Jaafar Onn | |
|---|---|
| Kelahiran | Jabar bin Awang 19 Oktober 1951 |
| Meninggal dunia | 3 April 2024 (umur 72) |
| Sebab kematian | Serangan jantung |
| Dikebumikan | Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Al-Firdaus, Tanjung Gading, Tangkak, Johor |
| Pekerjaan | Pelakon, penyanyi pengacara, pelawak |
| Tahun aktif | 1972–2024 |
| Terkenal kerana | Watak Cikgu Jaafar dalam drama Cili Padi |
Karya | Filemografi |
| Anak-anak | Mohd Hanif Hashim (anak angkat) |
| Saudara | Putih Awang (kakak) |
Jaafar Onn (19 Oktober 1951 – 3 April 2024) merupakan seorang pelakon, penyanyi, pengacara dan pelawak Malaysia.[1][2][3]
Kerjaya
Jaafar Onn menjejakkan kaki ke bandaraya Kuala Lumpur pada tahun 70-an bila beliau menyertai sebuah kumpulan tarian yang begitu terkenal di kaca TV pada masa itu. Dalam waktu yang sama, dengan bakat memasak dan mengandam yang ada juga, Jaafar Onn mengajar kaum ibu PERKEP di Jalan Pekeliling. Resepi Mi Bandung yang diajarnya telah membuka ruang luas untuk dia terus aktif menjadi tenaga pengajar selepas itu.
Dalam tahun 1972, Jaafar Onn dipelawa oleh pihak RTM untuk menyertai rancangan masakan yang diberi nama 'Dunia Wanita' yang dihoskan Datin Paduka Zaleha Ismail. Bermula dari situlah nama Jaafar Onn dikenali ramai sebagai tukang masak. Oleh kerana bakat yang begitu mendalam dalam bidang masakan, Jaafar Onn tidak pernah jemu menyertai kursus pendek yang disediakan syarikat swasta. Jaafar menyertai kursus membuat biskut, cara menghias kek dan puding. Tidak lupa juga menyertai kursus masakan barat dan timur. Juga pernah menyertai kursus membuat kuih nyonya dan masakan India.
Melangkah ke tahun 80-an, Jaafar Onn banyak menjadi tetamu undangan untuk memasak di dalam majalah dan tidak ketinggalan membuat demo masakan di kompleks membeli belah. Tetapi selepas itu, barulah diketahui bakat seni Jaafar Onn bukan sahaja sebagai tukang masak tetapi juga sebagai penyanyi dan juga pelakon. Datin Rosnani Jamil telah membawanya kedunia lakonan dalam telefilem pertama lakonannya yang berjudul Lagenda Lela Manja. Bermula dari situ, Jaafar Onn terus diundang membintangi banyak drama dan filem.
Jaafar Onn yang berbintang Libra ini juga suka kepada dunia tarian dan mempunyai kumpulan tarian sendiri. Maya Studio banyak membuat persembahan di majlis makan malam dan rancangan televisyen sekitar 80-an ke 90-an. Ramai juga artis kita yang dicungkil bakatnya dari Maya Studio seperti Liza Abdullah, Norlida Ahmad, Erma Fatima, Ziela Jalil dan Radhi Khalid.
10 tahun kemudian, dia terus beralih arah ke bidang nyanyian yang dibantu oleh penyanyi Salwa Abdul Rahman, Rohana Jalil, Azie, Lina Kamsan dan beberapa orang teman artis lainnya. Jaafar Onn juga pernah membuat album dan tidak dinafikan beliau mempunyai peminatnya yang tersendiri.
Apapun yang dikecapinya kini, Jaafar Onn tetap percaya yang dorongan dari anak dan keluarga membuatkan dia dikenali hingga ke hari ini. [1]
Kehidupan peribadi
Beliau berasal dari Muar, Johor. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Abdullah Sungai Mati, Muar. Dan kemudiannya meneruskan pengajian di Sekolah Lanjutan St. Andrew Jalan Saleh Muar.
Beliau merupakan anak ketiga dari tiga orang adik beradik, juga begitu rapat dengan ibunya, Puan Basahriah Sidin. Sering mengikuti ibunya ke majlis perkahwinan atau gotong royong kenduri kendara. Dan dari sinilah membuatkan Jaafar Onn minat memasak dan menghias pelamin begitu juga dengan gubahan bunga.[2]
Filemografi
Rujukan
- ^ Oleh SHIDA YASIN, "Asam Pedas Jaafar Onn, Memang Ummpph..." Diarkibkan 2018-12-09 di Wayback Machine Kumpulan Media Karangkraf, Tarikh: 25 Mei 2017. Diambil 08 Disember 2018
- ^ Muhammad Amnan Hibrahim (17 Januari 2021). "Jaafar Onn belajar menjahit di kampung". Sinar Harian. Dicapai pada 8 Jun 2021.
- ^ "Usia 60 tidak halang Jaafar Onn melaram sakan!". mStar Online. 29 Mac 2010. Dicapai pada 8 Jun 2017.
Pautan luar
- Kelahiran 1951
- Kematian 2024
- Orang Malaysia berketurunan Melayu
- Muslim Malaysia
- Orang dari Johor
- Pelakon lelaki Malaysia
- Pelakon televisyen Malaysia
- Pelakon filem Malaysia
- Penyanyi lelaki Malaysia
- Pelawak Melayu
- Pelawak Malaysia
- Pelakon lelaki Malaysia abad ke-20
- Pelakon lelaki Malaysia abad ke-21
- Pengacara televisyen Malaysia
- Kematian akibat serangan jantung








