Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia Negeri Pahang
| جابتن ڤڠڠكوتن جالن | |
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia | |
| Intisari agensi | |
|---|---|
Bidang kuasa | Kerajaan Malaysia |
| Ibu pejabat | Kompleks JPJ Negeri Pahang, Jalan IM 14/10, Bandar Indera Mahkota, Kuantan |
Menteri bertanggungjawab |
|
Timbalan menteri bertanggungjawab |
|
Eksekutif agensi |
|
Agensi induk | Jabatan Pengangkutan Jalan |
Laman sesawang | https://www.jpj.gov.my/hubungi-kami/negeri/pahang-jpj/ |
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang merupakan salah satu pejabat negeri di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia yang bertanggungjawab terhadap pelaksanaan perkhidmatan serta penguatkuasaan undang-undang pengangkutan jalan di negeri Pahang.
Sejarah
JPJ Negeri Pahang mula ditubuhkan di bandar Raub, selaras dengan kedudukan ibu negeri Pahang ketika itu yang berpusat di Kuala Lipis. Pada tahun 1973, ibu pejabat negeri telah dipindahkan ke Jalan Tengku Muhammad, Alor Akar, Kuantan, seiring dengan perpindahan pusat pentadbiran negeri dari Kuala Lipis ke Kuantan.
Pejabat JPJ Raub kemudiannya dijadikan Pejabat Cawangan bagi menampung keperluan masyarakat di daerah Raub, Lipis dan Bentong. Pada 27 April 1993, Pejabat Cawangan Raub berpindah ke bangunan baharu yang lebih luas dan selesa.
Dalam usaha memperluaskan perkhidmatan, dua Pejabat Kecil telah diwujudkan:
- Temerloh (1 Januari 1982) – memberi perkhidmatan kepada penduduk di Temerloh, Daerah Maran, Jerantut dan Bera.
- Bentong (10 November 1983) – menampung keperluan penduduk di kawasan Bentong dan Karak.
Pada 10 November 1986, JPJ Negeri Pahang membuka kaunter bayaran Lesen Memandu dan Lesen Kenderaan Motor persendirian di Kompleks Teruntum, Kuantan. Walau bagaimanapun, kaunter tersebut ditutup apabila Pejabat Kecil Muadzam Shah mula beroperasi pada 1 Disember 1993. Pejabat ini memberi khidmat kepada kawasan Pekan, Rompin, Muadzam Shah, Gugusan Felda Keratong dan Chini.
Pada 1995, satu lagi Pejabat Kecil dibuka di Jengka untuk menampung keperluan penduduk di Jengka, Jerantut dan Maran. Seterusnya, pada tahun 2003, Pejabat Kecil Temerloh dinaik taraf menjadi Pejabat Cawangan.
Bagi memperkukuh aktiviti penguatkuasaan, beberapa Stesen Penguatkuasa turut dibina di kawasan Panching, Paya Rambutan, Paloh Hinai, Keratong, Kedaik, Palong, Maran, Karak, Sanggang, Jerantut dan Benta.
Pada 28 Mac 2011, ibu pejabat JPJ Negeri Pahang berpindah ke Kompleks JPJ Negeri Pahang, Jalan IM 14/10, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, yang kekal digunakan sehingga kini.
Pada 20 Januari 2015, Pejabat Cawangan Cameron Highlands mula beroperasi bagi memudahkan penduduk setempat yang sebelum ini perlu berurusan di JPJ Ipoh atau JPJ Gua Musang.
JPJ Cawangan Bentong
Pejabat JPJ Cawangan Bentong pada asalnya beroperasi di Taman Datuk Shah, Bandar Hussin, Bentong. Seiring peningkatan jumlah transaksi, cadangan pembinaan pejabat baharu di PT 439, Jalan Chamang, Bentong telah dilaksanakan.
Majlis pecah tanah bagi projek ini disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Loke Siew Fook, pada 11 April 2023. Pejabat baharu yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM10.4 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, mula beroperasi pada 8 September 2025. Majlis perasmian rasmi kemudiannya diadakan pada 23 September 2025, dan turut disempurnakan oleh YB Loke Siew Fook.
Dengan pembukaan pejabat baharu tersebut, pejabat lama di Taman Datuk Shah telah ditutup.
Struktur
- 6 Pejabat Cawangan
- 1 Cawangan JPJ UTC
- 11 Stesen Penguatkuasa
Senarai Pengarah JPJ Negeri Pahang
Berikut ialah senarai Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang sejak penubuhannya:
| Bil | Nama | Tempoh |
|---|---|---|
| 1 | T. Narenthiranateran | 6 Disember 1972 - 22 Disember 1975 |
| 2 | Hashim bin Hj. Talib | 1 Januari 1976 - 31 Disember 1978 |
| 3 | Nordin bin Hassan | 1 Januari 1979 - 31 Disember 1979 |
| 4 | Ahmad bin Mohd. Isa | 1 Januari 1980 - 1 April 1985 |
| 5 | Johari bin Hj. Rusi | 1 April 1985 - 31 Mac 1993 |
| 6 | Mohd Rozali bin Mohd Ali | 1 April 1993 - 15 Mac 2000 |
| 7 | Dato 'Hj. Ali bin Hj. Ahmad | 16 Mac 2000 - 30 April 2001 |
| 8 | Dato' Hj. Johari bin Hj. Rusi | 2 Mei 2001 - 2 November 2005 |
| 9 | Dato' Hj. Zakaria bin Hj. Man | 16 November 2005 - 9 September 2014 |
| 10 | Dato' Mark bin Ujin | 15 Januari 2015 - 14 November 2017 |
| 11 | Mohammad bin Abdullah | 15 November 2017 - 10 Februari 2020 |
| 12 | Kamarul Iskandar bin Nordin | 18 Mei 2020 - 31 Julai 2024 |
| 13 | Hj. Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya bin Syed Abdul Rahman | 1 Ogos 2024 - Kini |
Senarai Cawangan
Berikut adalah senarai 6 cawangan, 1 pejabat UTC dan 1 Ibu Pejabat JPJ dalam negeri Pahang:
| Bil | Pejabat / Cawangan JPJ |
|---|---|
| 1 | JPJ Bandar Indera Mahkota Kuantan |
| 2 | JPJ Cawangan Temerloh |
| 3 | JPJ Cawangan Raub |
| 4 | JPJ Cawangan Bentong |
| 5 | JPJ Cawangan Muadzam Shah |
| 6 | JPJ Cawangan Jengka |
| 7 | JPJ Cawangan Cameron Highlands |
| 8 | JPJ Pejabat JPJ UTC Kuantan |
Senarai Stesen Penguat Kuasa JPJ
Berikut adalah senarai 11 Stesen Penguat Kuasa JPJ dalam negeri Pahang:
| Bil | Stesen Penguatkuasa JPJ |
|---|---|
| 1 | Stesen Penguatkuasa JPJ Benta |
| 2 | Stesen Penguatkuasa JPJ Jerantut |
| 3 | Stesen Penguatkuasa JPJ Karak |
| 4 | Stesen Penguatkuasa JPJ Kedaik |
| 5 | Stesen Penguatkuasa JPJ Keratong |
| 6 | Stesen Penguatkuasa JPJ Maran |
| 7 | Stesen Penguatkuasa JPJ Paloh Hinai |
| 8 | Stesen Penguatkuasa JPJ Palong |
| 9 | Stesen Penguatkuasa JPJ Panching |
| 10 | Stesen Penguatkuasa JPJ Paya Rambutan |
| 11 | Stesen Penguatkuasa JPJ Sanggang |









