FETYA | |
|---|---|
| Asal | Malaysia |
| Genre | Nasyid neo-haraki |
| Tahun aktif | 2009-kini |
| Penampilan sulung | 2015 melalui karya album Kesaksian |
| Syarikat pengurusan | Tarbiah Sentap Records |
| Syarikat rakaman | Tarbiah Sentap Records |
| Anggota semasa | Ahli sepenuh masa: Ustaz Muawwidz Al-Ansori Dzulkefly Ustaz Ahmad Fuad Jamil Ustaz Syed Salahuddin Syed Ayob Ustaz Bilal Jailani Ustaz Hanif Mohamad Salleh Ahli sambilan: Ustaz Naim Rais Dr. Nuaim Nasir Ustaz Haidar Mahmud Dr. Abdul Rahman Dashuki Ustaz Nawfal Ahmad Ustaz Hakim Hamidon Dr. Muhammad Zakwan Yahya Dr. Muhammad Faysal Ustaz Umar Farouq Morhalim Muhammad Firdaus Haji Muchtar Fahmi Bazlan |
| sunting · sunting di Wikidata | |
FETYA (Bahasa Melayu: Pemuda) (Bahasa Arab: فتي) merupakan sebuah kumpulan nasyid dari Malaysia. FETYA diasaskan pada tahun 2009 oleh para mahasiswa Malaysia yang pada ketika itu sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Islam dan juga Perubatan di Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.
FETYA yang bermaksud pemuda dalam Bahasa Arab, mengetengahkan lagu-lagu genre neo haraki yang bertemakan pergerakan perjuangan dan pembangunan ummah. FETYA yakin bahawa nasyid bukanlah sekadar hiburan, tetapi juga jalan mendidik tauhid, memupuk kecintaan dakwah dan menyuntik semangat perjuangan kepada setiap Muslim.
FETYA yang sebelum ini berehat seketika selepas pelancaran album sulung mereka, Kesaksian pada tahun 2015 disebabkan komitmen pekerjaan masing-masing, kembali aktif dalam dunia nasyid tanah air sejak awal tahun 2024 sehingga kini dengan lagu-lagu baru seperti Taufan Al-Aqsa, Gaza Berdarah Lagi, Giliranmu, Balaklava[1], Akhir Zaman dan Sumud Nusantara.
Kerjaya seni
2012: Pengalaman bersama Awakening Records
Satu lembaran baru tercipta apabila FETYA dihubungi oleh syarikat rakaman muzik Islam terkenal dunia, Awakening Records. Mereka ditawarkan peluang menyumbangkan vokal harmoni (backing/harmony vocals) untuk kesemua lagu daripada 2 buah album terawal Maher Zain (penyanyi nasyid Sweden berketurunan Lubnan) untuk album versi acapella Thank You Allah (Vocals Only - No Music Version) dan Forgive Me (Vocals Only - No Music Version). Walaupun mereka dihubungi pada saat akhir sebelum proses rakaman berlangsung, FETYA sangat menghargai peluang tersebut.[2]
Selain itu, FETYA juga memainkan peranan penting dalam membantu Irfan Makki (penyanyi nasyid Kanada berketurunan Pakistan) dari segi sebutan perkataan Bahasa Melayu untuk lirik lagu Mabrook. Lirik bahasa Melayu dalam lagu tersebut merupakan hasil nukilan Syah Inteam.[3]
FETYA pada asalnya juga terlibat sepenuhnya dengan proses pembikinan lagu Ramadan nyanyian Maher Zain dalam versi acapella, tetapi tugasan tersebut tidak sempat diselesaikan kerana keselamatan Mesir yang sedang bergolak pada waktu itu, menyebabkan mereka terpaksa pulang ke Malaysia dengan segera setelah tamat pengajian.
Ahli-ahli
Ahli sepenuh masa:
- Ustaz Muawwidz Al-Ansori Dzulkefly
- Ustaz Ahmad Fuad Jamil
- Ustaz Syed Salahuddin Syed Ayob
- Ustaz Bilal Jailani
- Ustaz Hanif Mohamad Salleh
Ahli sambilan:
- Ustaz Naim Rais
- Dr. Nuaim Nasir
- Ustaz Haidar Mahmud
- Dr. Abdul Rahman Dashuki
- Ustaz Nawfal Ahmad
- Ustaz Hakim Hamidon
- Dr. Muhammad Zakwan Yahya
- Dr. Muhammad Faysal
- Ustaz Umar Farouq Morhalim
- Muhammad Firdaus Haji Muchtar
- Fahmi Bazlan
Diskografi
Album studio
- 2015: Kesaksian
Single
- 29 Februari 2024: Taufan Al-Aqsa[4]
- 7 Oktober 2024: Gaza Berdarah Lagi menampilkan 2ARD (Albert D dan Rauf D)[5]
- 15 November 2024: Giliranmu[6]
- 18 Januari 2025: Balaklava[7]
- 31 Ogos 2025: Akhir Zaman[8]
- 17 September 2025: Sumud Nusantara[9]
Lagu korporat
- Disember 2018: Lagu rasmi Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Judul: Bersatu Belia
Lagu / Lirik: Fuad FETYA[10]
Anugerah dan pencalonan
Anugerah Carta IKIMfm 2025 (ACI '25)
Lagu Taufan Al-Aqsa tercalon dan bertahan dalam Carta IKIMfm musim 2024-2025 selama hampir setahun sejak 7 September 2024. Selain itu, lagu Giliranmu dan Balaklava juga sempat memasuki carta tersebut sebelum pencalonan tahun 2025 ditutup.
Setelah pencalonan ditutup, Ustaz Mohd Erwan Johari, penyampai tetap untuk rancangan Carta IKIMfm, mengumumkan bahawa lagu Taufan Al-Aqsa tercalon dalam senarai 20 buah lagu yang layak ke peringkat separuh akhir Carta IKIMfm, yang kemudiannya dijenamakan sebagai Road to Final: Anugerah Carta IKIMfm 2025.
Dalam rancangan Road to Final: Anugerah Carta IKIMfm 2025, FETYA mempersembahkan lagu Taufan Al-Aqsa secara akustik, diiringi oleh pemuzik terkenal seperti Tam Cobain (gitar akustik), Adam (piano) dan Ramli Mohram (cajun). Persembahan mereka menerima komen yang positif dan kritikan yang membina daripada Farihin Abdul Fattah selaku ketua juri, Lukhman S selaku juri bahagian lirik dan Adeep Nahar selaku juri bahagian vokal dan persembahan.
Pada Showcase ACI '25 yang diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2025 di Setia Alam Convention Centre, lagu Taufan Al-Aqsa diumumkan layak ke Anugerah Carta IKIMfm 2025 bersama 9 buah lagu yang lain. Anugerah tersebut akan diadakan pada 3 Januari 2026 bertempat di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Carta 114 2025 - musim ketiga
Lagu Balaklava tercalon dalam Carta 114 2025 musim ketiga selama beberapa bulan, melayakkan lagu tersebut tercalon ke peringkat separuh akhir, hasil undian para penonton dan peminat nasyid selama seminggu, dari 1 Disember sehingga 7 Disember 2025.
Pada hari Sabtu, 13 Disember 2025, FETYA bertanding bersama 14 artis nasyid lain yang layak ke peringkat separuh akhir yang diadakan di Pusat Penyiaran Antarabangsa TV Alhijrah, Kuala Lumpur. Selesai persembahan daripada kesemua artis yang terlibat, lagu Balaklava diumumkan antara lagu yang layak ke peringkat akhir Anugerah Carta 114 musim ketiga yang akan diadakan pada 27 Disember 2025 nanti.
Rujukan
- ^ Abdul Rahman, Ridzuan (2025-02-15). "Perjuangan Fetya". Harian Metro. Dicapai pada 2025-12-15.
- ^ Hussein, Husaini (2012-05-08). "Di Sebalik 'Forgive Me' dan 'Thank You Allah' – Fetya". Munsyeed. Dicapai pada 2025-12-15.
- ^ Kamaruzaman, Usamah (2013-12-12). "Syahadah Rabaah: Manifestasi Kesaksian Perjuangan Fetya". Munsyeed. Dicapai pada 2025-12-15.
- ^ Lagu Perjuangan (2024-10-08), FETYA • Taufan Al Aqsa (OFFICIAL LYRIC VIDEO), dicapai pada 2025-12-15
- ^ Lagu Perjuangan (2024-10-07), FETYA • G@za Berdarah Lagi ft 2ARD (OFFICIAL LYRIC VIDEO), dicapai pada 2025-12-15
- ^ Fetya - Topic (2025-01-07), Giliranmu, dicapai pada 2025-12-15
- ^ Lagu Perjuangan (2025-01-18), FETYA • Balaklava (OFFICIAL MUSIC VIDEO), dicapai pada 2025-12-15
- ^ Lagu Perjuangan (2025-08-31), FETYA • Akhir Zaman | NEW OFFICIAL MUSIC VIDEO | MERDEKA 31 OGOS, dicapai pada 2025-12-15
- ^ Lagu Perjuangan (2025-09-17), FETYA • Sumud Nusantara | NEW OFFICIAL LYRIC VIDEO | MISI FLOTILA SOLIDARITI KEMANUSIAAN, dicapai pada 2025-12-15
- ^ Lagu PEMBINA
Pautan luar
- FETYA di Instagram
- Saluran YouTube FETYA
- FETYA di Apple Music
- FETYA di Spotify









