Dr. Mark Joseph Carney (lahir 16 Mac 1965) ialah seorang ahli politik dan ahli ekonomi Kanada yang kini merupakan Perdana Menteri Kanada ke-24. Beliau mewakili Parti Liberal dan telah dipilih sebagai ketua parti pada Mac 2025 sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri tidak lama kemudian. Dalam pilihan raya persekutuan pada April 2025, beliau memenangi satu kerusi Parlimen bagi kawasan Nepean dan berjaya membentuk sebuah kerajaan minoriti.
Carney dilahirkan di Fort Smith, Wilayah Barat Laut dan dibesarkan di Edmonton, Alberta. Beliau memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang ekonomi dari Universiti Harvard pada tahun 1987. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford, United Kingdom dan menamatkan pengajian peringkat sarjana pada tahun 1993 serta peringkat PhD pada tahun 1995. Sebelum menceburi politik, Carney membina kerjaya dalam bidang kewangan dan perbankan. Beliau pernah berkhidmat di sebuah syarikat pelaburan, Goldman Sachs, dan kemudian dilantik sebagai timbalan gabenor Bank Canada pada tahun 2003. Setahun kemudian, beliau menjadi timbalan menteri kanan di Jabatan Kewangan Kanada. Dari tahun 2008 hingga 2013, Carney menjadi Gabenor Bank Canada dan memainkan peranan penting dalam menangani krisis kewangan global 2008. Beliau turut mengetuai Lembaga Kestabilan Kewangan Dunia dari tahun 2011 hingga 2018. Dari tahun 2013 hingga 2020, beliau menjadi Gabenor Bank England, satu-satunya warga bukan British yang pernah memegang jawatan itu. Di sana, beliau mengetuai respons terhadap isu Brexit dan permulaan pandemik COVID-19.
Selepas meninggalkan dunia perbankan pusat, Carney menyertai Brookfield Asset Management sebagai pengerusi dan ketua pelaburan berimpak. Beliau juga menjadi pengerusi Bloomberg L.P. dan telah dilantik sebagai Duta Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Tindakan Iklim dan Kewangan pada tahun 2019 oleh Setiausaha Agung António Guterres. Dalam bidang politik, Carney mula rapat dengan Parti Liberal sebagai penasihat tidak rasmi kepada Perdana Menteri Justin Trudeau semasa pandemik COVID-19 dan dilantik mengetuai sebuah pasukan khas pertumbuhan ekonomi parti pada September 2024.
Selepas Trudeau mengumumkan pengunduran, Carney mengumumkan pencalonannya sebagai ketua parti dan menang besar dalam pemilihan parti itu pada Mac 2025. Sebagai perdana menteri baharu, Carney menasihatkan pembubaran Parlimen dan memanggil pilihan raya. Beliau berjaya memimpin Parti Liberal kepada kemenangan kerajaan minoriti keempat berturut-turut dan secara rasmi menjadi seorang Ahli Parlimen buat kali pertama.