Hukuman mati di Malaysia adalah satu hukuman yang diguna pakai dalam sistem perundangan jenayah Malaysia. Kesalahan pembunuhan dengan niat, pengedaran dadah melebihi jumlah yang ditetapkan, pengganasan (terorisme) dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong adalah di antara perbuatan yang boleh membawa kepada hukuman mati. Hukuman mati di Malaysia adalah dilaksanakan menggunakan teknik hukuman gantung sampai mati.
Dalam sistem perundangan di Malaysia, seseorang itu akan melalui beberapa peringkat perbicaraan terlebih dahulu sebelum hukuman mati dilaksanakan. Peringkat pertama ialah hukuman oleh Mahkamah Tinggi diikuti Mahkamah Rayuan dan terakhir sekali oleh Mahkamah Persekutuan. Sekiranya ketiga-tiga peringkat mahkamah ini memutuskan keputusan bersalah terhadap tertuduh, maka satu rayuan pengampunan terhadap kesalahan akan dilakukan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, atau Yang di-Pertua Negeri, bergantung di mana kesalahan itu dilakukan. Keputusan yang diputuskan ini adalah dianggap muktamad dan sekiranya hukuman itu dikekalkan, maka mahkamah akan memerintahkan supaya Jabatan Penjara menjalankan hukuman gantung sampai mati kepada pesalah.
Seseorang yang dihukum gantung sampai mati oleh mahkamah, dari aspek perundangan yang dilalui oleh mereka memakan masa yang panjang. Pengalaman Penjara Taiping, di dapati purata seseorang itu menjalani hukuman mati dari tarikh mula jatuh hukum oleh mahkamah tinggi adalah berbeza-beza dan mengambil masa bertahun-tahun. Ada yang melibatkan masa antara 1 tahun 9 bulan dan sehingga ada yang mengambil masa 7 tahun 10 bulan.[perlu rujukan]
Setelah semua proses perundangan tamat dan rayuan untuk meringankan hukuman telah ditolak oleh Lembaga Pengampunan, pihak penjara terlibat akan menunggu arahan untuk menjalankan hukuman. Apabila arahan melaksanakan hukuman dikeluarkan oleh mahkamah, pihak Jabatan Penjara akan mengendalikan urusan pelaksanaan hukuman gantung berasaskan 5 fasa tindakan.
Pengampunan adalah suatu bidang kuasa yang terletak dibawah Raja-raja Melayu atau Yang di-Pertua Negeri negeri di mana jenayah itu dilakukan atau Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak mengampunkan penjenayah jika jenayah itu dilakukan di Wilayah Persekutuan atau apabila melibatkan ahli-ahli angkatan tentera. Hukuman mati di Malaysia dijalankan atas konsep gantung sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 281 Kanun Tatacara Jenayah. Wanita hamil dan kanak-kanak tidak boleh dihukum mati. Terdapat dua jenis hukuman gantung iaitu hukuman gantung dan hukuman gantung sehingga mati.
Berdasarkarkan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001, seorang kanak-kanak tidak boleh dikenakan hukuman mati sekiranya kesalahan itu dilakukan ketika suspek adalah bawah umur (bawah 18 tahun), dan sebaliknya hukuman penjara dikenakan berdasarkan budi bicara Yang di-Pertuan Agong sekiranya kesalahan dilakukan di Wilayah Persekutuan, dan Raja atau Yang di-Pertuan Negeri sekiranya dilakukan di negeri-negeri lain.[1]
Peruntukan undang-undang
Kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum mati
Senarai berikut ialah senarai kesalahan jenayah yang membawa hukuman mati di Malaysia setakat 4 Julai 2023.[2][3]
Kanun Keseksaan
- Melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri - Seksyen 121 (lihat Al-Ma'unah dan pencerobohan Lahad Datu 2013)
- Kesalahan terhadap tubuh Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertua Negeri[4] - Seksyen 121A
- Melakukan perbuatan pengganas - Seksyen 130C
- Mengarahkan aktiviti-aktiviti kumpulan pengganas, jika perbuatan tersebut menyebabkan kematian - Sekysen 130I
- Memberikan atau mengumpul harta untuk perbuatan pengganas, jika perbuatan tersebut menyebabkan kematian - Sekysen 130N
- Memberikan perkhidmatan bagi tujuan pengganas, jika perbuatan tersebut menyebabkan kematian - Seksyen 130O
- Menerima suapan untuk memudahkan atau membolehkan perbuatan pengganas, jika perbuatan tersebut menyebabkan kematian - Sekysen 130QA
- Menerima suapan untuk memudahkan atau membolehkan aktiviti jenayah terancang, jika perbuatan tersebut menyebabkan kematian - Sekysen 130ZB
- Menyubahati dahagi dalam Angkatan Tentera Malaysia, jika dahagi dilakukan akibat daripadanya - Seksyen 132
- Memberi atau mereka keterangan palsu dengan niat hendak mendapat sabitan atas kesalahan hukum bunuh - Seksyen 194
- Pembunuhan - Seksyen 302 (lihat Mona Fandey)
- Menyubahati kanak-kanak atau orang gila membunuh diri - Seksyen 305
- Pengambilan tebusan yang menyebabkan kematian - Seksyen 374A
- Rogol yang menyebabkan kematian - Seksyen 376(4)
- Rompak-berkumpul serta membunuh orang - Seksyen 396
Akta Dadah Berbahaya 1952
- Pengedaran dan penyeludupan dadah - Seksyen 39B (lihat hukuman mati Barlow dan Chambers)
Akta Perdagangan Strategik 2010
- Eksport, pemindahan dan transit barang strategik dan barang tidak tersenarai, jika perbuatan itu menyebabkan kematian - Seksyen 9
- Pemberian bantuan teknikal kepada aktiviti terhad, jika perbuatan itu menyebabkan kematian - Seksyen 10(2)(a)
- Pembrokeran barang strategik, jika perbuatan itu menyebabkan kematian - Seksyen 11(2)(a)(i)
- Transaksi yang melibatkan barang tidak tersenarai dan aktiviti terhad, jika perbuatan itu menyebabkan kematian - Seksyen 12(4)(a)(i)(A)
Akta Angkatan Tentera 1972
- Membantu musuh - Seksyen 38
- Membuat perhubungan dengan musuh - Seksyen 41(1)
- Dahagi - Seksyen 47(1)
- Tidak menghapuskan dahagi, jika kesalahan itu telah dilakukan dengan niat hendak membantu musuh - Seksyen 48(i)
- Kesalahan awam yang dilakukan oleh anggota angkatan tentera, jika kesalahan awam yang bersamaan itu ialah derhaka - Seksyen 88(3)(a)
- Kesalahan awam yang dilakukan oleh anggota angkatan tentera, jika kesalahan awam yang bersamaan itu ialah bunuh - Seksyen 88(3)(b)
Akta Industri Perkhidmatan Air 2006
- Kesalahan mengenai pencemaran air, jika perbuatan itu menyebabkan kematian - Seksyen 121(2)(a)
Kesalahan yang sebelum ini boleh dihukum mati
Senarai di bawah ialah kesalahan-kesalahan jenayah yang pernah membawa hukuman mati, tetapi telah sama ada dipindakan atau dimansuhkan, dan tidak lagi membawa hukuman mati atau merupakan satu kesalahan lagi.[2][3]
Kesalahan yang dipindakan
- Mencuba membunuh orang semasa menjalankan hukum penjara seumur hidup - Seksyen 307(2) Kanun Keseksaan
- Menculik atau melarikan orang dengan tujuan hendak membunuh - Seksyen 364 Kanun Keseksaan
- Melepaskan tembakan daripada sesuatu senjata api pada melakukan sesuatu kesalahan berjadual - Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971
- Merupakan rakan sejenayah dalam hal melepaskan tembakan senjata api - Seksyen 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971
- Berdagang senjata api - Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971
- Pengilangan senjata atau amunisi tanpa lesen dan kerana melanggar syarat-syarat lesen - Seksyen 14 Akta Senjata 1960
- Penculikan, halangan salah atau pengurungan salah untuk mendapatkan wang tebusan - Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961
Hukuman mati bagi 7 kesalahan yang tersenarai di atas telah dimansuhkan oleh Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023, dan digantikan dengan hukuman penjara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, berkuatkuasa sejak 4 Julai 2023.[5][6]
Kesalahan yang dimansuhkan
- Pemilikan senjata api, amunisi dan bahan letupan di kawasan keselamatan - Seksyen 57(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (lihat Botak Chin)
- Berdamping dengan orang yang membawa atau memiliki senjata atau bahan letupan - Seksyen 58(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yang mengandungi kedua-dua kesalahan yang tersenarai di atas telah dimansuhkan dan digantikan oleh Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),[7][8] berkuatkuasa sejak 31 Julai 2012.[9]
Sejarah
Hukuman mati bagi kes buang bayi
Di Malaysia, kes pembuangan bayi dilihat berlaku semakin menjadi-jadi.[10] Dianggarkan bagi tempoh 2008 hingga 2009, sebanyak 181 kes pembuangan bayi dilaporkan di Malaysia, manakala 60 kes direkodkan sejak awal tahun 2010 hingga 12/8/2010.[11] Malah masalah ini dari hari ke hari semakin bertambah di negara ini. Keadaan tersebut dipandang cukup serius oleh pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, penguatkuasaan dan beberapa badan bukan kerajaan akibat dari liputan media yang hangat.
Berikutan itu, Kabinet Malaysia telah memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh bagi memastikan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu menerima hukuman berat.[12]
Kes bunuh disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman gantung sampai mati, manakala kes percubaan membunuh mengikut Seksyen 307 kanun sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.
Sebelum ini, semua kes pembuangan bayi disiasat mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum denda maksimum RM 20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.[13]
Kes-kes terkenal
- Hukuman mati Barlow dan Chambers, dua orang Barat pertama dihukum gantung di Malaysia selepas perundangan baharu diperkenalkan.
- Derrick Gregory, seorang buruh British yang telah dihukum gantung pada 21 Julai 1989, kerana kesalahan pengedaran dadah.[14]
- Ahmad Najib Aris, 40 tahun, bekas penyelia pembersihan pesawat yang telah dihukum gantung pada 23 September 2016, dengan hukuman gantung kerana membunuh perunding IT Canny Ong.[15]
- Adik-beradik Ramesh dan Sasivarnam Jayakumar bersama Gunasegar Pitchaymuthu disabitkan kesalahan membunuh dan dihukum gantung pada 25 Mac 2016. Pelaksanaan ini dilakukan secara rahsia dan keluarga mereka hanya diberi notis dua hari sebelum lelaki itu dihukum gantung.[16]
- Maria Elvira Pinto Exposto, warga Australia, ditahan pada Disember 2014 di Lapangan Terbang Kuala-Lumpur semasa dalam transit dan didapati memiliki 1.1 kg kristal methamphetamine. Dia berdepan hukuman mati mandatori, dibebaskan oleh mahkamah, tetapi pihak kemukakan pendakwa merayu. Mahkamah Rayuan mengosongkan keputusan pembebasan itu dan pada Mei 2018 dia dijatuhi hukuman mati.[17] Pada 26 November 2019, Mahkamah Tinggi Malaysia membebaskannya dan memerintahkan pembebasannya serta-merta.[18]
- Sangeeta Sharma Brahmacharimayum, seorang jurusolek India dijatuhi hukuman mati kerana menyeludup 1,637.1g methamphetamine pada Oktober 2016.[19]
- Muhammad Lukman, yang hukuman matinya kerana mengedar ekstrak Ganja untuk tujuan perubatan mencetuskan bantahan orang ramai dan membawa kepada semakan peringkat kebangsaan untuk kedua-dua sabitan Hukuman Mati dan undang-undang dadah.[20]
- Mona Fandey, seorang pelakon, pembunuh dan pengamal ilmu hitam Malaysia. Dia dihukum bunuh bersama suaminya dan dengan seorang lagi rakan sejenayah.
- Botak Chin, seorang penjenayah dan samseng Malaysia yang disabitkan dengan kesalahan memiliki senjata api dan rompakan bersenjata, dan dia dijatuhi hukuman mati kerana jenayah modal memiliki senjata api. Dia dihukum gantung pada 11 Jun 1981, pada usia 30 tahun.
- Sunny Ang, seorang warga Singapura yang membunuh teman wanitanya Jenny Cheok semasa perjalanan menyelam skuba di perairan Pulau Subar Laut, Singapura pada Ogos 1963 ketika Singapura masih menjadi sebahagian daripada Malaysia. Jenayah itu mengejutkan Singapura dan Malaysia sebagai kes pertama bunuh tanpa mayat di kedua-dua negara, dan Ang kemudiannya disabit kesalahan dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura kerana membunuh pada Mei 1965 semata-mata berdasarkan keterangan mengikut keadaan dan tanpa mayat Cheok. Ang akhirnya dihukum gantung di Penjara Changi Singapura pada 6 Februari 1967 (pada masa hukuman mati, Singapura telah berpisah dari Malaysia sejak 9 Ogos 1965 - tiga bulan selepas tamat perbicaraan Ang).
Lihat juga
Rujukan
- ^ "Akta 611: Akta Kanak-Kanak 2001" (PDF). Laws of Malaysia. 1 Februari 2018. m/s. 18, 134. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2020-11-03. Dicapai pada 4 November 2020.
- ^ a b "Reforms of Mandatory Death Penalty in Malaysia: What Do The Bills Say?" (PDF). Amnesty Malaysia (dalam bahasa Inggeris). 29 March 2023. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 30 March 2023. Dicapai pada 21 July 2024.
- ^ a b Abd Rahim, Abu Daud; Zulkifli, Muhamad Zuraidi (6 July 2023). "Abolishment of Mandatory Death Penalty in Malaysia". Azmi & Associates (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 21 July 2024. Dicapai pada 21 July 2024.
- ^ termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan, Yang di-Pertuan Besar dan Yang di-Pertua Negeri.
- ^ "Abolition of Mandatory Death Penalty Act 2023 (Act 846)". Federal Legislation Portal (LOM). Percetakan Nasional Malaysia Berhad. 16 June 2023. Dicapai pada 21 July 2024.
- ^ "Abolition of Mandatory Death Penalty Act 2023 comes into force tomorrow". New Straits Times (dalam bahasa Inggeris). 2023-07-03. Dicapai pada 2023-07-04.
- ^ KiniGuide (24 November 2016). "Your KiniGuide to Security Offences (Special Measures) Act". MalaysiaKini (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 6 October 2020. Dicapai pada 21 July 2024.
- ^ "Security Offences (Special Measures) Act 2012" (PDF). Federal Legislation Portal (LOM). Percetakan Nasional Malaysia Berhad. 22 June 2012. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 9 March 2022. Dicapai pada 21 July 2024.
- ^ "Appointment of Date of Coming Into Operation [P.U. (B) 256/2012]". Federal Legislation Portal (LOM). Attorney General's Chamber of Malaysia. 31 July 2012. Dicapai pada 20 July 2024.
- ^ http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?dt=0801&pg=mh_04.htm&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&y=2010
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-10-13. Dicapai pada 2011-06-26.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-10-13. Dicapai pada 2011-06-26.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-10-13. Dicapai pada 2011-06-26.
- ^ "Briton executed for drug trafficking conviction" (dalam bahasa Inggeris). UPI. 20 Julai 1989. Dicapai pada 30 Oktober 2017.
- ^ Jastin Ahmad Tarmizi (24 September 2016). "Canny Ong killer finally executed". The Star (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 31 Mac 2018.
- ^ Oliver Holmes (25 Mac 2016). "Malaysia hangs three men for murder in 'secretive' execution". The Guardian (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 April 2018.
- ^ James Griffiths (24 Mei 2018). "Australian grandmother sentenced to death by hanging for drug smuggling" (dalam bahasa Inggeris). CNN. Dicapai pada 24 Mei 2018.
- ^ Doherty, Ben (26 November 2019). "Sydney woman Maria Exposto has drug conviction and death sentence overturned in Malaysia". The Guardian (dalam bahasa Inggeris).
- ^ Lim, Calvina (27 Oktober 2016). "Beautician to hang for drug smuggling". The Star (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 11 Jun 2018.
- ^ "'Decision on death penalty for Lukman should be reviewed' - Nation | The Star Online". The Star (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 12 Oktober 2018.
Kandungan diatas perlu dikembangkan dan dikemas kini sentiasa. Jika ada sebarang kesalahan fakta berkenaan hukuman mati selain dari yang tersenarai di atas, sila laporkanya segera di ruang perbincangan.