
Sebahagian daripada siri |
Agama Mesir Purba |
---|
![]() |
Portal Mesir Purba |
Mitologi penciptaan Mesir purba merupakan kisah-kisah Mesir purba mengenai penciptaan dunia. Teks-teks Piramid, hiasan dinding makam, dan tulisan-tulisan dari Kerajaan Lama (s. 2700–2200 SM) memberikan sebahagian besar maklumat tentang mitologi penciptaan Mesir purba.[1] Mitos-mitos ini juga merupakan kompilasi keagamaan tercatat yang terawal di dunia.[2] Orang Mesir purba mempunyai banyak dewa pencipta dan legenda-legenda yang berkaitan. Oleh itu, dunia atau lebih khususnya Mesir dicipta dalam pelbagai cara menurut tempat-tempat yang berbeza di Mesir purba.[3] Beberapa versi mitos bercakap tentang meludah, yang lain onani, sebagai tindakan penciptaannya. Dewa terawal, Ra dan/atau Atum (kedua-duanya merupakan dewa pencipta/dewa matahari), muncul dari keadaan dunia yang kacau-bilau dan melahirkan Shu (udara) dan Tefnut (kelembapan), yang melalui penyatuan mereka melahirkan Geb (bumi) dan Nut (langit), yang kemudian mencipta Osiris, Isis, Set dan Nephthys. Sambungan kepada rangka ini ialah mitos Osiris yang melibatkan Osiris, pasangannya Isis, dan anak mereka Horus. Pembunuhan Osiris oleh Set, dan pergelutan kuasa yang menyusul serta dimenangi oleh Horus, memberikan naratif kuat yang menghubungkan ideologi pemerintahan Mesir purba dengan penciptaan alam semesta.
Istilah zp tpj ("kali pertama") digunakan untuk menandakan saat peralihan daripada camuk azali kepada dunia yang wujud.[4]
Unsur-unsur umum

Mitos-mitos berbeza mempunyai sejumlah unsur yang sama. Kesemuanya berpendapat bahawa dunia ini terbit daripada air camuk yang tidak bernyawa, dipanggil Nu. Kesemuanya juga ada gundukan berbentuk piramid, dipanggil benben, yang merupakan benda pertama yang muncul daripada air tersebut. Unsur-unsur ini mungkin diilhamkan oleh banjir Sungai Nil setiap tahun; air banjir yang surut meninggalkan tanah subur dan orang Mesir mungkin menyamakan ini dengan kemunculan kehidupan daripada camuk purbakala. Imej gundukan piramid berasal daripada gundukan tanah tertinggi yang muncul ketika sungai surut.[5]
Matahari juga dikaitkan rapat dengan penciptaan dan dikatakan pertama kali terbit daripada gundukan itu, sebagai dewa matahari Ra atau sebagai dewa Khepri, yang mewakili matahari yang baru terbit.[6] Terdapat banyak versi kemunculan matahari, dan ia dikatakan muncul terus daripada gundukan itu atau daripada bunga teratai yang tumbuh dari gundukan itu, dalam bentuk burung pucung, falkon, kumbang skarab, atau kanak-kanak manusia.[6][7]
Unsur umum lain dalam kosmogoni Mesir ialah figura telur alam semesta, menggantikan air atau gundukan purbakala tadi. Satu varian bagi versi telur alam semesta mengajar bahawa dewa matahari, satu kuasa purbakala, muncul daripada gundukan purbakala itu, yang berdiri dalam camuk laut purbakala.[8]
Kejadian alam
Kisah-kisah penciptaan berbeza dan masing-masing dikaitkan dengan pemujaan dewa tertentu di salah satu daripada bandar-bandar utama Mesir: Hermopolis, Heliopolis, Memphis dan Thebes.[9] Pada tahap tertentu, mitos-mitos ini mewakili teologi-teologi yang bersaingan, tetapi kesemuanya juga mewakili aspek-aspek yang berbeza proses penciptaan.[10]
Hermopolis

Mitos penciptaan yang meluas di bandar Hermopolis memberi tumpuan kepada sifat alam semesta sebelum penciptaan dunia. Sifat-sifat sejadi air purbakala diwakili oleh sekumpulan lapan dewa, dipanggil Ogdoad. Dewi Naunet dan pasangan lelakinya Nu mewakili air purbakala yang tidak bergerak itu sendiri; Huh dan pasangannya Hauhet mewakili keluasan air itu yang tidak terbatas; Kek dan Kauket mewakili kegelapan yang ada di dalamnya; dan Amun juga Amaunet mewakili sifatnya yang tersembunyi dan tidak diketahui, berbeza dengan dunia nyata yang hidup. Air purbakala itu sendiri sebahagian daripada proses penciptaan, maka dewa-dewa yang mewakilinya boleh dilihat sebagai dewa-dewa pencipta.[10] Menurut mitos, lapan dewa tadi pada asalnya dibahagikan kepada lelaki dan perempuan.[11] Mereka digambarkan secara simbolik sebagai makhluk-makhluk akuatik kerana mereka tinggal di dalam air: yang lelaki diwakili sebagai katak dan yang perempuan diwakili sebagai ular.[12] Kedua-dua kumpulan ini akhirnya bergabung, mengakibatkan pergolakan besar, yang menghasilkan sebuah gundukan berbentuk piramid. Daripadanya muncullah matahari, yang naik ke langit untuk menerangi dunia.[13]
Heliopolis
Di Heliopolis, penciptaan dianggap satu perbuatan oleh Atum, dewa yang berkait rapat dengan Ra, yang dikatakan wujud dalam air Nu sebagai makhluk berpotensi yang tidak aktif. Atum ialah dewa yang menjana kendiri, sumber semua unsur dan kuasa di dunia, dan Kosmogoni Heliopolis menerangkan proses yang mana dia "berevolusi" daripada satu makhluk kepada kepelbagaian unsur-unsur ini.[14][15] Prosesnya bermula apabila Atum muncul di atas gundukan itu dan melahirkan dewa udara Shu dan saudara perempuannya Tefnut,[16] yang kewujudannya melambangkan munculnya ruang di tengah-tengah perairan Nu.[17] Untuk menjelaskan bagaimana Atum melakukan ini, mitos menggunakan metafora onani, dengan tangan yang digunakannya dalam tindakan ini untuk mewakili aspek perempuan yang wujud dalam dirinya.[18] Dia juga dikatakan telah "bersin" dan "meludah" untuk menghasilkan Shu dan Tefnut, metafora yang timbul daripada permainan kata dengan nama mereka.[19] Seterusnya, Shu dan Tefnut bersatu untuk menghasilkan dewa bumi Geb dan dewi langit Nut, yang menentukan batasan dunia.[20] Geb dan Nut seterusnya melahirkan empat orang anak, yang mewakili kuasa-kuasa kehidupan: Osiris, dewa kesuburan dan penjanaan semula; Isis, dewi keibuan; Set, dewa camuk; dan Nephthys, dewi perlindungan. Maka mitos ini mewakili proses yang membolehkan wujudnya kehidupan. Kesembilan-sembilan dewa ini dikelompokkan sebagai Ennead, tetapi lapan dewa yang lebih rendah, dan semua benda lain di dunia, pada dasarnya dianggap sebagai lanjutan Atum.[21][22]
Memphis
Versi penciptaan Memphis berpusat pada Ptah, dewa penaung tukang-tukang. Oleh yang demikian, dia mewakili kemampuan tukang untuk membayangkan sebuah barang yang siap, dan membentuk bahan mentah untuk mencipta barang itu. Teologi Memphis menyatakan bahawa Ptah juga mencipta dunia.[23] Ini, tidak seperti kisah penciptaan Mesir lain, bukan penciptaan fizikal tetapi intelektual oleh Firman dan Minda Tuhan.[24] Idea-idea yang berkembang dalam jantung Ptah (dianggap oleh orang Mesir sebagai tempat akal manusia) diberikan bentuk apabila dia menamakannya dengan lidahnya. Dengan menyebut nama-nama ini, Ptah menghasilkan dewa-dewa dan semua benda lain.[25]
Mitos penciptaan Memphis wujud di samping versi Heliopolis, kerana pemikiran dan pertuturan berdaya cipta Ptah dipercayai menyebabkan formasi Atum dan Ennead.[26] Ptah juga dikaitkan dengan Tatjenen, dewa personifikasi gundukan piramid yang disebutkan tadi.[25]
Thebes
Teologi Thebes mendakwa bahawa Amun bukan sekadar ahli Ogdoad, malah kuasa tersembunyi di sebalik semua benda. Semua idea tentang penciptaan digabungkan ke dalam perwatakan Amun, menekankan bahawa Amun lebih hebat daripada semua dewa lain dalam sifatnya "melampaui langit dan lebih dalam daripada alam bawah tanah".[27] Satu mitos Thebes menyamakan tindakan penciptaan Amun dengan panggilan seekor angsa, yang memecah kesunyian air purbakala dan menyebabkan Ogdoad dan Ennead terbentuk.[28] Amun asing dari dunia, sifat sebenarnya tersembunyi termasuklah daripada dewa-dewa lain. Namun pada masa yang sama, kerana dia punca penciptaan yang muktamad, semua dewa, termasuk pencipta lain, hanyalah aspek Amun. Amun akhirnya menjadi dewa tertinggi dalam dewata Mesir kerana kepercayaan ini.[29]
Amun bersinonim dengan pertumbuhan Thebes sebagai ibu kota agama utama. Namun dewan-dewan bertiang, obelisk, patung gergasi, ukiran dinding, dan inskripsi hieroglif kuil di Thebeslah yang kita lihat untuk mendapatkan gambaran sebenar keunggulan Amun. Thebes dianggap sebagai lokasi gundukan purbakala itu muncul pada permulaan waktu.[30]
Rujukan
- ^ Leeming 2010, m/s. 102.
- ^ Hart 2004, m/s. 9.
- ^ Seton-Williams 1999, m/s. 6.
- ^ Assmann, Jan (1994-03-01). "Solar Discourse. Ancient Egyptian Ways of Worldreading". Deutsche Vierteljahrsschrift für Literaturwissenschaft und Geistesgeschichte (dalam bahasa Inggeris). 68 (1): 107–124. doi:10.1007/BF03396276. ISSN 2365-9521.
- ^ Fleming & Lothian 1997, m/s. 24, 27,30.
- ^ a b Allen 2000, m/s. 144.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 206-207.
- ^ Leeming 2010, m/s. 104.
- ^ Fleming & Lothian 1997, m/s. 24-28.
- ^ a b Allen 2000, m/s. 126.
- ^ Fleming & Lothian 1997, m/s. 27.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 78.
- ^ Fleming & Lothian 1997, m/s. 27-28.
- ^ Allen 2000, m/s. 143-145.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 99-100.
- ^ Fleming & Lothian 1997, m/s. 24.
- ^ Allen 2000, m/s. 145.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 18, 99.
- ^ Allen 2000, m/s. 143.
- ^ Allen 2000, m/s. 44.
- ^ Allen 2000, m/s. 144-145.
- ^ Wilkinson 2003, m/s. 99.
- ^ Allen 2000, m/s. 172-173.
- ^ Seton-Williams 1999, m/s. 13.
- ^ a b Fleming & Lothian 1997, m/s. 25.
- ^ Allen 2000, m/s. 172.
- ^ Hart 2004, m/s. 22.
- ^ Fleming & Lothian 1997, m/s. 28-29.
- ^ Allen 2000, m/s. 182-183.
- ^ Hart 2004, m/s. 22-24.
Bibliografi
- Allen, James P. (2000). Middle Egyptian: An Introduction to the Language and Culture of Hieroglyphs. Cambridge University Press. ISBN 0-521-77483-7.
- Fleming, Fergus; Lothian, Alan (1997). The Way to Eternity: Egyptian Myth. Amsterdam: Duncan Baird Publishers. ISBN 0-7054-3503-2.
- Hart, George (2004). Egyptian Myths. Austin, Texas: University of Texas.
- Leeming, David Adams (2010). Creation Myths of the World. Santa Barbaro: ABC-CLIO. ISBN 978-1-59884-174-9.
- Seton-Williams, M.V. (1999). Egyptian Legends and Stories. U.S.A: Barnes & Noble Publishing.
- Wilkinson, Richard H. (2003). The Complete Gods and Goddesses of Ancient Egypt. Thames & Hudson. m/s. 206–207. ISBN 0-500-05120-8.