


Palang bertingkat (Jawi:ڤالڠ برتيڠكت ) atau palang tak simetri (Jawi:ڤالڠ تق سيميتري ) merupakan salah sejenis perkakas dalam gimnastik artistik. Ia diperbuat daripada kerangka keluli. Palang-palang itu sendiri diperbuat daripada kaca gentian dengan salutan kayu atau dalam kes yang kurang berlaku, kayu sepenuhnya.[1] Singkatan bahasa Inggeris untuk acara ini dalam pemarkahan gimnastik ialah UB (uneven bars) atau AB (asymmetric bars) dan perkakas serta acara ini sering dirujuk ringkas sebagai bars (lit. palang). Palang-palang ini diletakkan pada ketinggian dan lebar yang berbeza, membolehkan gimnas beralih dari satu palang ke palang yang lain. Seorang gimnas biasanya akan menyapu kapur putih pada tangan mereka agar dapat menggenggam palang dengan lebih baik.
Perkakas
Palang bertingkat yang digunakan dalam pertandingan gimnastik antarabangsa mesti mematuhi garis panduan dan spesifikasi yang ditetapkan oleh brosur Norma Perkakas Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG). Beberapa syarikat mengeluarkan dan menjual palang ini, termasuk AAI di Amerika Syarikat, Jannsen dan Fritsen di Eropah, serta Acromat di Australia.
Banyak gimnasium juga mempunyai palang tunggal atau set palang bertingkat di atas pit busa longgar atau tikar lembut. Ini memberikan tahap keselamatan tambahan apabila gimnas mempelajari kemahiran baharu.
Ukuran
Ukuran palang bergantung pada tetapan palang itu sendiri. Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) menyediakan ukuran palang dalam brosur Norma Perkakas (Apparatus Norms) mereka.
- Ketinggian:
- Diamter palang: 4 sentimeter (1.6 in)[2]
- Panjang palang: 240 sentimeter (7.9 ka)[2]
- Jarak pepenjuru antara dua palang: berbeza, 130 sentimeter (4.3 ka)–190 sentimeter (6.2 ka) (boleh dilaras)[2]
Rutin
Rutin di palang bertingkat lazimnya melibatkan banyak kekuatan, lompatan dan hayunan. Ia secara amnya terdiri daripada satu set kemahiran, setiap satu bernilai mata tertentu.
Evolusi
Perkakas palang bertingkat pada asalnya terdiri daripada palang sejajar lelaki yang diletakkan pada ketinggian yang berbeza. Oleh itu, palang-palang tersebut diletakkan sangat dekat antara satu sama lain dan gimnas boleh beralih dari satu palang ke palang lain dengan sedikit kesukaran. Rutin pada awal tahun 1950-an kebanyakannya terdiri daripada bulatan mudah, kip dan elemen keseimbangan statik serta pegangan. Pada akhir tahun 1950-an, trend beralih kepada gerakan boleh berubah dan gimnas mula melakukan rutin yang terdiri daripada bulatan yang lebih sukar, kip, beat (melantunkan badan dari palang rendah sambil bergantung pada palang tinggi), wrap (membungkus badan di sekitar palang rendah sambil bergantung pada palang tinggi) dan peralihan. Pergerakan lepasan (release moves) juga mula digunakan, walaupun ia hampir sepenuhnya terhad kepada peralihan antara palang rendah dan tinggi. Pada akhir 1960-an/awal 1970-an, syarikat mula mengeluarkan palang bertingkat sebagai perkakas khusus yang berasingan. Reka bentuknya diubah sedikit untuk membolehkan palang dilaraskan dengan kabel tegangan yang menahan perkakas ke lantai. Hasil daripada perubahan ini, jurulatih dapat meletakkan palang lebih jauh antara satu sama lain. Selain itu, lilitan palang berkurangan, membolehkan gimnas menggenggam dan berayun daripadanya dengan lebih mudah.
Apabila acara lain dalam gimnastik meningkat kesukarannya, begitu juga dengan palang bertingkat. Gimnas dan jurulatih mula bereksperimen dengan elemen, mencuba turun (dismount) yang lebih mencabar dan menyesuaikan pergerakan dari palang tunggal lelaki. Pada tahun 1972, Olga Korbut mempelopori balik kuang Korbut, pergerakan lepasan salto (balik kuang) palang tinggi pertama. Nadia Comăneci meneruskan trend dengan balik kuang Comaneci asalnya di Sukan Olimpik Montreal 1976 dan elemen dirian tangan (handstand) yang lebih maju empat tahun kemudian. Ayunan gergasi (giant swing), iaitu kemahiran utama palang tinggi dalam gimnastik artistik lelaki (MAG), juga diterima pakai ke dalam Kod Mata wanita dan dengan cepat menjadi kemahiran asas palang bertingkat.
Menjelang pertengahan 1980-an, rutin telah menjadi begitu berasaskan ayunan dan pergerakan lepasan (release moves) sehinggakan palang dipindahkan lebih jauh lagi. Jarak antara palang meningkat lebih banyak apabila gimnas membangunkan elemen peralihan kompleks yang memerlukan ruang, seperti balik kuang Pak.
Untuk gimnas elit antarabangsa, terdapat jarak yang diperlukan antara palang rendah dan tinggi, yang dipanggil tetapan FIG, di mana semua gimnas peringkat elit mesti bertanding.
Daripada semua perkakas dalam gimnastik artistik wanita (WAG), palang bertingkat mungkin yang paling banyak mengalami perubahan radikal. Kebanyakan elemen dari rutin palang 1950-an dan 60-an, seperti turun Hecht (Hecht dismount) dan balik kuang Radochla (Radochla somersault), kini sudah lapuk sepenuhnya dan jarang digunakan. Yang lain, seperti beat dan wrap yang dahulunya tradisional, adalah mustahil memandangkan pemisahan pepenjuru semasa antara palang dan masih ada lagi seperti pegangan statik, dan balik kuang Korbut (Korbut flip) tidak dibenarkan di bawah Kod Mata semasa. Di peringkat USAG 1–5, setiap orang di peringkat yang sama melakukan rutin wajib yang sama. Di peringkat 1-3, gimnas hanya berada di palang rendah. Setelah gimnas mencapai tahap 4, mereka menggunakan kedua-dua palang rendah dan tinggi. Di peringkat 6 hingga elit, gimnas dan jurulatih mencipta rutin mereka sendiri dalam keperluan tertentu menggunakan kedua-dua palang.
Di Gymnastics Australia, gimnas di peringkat 1-6 melakukan rutin yang ditetapkan yang diberi markah daripada 10. Di peringkat 7-10 dan elit, gimnas melakukan rutin pilihan yang mematuhi garis panduan yang ditetapkan dan memenuhi keperluan tertentu.
Rutin peringkat antarabangsa
Rutin palang bertingkat mesti mengandungi:[3]
- Elemen penerbangan dari palang tinggi ke palang rendah dan sebaliknya.
- Elemen penerbangan pada palang yang sama.
- Sekurang-kurangnya dua cengkaman yang berbeza dan elemen bulatan palang dekat (close bar circle element).
- Elemen bukan penerbangan dengan pusingan pada palang, contohnya, turning handstand.
- Dismount (pergerakan turun dari palang).
Pemarkahan dan peraturan
Para hakim menilai rutin berdasarkan tahap kesukaran, bentuk persembahan, teknik dan komposisi. Markah akan dipotong untuk pelbagai kesalahan seperti kesilapan pelaksanaan, bentuk yang kurang baik, jatuh, berhenti seketika, ayunan "kosong" (ayunan tambahan yang tidak membawa kepada kemahiran lain), langkah tambahan semasa melakukan dismount dan kesilapan lain. Jatuh akan menyebabkan potongan automatik sebanyak 1 mata penuh dalam Kod Mata (CoP) FIG 2009. Bagi peringkat 1-10, potongan untuk jatuh ialah 0.5 mata. Selain itu, jika gimnas terpijak palang rendah dengan kakinya (seperti yang dilakukan oleh Beth Tweddle dalam kelayakan palang Olimpik 2008, dan Viktoria Komova dalam akhir perkakas palang Olimpik 2012), potongan 0.1 hingga 0.5 mata akan dikenakan bergantung pada tahap keterukan hentakan. Potongan yang sama berlaku apabila gimnas menyentuh lantai dengan satu atau kedua-dua kaki semasa melakukan kemahiran di palang rendah.[4]
Peraturan khusus perkakas
Gimnas dibenarkan untuk membalut tangan mereka atau menggunakan grip atau pelindung tangan pada palang bagi tahap 4 hingga elit. Jurulatih mereka juga dibenarkan untuk meletakkan kapur atau air pada palang bagi memastikan gimnas tidak tergelincir.[2]
Tidak seperti palang tinggi dan gelang dalam Gimnastik Artistik Lelaki (MAG), gimnas tidak boleh diangkat ke palang bertingkat untuk memulakan rutin mereka. Mereka boleh memanjat perkakas itu dengan kemahiran mudah atau sukar sama ada pada palang tinggi atau rendah, lonjakan berlari dan papan anjal adalah dibenarkan.[3]
Setelah rutin bermula, jurulatih tidak dibenarkan mengganggu atlet secara fizikal. Jurulatih boleh berdiri di atas tikar semasa pergerakan lepasan dan dismount. Jika gimnas jatuh ketika melakukan kemahiran ini, jurulatihnya boleh menyambut atau mengurangkan impak jatuhnya, jurulatih juga boleh mengangkatnya kembali ke palang tinggi untuk meneruskan rutinnya. Jika papan anjal telah digunakan untuk panjatan, jurulatih sepatutnya segera masuk dan mengalihkannya agar tidak mengganggu rutin.[5]
Jika seorang gimnas jatuh dari perkakas itu, dia mempunyai 30 saat untuk naik semula. Dalam had masa ini, dia boleh membetulkan semula grip atau menyapu kapur pada tangannya lagi jika perlu. Walau bagaimanapun, rutinnya akan tamat jika dia tidak kembali ke palang dalam masa 30 saat. Banyak hakim fleksibel dengan peraturan ini, terutamanya jika gimnas jatuh dengan teruk dan memerlukan seminit untuk menenangkan diri dan mendapatkan semula fokusnya. Selalunya, hakim atau pembantu hakim akan memberikan amaran sepuluh saat kepada gimnas.[3]
Juara Olimpik pada palang bertingkat

Kecederaan
Satu kajian mengenai kecederaan gimnastik peringkat kolej mendapati bahawa jumlah kecederaan di palang bertingkat hampir sama banyaknya dengan di bahagian lantai.[6] Jatuh dari palang boleh menyebabkan kecederaan serius atau kelumpuhan. Taylor Lindsay-Noel lumpuh semasa percubaan dismount dari perkakas ini pada tahun 2008.[7] Dalam kes yang jarang berlaku, kemalangan boleh membawa maut. Pada tahun 2021, Séverine Emeraude Djala Abaka, seorang gimnas Cameroon, meninggal dunia sejurus sebelum Kejohanan Afrika, di mana beliau berhasrat untuk bertanding, setelah jatuh terhantuk pada leher.[8]
Rujukan
- ^ a b c "Gymnastics Internationals Federation: About WAG" (dalam bahasa Inggeris). FIG. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-07-05. Dicapai pada 2009-10-02.
- ^ a b c d "Apparatus Norms" (dalam bahasa Inggeris). FIG. m/s. II/47. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2011-12-19. Dicapai pada 2009-10-02.
- ^ a b c "WAG Code of Points 2009-2012" (dalam bahasa Inggeris). FIG. m/s. 24. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2011-12-19. Dicapai pada 2009-10-02.
- ^ "WAG Code of Points 2009-2012" (dalam bahasa Inggeris). FIG. m/s. 15. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2011-12-19. Dicapai pada 2009-10-02.
- ^ "WAG Code of Points 2009-2012" (dalam bahasa Inggeris). FIG. m/s. 3. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2011-12-19. Dicapai pada 2009-10-02.
- ^ Chandran, Avinash; Roby, Patricia R.; Boltz, Adrian J; Robison, Hannah J.; Morris, Sarah N.; Collins, Christy L. (2021-07-01). "Epidemiology of Injuries in National Collegiate Athletic Association Women's Gymnastics: 2014–2015 Through 2018–2019". Journal of Athletic Training (dalam bahasa Inggeris). 56 (7): 688–694. doi:10.4085/1062-6050-635-20. ISSN 1062-6050. PMC 8293879. PMID 34280287.
- ^ "Drame: les dessous de la mort tragique de Séverine Emeraude Djala Abaka" [Drama: the behind the scenes of the tragic death of Séverine Emeraude Djala Abaka]. CamerounWeb (dalam bahasa Perancis). 27 May 2021. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 June 2021.
- ^ James, Royson (2008-08-28). "Paralyzed gymnast waits for miracle". Toronto Star (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2024-03-12.
Pautan dan sumber luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Palang bertingkat |
- Kod Mata 2009-2012 – (dalam bahasa Inggeris)
- Penerangan perkakas di laman web FIG – (dalam bahasa Inggeris)
- Glosari US Gym Net tentang kemahiran palang bertingkat – (dalam bahasa Inggeris)
- Animasi dan penjelasan kemahiran asas palang – (dalam bahasa Inggeris)
- The Complete Book of Gymnastics (dalam bahasa Inggeris), David Hunn, Ward Lock Ltd, London, 1980, ISBN 99903-963-2-9