Mohamad Yusri Bakir | |
---|---|
محمد يوسري باكير | |
Ahli Dewan Undangan Negeri Perak bagi Ayer Kuning | |
Menyandang jawatan 26 April 2025 | |
Didahului oleh | Ishsam Shahruddin (BN–UMNO) |
Majoriti | 5,006 (2025) |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Mohamad Yusri bin Bakir 1971 (umur 53–54) ![]() ![]() |
Kewarganegaraan | ![]() |
Parti politik | Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) |
Gabungan politik lain | Barisan Nasional (BN) |
Pasangan | Rosnani Mahmud (叶进双) |
Pertalian | 李福娣 (ibu mertua) 叶进玉 (kakak ipar) 叶进吗 (kakak ipar) |
Anak | 4 |
Tempat belajar | Universiti Pendidikan Sultan Idris (PhD) |
Pekerjaan | Ahli politik |
Bidang pengkhususan | Guru |
Mohamad Yusri bin Bakir (Jawi: محمد يوسري بن باكير; lahir 1971) ialah seorang ahli politik dan guru Malaysia yang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (ADUN) bagi Ayer Kuning sejak April 2025. Beliau merupakan ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN). Beliau juga berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian BN dan UMNO Tapah sejak tahun 2020 serta Ketua Cawangan UMNO Kampung Sekolah sejak tahun 2013. Sebelum itu, beliau pernah memegang beberapa jawatan dalam UMNO Bahagian Tapah, termasuk sebagai Ketua Penerangan Pemuda (2018–2020), Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan (2002 dan 2008), Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian (2008–2013), Pengerusi Biro Agama dan Kebajikan Pemuda Bahagian (2008–2013), serta Timbalan Ketua Cawangan Kampung Sekolah (2008–2013).[1]
Kehidupan awal dan pendidikan
Mohamad Yusri dilahirkan di Ayer Kuning, Tapah, Perak, Malaysia pada tahun 1971. Beliau memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang pengajian Islam dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2017.
Kerjaya awal
Mohamad Yusri pernah berkhidmat sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti, Tapah dari tahun 1992 hingga 2005, dan di Sekolah Kebangsaan Batu Tiga, Temoh dari 2006 hingga 2007. Beliau kemudiannya bertugas sebagai pensyarah, pensyarah cemerlang Gred DG52 serta Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh sejak 2007, dari 2020 hingga 2023 dan sejak 2024 masing-masing.[2]
Selain kerjayanya dalam bidang pendidikan, Mohamad Yusri juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Daerah Tapah (MDT) bagi Zon 10 Pekan Temoh dari 2023 hingga 2026, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Izzuddin Shah Ipoh dari 2019 hingga 2024, Pengerusi Lembaga Pengarah Koperasi Guru Pendidikan Islam Perak Berhad sejak 2022, Setiausaha Lembaga Pengarah Koperasi Industri Kampung Temoh Perak Berhad sejak 2015, Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak-anak Tapah sejak 2021, Setiausaha Jawatankuasa Tabika KEMAS Kampung Raja Temoh dari 1996 hingga 2005, Naib Pengerusi Tabika Kampung Raja dari 2006 hingga 2008, Pengerusi Tabika Kampung Raja Temoh dari 2008 hingga 2012, Bendahari Surau Kampung Raja Temoh dari 1997 hingga 2003, Bendahari Majlis Belia MDT dari 1999 hingga 2002, Setiausaha Majlis Belia MDT dari 2010 hingga 2012, Pengerusi Belia 4B Cawangan Kampung Batu Masjid dari 2008 hingga 2012, Ketua Penerangan Belia 4B Kawasan Tapah dari 2009 hingga 2012, Presiden Penyokong Sekolah Menengah Agama Tapah dari 2003 hingga 2007, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Masjid dari 2006 hingga 2010, Ahli JKKK Kampung Ayer Semambu dari 2015 hingga 2018, Setiausaha Masjid Kampung Batu Masjid pada 2010, Naib Presiden PIBG Sekolah Kebangsaan Batu Masjid dari 2010 hingga 2012, Presiden PIBG Sekolah Kebangsaan Batu Masjid Temoh dari 2012 hingga 2015, Setiausaha Alumni Sekolah Menengah Agama Izzuddin & TAAyah (SISTA) dari 2010 hingga 2017 dan Ahli Jawatankuasa PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Chenderiang dari 2015 hingga 2023.[3]
Kerjaya politik
Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (sejak 2025)
Pilihan raya kecil Ayer Kuning 2025
Dalam Pilihan raya kecil Ayer Kuning 2025, yang diadakan susulan kematian semasa memegang jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari 2025, Mohamad Yusri membuat penampilan sulungnya dalam pilihan raya apabila dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Ayer Kuning.[4] Mohamad Yusri memenangi kerusi tersebut selepas menewaskan Abdul Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN), yang juga merupakan seorang guru agama dan Pesuruhjaya Bahagian Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Tapah, serta peguam Bawani Kaniapan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan majoriti 5,006 undi.[5] Pada hari penamaan calon iaitu 12 April 2025, beliau berjanji untuk meneruskan legasi ADUN Ayer Kuning terdahulu, Ishsam, terutamanya rancangan beliau dalam bidang pendidikan yang dianggap sebagai asas dalam membangunkan masyarakat berilmu dan berkualiti tinggi. Beliau turut menyatakan harapan bahawa gabungan jentera dan pasukan kempen BN dan Pakatan Harapan (PH) akan menjadikan dirinya pilihan utama pengundi di Ayer Kuning.[6]
Kehidupan peribadi
Mohamad Yusri berkahwin dengan Rosnani Mahmud (叶进双), seorang Cina Malaysia berketurunan Hakka dan beragama Islam. Rosnani dilahirkan di Kuantan, Pahang, Malaysia, dan telah dijadikan anak angkat oleh sebuah keluarga Melayu ketika masih kecil, menyebabkan beliau tidak mengetahui bahasa ibundanya iaitu Bahasa Cina. Rosnani kemudiannya dibawa oleh keluarga angkatnya ke Sungai Buloh, Selangor, Malaysia untuk bertemu dengan keluarga kandungnya yang telah berpindah ke sana, ketika beliau berusia 12 tahun, dan sejak itu beliau kerap berhubung dengan keluarga kandungnya. Rosnani mempunyai 11 orang adik-beradik, dan beliau serta adik bongsunya, 叶进吗, merupakan pasangan kembar. Ibu mertuanya ialah 李福娣 dan kakak ipar sulungnya ialah 叶进玉. Pasangan ini dikurniakan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan, iaitu Amir Taufiq Mohamad Yusri, Amira Husna Mohamad Yusri, Amira Auni Mohamad Yusri dan Amir Wazif Mohamad Yusri yang semuanya dilahirkan pada tahun 1990-an dan 2000-an.[7]
Keputusan pilihan raya
Tahun | Kawasan pilihan raya | Calon | Undi | Peratus | Lawan | Undi | Peratus | Undi sah | Majoriti | Hasil | ||
---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
2025 | N48 Ayer Kuning | Mohamad Yusri Bakir (UMNO) | 11,065 | 60.70% | Abdul Muhaimin Malek (PAS) | 6,059 | 33.23% | 18,230 | 5,006 | 58.07% | ||
Bawani Kaniapan (PSM) | 1,106 | 6.07% |
Rujukan
- ^ Barisan Nasional (8 April 2025). "Tahniah buat calon Barisan Nasional N48 Dun Ayer Kuning, Dr. Ustaz Yusri Bin Bakir. Ini latar belakang calon Barisan Nasional N. 48 Dun Ayer Kuning". Facebook. Dicapai pada 13 April 2025.
- ^ "PRK Ayer Kuning: Setiausaha UMNO Tapah, Dr Yusri Bakir diumum calon BN". Berita Harian. 7 April 2025. Dicapai pada 13 April 2025.
- ^ Ahmad Maslan (7 April 2025). "Biodata calon BN PRK Ayer Kuning, Dr Ustaz Mohamad Yusri Bakir, Setiausaha UMNO & BN Tapah, Ketua Jabatan Pendidikan Islam & Moral, IPG, Kampus Ipoh". Instagram. Dicapai pada 13 April 2025.
- ^ "Ayer Kuning by-election: Tapah Umno secretary set to be BN's candidate, says Perak MB". The Star. 7 April 2025. Dicapai pada 13 April 2025.
- ^ "Barisan retains Ayer Kuning with 11,065 votes". The Star. 27 April 2025. Dicapai pada 30 April 2025.
- ^ "Ayer Kuning polls: BN candidate to continue legacy of the late Ishsam". The Star. 12 April 2025. Dicapai pada 13 April 2025.
- ^ "亚亦君令补选 尤斯里亮相冷水河受瞩目 妻子亲生华裔家人出席支持". Sin Chew Daily (dalam bahasa Cina). 11 April 2025. Dicapai pada 13 April 2025.
- ^ "Semakan Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning 2025". MySPR Semak. 26 April 2025. Dicapai pada 30 April 2025.
- ^ "Ayer Kuning by-election: BN wins with larger majority". New Straits Times. 26 April 2025. Dicapai pada 30 April 2025.