- Rencana ini mengenai penempatan yang dibuat pada zaman darurat. Klik di sini untuk Kampung baru (laman nyahkekaburan).
Kampung baru (Bahasa Cina: 新村; Bahasa Inggeris: Chinese New Villages) ialah penempatan yang dicipta pada era pemerintahan British bermula tahun 1950.[1] Kampung baru merupakan sebahagian daripada Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney bagi menghalang gerakan Min Yuen daripada penyokongnya dalam kalangan rakyat awam semasa Darurat Tanah Melayu.
Sejarah
Tujuan asal penubuhan perkampungan ini ialah untuk memisahkan penduduk kampung berbangsa Cina daripada mempunyai hubungan dengan Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (TPRM) yang diterajui Parti Komunis Malaya. Ia menjadi sebahagian daripada Rancangan Briggs, sebuah rancangan ketenteraan yang direka oleh Sir Harold Briggs secara ringkas selepas dilantik sebagai Pengarah Operasi Tentera British di Tanah Melayu pada 1950.
Rancangan ini bertujuan untuk menumpaskan TPRM, yang kebiasaannya bergerak di kawasan luar bandar sebagai gerakan gerila, dengan mencantas ketersampaian mereka kepada bekalan dan sokongan yang terdapat pada penduduk luar bandar. Akhirnya, program besar-besaran untuk menyusun semula penduduk luar bandar dilakukan, dengan hampir 500,000 orang (dalam 10% penduduk Tanah Melayu ketika itu) telah dipindahkan daripada penempatan asal dan ditempatkan dalam kem yang dikawal yang dipanggil "Kampung Baru". Kampung-kampung ini biasanya dikelilingi dengan wayar berduri dan mempunyai pos kawalan. Dalam sesetengah kes, sekatan keluar 22 jam dikuatkuasakan.
Menurut sejarawan tentera Britain John Newsinger, penduduk yang dipaksa untuk tinggal di kampung baru telah "secara efektif dilucutkan semua hak sivil" serta wujudnya dakwaan penggunaan senjata kimia terutamanya Agent Orange terhadap populasi Kampung Baru.[2][3]
Perkembangan semasa
Kampung baru di Malaysia mempunyai tiga kategori iaitu kampung baru yang diwujudkan semasa darurat bagi mengatasi ancaman komunis, kampung baru rangkaian iaitu penempatan masyarakat Cina di pinggir bandar dan kampung bagan atau kampung nelayan yang menempatkan masyarakat Cina yang bekerja sebagai nelayan[4].
Menurut statistik Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 2015, terdapat sejumlah 613 buah kampung baru di seluruh negara, yang terdiri daripada 436 kampung baru tradisional, 134 kampung penempatan semula, dan 43 kampung nelayan.[5]
Antara kesemua negeri, Perak merupakan negeri yang mempunyai bilangan Kampung Baru Cina paling banyak di Malaysia. Di bawah dasar pecah dan perintah pentadbiran kerajaan kolonial British, kaum-kaum di Tanah Melayu telah dipisahkan mengikut penempatan, menyebabkan sebahagian besar masyarakat Cina menetap di kampung baru, manakala masyarakat Melayu dan India menetap di kampung dan ladang.
Pada masa kini, kebanyakan kampung baru mempunyai penduduk berketurunan Cina melebihi 70%. Namun begitu, situasi di Kelantan agak unik, di mana daripada 46 kampung baru yang wujud, 41 daripadanya majoritinya adalah penduduk Melayu, 4 dikuasai oleh kaum Siam dan 1 lagi oleh masyarakat India.[6]
Pada awal penubuhannya, kebanyakan kampung baru terdiri daripada kawasan rumah papan. Namun, seiring peredaran zaman, banyak rumah telah dinaik taraf menjadi rumah banglo moden. Walau bagaimanapun, terdapat juga kampung baru yang semakin uzur disebabkan penghijrahan penduduk dan rumah yang ditinggalkan.[7]
Pada 10 Oktober 2021, semasa pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan mengumumkan bahawa pentadbiran bagi kesemua 613 kampung baru di seluruh negara diserahkan kepada Kementerian Perpaduan Negara Malaysia, berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022.[8]
Pada 13 Januari 2023, di bawah pentadbiran baharu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerajaan perpaduan memutuskan bahawa pengurusan hal ehwal Kampung Baru Cina dikembalikan semula kepada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan bagi merancang pembangunan dan meningkatkan kemudahan infrastruktur dengan lebih berkesan.[9]
Populasi
Semasa darurat, 450 buah penempatan telah ditubuhkan dan anggaran 470,509 penduduk, 400,000 daripadanya berbangsa Cina, telah dilibatkan dalam program penempatan semula ini. Persatuan Cina Tanah Melayu pada awalnya ditubuhkan sebagai mengambil berat mengenai masyarakat dan kebajikan penduduk di Kampung Baru.[10]
Penempatan kampung baru yang terkenal

Jinjang
Kampung Tengah
Seri Kembangan
Gombak
Labis
Jenjarom
Machang Bubok
Aulong
Pokok Assam
Machap Baru
Senarai Kampung Baru Cina di Malaysia

Jadual berikut menyenaraikan jumlah keseluruhan Kampung Baru Cina di setiap negeri di Malaysia.
| Negeri/Wilayah Persekutuan | Bil. Kampung Baru Tradisional | Bil. Kampung Penempatan Semula | Bil. Kampung Nelayan | Jumlah Keseluruhan |
|---|---|---|---|---|
| 83 | 33 | 7 | 123 | |
| 32 | 5 | 0 | 37 | |
| 24 | 22 | 0 | 46 | |
| 19 | 4 | 0 | 23 | |
| 40 | 19 | 0 | 59 | |
| 52 | 7 | 0 | 59 | |
| 9 | 3 | 2 | 14 | |
| 125 | 17 | 15 | 157 | |
| 1 | 1 | 0 | 2 | |
| 42 | 20 | 19 | 81 | |
| 3 | 0 | 0 | 3 | |
| 3 | 0 | 0 | 3 | |
| 3 | 0 | 0 | 3 | |
| Jumlah | 440 | 134 | 43 | 617 |
Lihat juga
Rujukan
- ^ Peng, Chin; Ward, Ian; Miralor, Norma (2003). Alias Chin Peng: My Side of History (dalam bahasa Inggeris). Singapore: Media Masters. m/s. 268. ISBN 981-04-8693-6.
- ^ Newsinger, John (2013). The Blood Never Dried: A People's History of the British Empire (dalam bahasa Inggeris). London: Bookmarks Publications. m/s. 219. ISBN 978-1-909026-29-2.
- ^ "Agent Orange and other chemicals in the Vietnam War". Anzac Portal (dalam bahasa Inggeris).
- ^ Bernama (7 Oktober 2021). "RM84 juta untuk pembangunan Kampung Baru Cina". Sinar Harian. Dicapai pada 23 Februari 2022.
- ^ [4]
- ^ [5][6]
- ^ [7][8]
- ^ [9][10]
- ^ [11]
- ^ Ooi Keat Gin (11 May 2009). Historical Dictionary of Malaysia. Scarecrow Press. m/s. lvii, 185. ISBN 978-0-8108-6305-7. Dicapai pada 16 February 2013.
Pautan luar
- (versi Cina)
- 50 Years of Chinese New Village in Malaysia (Bahasa Cina: 馬來西亞華人新村50年 作者:林廷輝、宋婉瑩) ISBN 983-9673-65-3








