![]() | |
Intisari agensi | |
---|---|
Dibentuk | 4 Mac 2004 |
Ibu pejabat | Persiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Bukit Tunku, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur |
Eksekutif agensi |
|
Agensi induk | Jabatan Perdana Menteri Malaysia |
Laman sesawang | https://www.iim.gov.my/ |
Institut Integriti Malaysia (IIM) ditubuhkan di bawah Akta Syarikat pada 4 Mac 2004 sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertujuan mengkoordinasi dan memantau pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN), kemudian beralih untuk melaksanakan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) mulai Januari 2019 dan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) mulai Mei 2024.[1][2][3]
IIM bertanggungjawab membangunkan kompetensi dan kapasiti semua sektor awam dan swasta dalam aspek "Governans", "Integriti" dan "Antirasuah" menerusi penawaran perkhidmatan konsultasi, instrumen dan program latihan.
Sejarah penubuhan IIM
Pada 1 November 2003, Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan penubuhan Institut Etika Awam serta melaksanakan Pelan Kewibawaan Nasional ke arah menggalakkan urus tadbir yang berkesan, akauntabiliti serta kecekapan sektor awam dan swasta. Pengumuman ini dibuat pada sidang akhbar sejurus mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama di Putrajaya setelah dilantik memegang jawatan Perdana Menteri. Institut Integriti Malaysia (IIM) telah berjaya ditubuhkan di bawah Akta Syarikat pada 4 Mac 2004 sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Susulan itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi secara rasmi melancarkan institusi tersebut bersama Pelan Integriti Nasional (PIN) pada 23 April 2004.
IIM ditubuhkan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan PIN dengan objektif membangunkan sebuah negara Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat. Kerajaan juga telah mengisytiharkan 5 November 2005, sebagai Hari Integriti Nasional dalam usaha membudayakan integriti, memupuk nilai-nilai murni sejagat serta memperteguhkan tadbir urus di kalangan masyarakat.
Pentadbiran
Ahli Lembaga Pengarah bertanggungjawab mentadbir dan menetapkan dasar Institut Integriti Malaysia (IIM). Ahli Lembaga Pengarah IIM terdiri daripada tujuh ahli dan dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Zuki Ali [4] manakala Kumpulan Pengurusan IIM diketuai oleh YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi yang memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif bermula tahun 2022 [5].
Inisiatif
Pelan Integriti Nasional (2004–2019)
Pelan Integriti Nasional (PIN) ialah sebuah pelan induk yang diperkenalkan bagi memberikan hala tuju serta bimbingan kepada semua komponen atau sektor masyarakat dan negara. PIN juga memupuk, menyemai dan membaja sistem kehidupan masyarakat dan negara dalam usaha besar membina sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika, sekaligus negara yang berintegriti.
Pelan Antirasuah Nasional (2019–2023)
Idea asal pelan ini tercetus semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di mana Pakatan Harapan memberikan penekanan kepada usaha untuk memastikan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah. Usai PRU-14, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada 8 Jun 2018 telah memutuskan bahawa satu pelan antirasuah yang menyeluruh perlu dirangka dengan segera untuk menangani isu berkaitan rasuah di negara ini. Oleh itu, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) telah dilancarkan pada Januari 2019 sebagai dokumen utama kerajaan Malaysia yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah. Pelan ini akan menjadi pelan pertama seumpamanya yang merangkumkan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam suatu kerangka bersepadu.
Visi NACP adalah untuk mewujudkan negara bebas rasuah melalui penetapan tiga matlamat khusus iaitu Kebertanggungjawaban dan Kredibiliti Kehakiman, Pendakwaan dan Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang;Penyampaian Perkhidmatan Awam yang cekap dan responsif; dan Integriti dalam Perniagaan. NACP menggariskan wawasan jangka panjang tindakan antirasuah ke arah negara bebas rasuah menerusi 115 inisiatif untuk dilaksanakan. Melalui enam strateginya, NACP akan memastikan usaha pembanterasan rasuah diperkemas di kalangan aktor politik, entiti korporat, agensi penguatkuasaan dan pihak yang berkepentingan. Para pemegang taruh dijangka membangunkan OACP dalam manangani isu integriti, tadbir urus dan antirasuah di organisasi masing-masing.[6]
Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (2024–2028)
Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS), dilancarkan pada 7 Mei 2024 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bertujuan menghapuskan rasuah serta meningkatkan tadbir urus, integriti, dan ketelusan di Malaysia.[7] Menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), ia menyokong agenda Malaysia Madani dan menyasarkan kedudukan 25 teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah dalam tempoh 10 tahun.
NACS merangkumi lima strategi—Pendidikan, Akauntabiliti Awam, Suara Rakyat, Penguatkuasaan, dan Insentif—dengan 60 sub-strategi. Inisiatif utama termasuk pendidikan etika, undang-undang seperti Akta Perolehan Awam, perlindungan pemberi maklumat, dan insentif cukai. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau kemajuan melalui sistem r-NACS, dengan Jabatan Audit Negara (JAN) membantu melalui Papan Pemuka Ketua Audit Negara dan penambahbaikan audit dalaman. Ia menangani isu seperti nepotisme dan pengaruh tersembunyi, mengalakkan penyertaan awam untuk mengurangkan rasuah.[8]
Rujukan
- ^ "Ringkasan mengenai Pelan Integriti Nasional" (PDF). Parlimen Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2008-05-16. Dicapai pada 2025-04-17.
- ^ "National Anti-Corruption Plan 2019-2023" (PDF). Prime Minister's Office of Malaysia. Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 2025-02-04. Dicapai pada 2025-04-18.
- ^ Singh, Manshan; Ho, Pui Yan; Kok, Chee Kheong (2024-05-14). "Malaysian Government launches the National Anti-Corruption Strategy 2024-2028". Skrine. Dicapai pada 2025-05-02.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-01-22. Dicapai pada 2021-02-10.
- ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-01-22. Dicapai pada 2021-02-10.
- ^ https://giacc.jpm.gov.my/pelan-anti-rasuah-nasional-nacp/
- ^ Singh, Manshan; Ho, Pui Yan; Kok, Chee Kheong (2024-05-14). "Malaysian Government launches the National Anti-Corruption Strategy 2024-2028". Skrine. Dicapai pada 2025-05-02.
- ^ "National Anti-Corruption Strategy 2024-2028" (PDF). Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Jabatan Perdana Menteri. 2024-05-08. ISBN 978-967-16651-3-8. Dicapai pada 2025-05-02.