| Maharaja Gaozong 唐高宗 | |||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Maharaja Dinasti Tang | |||||||||||||
| Pemerintahan | 15 Julai 649 – 27 Disember 683 | ||||||||||||
| Enthronement | 15 Julai 649 | ||||||||||||
| Didahului oleh | Maharaja Taizong | ||||||||||||
| Diikuti oleh | Maharaja Zhongzong | ||||||||||||
| Pemangku raja | Maharani Wu | ||||||||||||
| Putera Mahkota Dinasti Tang | |||||||||||||
| Pemerintahan | 30 April 643 – 15 Julai 649 | ||||||||||||
| Didahului oleh | Li Chengqian | ||||||||||||
| Diikuti oleh | Li Zhong | ||||||||||||
| Putera Jin | |||||||||||||
| Pemerintahan | 631 – 30 April 643 | ||||||||||||
| Keputeraan | 21 Julai 628[1] Istana Lizheng, Chang'an, Tang China | ||||||||||||
| Kemangkatan | 27 Disember 683 (umur 55)[2] Istana Zhenguan, Luoyang, Tang China | ||||||||||||
| Pemakaman | Makam Qian | ||||||||||||
| Pasangan |
| ||||||||||||
| Anakanda Butiran | |||||||||||||
| |||||||||||||
| Kerabat | Li | ||||||||||||
| Wangsa | Tang | ||||||||||||
| Ayahanda | Maharaja Taizong dari Tang | ||||||||||||
| Bonda | Maharani Wende | ||||||||||||
| Tang Gaozong | |||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Bahasa Cina | 唐高宗 | ||||||||||
| Maksud harfiah | "Leluhur Agung Tang" | ||||||||||
| |||||||||||
| Li Zhi | |||||||||||
| Bahasa Cina | 李治 | ||||||||||
| Maksud harfiah | (nama peribadi) | ||||||||||
| |||||||||||
Maharaja Gaozong (21 Julai 628[1] – 27 Disember 683[2]), nama peribadi Li Zhi, merupakan maharaja ketiga Dinasti Tang di China, memerintah dari 649 hingga 683.[5] Selepas Januari 665, beliau menyerahkan kuasa pemerintahan empayar kepada isteri keduanya, Maharani Wu (Wu Zetian), dan titahnya dilaksanakan dengan lebih berwibawa berbanding titah Maharaja Gaozong sendiri. Maharaja Gaozong ialah putera bongsu Maharaja Taizong dan Maharani Zhangsun; abang-abangnya ialah Li Chengqian dan Li Tai.
Pemerintahan Maharaja Gaozong menyaksikan dominasi Maharani Wu, yang menjadi kuasa sebenar di sebalik pemerintahan Tang.[6] Permaisuri Wu membantu beliau pada tahun-tahun akhir pemerintahannya selepas beberapa siri strok menyebabkan baginda tidak berupaya.[7][8] Mulai Januari 665, Maharaja Gaozong secara efektif menyerahkan semua urusan negara kepada Maharani Wu; selepas itu, baginda bertindak sebagai kuasa di sebalik takhta, “menggantung tirai dan mendengar politik” (垂簾聼政; chuílián tīngzhèng). Penyakit Gaozong, serta kasih sayang dan kepercayaannya terhadap Wu, membolehkan permaisuri itu memegang kuasa besar dalam hal ehwal pentadbiran negara sehingga akhir pemerintahannya.
Berdasarkan catatan sejarah rasmi daripada zaman lewat Dinasti Tang sehingga sejarawan moden, wujud perdebatan sama ada Wu menggunakan pengaruh yang keterlaluan ke atas Gaozong atau sama ada mereka merupakan peranan setara dalam pemerintahan. Maharani Wu sebahagiannya menguasai kuasa sejak November 660 dan kemudian, berkuasa sepenuhnya dari Januari 665 hingga Disember 683. Kewujudan pembahagian kuasa yang hampir setara antara Gaozong dan Wu menyebabkan mereka digelar “dua orang suci” (二聖; Èr Shèng, secara harfiahnya "dua maharaja") di dalam dan di luar istana.[9] Selepas Maharaja Gaozong mangkat pada Disember 683, kuasa jatuh sepenuhnya ke tangan Maharani Wu sebagai Permaisuri Jemaah Pemangku Raja, “memerintah istana dan mengeluarkan titah” (臨朝稱制; lín cháo chēngzhì); beliau kemudiannya menjadi satu-satunya maharani yang memerintah sendiri dalam sejarah China. Selepas kemangkatannya, Gaozong dikebumikan di Makam Qian bersama Wu Zetian.[10]
Pada bahagian awal pemerintahannya, perluasan wilayah Tang yang bermula pada zaman ayahandanya, Maharaja Taizong telah diteruskan, termasuk penaklukan Baekje, Goguryeo dan Kekhanan Turk Barat. Namun begitu, sepanjang tahun 670-an, banyak daripada wilayah yang diperoleh itu hilang kepada Empayar Tibet, Silla, Khitan dan Balhae. Selain itu, wilayah yang sebelumnya ditakluk dan pernah menjadi milik Göktürk serta Kekhanan Turk Barat turut berdepan pemberontakan berulang.
Kehidupan awal
Li Zhi dilahirkan pada tahun 628. Beliau merupakan anak kesembilan bapanya, Maharaja Taizong, dan anak ketiga ibunya, isteri Maharaja Taizong, Maharani Zhangsun.[11] Pada tahun 631, beliau dilantik sebagai Putera Jin. Pada tahun 633, beliau dilantik sebagai komandan Wilayah Bing (并州, kira-kira bersamaan Taiyuan moden, Shanxi), namun tetap berada di ibu kota Chang'an dan tidak melapor diri ke Wilayah Bing. Apabila Permaisuri Zhangsun mangkat pada tahun 636, Maharaja Taizong sangat tersentuh oleh kesedihan yang ditunjukkan oleh Li Zhi, dan sejak itu, baginda lebih mengutamakannya. Pada suatu ketika, semasa beliau bergelar Putera Jin, atas cadangan ibu saudara datuknya, iaitu Puteri Tong'an, beliau berkahwin dengan anak saudara suami kepada Puteri Tong'an, Wang Yu (王裕), sebagai isterinya dan puteri (puteri raja).
Sementara itu, dua orang abang Li Zhi daripada Permaisuri Zhangsun iaitu Li Chengqian, Putera Mahkota dan Li Tai, Putera Wei terlibat dalam persaingan sengit, kerana Li Tai lebih disukai Maharaja Taizong atas bakatnya dan berusaha menggantikan Li Chengqian. Li Chengqian yang berada dalam ketakutan, berkomplot dengan jeneral Hou Junji, bapa saudaranya Li Yuanchang (李元昌), Putera Han, ketua pengawal istana Li Anyan (李安儼), serta abang iparnya Zhao Jie (趙節, yang juga sepupunya) dan Du He (杜荷) untuk menggulingkan Maharaja Taizong. Komplot itu terbongkar pada tahun 643, dan Maharaja Taizong melucutkan kedudukan Li Chengqian. Baginda pada awalnya berhasrat menamakan Li Tai sebagai putera mahkota yang baharu, tetapi kemudian percaya bahawa tipu daya Li Tai merupakan punca kejatuhan Li Chengqian. Canselor berpengaruh Zhangsun Wuji, yang merupakan abang kepada Permaisuri Zhangsun, mencadangkan agar Li Zhi dilantik sebagai putera mahkota, sesuatu yang merisaukan Li Tai.
Li Tai cuba menakut-nakutkan Li Zhi, yang bersahabat dengan Li Yuanchang, dengan menunjukkan bahawa Li Yuanchang terlibat dalam komplot itu dan Li Zhi sendiri seharusnya bimbang. Apabila Maharaja Taizong menyedari Li Zhi berasa gusar dan dimaklumkan tentang ugutan Li Tai, baginda membuat keputusan muktamad. Baginda membuang negeri Li Tai, dan pada 30 April 643,[12] melantik Li Zhi sebagai Putera Mahkota yang baharu. Baginda melantik Zhangsun dan dua lagi canselor kanan, Fang Xuanling dan Xiao Yu sebagai penasihat utama Li Zhi, serta melantik seorang lagi canselor, Li Shiji sebagai ketua isi rumah Li Zhi. Atas nasihat seorang pegawai penting, Liu Ji yang menegaskan bahawa Putera Mahkota perlu mempunyai sekumpulan sarjana terpelajar yang rapat dengannya, Maharaja Taizong melantik Liu, serta Cen Wenben, Chu Suiliang dan Ma Zhou untuk berkhidmat sebagai sahabat dan penasihat Li Zhi.
Putera Mahkota
Pada akhir tahun 643, Maharaja Taizong mengeluarkan titah dengan memilih wanita-wanita jelita daripada keluarga baik-baik untuk dijadikan gundik Li Zhi. Namun begitu, selepas Li Zhi menolak layanan sedemikian, Maharaja Taizong membatalkan titah itu. Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh beliau sebagai Putera Mahkota, beliau dikatakan sangat menyukai gundiknya, Permaisuri Xiao yang Suci, dan mempunyai dua orang puteri (kemudian Puteri Yiyang dan Puteri Xuancheng) serta seorang putera (Li Sujie) bersama-sama. Perkara ini menjadi sesuatu yang amat mengguris hati isterinya, Puteri Mahkota Wang, yang tidak mempunyai anak dan cemburu terhadap Permaisuri Xiao. Tiga gundik lain pula melahirkan anak-anak lelakinya yang lain iaitu Li Zhong, Li Xiao (李孝), dan Li Shangjin (李上金).
Pada masa yang sama, Maharaja Taizong semakin bimbang bahawa Li Zhi, yang dianggap baik hati tetapi lemah perwatakan tidak cukup kuat untuk menjadi maharaja. Baginda secara rahsia berbincang dengan Zhangsun Wuji tentang kemungkinan melantik seorang lagi puteranya, Li Ke, Putera Wu yang merupakan anak kepada Permaisuri Yang (anak perempuan Maharaja Yang dari Sui) sebagai Putera Mahkota.[13] Zhangsun berulang kali menentang idea itu, dan Maharaja Taizong akhirnya tidak melaksanakannya.
Pada tahun 645, ketika Maharaja Taizong melancarkan kempen ketenteraan ke atas Goguryeo, baginda membawa Li Zhi bersamanya ke Wilayah Ding (定州, kira-kira Baoding moden, Hebei), sebelum meninggalkan Li Zhi di situ untuk menguruskan logistik, sementara baginda bergerak ke barisan hadapan. Baginda turut meninggalkan para pegawai kanan, Gao Shilian, Liu Ji, Ma Zhou, Zhang Xingcheng dan Gao Jifu untuk membantu Li Zhi. Selepas kempen itu gagal pada akhir tahun tersebut, ketika Maharaja Taizong memimpin tentera pulang, Li Zhi pergi bertemu baginda di Genting Linyu (臨渝關, kini Genting Shanhai). Maharaja Taizong mengalami kecederaan semasa kempen, dan dikatakan bahawa apabila keadaan baginda bertambah buruk, Li Zhi telah menghisap nanah daripada luka baginda sehingga Maharaja Taizong pulih sedikit.
Pada tahun 646, ketika Maharaja Taizong masih dalam proses pemulihan, baginda memindahkan sebahagian kuasa diraja kepada Li Zhi. Li Zhi tinggal di istana dan menjaga baginda semasa sakit. Pada tahun itu, apabila Maharaja Taizong dijadualkan melawat Wilayah Ling (靈州, kira-kira Yinchuan moden, Ningxia) untuk bertemu beberapa ketua puak yang dahulunya merupakan naungan Xueyantuo yang telah runtuh akibat serangan Tang dan Huige pada awal tahun tersebut. Baginda pada asalnya mahu membawa Li Zhi bersama. Namun begitu, atas cadangan Zhangsun, baginda meninggalkan Li Zhi di Chang’an sebagai pemangku bagi membolehkannya lebih mengenali urusan penting negara semasa ketiadaan baginda. Selepas Maharaja Taizong kembali dari Wilayah Ling, baginda mengekalkan kuasa atas upacara diraja, tetamu negara, hal ehwal ketenteraan, pelantikan pegawai berpangkat lima ke atas, serta hukuman mati, dan menyerahkan semua kuasa lain kepada Li Zhi.
Pada tahun 647, seorang rakyat biasa bernama Duan Zhichong (段志沖) mengemukakan petisyen kepada Maharaja Taizong, memohon agar takhta diserahkan kepada Li Zhi. Li Zhi bimbang bahawa Maharaja Taizong mungkin tersinggung, merasa gusar dan sedih, dan Zhangsun mencadangkan agar Duan dihukum mati. Maharaja Taizong bagaimanapun tidak tersinggung dan tidak menghukum Duan mahupun Li Zhi. Sementara itu, Li Zhi mula membina sebuah kuil Buddha bernama Kuil Daci'en (大慈恩寺) untuk memperingati ibunya, Permaisuri Zhangsun, dan kuil itu disiapkan pada tahun 648.
Pada tahun 649, ketika berada di istana musim panas Cuiwei (翠微宮, di Banjaran Qin), Maharaja Taizong berada dalam keadaan sakit tenat. Walaupun kagum dengan kebolehan Li Shiji, baginda bimbang bahawa Li Shiji terlalu cerdik dan mungkin tidak akan taat kepada Li Zhi. Baginda berkata kepada Li Zhi:
"Li Shiji penuh dengan kebolehan dan kebijaksanaan, tetapi engkau tidak pernah membantunya; mungkin sukar baginya untuk setia kepadamu. Aku akan membuangnya sekarang. Jika dia pergi dengan segera, lantik dia sebagai Puye (僕射, ketua pejabat pemeriksaan penting kerajaan) dan percayakan dia selepas aku mangkat. Jika dia ragu-ragu, hukum dia mati."
Baginda kemudian menurunkan pangkat Li Shiji ke jawatan komandan Wilayah Die (疊州, kira-kira Wilayah Autonomi Tibet Gannan moden, Gansu). Li Shiji menyedari apa yang sedang berlaku, berangkat tanpa ragu-ragu selepas menerima arahan itu.
Apabila penyakit Maharaja Taizong semakin serius, Li Zhi sentiasa menjaganya dan menangis tanpa henti, kerap berlapar, yang sangat menyentuh hati Maharaja Taizong. Baginda mempercayakan Li Zhi kepada Zhangsun dan Chu Suiliang, sebelum akhirnya mangkat pada 10 Julai 649.[14] Pada awalnya, Li Zhi terlalu berdukacita sehingga tidak mampu melakukan apa-apa selain memeluk leher Zhangsun dan Chu. Zhangsun sambil rasa bersedih, menasihati Li Zhi bahawa beliau kini bertanggungjawab terhadap empayar dan mesti bertindak sewajarnya. Zhangsun juga mengarahkan agar kemangkatan Maharaja Taizong tidak diumumkan buat sementara waktu, dan keesokan harinya, mengiringi Li Zhi kembali ke Chang’an. Zhangsun mengeluarkan beberapa titah atas nama Maharaja Taizong termasuk melantik Yu Zhining, Zhang, dan Gao Jifu sebagai canselor. Pada dua hari kemudian, kemangkatan Maharaja Taizong diumumkan secara rasmi. Pada 15 Julai,[15] Li Zhi menaiki takhta sebagai Maharaja Gaozong.
Senarai canselor
- Zhangsun Wuji (649–659)
- Chu Suiliang (649–650, 652–655)
- Xu Jingzong (649–670)
- Gao Jifu (649–653)
- Zhang Xingcheng (649–653)
- Yu Zhining (649–659)
- Li Ji (649–669)
- Yuwen Jie (651–653)
- Liu Shi (651–654)
- Han Yuan (652–657)
- Lai Ji (652–657)
- Cui Dunli (653–656)
- Li Yifu (655–658, 662–663)
- Du Zhenglun (656–658)
- Xin Maojiang (658–659)
- Xu Yushi (659–662)
- Ren Yaxiang (659–662)
- Lu Chengqing (659–660)
- Shangguan Yi (662–664)
- Liu Xiangdao (664)
- Dou Dexuan (664–666)
- Le Yanwei (664–665)
- Sun Chuyue (664–665)
- Jiang Ke (665–672)
- Lu Dunxin (665–666)
- Liu Rengui (665–670, 672–683)
- Yang Hongwu (667–668)
- Dai Zhide (667–679)
- Li Anqi (667)
- Zhao Renben (667–670)
- Zhang Wenguan (667–678)
- Yan Liben (668–673)
- Li Jingxuan (669–670, 670–680)
- Hao Chujun (669–681)
- Lai Heng (676–678)
- Xue Yuanchao (676–683)
- Li Yiyan (676–683)
- Gao Zhizhou (676–679)
- Zhang Da'an (677–680)
- Wang Dezhen (680)
- Pei Yan (680–683)
- Cui Zhiwen (680–683)
- Guo Daiju (682–683)
- Cen Changqian (682–683)
- Guo Zhengyi (682–683)
- Wei Xuantong (682–683)
- Liu Jingxian (682–683)
Keluarga
- Maharani, daripada keluarga Wang Taiyuan (皇后 太原王氏; 628–655)
- Maharani Zetian, (則天皇后 武氏; 624–705), nama peribadi Zhao (曌)
- Li Hong, Yizong (義宗 李弘; 652–675),
- Puteri Si dari Anding (安定思公主; 654),
- Li Xián, Putera Mahkota Zhanghuai (章怀皇太子 李贤; 章懷皇太子 李賢; 655–684),
- Li Xiǎn, Zhongzong (中宗 李显; 中宗 李顯; 656–710),
- Li Dan, Ruizong (睿宗 李旦; 662–716),
- Puteri Taiping (太平公主; 665–713), nama peribadi Lingyue (令月),
- Berkahwin Xue Shao dari Hedong, Viscount Pingyang (河东 薛绍; 河東 薛紹; m. 688) pada 681, dan ada anak (dua putera, dua puteri)
- Berkahwin Wu Youji, Putera Ding (m. 712) pada 690, dan ada anak (dua putera, seorang puteri)
- Permaisuri Pure, (兰陵箫氏; 淑妃 蘭陵蕭氏; m. 27 November 655)
- Puteri Besar Jincheng (金城長公主; d. 691), nama peribadi Xiayu (下玉),
- Berkahwin Quan Yi (权毅; 權毅; 647–691) pada 671
- Li Sujie, Putera Xu (许王 李素节; 許王 李素節; 648–690),
- Puteri Gao'an (高安公主; 649–714),
- Berkahwin Wang Xu (王勖; 王勗; m. 691) pada 671, dan ada anak (tiga putera)
- Puteri Besar Jincheng (金城長公主; d. 691), nama peribadi Xiayu (下玉),
- Dang perwara, daripada keluarga Lia (刘氏; 宮人 劉氏; d. 665)
- Li Zhong, Putera Yan (燕王 李忠; 643–665),
- Dang perwara istana, daripada keluarga Zheng (郑氏; 宮人 鄭氏)
- Li Xiao, Putera Dao dari Yuan (原悼王 李孝; d. 664),
- Dang perwara, daripada keluarga Yang (宮人 杨氏; 宮人 楊氏; d. 667)
- Li Shangjin, Putera Ze (泽王 李上金; 澤王 李上金; 645–690),
- Kekasih
- Wu Shun, dari Han (韩国夫人; 韓國夫人),
- Wanita Helan, dari Wei (魏国夫人; 魏國夫人),
Catatan
- ^ a b Menurut biografi Tang Taizong dalam Kitab Lama Tang, Li Zhi dilahirkan pada hari gengyin dalam bulan keenam tahun kedua era Zhen’guan pada zaman pemerintahan Taizong. Tarikh ini bersamaan dengan 21 Julai 628 dalam kalendar Gregory. [(貞觀二年)六月庚寅,皇子治生] Old Book of Tang, vol. 2
- ^ a b Jilid 203 Zizhi Tongjian mencatatkan bahawa Gaozong mangkat pada malam hari dingsi dalam bulan kedua belas tahun pertama era Hongdao pada zaman pemerintahannya. Tarikh ini bersamaan dengan 27 Disember 683 dalam kalendar Gregory. [(弘道元年)十二月,丁巳,...。是夜,....,上崩於貞觀殿。] Zizhi Tongjian, vol.203.
- ^ Given in 684.
- ^ Given in 754.
- ^ "Gaozong | Reign, China, Buddhism | Britannica". www.britannica.com (dalam bahasa Inggeris). 2025-01-01. Dicapai pada 2025-01-21.
- ^ Rothschild, N. Harry (2008). Wu Zhao: China's Only Woman Emperor (1st ed.). Pearson Education.
- ^ Rothschild, N. H. (2005). Wu Zhao's remarkable aviary. Southeast Review of Asian Studies, 27, 73.
- ^ Rothschild, N. Harry (2008). Wu Zhao: China's Only Woman Emperor (1st ed.). Pearson Education. p. 203.
- ^ Rothschild, N. Harry (2008). Wu Zhao: China's Only Woman Emperor (1st ed.). Pearson Education. pp. 50.
- ^ Rothschild, N. Harry (2008). Wu Zhao: China's Only Woman Emperor (1st ed.). Pearson Education. pp. XV.
- ^ Rothschild, N. Harry (2008). Wu Zhao: China's Only Woman Emperor (1st ed.). Pearson Education. pp. 27.
- ^ Menurut biografi Taizong dalam Kitab Tang Lama, Li Zhi dilantik sebagai putera mahkota pada hari bingxu bulan ke-4 tahun ke-17 era Zhenguan pemerintahan Taizong. Tarikh ini bersamaan dengan 30 April 643 dalam kalendar Gregorian. [(貞觀十七年四月)丙戌,立晉王治為皇太子,...] Old Book of Tang, vol. 3
- ^ (帝初以晉王為太子,又欲立恪,長孫無忌固爭,帝曰:“公豈以非己甥邪?且兒英果類我,若保護舅氏,未可知。”無忌曰:“晉王仁厚,守文之良主,且舉棋不定則敗,況儲位乎?”帝乃止。) New Book of Tang, vol.80
- ^ Menurut biografi Taizong dan Gaozong dalam Kitab Tang Lama, Taizong mangkat pada hari jisi bulan ke-5 tahun ke-23 era Zhenguan pemerintahan baginda. Tarikh ini bersamaan dengan 10 Julai 649 dalam kalendar Gregorian. . [(貞觀)二十三年五月己巳,太宗崩。] Old Book of Tang, vol.4.
- ^ Menurut biografi Gaozong dalam Kitab Tang Lama, beliau menaiki takhta pada hari jiaxu bulan ke-6 tahun ke-23 era Zhenguan pemerintahan Taizong. Tarikh ini bersamaan dengan 15 Julai 649 dalam kalendar Gregorian. [(貞觀二十三年)六月甲戌朔,皇太子即皇帝位。] Old Book of Tang, vol.4.,
Sumber
- Kitab Tang Lama, jilid. 4, 5.
- Kitab Tang Baharu, jilid. 3.
- Zizhi Tongjian (dalam bahasa Chinese). 195, 199, 200, 201, 202, 203, 204, 205, 206, 207, 208. 1084.CS1 maint: unrecognized language (link)
Maharaja Gaozong dari Tang Tarikh keputeraan: 21 Julai 628 Tarikh kemangkatan: 27 Disember 683
| ||
| Gelaran pemerintah | ||
|---|---|---|
| Didahului oleh Maharaja Taizong dari Tang |
Maharaja China 649–683 bersama Zhangsun Wuji (649–659) Chu Suiliang (649–658) Maharani Wu (660–683) |
Diikuti oleh: Maharaja Zhongzong dari Tang |








