![]() | Rencana ini mengandungi senarai rujukan, bacaan berkaitan atau pautan luar, tetapi sumbernya masih tidak jelas kerana kekurangan petikan dalam baris. (Disember 2022) |
Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. MARA dibentuk pada 1 Mac 1966 di bawah Akta Parlimen sebagai sebuah badan berkanun dan autonomi.


Kronologi
- 1953 - Rural Industrial Development Authority (RIDA) ditubuhkan oleh penjajah British setelah mendapat kritikan pemimpin Melayu seperti Sultan Idris dari Perak. RIDA bermaksud Lembaga Kemajuan Kampung Dan Perusahaan.
- 1965 - Kongres Ekonomi Bumiputera yang pertama telah diadakan di Kuala Lumpur mendesak agar ekonomi Melayu diperkukuhkan. RIDA didapati tidak berkemampuan dan tidak berkesan.
- 1965 - RIDA disusun semula dan ditukar nama kepada MARA.
Peranan MARA dalam Pendidikan Malaysia
Majlis Amanah Rakyat (MARA) memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan di Malaysia, khususnya dalam meningkatkan pencapaian pendidikan dalam kalangan pelajar Bumiputera. Selain menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar yang layak, MARA juga telah menubuhkan pelbagai institusi pendidikan di pelbagai peringkat bagi memenuhi keperluan akademik dan kemahiran teknikal negara.
Antara institusi pendidikan yang ditubuhkan atau diselia oleh MARA adalah seperti berikut:
Pendidikan Menengah
- Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) – Ditubuhkan bagi menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelajar Bumiputera berumur antara 13 hingga 17 tahun yang cemerlang dalam peperiksaan awam. MRSM terkenal dengan kurikulum berasaskan sains dan teknologi serta penekanan kepada pembangunan sahsiah pelajar.
Pra-Universiti
- Kolej MARA – Menyediakan program pra-universiti seperti International Baccalaureate (IB), A-Level, Program Matrikulasi KPM, dan program asasi universiti kepada pelajar Bumiputera.
Pendidikan Tinggi
- Kolej Profesional MARA (KPM) – Menawarkan program diploma dan High National Diploma (HND) dalam pelbagai bidang profesional.
- Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) – Sebuah institusi pendidikan tinggi swasta yang menyediakan program diploma dan ijazah dalam bidang seperti perniagaan, teknologi maklumat dan kejuruteraan.
- Kolej Universiti Poly-Tech MARA (KUPTM) – Ditubuhkan pada tahun 1987 dan dinaik taraf kepada status universiti pada 31 Mac 2021. Kini dikenali sebagai:
- Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) – Menawarkan program pengajian di peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda, pasca siswazah, dan profesional dalam bidang seperti perakaunan, perniagaan, teknologi maklumat, kejuruteraan dan sains sosial. Universiti ini turut aktif dalam penyelidikan dan inovasi di peringkat nasional dan antarabangsa.
- Universiti Kuala Lumpur (UniKL) – Sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang menyediakan pendidikan teknikal dan vokasional berkualiti tinggi.
- Universiti Teknologi MARA (UiTM) – Dahulunya dikenali sebagai Institut Teknologi MARA (ITM), kini merupakan universiti awam yang diuruskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, dan bukan lagi di bawah pentadbiran MARA.
Pendidikan Kemahiran dan Teknikal
- Institut Kemahiran MARA (IKM) – Menawarkan latihan kemahiran teknikal dalam pelbagai bidang industri kepada pelajar lepasan sekolah.
- Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) – Menyediakan latihan kemahiran lanjutan di peringkat diploma tinggi dan setaraf.
- GiatMARA – Menawarkan latihan kemahiran jangka pendek secara percuma kepada golongan belia dan masyarakat umum, terutamanya di kawasan luar bandar.
- MARA-Japan Industrial Institute (MJII) – Menawarkan pendidikan teknikal dengan penekanan kepada teknologi dan budaya kerja Jepun.
- German-Malaysian Institute (GMI) – Sebuah institut latihan teknikal hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Jerman, di bawah pentadbiran MARA.
Lokasi Berkaitan
- Pulau MARA, Tasik Banding, Belum, Perak – Sebuah lokasi yang dahulunya ditadbir oleh Maktab Rendah Sains MARA Kulim, dan pernah digunakan untuk aktiviti pelajar.
Pengerusi MARA
Bil | Nama | Tempoh Perkhidmatan |
---|---|---|
1 | Dato' Abdul Rahman bin Musa | 01.12.1965 – 07.06.1967 |
2 | Tan Sri Taib Andak | 08.06.1967 – 31.08.1967 |
3 | Y.B Tun Dato' Seri Abdul Ghafar bin Baba | 01.09.1967 – 31.10.1971 |
4 | Y.B Dato' Mustapha bin Hj. Abd. Jabar | 01.11.1971 – 31.01.1973 |
5 | Encik Abdul Aziz bin Hj. Mohd. Ali | 01.02.1973 – 17.09.1973 |
6 | Encik Ahmad bin Hj. Abdul Rahim | 18.09.1973 – 30.09.1974 |
7 | Encik Sulaiman bin Osman | 01.10.1974 – 31.05.1975 |
8 | Y.B Tan Sri Abdul Aziz Yeop | 01.07.1975 – 23.08.1978 |
9 | Dr. Nawawi bin Mat Awin | 01.11.1978 – 15.10.1982 |
10 | Y.B Tuan Hj. Abdul Rahim bin Abu Bakar | 16.10.1982 – 16.07.1984 |
11 | Tuan Haji Mohd. Ridzuan bin Abd. Halim | 17.07.1984 – 16.08.1984 |
12 | Y.B. Tan Sri Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Mohd Ghazali | 17.08.1984 – 31.08.1986 |
13 | Y.B. Tan Sri Dato' Hj. Khalid bin Yunus | 01.09.1986 – 31.10.1987 |
14 | Y.B. Dato' Hj. Ismail bin Said | 01.11.1987 – 15.01.1991 |
15 | Y.B. Datuk Mohd. Tamrin bin Abdul Ghafar | 15.01.1991 – 12.01.1993 |
16 | Y.B. Datuk Seri Mohamed Nazri bin Abd. Aziz | 17.03.1993 – 23.07.1995 |
17 | Y.B. Dato' Hj. Othman bin Abdul | 24.07.1995 – 31.03.1998 |
18 | Y.B. Ruhanie b. Ahmad | 01.04.1998 – 02.04.2000 |
19 | Y.B. Tan Sri Datuk Wira Abu Seman Yusop | 03.04.2000 – 31.03.2004 |
20 | Dato’ Zamani b. Md. Noor | 03.04.2004 – 15.07.2004 |
21 | Y.B. Brigedier Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid b. Hj. Zainal Abidin | 16.07.2004 – 13.08.2008 |
22 | Y.B. Tan Sri Dato’ Seri Idris bin Jusoh | 16.07.2008 – 09.03.2013 |
23 | Y.B. Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa | 10.03.2013 – 31.01.2017 |
24 | Y.B. Datuk Dr. Awang Adek Hussin | 01.09.2017 – 30.09.2018 |
25 | Dr. Hasnita Hashim[1] | 01.10.2018 – 30.04.2020 |
26 | Y.B Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun | 01.05.2020 – 11.03.2023 |
27 | Dato' Dr. Asyraf Wajdi Dusuki | 12.03.2023 – Kini |