![]() Seorang wanita sedang melombol kuda | |
Badan induk tertinggi | Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) |
---|---|
Nama samaran | Lombol (Vaulting) |
Ciri-ciri | |
Sentuhan | tiada |
Ahli pasukan | individu dan pasukan dengan jumlah ahli yang berbeza-beza |
Jantina bercampur | ya |
Jenis | dalam atau luar |
Peralatan | kuda, emban, alat perbentaran |
Tempat | Umumnya gelanggang dalam ruangan dengan tanah atau tapak serupa yang sesuai untuk kuda |
Kemunculan | |
Sukan Olimpik | 1920 (Antwerp sahaja) |
Sukan Dunia | 1993 (berjemputan) |
Lombol kuda (Jawi: لومبول كودا), lombol ekuestrian (Jawi: لومبول ايکوءيستريان) (equestrian vaulting) atau ringkasnya lombol (Jawi: لومبول),[1] sering digambarkan sebagai gimnastik dan tarian di atas kuda, yang boleh dipraktikkan secara kompetitif atau tidak.[2] Melombol mempunyai sejarah sebagai persembahan ekuestrian di sarkas,[3][4] tetapi asal-usulnya menjangkau sekurang-kurangnya dua ribu tahun. Ia terbuka kepada lelaki dan wanita, dan merupakan salah satu daripada sepuluh disiplin ekuestrian yang diiktiraf oleh Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa (Fédération Équestre Internationale atau FEI).[5] Lombol terapeutik atau interaktif juga digunakan sebagai aktiviti untuk kanak-kanak dan orang dewasa yang mungkin mengalami masalah keseimbangan, perhatian, kemahiran motor kasar atau kekurangan sosial.
Peminat melombol tertumpu di Eropah dan bahagian lain di dunia Barat. Ia sangat terkenal di Jerman dan Switzerland. Melombol mula diperkenalkan di Amerika Syarikat pada tahun 1950-an dan 60-an tetapi terhad hanya di California dan kawasan lain di pantai barat.[6] Sehingga tahun 2010, ia mula mendapat populariti di timur laut Amerika Syarikat.[7]
Sejarah
Dipercayai oleh sesetengah pihak bahawa asal-usul melombol boleh dikesan kembali ke sukan Rom purba, di mana ahli akrobatik biasanya mempamerkan kemahiran mereka di atas kuda yang berlari. Walau bagaimanapun, yang lain percaya bahawa melombol berasal dari Kriti purba, di mana aktiviti melompat lembu banyak dilakukan. Dalam kedua-dua kes, manusia telah melakukan pergerakan akrobatik dan tarian di atas (atau melangkaui) belakang kuda atau haiwan yang bergerak selama lebih daripada 2,000 tahun.[6]
Sejarah Zaman Pembaharuan dan Zaman Pertengahan mengandungi banyak rujukan kepada melombol atau aktiviti serupa. Nama sukan atau seni ini (iaitu vaulting) berasal daripada perkataan Perancis la voltige, yang diperoleh semasa zaman Pembaharuan, apabila ia merupakan satu bentuk latihan menunggang dan senaman ketangkasan untuk askar penunggang berkuda.[8]
Melombol moden dibangunkan di Jerman pasca perang sebagai inisiatif untuk memperkenalkan kanak-kanak kepada sukan ekuestrian.
Pada tahun 1983, melombol menjadi salah satu disiplin yang diiktiraf oleh FEI. Kejohanan Eropah pertama kali diadakan di Ebreichsdorf, Austria pada tahun 1984, dan Kejohanan Melombol Dunia FEI yang pertama telah diadakan di Bulle, Switzerland pada tahun 1986. Melombol telah dimasukkan ke dalam Sukan Ekuestrian Dunia di Stockholm pada tahun 1990 dan dalam semua edisi sukan seterusnya. Ia telah didemonstrasikan sebagai satu seni semasa acara Sukan Olimpik 1984 dan 1996. Ia telah dimasukkan dalam Piala Antara-Afrika sejak tahun 2006.[9]
Pertandingan Melombol Piala Dunia pertama telah diadakan di Leipzig pada 29–30 April 2011.[10]
Pertandingan

Dalam lombol kompetitif, peserta bertanding secara individu, berpasangan (pas-de-deux) dan berpasukan. Peserta yang baru bermula bertanding dalam langkah berjalan kaki, manakala peserta yang berpengalaman bertanding dalam meligas (canter). Kuda lombol bergerak dalam bulatan berdiameter minimum 15 meter dan diarahkan oleh seorang pembentar (lunger) (atau longeur) yang berdiri di tengah. Dalam melombol kompetitif, penunggang dan kuda akan diadili berdasarkan skala 1 hingga 10.
Pertandingan melombol terdiri daripada latihan wajib dan latihan gaya bebas berkoreografi yang dilakukan mengikut muzik. Terdapat tujuh latihan wajib: memanjat (mount), duduk asas (basic seat), bendera (flag), kincir (mill), gunting (scissors), berdiri (stand) dan sisi (flank). Setiap latihan dinilai pada skala 0 hingga 10. Kuda juga menerima markah dan diadili berdasarkan kualiti pergerakan serta tingkah laku mereka.
Pelombol bertanding dalam kategori berpasukan, pas-de-deux dan individu. Rutin gaya bebas individu (juga dikenali sebagai Kür) adalah program selama 1 minit, manakala kür pas-de-deux adalah 2 minit dan pasukan adalah 4 minit. Kesemuanya dikoreograf mengikut muzik. Komponen rutin melombol gaya bebas boleh memasukkan gerakan menunggang dan menurun, dirian tangan, melutut dan berdiri, serta gerakan udara seperti lompatan dan kemahiran akrobatik. Walau bagaimanapun, banyak kemahiran ini hanya dilihat di peringkat tertinggi. Rutin umum untuk kanak-kanak atau pemula lebih cenderung mengandungi variasi melutut dan plank mudah. Pasukan juga boleh membawa, mengangkat atau bahkan melambung peserta lain ke udara. Penilaian adalah berdasarkan teknik, persembahan, bentuk, kesukaran, keseimbangan, keselamatan dan pertimbangan terhadap kuda; kuda juga diberi markah, merangkumi 25% daripada jumlah markah.
Kuda lombol tidak dipasang pelana tetapi memakai emban (surcingle atau roller) dan pelapik belakang yang tebal. Emban mempunyai pemegang khas yang membantu pelombol melakukan pergerakan tertentu serta gelung kulit yang dipanggil sanggurdi cossack (cossack stirrups). Kuda memakai tali kekang (bridle) dan tali kendali sisi (side rein). Tali bentar biasanya disambungkan pada bahagian dalam cincin lagam (bit).
Kuda lombol biasanya bergerak mengikut tali kendali kiri (melawan arah jam), tetapi dalam beberapa pertandingan, kuda boleh meligas ke arah lain. Kelas pertandingan dua fasa juga melatih kuda ke arah kanan. Walaupun banyak kelab Eropah tidak bertanding ke arah kanan, mereka masih berlatih di rumah secara sekata dalam kedua-dua arah, mempercayai ini memberi manfaat kepada kuda dan pelombol.
Pertandingan melombol utama adalah Kejohanan Dunia dan Benua yang diadakan dua tahun sekali, serta Sukan Ekuestrian Dunia (WEG) yang diadakan setiap empat tahun. Di banyak negara, persatuan melombol menganjurkan dan menaja acara kebangsaan, serantau dan tempatan setiap tahun. Pada tahun 2011, terdapat sekurang-kurangnya 24 negara dengan organisasi sedemikian.[11]
Pergerakan pertandingan


Pelombol melakukan pelbagai pergerakan di atas belakang kuda. Peserta baharu dan yang masih di peringkat awal boleh beraksi semasa kuda berjalan kaki atau meligas sederhana (trot), manakala peserta peringkat tinggi akan beraksi semasa kuda mellgas (canter). Pelombol akan melakukan latihan wajib yang berbeza daripada senarai berikut, bergantung kepada kategori dan kelas di mana mereka bertanding:[12][13]
Pergerakan | Keterangan |
---|---|
Lombol Naik (Vault On) | Setelah melombol dengan kedua-dua kaki, kaki kanan segera diayunkan ke atas, setinggi mungkin, mengangkat pelvis lebih tinggi daripada kepala, manakala kaki kiri kekal lurus ke bawah. Bahu dan pinggul adalah selari dengan paksi bahu kuda. Apabila pelvis berada pada titik tertinggi yang mungkin, pelombol menurunkan kaki kanan yang diregangkan dan mendarat dengan lembut, tegak dan berpusat dalam posisi duduk bercelapan dengan bahagian atas badan tegak. |
Duduk Asas (Basic Seat) | Posisi bercelapak (pelombol duduk di atas kuda seperti seorang penunggang), dengan tangan di sisi dan diangkat separas telinga. Tangan hendaklah digenggam dengan jari rapat dan tapak tangan menghadap ke bawah, dengan jari sedikit melengkung ke atas. Kaki dililitkan pada badan kuda (barrel), tapak kaki menghadap ke belakang, dengan hujung jari kaki ke bawah dan kaki melengkung. Pelombol menahan posisi ini untuk empat langkah penuh kuda. |
Bendera (Flag) | Daripada posisi bercelapak, pelombol melompat ke posisi melutut dan meluruskan kaki kanan ke belakang, memegangnya sedikit di atas kepala supaya kaki selari dengan tulang belakang kuda. Kaki yang satu lagi perlu menyalurkan tekanan melalui tulang kering dan kaki, dengan kebanyakan berat tertumpu pada bahagian belakang buku lali, untuk mengelakkan lutut menekan kuat belakang kuda. Lengan kiri kemudian diregangkan lurus ke hadapan, pada ketinggian hampir sama dengan kaki kanan. Tangan hendaklah dipegang seperti dalam posisi duduk asas (tapak tangan ke bawah, jari rapat). Kaki kanan perlu melengkung dan tapak kaki menghadap ke atas. Pergerakan ini perlu ditahan selama empat langkah penuh kuda setelah lengan dan kaki dinaikkan. |
Kincir (Mill) | Daripada posisi bercelapak, pelombol membawa kaki kanan melepasi leher kuda. Cengkaman perlu dilepaskan dan diambil semula semasa kaki dibawa melangkau. Kaki kiri kemudian dibawa dalam lengkok penuh melangkaui punggung kuda, sekali lagi dengan penukaran cengkaman, sebelum kaki kanan mengikutinya, dan kaki kiri bergerak melepasi leher untuk melengkapkan pusingan penuh pelombol. Pelombol melakukan setiap pergerakan kaki dalam empat langkah kuda setiap satu, melengkapkan pergerakan Kincir dalam enam belas langkah kuda penuh. Semasa kaki melintas, kaki hendaklah dipegang lurus sempurna, dengan jari kaki menuding. Apabila kaki berada di sisi kuda yang sama, ia hendaklah dirapatkan. Pelombol mesti mengekalkan postur yang baik dan boleh condong ke belakang paling banyak 10% di belakang garisan tegak. |
Gunting bhg ke-1 (Scissors 1st part) | Daripada posisi bercelapak, pelombol mengayunkan badannya untuk melakukan dirian tangan. Di puncaknya, badan pelombol harus dihadapkan ke arah pembentar dan kaki dalam perlu disilangkan di atas kaki luar. Pelombol kemudian akan turun dan mendarat menghadap ke belakang kuda, iaitu ke arah ekor. |
Gunting bhg ke-2 (Scissors 2nd part) | Daripada posisi duduk menghadap ke belakang di atas kuda, pelombol mengayunkan badannya ke atas dengan kaki luar melepasi kaki dalam, dan mendarat menghadap ke hadapan semula. Jika pelombol mendarat dengan kuat di belakang kuda, mereka akan dikenakan penalti yang serius. Pergerakan Gunting ini diadili berdasarkan ketinggian gerakan. |
Berdiri (Stand) | Daripada posisi bercelapak, pelombol bergerak ke atas tulang kering dan serta-merta berdiri di atas kedua-dua kaki, lalu melepaskan cengkaman. Pelombol kemudiannya meluruskan badan dengan kedua-dua lutut dibengkokkan, punggung disisip ke hadapan, dan tangan dipegang seperti dalam posisi duduk asas. Pelombol mesti menahan posisi ini selama empat langkah penuh kuda. |
Ayun sisi bgh ke-1 (Flank 1st part) | Daripada posisi bercelapak, kaki diayunkan ke hadapan untuk menjana momentum, sebelum diayunkan ke belakang dan berguling ke posisi meniarap dengan badan lurus serta kaki diregangkan sepenuhnya sehingga pelombol hampir mencapai posisi dirian tangan. Pada puncaknya, pelombol membengkokkan badannya seperti pisau lipat dan memusingkan badan ke dalam, sebelum meluncur turun ke posisi duduk sisi. Pelombol diadili berdasarkan bentuk, pendaratan dan ketinggian. |
Ayun keluar (Swing off) | Daripada posisi duduk bercelapak, pelombol mengayunkan badan ke posisi dirian tangan dengan kaki rapat dan tangan diluruskan untuk mencapai ketinggian maksimum. Pada jangkauan tangan maksimum, pelombol menolak pada pegangan, dan hasil daripada tolakan bahu, mencapai ketinggian tambahan serta penerbangan maksimum, lalu mendarat di bahagian dalam kuda, menghadap ke hadapan, dengan kedua-dua belah kaki. |
Kod pakaian

Diperintah oleh Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa (FEI), pakaian melombol kompetitif mematuhi kod pakaian yang ketat dan disemak secara berkala, dengan garis panduan terkini diumumkan setiap dua atau tiga tahun. Pakaian utama yang dominan kekal adalah unitard yang ketat.[14]
Pakaian Pemeriksaan Kuda: Untuk acara kejohanan, pengendali yang mempersembahkan kuda mesti memakai pakaian Persekutuan Kebangsaan (NF); di pertandingan CVI, sama ada pakaian NF atau kelab dibenarkan.
Penomboran Pertandingan (CVI): Pelombol individu diperuntukkan nombor permulaan oleh penganjur, yang mesti dipaparkan dengan jelas (10-12 cm tinggi) pada lengan atau kaki kanan. Walaupun pelombol boleh menggunakan jalur peribadi untuk tujuan ini, nombor yang disediakan mesti kekal jelas kelihatan dari jauh. Kegagalan mematuhi akan menyebabkan amaran segera daripada sama ada Hakim A atau Presiden Juri Tanah. Sebaliknya, pelombol skuad mesti memaparkan nombor yang ditetapkan 1 hingga 6 pada lengan/kaki kanan atau belakang, mematuhi saiz (10-12 cm), kebolehbacaan dan keperluan reka bentuk polos yang sama. Kegagalan mematuhi juga akan mengakibatkan amaran dan menjejaskan markah artistik.
Keperluan Pakaian Am: Pakaian untuk pesaing skuad, individu dan pas-de-deux mestilah tidak menghalang pergerakan atau membahayakan interaksi pelombol yang selamat atau keselamatan kuda. Pentingnya, pakaian tidak boleh mengaburkan bentuk dan garisan badan pelombol, dengan itu memastikan penilaian latihan tidak terhalang. Seluar memerlukan pengikatan yang selamat di buku lali; skirt memerlukan pemakaian seluar ketat atau legging di bawahnya. Semua pakaian mesti kekal ketat pada badan dan melekap sepenuhnya sepanjang persembahan. Elemen hiasan terhad kepada bahan lembut, mudah lentur, seperti kain yang dilekatkan secara kekal pada pakaian. Prop arena dilarang sama sekali (rujuk garis panduan untuk spesifikasi lengkap). Pendedahan kulit tiruan tidak dibenarkan. Dalam pertandingan kanak-kanak, fabrik yang menyerupai warna kulit atau ketelusan dilarang sama sekali di bahagian torso, tetapi dibenarkan pada bahagian anggota badan.
Kasut & Koordinasi: Hanya kasut bertapak lembut diwajibkan. Pakaian pembentar kuda (lunger) mesti mencapai kesepaduan estetik dengan pakaian pelombol. Pakaian skuad mesti menunjukkan keseragaman atau keterkaitan tema, mencerminkan konsep artistik kumpulan.
Melombol bukan kompetitif
![]() |
Selain daripada pertandingan, melombol juga merupakan satu bentuk seni, rekreasi, dan hiburan. Pelombol biasanya berusia antara 7 hingga 30 tahun ke atas, berlatih kemahiran dan rutin secara individu dan berpasukan. Atlet termuda bermula dengan berjalan lenggang dan seterusnya maju ke trot (ligas sederhana) dan canter (meligas), berdasarkan kekuatan, ketinggian, serta kebolehan menaiki dan beraksi di atas kuda.[15]
Melombol juga digunakan pada tahap terapeutik dalam beberapa keadaan. Orang kurang upaya sering mendapat manfaat daripada interaksi dengan kuda dan ahli pasukan, serta dengan melakukan pergerakan mudah dengan bantuan spotters (pembantu yang mengawasi).
Melombol sering dilihat pada tahap rekreasi, melalui demonstrasi melombol dan kadangkala dalam perarakan tempatan.
Lihat juga
Rujukan
- ^ "The Voltiging Federation of Ontario" (dalam bahasa Inggeris). Horses of the Sun, Canada. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Oktober 2011.
- ^ "Equestrian Vaulting Australia". equestrian-vaulting (dalam bahasa Inggeris).
- ^ Loxton, Howard (1997). The golden age of the circus (dalam bahasa Inggeris). New York, NY: Smithmark. m/s. 38. ISBN 978-0-7651-9909-6.
- ^ The New Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris) (ed. [New ed.].). Chicago, Ill.: Encyclopædia Britannica Inc. 2003. m/s. 419, volume 16. ISBN 978-0-85229-961-6.
- ^ "ABOUT US - STANDARDS". www.horsesport.org (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 27 Februari 2010. Dicapai pada 3 Julai 2025.
- ^ a b "Alumni Only - American Vaulting Association". www.americanvaulting.org (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Oktober 2010. Dicapai pada 3 Julai 2025.
- ^ La Gorce, Tammy (25 Mac 2010). "Equestrian Vaulting Gains Fans in the Northeast". The New York Times (dalam bahasa Inggeris).
- ^ "A Brief History of Vaulting" (dalam bahasa Inggeris). British Equestrian Vaulting. Diarkibkan daripada yang asal pada 16 Julai 2011.
- ^ "vaulting4africa". vaulting4africa.piczo.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 31 Mac 2012. Dicapai pada 3 Julai 2025.
- ^ "LOOSER AND WIEGELE TAKE INAUGURAL FEI WORLD CUP™ VAULTING TITLES | FEI.ORG". www.horsesport.org (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 27 September 2011. Dicapai pada 3 Julai 2025.
- ^ "Links" (dalam bahasa Inggeris). International Vaulting Club. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 Julai 2011.
- ^ "Wayback Machine" (PDF). inside.fei.org (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan (PDF) daripada yang asal pada 17 Mei 2024. Dicapai pada 3 Julai 2025. Cite uses generic title (bantuan)
- ^ "FEI Vaulting Rules". FEI Homepage (dalam bahasa Inggeris). 11 Disember 2012. Dicapai pada 10 Februari 2024.
- ^ "FEI Vaulting Rules 2025, Chapter II – THE COMPETITION, Article 713 DRESS CODE" (PDF). Fédération Équestre Internationale (dalam bahasa Inggeris). 1 Januari 2025. Dicapai pada 4 Julai 2025.
- ^ "Vaulting". Ivey Ranch Park Association | 501(c)(3) Non-Profit Organization in Oceanside California (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 3 Februari 2024.