
Kuil Kanaka Durga, secara rasmi dikenali sebagai Sri Durga Malleswara Swamyvarla Devasthanam, merupakan sebuah kuil Hindu yang didedikasikan kepada Dewi Kanaka Durga. Arca dewi ini dipuja dengan nama yang sama. Kuil terletak di atas Bukit Indrakeeladri di tebing Sungai Krishna, bandar Vijayawada, Andhra Pradesh, India.[1] Teks purba seperti Kalika Purana, Durga Saptashati dan lain-lain karya Veda turut menyebut mengenai Kanaka Durga di Indrakeeladri, serta menggambarkan dewi ini sebagai Swayambhu (menjelma sendiri).
Legenda Dewi
Menurut legenda, penduduk Vijayawada pernah ditindas oleh raja asura Mahishasura dan bala tenteranya. Untuk menyelamatkan mereka, Maha Rishi Indrakila melakukan tapa yang berat sehingga Dewi Durga berkenan menzahirkan diri. Atas permohonannya, Dewi bersemayam di kepalanya dan menjadikan Bukit Indrakila sebagai tempat kediaman kekal. Di sinilah Durga menewaskan Mahishasura, sekali gus membebaskan masyarakat daripada kejahatan.[2]
Arca Dewi Kanaka Durga setinggi kira-kira 1.2 meter dipuja di kuil ini. Ia dihiasi dengan perhiasan emas, permata dan bunga, memperlihatkan dewi dalam bentuk lapan tangan, setiap satunya memegang senjata sakti. Arca tersebut menggambarkan dewi sedang berdiri di atas Mahishasura sambil menikamnya dengan trisula, melambangkan kemenangan kebaikan ke atas kejahatan.
Sejarah
Sebuah prasasti berbahasa Telugu bertarikh 1229 Masihi dari era Chola, yang ditemui di Kampung Veligandla, Daerah Prakasam, mencatatkan pemberian kepada Dewa Bejawada Malleswaradeva di Indrakiladri, ketika itu dikenali sebagai Dakshina Varanasi. Pemberian tersebut dilakukan oleh Podukayuri Siddayadeva dan Sivamagi Maraya untuk pahala ketua mereka, Siddaraju atau Trilochana Pallava, seorang raja Telugu Pallava.
Struktur & Seni bina
Selain arca utama Kanaka Durga, kompleks ini turut menempatkan beberapa sub-kuil bagi dewa lain, antaranya Malleswara Swamy, Nataraja, Kartikeya bersama Valli dan Devasena. Kuil Malleswara Swamy dan Nataraja terletak di bahagian timur laut, manakala kuil Subramanya, Valli dan Devasena berada di bahagian utara. Hanuman berperanan sebagai kshetrapalaka (penjaga kuil), dengan arca Aparajitha Devi di belakangnya. Di laluan menuju ke bukit, terdapat pula kuil Abhaya Anjaneya dan Kamadhenu Devi.
Amalan Ibadah
Kuil Kanaka Durga amat sinonim dengan bandar Vijayawada. Arca di sini dianggap Swayambhu, yakni menjelma sendiri, justeru dipercayai memiliki kuasa luar biasa.
Pada bulan Sravanam, Varalakshmi Vratam dilaksanakan setiap hari Jumaat dengan penuh kebaktian, dan lebih daripada 20,000 orang hadir sepanjang bulan tersebut.
Perayaan paling meriah ialah Dasara atau Navaratri, yang menarik ribuan jemaah dari seluruh India. Sepanjang 10 hari, sepuluh manifestasi Dewi Kanaka Durga dipuja, iaitu:
- Swarna Kavachalankrita Durga
- Bala Tripurasundari
- Annapurna
- Gayatri
- Lalita Tripura Sundari
- Saraswati
- Mahalakshmi
- Durga
- Mahishasura Mardini
- Raja Rajeswari Devi
Prasasti daripada pelbagai dinasti turut ditemui di kawasan kuil, menunjukkan warisan sejarahnya yang panjang.
Perayaan Sakambhari
Setiap tahun pada bulan Ashadha, perayaan Sakambhari diadakan selama tiga hari. Dalam perayaan ini, Kanaka Durga menjelma sebagai Dewi Sakambhari atau Banasankari Amma, dan doa dipersembahkan agar beliau memberkati hasil pertanian, makanan, serta sayur-sayuran agar sentiasa melimpah dan menyuburkan kehidupan. Perayaan ini berlangsung dari hari Sukla Paksha Thrayodashi hingga Purnima bulan Ashadha.
Akses dan Pengangkutan
Kuil ini terletak di pusat bandar Vijayawada, hanya 10 minit dari stesen kereta api dan terminal bas, serta sekitar 20 kilometer dari lapangan terbang. Perkhidmatan bas khas disediakan setiap 20 minit dari kedua-dua lokasi tersebut. Vijayawada juga berhubung baik dengan Hyderabad (275 km) melalui jalan raya, kereta api, dan udara.
Pautan luar
https://kanakadurgamma.org/en-in/home
Lihat juga
Rujukan
- ^ "Sri Mahalakshmi alankaram to be held in Vijayawada on Friday", The Hindu. 11 Oktober 2013
- ^ "Mahishasura Mardhini alankaram today." The Hindu. 21 October 2015.