Nama Nebty dalam hieroglif | |||
---|---|---|---|
Gelaran penuh
nebty Dia daripada Nekhbet dan Wadjet (Dia daripada Dua Wanita) | |||
![]() |
Nama Nebty (juga dipanggil nama Dua Wanita) adalah salah satu daripada "lima nama agung" yang digunakan oleh firaun-firaun Mesir. Ia juga salah satu gelaran diraja yang tertua. Istilah moden "nama Dua Wanita" ialah bentuk terbitan terus daripada terjemahan perkataan Mesir nebty.
Etimologi
Istilah "Nama Nebty" dan "nama Dua Wanita" berasal daripada perkataan Mesir nbtj (Nebty), yang merupakan kata duaan bermaksud "dua wanita". Sebagai kata nama biasa, ia adalah bahasa halus keagamaan yang menetapkan dewi Nekhbet dan Wadjet sebagai pasangan dewa. Sebagai lambang diraja, ia dianggap mewakili Mesir yang bersatu.[1][2]
Rupa lambang
Nama Nebty, sama seperti nama Niswt-Bity yang datang kemudian, dibina dengan dua kumpulan simbol. Yang pertama menunjukkan seekor burung nasar duduk di atas bakul. Yang kedua menunjukkan seekor ular tedung tegak, juga duduk di atas bakul. Versi paling tua nama Nebty menunjukkan mahkota merah di atas bakul kedua bukannya ular tedung. Dua kumpulan tanda yang membentuk nama Nebty tidak pernah digunakan secara berasingan.[1][2]
Simbolisme
Nama Nebty mempunyai kaitan simbolik dengan dua dewi paling penting dalam sistem pemerintahan Mesir purba: Nekhbet dan Wadjet. Sementara Nekhbet (Mesir: Nekhebety; "dia dari Nekheb") ialah "suri Mesir Hulu", pasangannya Wadjet (Mesir: Wadyt; "dia yang berkembang" ataupun "empuan kehijauan") ialah "suri Mesir Hilir". Nekhbet dipuja sebagai "ibu samawi seorang raja", yang diungkapkan dalam gelaran ratu Mesir purba Mwt-niswt ("ibu raja"). Ular tedung Wadjet dipuja sebagai "ular gandik syurga di dahi raja", dipercayai akan memuntahkan api pada sesiapa yang berani mencabar firaun. Sifat perlindungan ini menjadikan Wadjet sangat popular dan sejak zaman dinasti awal beberapa dewa digambarkan memakai ureus di dahi mereka. Dengan nama Nebty, setiap firaun ingin menampilkan dirinya sebagai satu-satunya yang di bimbing dan dilindungi kedua-dua dewi, sekali gus melegitimasikan dirinya sebagai pemerintah seluruh Mesir.[1][2]
Pengenalan dan sejarah
Selepas nama Horus, nama Nebty ialah nama diraja kedua tertua dalam sejarah Mesir purba dan juga dikenali sebagai "nama Dua Wanita". Ahli Egiptologi seperti Toby Wilkinson dan Ludwig David Morenz menegaskan satu prototaip jelas bagi nama Nebty yang digunakan sebelum pengenalan bentuk muktamadnya: teg-teg gading dari makam Abydos raja Hor-Aha dan Djer serta ratu Neithhotep menunjukkan lambang Dua Wanita dengan mahkota merah di tempat ular tedung di atas bakul. Dalam kes Hor-Aha, lambang Nebty sangat menarik kerana ia digambarkan di dalam bangunan berbingkai tiga (keramat? makam?) bersama dengan hieroglif Men (Tanda Gardiner Y5; bermaksud "tinggal" atau "kekal"). Terdapat perdebatan sengit sama ada kumpulan tanda ini hanya memberikan nama bagi sebuah keramat Nebty (Men-Nebty; "di mana Dua Wanita kekal"), sama ada ia menunjukkan nama Nebty Aha di dalam makamnya ataupun sama ada ia menunjukkan nama Nebty Narmer, bahawa Aha mengebumikan Narmer. Teg-teg gading raja Djer dan Djet menunjukkan prototaipnya di dalam sebuah istana dan keramat, dengan catatan bahawa raja-raja itu mengunjungi istana Dua Wanita atau mengawasi pembinaan bilik wain untuk keramat Nebty itu. Penggunaan pertama bentuk muktamad lambang Nebty (burung nasar dan ular tedung di atas dua bakul) muncul semasa pemerintahan raja Semerkhet, yang menamakan dirinya Iry-Nebty ("penjaga Dua Wanita"). Selepasnya, setiap raja menggunakan nama Nebty, namun bukan setiap raja dari dinasti-dinasti awal dan Kerajaan Lama diketahui dengan nama Nebty mereka.[1][2]
Masalah lain dalam menentukan nama Nebty ialah satu fesyen yang muncul semasa pemerintahan raja Peribsen. Baginda pemerintah pertama yang menggunakan lambang Nebty sebagai nama atau gelaran yang tersendiri. Selepasnya, pemerintah-pemerintah lain sepertinya juga menggunakan nama Nebty yang berasingan. Bukti untuk itu ialah raja Qa'a. Inskripsi-inskripsi teg gading mendedahkan bahawa Qa'a jelas menggunakan dua nama Nebty yang berbeza: Qa'a-Nebty ("lengan terangkat Dua Wanita") dan Sen-Nebty ("dicium Dua Wanita" atau "saudara Dua Wanita"). Dan raja Hotepsekhemwy menamakan dirinya Sehotep-Nebty ("Dua Wanita berkenan (dengannya)"), dengan itu menggunakan nama yang hampir sama dengan nama serekhnya.[3][4] Masalah lain dalam menghubungsuaikan nama Nebty adalah bahawa semasa Kerajaan Lama, ratu-ratu Mesir juga menggunakan lambang Nebty sebagai sebahagian daripada nama lahir mereka. Contoh utama ialah ratu Hetephernebti dan Djefatnebti. Ini menimbulkan masalah mengenai tafsiran nama Nebty yang muncul pada satu stensil gading dari Saqqara. Diperdebatkan sama ada ia nama ratu (Djeseret-ankh-Nebty) atau sekadar nama Nebty raja Sekhemkhet.[3][5]
Lihat juga
Rujukan
- ^ a b c d Toby A. H. Wilkinson: Early Dynastic Egypt. Routledge, London/New York 1999, ISBN 0-415-18633-1, p. 203-205.
- ^ a b c d Wolfgang Helck, Eberhard Otto: Nechbet. In: Kleines Lexikon der Ägyptologie. Harrassowitz, Wiesbaden 1999, ISBN 3-447-04027-0, p. 199.
- ^ a b Toby A. H. Wilkinson: Early Dynastic Egypt. Routledge, London/New York 1999, ISBN 0-415-18633-1, p. 201, 206–207.
- ^ Hermann Ranke: Die altägyptischen Personennamen. vol. III. Augustin, Glückstadt 1977, p. 319.
- ^ Wolfgang Helck: Untersuchungen zur Thinitenzeit (= Ägyptologische Abhandlungen, vol. 45). Harrassowitz, Wiesbaden 1987, ISBN 3-447-02677-4, p. 108 & 117.