Dalam sejarah Mesir, tempoh Mesir Hulu dan Hilir (juga dikenali sebagai Dua Tanah atau Dua Negeri) merupakan peringkat terakhir Mesir prasejarah sebelum kedua-dua kerajaan bersatu. Konsep Mesir sebagai Dua Tanah merupakan contoh dualisme dalam budaya Mesir purba dan sering muncul dalam teks dan imej, termasuk dalam gelaran firaun Mesir.
Gelaran Mesir zmꜣ-tꜣwj (sebutan Egiptologi sema-tawy) biasanya diterjemahkan sebagai "Penyatu Dua Tanah"[1] dan digambarkan sebagai salur udara manusia yang terjalin dengan pokok papirus dan teratai. Salur udara melambangkan penyatuan, manakala papirus dan teratai mewakili Mesir Hilir dan Hulu.
Gelaran firaun biasanya termasuk prenomen, harfiahnya bermaksud "Daripada Rusiga dan Lebah" (nswt-bjtj, simbol Mesir Hulu dan Hilir)[2] dan "tuan Dua Tanah" (ditulis nb-tꜣwj). Ratu yang memerintah dirujuk sebagai firaun dan lelaki. Permaisuri mungkin menggunakan versi perempuan untuk gelaran kedua tadi, "wanita Dua Tanah" (nbt-tꜣwj), "puan Seluruh Dua Tanah" (hnwt-tꜣwy-tm), dan "puan Dua Tanah" (hnwt-tꜣwy).[3]
Struktur

Mesir purba terbahagi kepada dua wilayah, iaitu Mesir Hulu dan Mesir Hilir. Di utara terletak Mesir Hilir, di mana Sungai Nil mengalir dan membentuk Delta Nil. Di selatan terletak Mesir Hulu, memanjang hingga ke Aswan. Terminologi "Hulu" dan "Hilir" berasal daripada Sungai Nil yang mengalir dari tanah tinggi Afrika Timur ke utara, menuju ke Laut Mediterranean.
Dua kerajaan Mesir Hulu dan Hilir disatukan sekitar 3000 SM tetapi kedua-dua negeri mengekalkan mahkota kebesarannya sendiri: hedjet atau Mahkota Putih untuk Mesir Hulu dan desyret atau Mahkota Merah untuk Mesir Hilir. Oleh itu, firaun dikenali sebagai pemerintah Dua Tanah dan memakai pskhent, mahkota berganda, setiap bahagian mewakili kedaulatan salah satu kerajaan. Tradisi Mesir purba mengatakan bahawa Menes, yang kini dipercayai sama dengan Narmer, merupakan raja yang menyatukan Mesir Hulu dan Hilir. Pada Palet Narmer, raja itu digambarkan memakai Mahkota Merah dalam satu adegan dan Mahkota Putih dalam adegan lain, menunjukkan pemerintahannya ke atas kedua-dua Tanah.[4]
Sema Tawy dan simbolisme
Penyatuan Mesir Hulu dan Hilir disimbolkan dengan tanaman papirus dan mensiang yang diikat. Motif ikatan ini melambangkan harmoni melalui perpaduan dan juga kuasa melalui pembendungan. Dualiti memainkan peranan penting dalam ikonografi diraja dan kadangkala juga digunakan untuk menggambarkan pokok-pokok itu mengikat musuh-musuh dari negeri asing di Utara dan Selatan.[4]
Semasa dinasti pertama, gelaran-gelaran diraja dualistik muncul, seperti Raja Mesir Hulu dan Hilir (nswt bjtj) yang menggabungkan rusiga yang mewakili Mesir Hulu dan lebah yang mewakili Mesir Hilir. Gelaran dualistik lain ialah nama Dua Wanita atau nama Nebty. Dua wanita tersebut ialah Nekhbet, dewi burung hering yang dikaitkan dengan Nekhen di Mesir Hulu, dan Wadjet, dewi ular tedung yang dikaitkan dengan Buto di Mesir Hilir.[4]
Terdapat banyak gambaran penyatuan suci Dua Tanah. Tidak diketahui sama ada ini upacara yang akan dilakukan pada permulaan pemerintahan, atau sekadar gambaran simbolik. Banyak gambaran penyatuan menunjukkan dua dewa mengikat dua tanaman itu. Dewa-dewa tersebut biasanya ialah Horus dan Set, atau kadangkala Horus dan Thoth. Terdapat beberapa contoh ketapak model tongkang dari pemerintahan Amenhotep III (Hermopolis), Taharqa (Jebel Barkal), dan Atlanersa (Jebel Barkal) yang menunjukkan dua dewa sungai melakukan upacara itu. Ini sepadan dengan adegan dari Kuil di Abu Simbel dari zaman Ramesses II.[5]
Hanya segelintir adegan yang menunjukkan Raja sendiri melakukan upacara itu. Semuanya berasal dari ketapak model tongkang dan berasal dari pemerintahan Amenhotep III, Seti I dan Ramesses III. Yang dari zaman Seti I dan Remesses III mungkin salinan bagi yang pertama.[5]
-
Adegan kuil di Luxor, Thebes
-
Balang pualam menggambarkan simbol sema tawy dengan Hapy. Dari makam Tutankhamun.
-
Ramesses III di kuil Khonsu.
-
Sema tawy (tanpa dewa) di sisi takhta Khafre
Lihat juga
Rujukan
- ^ Ronald J. Leprohon, The Great Name: Ancient Egyptian Royal Titulary, Society of Biblical Lit, 2013
- ^ Abeer El-Shahawy, Farid S. Atiya, The Egyptian Museum in Cairo, American Univ in Cairo Press, 2005
- ^ Grajetzki, Ancient Egyptian Queens: A Hieroglyphic Dictionary, Golden House Publications, London, 2005, ISBN 978-0954721893
- ^ a b c Wengrow, David, The Archaeology of Early Egypt: Social transformations in North-East Africa, 10,000 to 2650 B.C., Cambridge University Press, 2006
- ^ a b Rania Y. Merzeban, "Unusual sm3 t3wy Scenes in Egyptian Temples", Journal of the American Research Center in Egypt, Vol. 44 (2008), pp. 41–71