| Jura | |
|---|---|
Peta dunia ketika pertengahan Tempoh Jura, sekitar 170 j.t.d. | |
| Kronologi | |
| Etimologi | |
| Keformalan nama | Formal |
| Maklumat kegunaan | |
| Kegunaan tempatan | Global (ICS) |
| Skala masa yang digunakan | Skala Masa ICS |
| Takrifan | |
| Unit kronologi | Tempoh |
| Unit stratigrafi | Sistem |
| Keformalan jangka masa | Formal |
| Takrif sempadan bawah | Kewujudan pertama amonit Psiloceras spelae tirolicum. |
| Sempadan bawah GSSP | Keratan Kuhjoch, pergunungan Karwendel, Alps Kapur Utara, Austria 47°29′02″N 11°31′50″E / 47.4839°N 11.5306°E |
| Tarikh ratifikasi sempadan bawah GSSP | 2010 |
| Takrif sempadan atas | Tidak ditakrifkan secara formal |
| Calon takrif sempadan atas |
|
| Calon keratas sempadan atas GSSP | None |
Jura merupakan nama untuk suatu tempoh geologi dan sistem stratigrafi yang menjangkau dari akhir tempoh Trias pada 201.4 juta tahun dahulu (j.t.d) sehingga ke permulaan tempoh Batu Kapur pada kira-kira 145 j.t.d. Tempoh ini membentuk tempoh pertengahan Zaman Mesozoik dan dinamakan sempena Pergunungan Jura di selatan luar kawasan Banjaran Alp barat[1] di mana ada lapisan batu kapur yang khususnya muncul dari zaman itu mula dikenal pasti.[2]
Tempoh ini bermula sebaik berlakunya peristiwa kepupusan besar mengakhiri tempoh Trias yang dikaitkan dengan letusan Wilayah Magma Atlantik Tengah. Permulaan Peringkat Toars bermula sekitar 183 juta tahun yang lalu dan ditandakan dengan Peristiwa Anoksik Lautan Toars, yakni peristiwa besar sedunia yang menyaksikan penyusutan tahap oksigen dan pengasidan lautan-lautan, dan peningkatan suhu global yang dikaitkan dengan kepupusan, bermungkinan disebabkan oleh letusan wilayah igneus besar Karoo-Ferrar. Walau bagaimanapun, penghujung tempoh ini tiada titik pemisah yang jelas dan muktamad dari tempoh Batu Kapur dan merupakan satu-satunya sempadan antara tempoh geologi yang kekal tidak ditentukan secara rasmi. Superbenua Pangea telah mula berpecah menjadi dua daratan pada tempoh ini iaitu Laurasia di utara dan Gondwana di selatan. Iklim pada tempoh ini juga lebih panas berbanding sekarang, dan tiada litupan ais. Hutan tumbuh berhampiran kawasan kutub-kutub Bumi, dengan hamparan kering yang besar di latitud yang lebih rendah.
Di daratan pula, fauna eksosistem yang ada pada tempoh ini beralih daripada dinosauromorf dan arkosaur pseudosukia pada tempoh Trias kepada dinosaur sahaja. Burung pertama muncul semasa tempoh Jura, berevolusi daripada cabang dinosaur teropoda. Peristiwa besar lain termasuk kemunculan ketam dan biawak moden yang terawal, dan kepelbagaian mamalia awal. Krokodilomorf membuat peralihan daripada kehidupan daratan kepada kehidupan akuatik. Lautan didiami oleh reptilia lautan seperti ichthyosaur dan plesiosaur, manakala pterosaur pula ialah vertebrata terbang yang dominan. Jerung dan pari moden mula muncul dan mengalami kepelbagaian dalam tempoh tersebut. Flora pada ketika itu didominasi oleh paku-pakis dan gimnosperma, termasuk konifer, yang kebanyakan kumpulan moden tumbuhan tersebut membuat penampilan pertama mereka dalam tempoh itu, serta kumpulan lain Bennettitales yang telah pupus.
Penamaan

Takrifan kronostratigrafi "Jura" berkaitan dengan Pergunungan Jura, iaitu banjaran gunung berhutan yang berada di sepanjang sempadan di antara negara-negara Perancis dan Switzerland. Nama "Jura" itu diterbitkan daripada akar Celt *jor melalui bahasa Gaul *iuris "gunung berkayu", yang kemudian dipinjamkan ke dalam bahasa Latin sebagai nama tempat dan berevolusi menjadi Juria dan akhirnya Jura. Pada tahun 1795, ahli alamiah Jerman Alexander von Humboldt semasa singgah di kawasan berkenaan mengenal pasti mendapan karbonat setempat berbeza dari segi geologi berbanding batu kapur kupang dari tempoh Trias di selatan Jerman, tetapi beliau tersilap membuat kesimpulan bahawa batuan tersebut bertarikh lebih tua. Beliau kemudian menamakan batuan yang dijumpainya itu Jura-Kalkstein ('batu kapur Jura') pada tahun 1799.[3][4]
Pada tahun 1829, Alexandre Brongniart iaitu seorang ahli alamiah Perancis dalam buku bertajuk Tableau des terrains qui composent l'écorce du globe ou essai sur la structure de la partie connue de la terre ("Gambaran Muka-Muka Pembentuk Kerak Bumi atau Karangan Mengenai Binaan Tanah Bumi Diketahui") menggunakan ungkapan terrains jurassiques ("muka-muka bumi Jura") menghubungkaitkan "batu kapur Jura" yang disebutkan Humboldt dengan batu kapur oolit di Britain yang sebaya.[5][3]
Rujukan
- ^ Pfiffner 2014, m/s. 173–174.
- ^ Pfiffner 2014, m/s. 72–74.
- ^ a b Ogg, J.G.; Hinnov, L.A.; Huang, C. (2012), "Jurassic", The Geologic Time Scale (dalam bahasa Inggeris), Elsevier, m/s. 731–791, doi:10.1016/b978-0-444-59425-9.00026-3, ISBN 978-0-444-59425-9, dicapai pada 2020-12-05
- ^ Bloos, Gert; Page, Kevin N. (Mac 2002). "Global Stratotype Section and Point for base of the Sinemurian Stage (Lower Jurassic )". Episodes. 25 (1): 22–28. doi:10.18814/epiiugs/2002/v25i1/003. ISSN 0705-3797.
- ^ Brongniart, Alexandre (1829). Tableau des terrains qui composent l'écorce du globe ou essai sur la structure de la partie connue de la terre [Gambaran Muka-Muka Pembentuk Kerak Bumi atau Karangan Mengenai Binaan Tanah Bumi Diketahui] (dalam bahasa Perancis). Strasbourg, Perancis: F.G. Levrault. m/s. 221, nota kaki 2 – melalui Gallica.
Souvent aussi calcaire oolithique moyen ou principal (great oolithe) ; mais le nom de terrains jurassiques nous paroît préférable […] analogue à celle de la chaîne du Jura. (Often also middle or principal oolitic limestone (great oolithe); but the name of "Jurassic terrains" seems to us preferable, because it is more general, because it indicates a terrain composed of different rocks, being in a geognostic position analogous to that of the Jura chain.)
Sumber-sumber
- Pfiffner, O. Adrian (2014). Geology of the Alps. Chichester, England, UK: John Wiley & Sons. ISBN 978-1-118-70812-5.
Pautan luar
- Contoh Fosil Jura
- Jura (skala kronostratigrafi)
- Fosil Jura di Harbury, Warwickshire
- Mikrofosil Jura: 65+ imej Foraminifera
- . Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris). 15 (ed. ke-11). 1911. Dengan peta dan jadual.








