Sebahagian daripada siri tentang |
|---|
| Sejarah Malaysia |
| Portal Malaysia |
Sebahagian daripada siri tentang |
|---|
| Sejarah Indonesia |
| Portal Indonesia |
Perjanjian 29 Oktober 1830 atau lebih dikenali sebagai Perjanjian Johor-Belanda 1830 atau Perjanjian Riau-Belanda 1830 merupakan satu perjanjian antara Kesultanan Johor Lama dengan Belanda yang bertujuan untuk menguatkuasakan wilayah pengaruh antara Belanda dengan British di Alam Melayu seperti yang telah termaktub dalam Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 (juga dikenali sebagai Perjanjian London) antara British dengan Belanda yang telah ditandatangani oleh mereka di London, United Kingdom pada 17 Mac 1824.
Pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut ialah Kesultanan Johor Lama yang diwakili oleh Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Jaafar dan pihak Belanda yang diwakili oleh Residen Belanda di Riau, Cornelis Pieter Jacob Elout. Walaupun Sultan Johor, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dinamakan sebagai pihak yang terlibat dalam perjanjian tersebut, baginda tidak menghadiri istiadat menandatangani perjanjian tersebut dan baginda diwakili oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar. Istiadat tersebut diadakan di Istana Raja Jaafar yang terletak di Pulau Penyengat, Riau.
Perjanjian tersebut membawa kesan yang sangat besar kepada Kesultanan Johor Lama kerana negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah lalu membawa kepada pengakhiran Kesultanan Johor Lama yang telah wujud selama 300 tahun. Dan dalam perjanjian tersebut, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah mula digelar sebagai "Raja Lingga dan Riau" dan "Yang Dipertuan Besar Riau dan Lingga" lalu secara tidak langsung bermulanya Kesultanan Riau-Lingga dan baginda secara rasmi menjadi Sultan Riau-Lingga pertama.
Sebab Berlakunya Perjanjian 29 Oktober 1830
Tindakan Sir Thomas Stamford Raffles yang membina loji (pejabat syarikat perniagaan yang dibuat berkubu) Syarikat Hindia Timur Inggeris di Singapura pada tahun 1819 telah menimbulkan kemarahan Belanda lalu menyebabkan hubungan antara British dengan Belanda bertambah buruk. Belanda mendakwa bahawa Perjanjian 6 Februari 1819 antara Raffles dengan Sultan Hussein Muhammad Shah adalah tidak sah dan Kesultanan Johor Lama berada di bawah pengaruh Belanda. Hak perdagangan Belanda di India British dan bekas tanah jajahan Belanda di wilayah tersebut juga menjadi punca pertikaian antara mereka. Pada tahun 1820, atas desakan para pedagang British yang mempunyai kepentingan di Timur Jauh, rundingan untuk menjelaskan keadaan di Asia Tenggara dimulakan.
Rundingan antara British, yang diwakili oleh Setiausaha Luar Negeri Britain, Robert Stewart, dengan Belanda, yang diwakili oleh Penasihat Negara Belanda dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Raja Belanda kepada Raja Britain, Hendrik Fagel, bermula pada 20 Julai 1820. Belanda bertegas bahawa British perlu meninggalkan Singapura tetapi Stewart sendiri tidak pasti bagaimana British memperoleh Singapura. Pada mulanya, mereka bersetuju dengan isu-isu yang tidak kontroversi seperti hak pelayaran bebas dan penghapusan lanun. Rundingan mengenai perkara utama digantung pada 5 Ogos 1820 dan tidak disambung semula sehingga tahun 1823 apabila British menyedari dan memahami nilai komersial Singapura.
Rundingan mereka disambung pada bulan Disember 1823 dan isu yang dirunding ialah penetapan sempadan pengaruh mereka yang jelas di Alam Melayu. Apabila Belanda menyedari bahawa Singapura semakin berkembang pesat sebagai pusat perdagangan dan pelabuhan dan Belanda tidak dapat menghalang kemajuan Singapura tersebut, Belanda mendesak satu pertukaran di mana mereka akan melepaskan tuntutan mereka ke atas utara Selat Melaka dan tanah jajahan mereka di India sebagai pertukaran untuk pengesahan tuntutan mereka ke atas selatan Selat Melaka termasuk Bengkulu yang merupakan tanah jajahan British. Akhirnya, Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani pada 17 Mac 1824 oleh wakil British iaitu Setiausaha Luar Negeri Britain, George Canning, dan Presiden Lembaga Pesuruhjaya Hal-Ehwal India, Charles Williams-Wynn, dan wakil Belanda iaitu Penasihat Negara Belanda dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Raja Belanda kepada Raja Britain, Hendrik Fagel, dan Menteri Arahan Awam, Industri Negara dan Tanah Jajahan Belanda, Anton Reinhard Falck. Perjanjian tersebut disahkan oleh British pada 30 April 1824 dan oleh Belanda pada 2 Jun 1824. Pertukaran dokumen pengesahan tersebut dilakukan di London pada 8 Jun 1824.
Memandangkan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ditandatangani oleh British dan Belanda sahaja, perjanjian tersebut tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang kepada Kesultanan Johor Lama kerana perjanjian tersebut dibuat tanpa penglibatan dan persetujuan Sultan Johor, Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan para pembesar Kesultanan Johor Lama yang merupakan pemilik sebenar wilayah pengaruh politik yang ingin dibahagikan oleh British dan Belanda.[1][2] Oleh sebab itu, walaupun perjanjian tersebut mungkin sah di sisi undang-undang British dan Belanda, mereka tidak boleh menguatkuasakan perjanjian tersebut ke atas Kesultanan Johor Lama dan jajahan takluknya yang kawasannya terlibat dalam wilayah pengaruh politik mereka.[3] Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan para pembesar Kesultanan Johor Lama yang tidak pernah menurunkan tandatangan mereka dalam perjanjian tersebut juga tidak terikat dengan syarat-syarat yang terkandung dalam perjanjian tersebut.[4][5]
Namun, pada tahun 1825, pegawai Belanda yang bernama Van Angelbeek memaklumkan Yang Dipertuan Muda Riau, Raja Jaafar mengenai Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.[6] Ini menyebabkan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar berada dalam dilema kerana beliau telah melanggar adat-istiadat Melayu apabila beliau menabalkan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah sebagai Sultan Johor tanpa alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama pada tahun 1812 yang mengakibatkan beliau terpaksa membayar harga yang mahal dengan menandatangani Perjanjian 26 November 1818 dengan Belanda.[7] Bukan itu sahaja, beliau juga menabalkan semula Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah mengikut adat-istiadat Melayu pada bulan November 1823 selepas beliau mendapatkan alat kebesaran diraja Kesultanan Johor Lama yang dirampas daripada saudaranya, Engku Puteri Raja Hamidah dengan bantuan Belanda.[8] Bantuan Belanda telah menyebabkan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar terikat dengan perjanjian mereka dan terhutang budi kepada mereka.[9] Namun, kedudukan beliau sebagai pembesar utama Kesultanan Johor Lama membuatkan beliau tidak boleh memberikan sokongan kepada usaha Belanda dan British untuk membahagikan wilayah Kesultanan Johor Lama yang akan memisahkan Sultan Johor di Lingga daripada para pembesar dan rakyat baginda di Semenanjung Tanah Melayu.[10]
Setelah Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar berfikir semasak-masaknya dan mempertimbangkan secara serius permintaan Belanda, beliau akhirnya membuat keputusan untuk menerima sahaja syarat-syarat yang terkandung dalam Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 memandangkan beliau tidak ada pilihan lain selain terpaksa bersetuju dengan kehendak Belanda.[11] Kemudian, satu lagi perjanjian antara beliau dengan Belanda telah ditandatangani pada 29 Oktober 1830.[12] Berikut merupakan petikan penting Perjanjian 29 Oktober 1830:
Perjanjian 17 Mac 1824 ini di London, antara Yang di-Pertuan Besar atas Netherland dengan Yang di-Pertuan Besar atas Great Britain dan Ireland, kerana sebab Perjanjian itu, jadi Johor dan Pahang, tiada lagi di bawah Yang di-Pertuan Besar Lingga. Maka pada sekarang ini perjanjian yang lama, yang dibuat oleh Govermen Netherland dengan Yang di-Pertuan Besar Johor dan Pahang dan Riau dan Lingga dan segala takluknya itu, tiadalah boleh dipakai begitu.[13][14]
Dengan termeterainya Perjanjian 29 Oktober 1830, maka Kesultanan Johor Lama telah bersetuju untuk menerima Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 bagi tujuan penguatkuasaannya di Alam Melayu.[15] Ini mengakibatkan negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah dan Kesultanan Johor Lama telah melepaskan hak kedaulatannya ke atas dua wilayah tersebut.[16] Secara tidak langsung, Perjanjian 29 Oktober 1830 telah membubarkan Kesultanan Johor Lama yang telah memerintah selama 300 tahun dan mewujudkan Kesultanan Riau-Lingga sebagai penerus dan pengganti Kesultanan Johor Lama tetapi berada di bawah naungan Belanda.[17]
Walaupun Temenggung Johor di Johor dan Bendahara Johor di Pahang tidak lagi dinaungi oleh Sultan Johor di Lingga, para pembesar Melayu di Semenanjung Tanah Melayu masih lagi bertuankan baginda.[18] Ini boleh dibuktikan apabila Sultan Riau-Lingga, Sultan Muhammad II Muazzam Shah telah mengadakan satu istiadat yang dihadiri oleh para pembesar dari seluruh bekas wilayah Kesultanan Johor Lama.[19] Bendahara Johor yang juga Raja Bendahara Pahang, Bendahara Tun Ali telah menabalkan Tengku Mahmud (kemudian Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah) sebagai Tengku Besar (pewaris takhta) dan Tun Mutahir (kemudian Bendahara Tun Mutahir) sebagai Bendahara Muda (pewaris Bendahara Johor dan Raja Bendahara Pahang) dalam istiadat tersebut.[20] Selain itu, berdasarkan surat balasan Bendahara Tun Ali kepada Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah pada tahun 1855, mereka langsung tidak mengetahui tentang Perjanjian Inggeris-Belanda 1824.[21] Terdapat kemungkinan besar bahawa Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dan Perjanjian 29 Oktober 1830 dirahsiakan daripada mereka untuk suatu tempoh yang lama iaitu kira-kira 30 tahun.[22]
Syarat Perjanjian
Antara syarat penting isi kandungan Perjanjian 29 Oktober 1830 ialah:[23]
- Johor dan Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang kini menjadi Sultan Riau-Lingga. (Fasal Ketiga)
- Perubahan status hubungan Kesultanan Riau-Lingga dengan Belanda di mana sebelum ini Kesultanan Johor Lama adalah sahabat Belanda menurut Perjanjian 26 November 1818 tetapi kini Kesultanan Riau-Lingga diletakkan di bawah naungan Belanda. (Fasal Keenam)
- Kedudukan Yang Dipertuan Muda Riau dikukuhkan lagi dengan status barunya sebagai pentadbir utama Riau. (Fasal Kesepuluh)
- Keturunan Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar diutamakan dalam pelantikan Yang Dipertuan Muda Riau pada masa akan datang. (Fasal Keempat)
Kesan Perjanjian
- Negeri Johor dan negeri Pahang tidak lagi berada di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang berpusat di Lingga lalu menandakan berakhirnya Kesultanan Johor Lama.
- Kepulauan Riau dan Kepulauan Lingga kekal di bawah kekuasaan Kesultanan Johor Lama yang kini menjadi Kesultanan Riau-Lingga.
- Para pembesar Melayu di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Bendahara Johor di Pahang dan Temenggung Johor di Johor tidak lagi dinaungi oleh Sultan Johor yang kini menjadi Sultan Riau-Lingga dan mereka kini menjadi pentadbir utama di kawasan pegangan mereka.
- Para pembesar Bugis di Riau semakin berkuasa dan berpengaruh apabila pemimpin mereka iaitu Yang Dipertuan Muda Riau kini menjadi pentadbir utama Riau.
- Belanda kini menjadi penaung kepada Kesultanan Riau-Lingga manakala British bebas untuk meluaskan kuasa dan pengaruhnya di Semenanjung Tanah Melayu.
Lihat juga
- Perjanjian Setia 1855
- Perjanjian Pahang-Johor 1861
- Kesultanan Johor Lama
- Sultan Johor
- Bendahara Johor
- Temenggung Johor
- Kesultanan Riau-Lingga
- Sultan Riau-Lingga
- Yang Dipertuan Muda Riau
Rujukan
- Suzana Haji Othman (2018). Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863. Dewan Bahasa dan Pustaka. ISBN 9789834611538.
- Wan Ahmad Fauzi Wan Husain. (26 Januari 2024). Penubuhan rungkai status pemilikan Kesultanan Johor ke atas Singapura. Berita Harian. Diambil daripada https://www.bharian.com.my/kolumnis/2024/01/1204963/penubuhan-rungkai-status-pemilikan-kesultanan-johor-ke-atas-singapura
- Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof. (2023). Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence]. BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences, 6 (3). pp. 245-261. E-ISSN 2600-9080
Nota kaki
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 214
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof (2023), Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence], BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences 6(3): halaman 253
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 226
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 226
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof (2023), Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence], BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences 6(3): halaman 254
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 220
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 219
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 219
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 219
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 219
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 219-220
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 220
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain (26 Januari 2024), Penubuhan rungkai status pemilikan Kesultanan Johor ke atas Singapura, Berita Harian, Diambil daripada https://www.bharian.com.my/kolumnis/2024/01/1204963/penubuhan-rungkai-status-pemilikan-kesultanan-johor-ke-atas-singapura
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof (2023), Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence], BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences 6(3): halaman 254
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof (2023), Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence], BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences 6(3): halaman 255
- ^ Wan Ahmad Fauzi Wan Husain & Zulfadli Maarof (2023), Keabsahan Kesultanan Johor Moden Sebagai Pelestari Perdu Legasi Kesultanan Melayu Melaka Menurut Jurisprudens Watan [The Legitimacy of The Modern Johor Sultanate as The Core Heir of The Malay Sultanate Legacy Viewed from Watanic Jurisprudence], BITARA International Journal of Civilizational Studies and Human Sciences 6(3): halaman 254
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 221
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 244
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 243
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 244
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 222
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 243-244
- ^ Suzana Haji Othman (2018), Sejarah Pergolakan dan Pergelutan Bendahara Johor-Pahang 1613-1863, halaman 221-222








