Garuda Purana (Sanskrit: गरुडपुराणम्) atau Garuḍapurāṇa ialah antara lapan belas Mahapurana iaitu suatu genre teks agama Hindu. Garuda Purana disenaraikan sebagai yang ketujuh belas. Purana ini mendapat namanya kerana Vishnu mengajarkannya kepada Garuda atas permintaannya.
Meskipun dianggap sebagai karya Vaishnava yang diragukan oleh raja cendekiawan Ballaḷasena (abad ke-12 M), penulis teks klasik Danasagara, ia tetap merupakan karya yang sangat dihormati hingga kini.[1] [2]
Padma Purana mengkategorikan Garuda Purana sebagai sebuah sattva Purana (Purana yang bersifat kebaikan dan kesucian). Seperti semua Mahapurana lain, teks ini dalam tradisi Hindu dikaitkan dengan resi Vyasa.
Terjemahan terawal bagi salah satu versi Garuḍa Purana, yang dilakukan oleh Manmatha Nath Dutt, diterbitkan pada awal abad ke-20.
Tempoh Masa
Para sarjana menganggarkan bahawa teras awal teks ini mungkin berasal dari antara abad ke-4 hingga ke-11 Masihi, dengan penambahan dan pengubahsuaian besar yang berterusan hingga milenium ke-2 Masihi.
Menurut Pintchman, teks ini disusun dalam milenium pertama Masihi, tetapi kemungkinan besar telah disusun dan diubah dalam tempoh yang panjang. Gietz pula meletakkan versi pertama teks ini hanya antara abad ke-4 dan ke-11 Masihi.
Leadbeater menyatakan bahawa teks ini mungkin berasal dari sekitar tahun 900 Masihi, berdasarkan kehadiran bab-bab mengenai teknik Yoga dan Tantra yang mungkin berkembang pada zaman kemudian. Sarjana lain mencadangkan bahawa teras awal teks ini mungkin berasal dari abad-abad pertama Masihi, dengan bab-bab tambahan dimasukkan selepas itu, hingga abad keenam atau lebih lama lagi.
Menurut Dalal, versi Garuda Purana yang masih wujud hingga era moden kemungkinan besar berasal dari sekitar tahun 800 hingga 1000 Masihi, dengan beberapa bahagian ditambah pada milenium kedua. Pintchman mencadangkan tempoh antara 850 hingga 1000 Masihi. Sebaliknya, Chaudhuri dan Banerjee serta Hazra menyatakan bahawa teks ini tidak mungkin berasal sebelum abad ke-10 atau ke-11 Masihi.
Jumlah Sloka (ayat) dalam Purana ini, berdasarkan pelbagai kompilasi dan edisi, berbeza antara 8,000 hingga 19,000! Namun, manuskrip yang masih bertahan hingga era moden hanya mengandungi kira-kira 8,000 ayat.
Struktur
Purana ini terbahagi kepada dua bahagian:
- Purva-khanda (bahagian awal) - Purva-khanda mengandungi sekitar 229 bab, tetapi dalam beberapa versi teks, bahagian ini mempunyai antara 240–243 bab iaitu hampir 90% daripada purana ini.
- Uttara-khanda (bahagian kemudian, yang lebih sering dikenali sebagai Preta-khanda atau Preta-kalpa). Bahagian ini terdiri daripada antara 34 hingga 49 bab.
Edisi Venkatesvara bagi Purāṇa ini turut mempunyai sebuah khaṇḍa tambahan yang dikenali sebagai Brahma-khaṇḍa yang mengandungi 29 bab.
Garuḍa Purāṇa berkemungkinan dibentuk berdasarkan Agni Purana, iaitu satu lagi ensiklopedia utama dari zaman pertengahan India yang masih bertahan hingga kini. Struktur teks ini bersifat unik kerana terdapat campuran pelbagai kandungan dan tidak mengikuti struktur yang lazim dalam genre purana. Ia disampaikan dalam bentuk maklumat yang dipelajari oleh Garuda daripada Vishnu, lalu diceritakan kepada resi Kasyapa, kemudian tersebar di hutan mitologi Naimisa hingga akhirnya sampai kepada resi Vyasa.
Kandungan
Purva-khanda
Topik-topik yang dibincangkan dalam Purva-khanda boleh diringkaskan seperti berikut: penciptaan dunia; pemujaan terhadap dewa-dewa seperti Surya (dewa matahari), Siva, Devi, Ganesa, pelbagai aspek Vishnu serta ayudha atau senjatanya; yoga atau meditasi berdasarkan pandangan Vaishnava; ritual sandhya; seni bina dan perancangan bandar; ikonografi; dāna atau pemberian amal; varna asramadharma; dosa dan cara penebusannya; gambaran geografi dan kosmologi alam semesta; pelbagai vratas atau amalan keagamaan; keturunan raja-raja surya dan candra; penjelmaan Tuhan Vishnu; Ayurveda atau ilmu perubatan dan pembedahan; Asvavidya atau ilmu berkaitan kuda; tatabahasa, puisi dan retorik; ashtangayoga (yoga lapan tahap); ayat-ayat suci mengenai pelbagai aspek Vishnu sebagai Narasimha atau Acyuta; mantera dan astrologi.
Preta-khanda
Topik-topik yang dibincangkan dalam Preta-khanda adalah:
- Penjelasan mengenai dharma;
- Sebab-sebab pelbagai jenis kelahiran;
- Jalan menuju ke alam Yama, dewa kematian;
- Gambaran dunia Yama dan istananya yang mewah;
- Upacara berkaitan kematian seseorang;
- Ritual selepas kematian;
- Pelbagai jenis sraddha;
- Upacara sapindikaraṇa
- Upacara Narayaṇabali;
- Hasil daripada perbuatan baik dan buruk manusia.
Brahma-khanda
Bahagian Brahma-khanda hanya terdapat dalam Edisi Venkatesvara bagi Garuḍa Purana. Ia mengandungi 29 bab dalam bentuk dialog antara Sri Krishna dan Garuḍa mengenai keagungan Vishnu, sifat dan bentuk dewa-dewa lain, serta gambaran kuil Venkatesvara di Tirupati dan tempat suci (Tīrtha) lain di kawasan tersebut.
Ketika membicarakan keagungan Vishnu dan sifat dewa-dewa lain, bahagian ini mengkritik beberapa doktrin Advaita seperti Upadhi, Maya, dan Avidya serta mendukung doktrin mazhab Madhvacarya, satu ciri khas yang jarang ditemukan dalam Purana lain.
Bentuk dan kandungan bahagian ini membuktikan bahawa ia merupakan tambahan yang lebih lewat. Fakta ini diperkuatkan lagi dengan ketiadaan sebarang rujukan kepada bahagian ini dalam Purana lain seperti Narada Purana.
Brahma khanda membincangkan topik berikut:
- Prosedur memberi salam kepada Śrīhari;
- Tiga Guna iaitu sattva, rajas dan tamas;
- Kesatuan Brahma, Vishnu dan Siva;
- Penciptaan dunia;
- Penjelmaan Vishnu dan Lakshmi;
- Batu salagrama;
- Kepentingan banyak sungai suci;
- Pemujaan Vishnu dan pujian terhadap Dharma.
Kesimpulan
Pokoknya, karya ini sangat berguna dalam memberikan pemahaman tentang pelbagai aspek agama Hindu, budaya serta keadaan sosialnya.
Selama berabad-abad, purāṇa atau kisah-kisah dari zaman kuno, cerita mitologi ini telah berfungsi sebagai alat pendidikan bagi masyarakat, baik dalam bidang keagamaan mahupun sekuler. Pembacaan dan penjelasan purāṇa di kuil-kuil dan dharmaśāla oleh seorang brāhmaṇa terpelajar demi kepentingan masyarakat merupakan pemandangan umum di kota dan desa di India sehingga seratus tahun yang lalu.