Kampung Pokok Asam merupakan perkampungan Melayu yang terletak di Jelutong , Pulau Pinang. Seramai 200 penduduknya dijangka terjejas apabila diusir pemaju perumahan.
100 buah rumah di Kampung Tengah di lokasi berhampiran juga akan terjejas berikutan projek komersial oleh sebuah syarikat pemaju lain. Pihak pemaju menawarkan pampasan wang tunai sebanyak RM70,000 bagi setiap rumah yang terlibat dan mengarahkan penduduk mengosongkan kediaman masing-masing serta keluar daripada kawasan tersebut. Penduduk tidak akan mampu membeli rumah bertingkat dengan kos lebih RM800,000 sebuah.
Demonstrasi bantahan
Pada 9 Julai 2010, sekumpulan penduduk telah mengadakan perhimpunan bantahan di hadapan Masjid Jamek Jelutong selepas solat Jumaat. Perhimpunan itu membantah projek pembangunan yang dirancang di kawasan kampung mereka.[1]
Dalam perhimpunan tersebut, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Norman Zailan, menyatakan bantahan terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang yang diketuai oleh Pakatan Rakyat (ketika itu terdiri daripada PAS, PKR, dan DAP), dengan mendakwa pihak berkuasa tempatan dan pemaju bersubahat untuk mengusir penduduk Melayu dari Kampung Pokok Asam.[1]
Timbalan Yang Dipertua PAS Jelutong, Mohd Yusof Mohd Noor, telah menolak dakwaan tersebut. Beliau menyatakan bahawa pihak Barisan Nasional sengaja ingin menggugat kestabilan kerajaan negeri, dan menyeru Barisan Nasional membuktikan kemampuan mereka dalam isu perumahan berbanding hanya membuat tuduhan.[1]
Rujukan
- ^ a b c "Penduduk Kampung Pokok Asam pertahan tanah". Sinar Harian. 9 Julai 2010. Dicapai pada 19 September 2024.