Long Yunus | |||||
---|---|---|---|---|---|
Al-Sultan dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Kelantan | |||||
Raja Kelantan | |||||
Pemerintahan | 1763 - 1798 | ||||
Kemahkotaan | April 1763 | ||||
Didahului oleh | Long Sulaiman bin Long Bahar | ||||
Diikuti oleh | Sultan (Tengku) Muhammad (dinasti Terengganu keturunan Nabi Muhammad S.A.W.) Sultan Muhammad I (dinasti Po Rome) | ||||
Keputeraan | - - - | ||||
Kemangkatan | - - | ||||
Pemakaman | - - | ||||
Anakanda | 1. Long Pandak (Raja Muda Kelantan)
2.Long Muda 3.Long Yusof 4.Long Ismail (Raja Muda Kelantan) 5.Long Jenal (Raja Bendahara Kelantan) 6.Long Muhammad (Sultan Muhammad I) 7.Long Tan (Raja Temenggong Aria Pahlawan) 8. Che’ Ku Penambang 9. Che’ Ku Tuan Nawi (Che’ Ku Wan Teh) 10. Che’ Ku Telur 11. Che’ Ku Tuan Naman 12. Che’ Ku Che Wok | ||||
| |||||
Kerabat | Po Rome | ||||
Wangsa | Po Rome | ||||
Ayahanda | Long Sulaiman bin Long Bahar | ||||
Agama | Islam |
Long Yunus bin Long Sulaiman merupakan Sultan Kelantan dan leluhur terus bagi Sultan Muhammad V daripada dinasti Po Rome. Baginda dan bapa sepupu iaitu Long Gaffar merupakan keturunan terus Wan Daim yang merupakan cucu kepada Raja Champa yang Agung, Po Rome.
Baginda dikatakan mula menaiki takhta pada tahun 1763 dan memerintah sehingga tahun 1798[1].
Pada zaman pemerintahan Long Yunus, baginda merupakan Raja Kelantan yang membahagikan Kelantan kepada dua iaitu Kelantan Barat dan Kelantan Timur.
Long Yunus turut serta dalam rombongan bapa sepupu baginda iaitu Long Gaffar putera kepada Long Senik Geting (Raja Reman dan Penghulu Adas) ke Terengganu. Long Senik Geting ini adalah sepupu kepada Long Sulaiman (bapa Long Yunus iaitu Sultan Kelantan terdahulu) dan anak saudara kepada Long Bahar (nenda Long Yunus juga Sultan Kelantan terdahulu).
Semasa di Terengganu Long Yunus telah dikahwinkan dengan Tuan Chik Jumat, Chik Puan Balai Dua, anak perempuan Engku Tanang Wangsa, Yang di-Pertuan Tua Terengganu.
Engku Tanang Wangsa adalah pemangku raja Terengganu, kerana adiknya yang bongsu iaitu Sultan Mansur yang juga Yang di-Pertuan Kecil Terengganu masih kanak-kanak.
Dengan bantuan mertuanya, Long Yunus berjaya meredakan Kelantan yang berpecah akibat pemberontakan daripada penyokong-penyokong dinasti Jembal dan ditabal sebagai Duli Yang Teramat Mulia Yang di-Pertuan Muda Kelantan oleh Sultan Terengganu.
Sebagai mengenang jasa-jasa yang membantunya dalam peperangan itu, maka Long Yunus telah melantik bapa sepupu baginda iaitu Long Gaffar ibni Raja Long Nik menjadi Perdana Menteri dengan diberi gelaran Engku Sri Maharaja Perdana Menteri memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir Tumbuh.
Sepupu sebapa Long Yunus, Mandur Mis (Tuan Khomis) dilantik menjadi Mendahari Negeri bergelar Engku Mendahari Seri Maharaja Wangsa memerintah Lundang, Penghulu Adas memerintah disebelah hulu Sungai Nilam Puri (Kadok) dengan diberi gelaran Penghulu Menteri Seri Bija D'Raja.
Bapa Long Yunus iaitu Long Sulaiman adalah zuriat Long Bahar dengan perempuan Patani bernama Ratu Mas Kelantan, manakala Mandur Mis merupakan cucu Long Bahar melalui perkahwinan dengan isteri kedua iaitu Raja Pah Binti Sultan Umar daripada dinasti Jembal yang telah ditaruhkan oleh dinasti Po Rome. Raja Pah ialah sepupu Sultan-sultan Kelantan terdahulu iaitu Ratu Saadong dan Raja Abdul Rahim, puteri bongsu kepada pewaris Raja Abdul Rahim iaitu Sultan Umar bin Raja Sakti I, dan adinda kesayangan Sultan Kelantan seterusnya iaitu Raja Kecil Sulung.[2]
Turut serta dalam penganugerahan tertinggi ini ialah seorang lagi tokoh bernama Raja Langsuring memerintah sebelah Hulu Pulau, Tanah Merah dengan gelar Engku Pahlawan Seri Maharaja Dalam.
Tidak lama selepas itu, Long Yunus membahagikan Kelantan kepada dua bahagian iaitu Kelantan Barat dan Kelantan Timur. Baginda dan keturunannya memerintah Kelantan Barat manakala bapa sepupu baginda iaitu Long Gaffar dan keturunannya diberikan kuasa memerintah Kelantan Timur yang merangkumi kawasan-kawasan yang secara tradisi merupakan tanah tumpah dinasti terdahulu iaitu dinasti Jembal seperti Kota Jembal, Kota Mahligai, Bukit Marak, Peringat dan Pauh Lima. Ini merupakan percaturan politik Long Yunus bagi melemahkan dinasti Jembal di mana cabang kadet dinasti Po Rome melalui bapa sepupu baginda iaitu Long Gaffar menguasai keturunan Jembal secara terus.
Long Yunus mempunyai 7 orang putera dan 5 puteri iaitu Long Muhammad (Sultan Muhammad I) yang mandul, Long Tan (Tengku Temenggong Aria Pahlawan), Long Jenal, Long Ismail, Long Muda, Long Yusof, Long Pandak, Che’ Ku Penambang, Che’ Ku Tuan Nawi (Che’ Ku Wan Teh), Che’ Ku Telur, Che’ Ku Tuan Naman dan Che’ Ku Che’ Wok.
Apabila baginda mangkat, menantunya Tengku Muhammad ditabal menaiki takhta kelantan oleh Sultan Mansur Terengganu dengan gelaran Yang Di-Pertuan Muda Kelantan pada tahun 1795.
Ini menyebabkan rasa tidak puas hati oleh putera-putera Long Yunus yang akhirnya mencetuskan perang saudara dan Tengku Muhammad satu-satunya Sultan Kelantan daripada dinasti Terengganu iniberjaya digulingkan oleh Long Muhammad pada tahun 1800 dan Dinasti Po Rome kembali memerintah Kelantan.
Lihat juga
Nota kaki
- ^ A Rentse, ms 53
- ^ "Long Sulaiman bin Long Bahar 1733-1756" (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-07-27.
Penyandang Terdahulu | Sultan Kelantan 1763 – 1798 |
Penyandang Kemudian |
Long Sulaiman bin Long Bahar | Tengku Muhammad |