertemu semula dengan Aminah. Dia begitu kesal dengan perbuatannya yang berkahwin empat. Kasih sayang Kadir dan Aminah bertaut kembali, 'biduk lalu kiambang bertaut'.
Barisan pelakon
Pelakon utama
- Daeng Idris sebagai Kadir, suami yang bermata keranjang
- Normadiah sebagai Aminah, isteri pertama Kadir
- Saloma sebagai Rokiah, isteri kedua Kadir dan bekas kekasih Yusof
- Latifah Omar sebagai Fatimah, isteri ketiga Kadir dan sepupu Aminah
- Mariani sebagai Ramulah, isteri keempat Kadir
Pelakon pembantu
- S. Shamsuddin sebagai Sulong, orang gaji Kadir dan Aminah
- Siti Tanjung Perak sebagai Marsita, orang gaji Kadir dan Aminah
- A. Rahim sebagai Yusof, pembantu kanan Kadir dan bekas kekasih Rokiah
- Salleh Kamil sebagai Salleh, bekas kekasih Ramulah
- Sa'amah sebagai Makcik Sa'amah, nenek kepada Aminah dan Fatimah
- Malek Sutan Muda
- Mustarjo
- Supatri
Runut
Terdapat beberapa lagu dalam filem ini, tetapi hanya dua saja yang menyerlah dan masih diminati ramai iaitu...
- "Sejakku Bertemu Padamu" - nyanyian Saloma
- "Patah Tumbuh Hilang Berganti" - nyanyian Saloma dan Jasni (P. Ramlee menggantikan suara Jasni untuk versi piring hitam)
Trivia
- Ini merupakan filem terakhir arahan B. S. Rajhans sebelum beliau meninggal dunia pada 31 Mei 1955.
- Ini antara filem lakonan bersama dua adik-beradik iaitu Mariani dan Saloma, meskipun mereka tidak muncul sekali dalam satu babak.
- Dalam filem ini Latifah Omar menggunakan nama asalnya, Fatimah. Nama itu turut digunakannya dalam filem Che Mamat Parang Tumpul arahan L. Krishnan yang dibintangi oleh Wahid Satay dan M. Amin.
Rujukan
https://filemklasikmalaysia.blogspot.com/2015/11/empat-isteri-1955.html?m=1