
Perlembagaan Amerika Syarikat (Bahasa Inggeris : Constitution of the United States) merupakan undang-undang tertinggi di Amerika Syarikat[1] dan merupakan himpunan perlembagaan kebangsaan tertulis tertua yang masih digunakan. Perlembagaan ini menggantikan Piagam Persekutuan (Bahasa Inggeris : Articles of Confederation) iaitu perlembagaan pertama negara Amerika Syarikat, berkuat kuasa pada 4 Mac 1789.[2][a]
Pada asalnya, perlembagaan ini terdiri daripada 7 Perkara, yang menggariskan rangka-rangka dan tujuan penubuhan kerajaan. Tiga Perkara pertama di dalam perlembagaan ini membawa doktrin yang jelas mengenai doktrin pemisahan kuasa, di mana Kerajaan Persekutuan akan dipecahkan kepada tiga cabang utama, iaitu cabang Legislatif, terdiri daripada Kongres yang mempunyai dua dewan (Perkara I), cabang Eksekutif, terdiri daripada Presiden dan pegawai-pegawai yang dilantik (Perkara II), dan cabang Kehakiman, yang terdiri daripada Mahkamah Agung (Supreme Court) dan mahkamah-mahkamah persekutuan yang lain (Perkara III).
Perkara IV, Perkara V dan Perkara VI menjelaskan konsep Persekutuan atau Federalisme, menerangkan hak-hak dan tanggungjawab kerajaan negeri, negara-negara yang menjalinkan hubungan dengan kerajaan persekutuan, tatacara bersama dalam meminda perlembagaan. Perkara VII menggariskan tatacara yang perlu bagi sesebuah kerajaan negeri meratifikasi pindaan yang telah dilakukan berdasarkan tatacara dalam Perkara VI. Sehingga hari ini, Perlembagaan Amerika Syarikat merupakan perlembagaan bertulis tertua yang masih berkuat kuasa sebagai sebuah perlembagaan negara di dunia.
Proses merangka dan menyusun Perlembagaan ini, dilaksanakan dan disempurnakan melalui Persidangan Perlembagaan (Constitutional Convention) di Dewan Kemerdekaan (Independence Hall) di Philadelphia bermula 25 Mei 1787 sehingga 17 September 1787. Perwakilan-perwakilan ke persidangan tersebut dipilih oleh Dewan Legislatif yang merangkumi 12 daripada 13 negeri asal yang menyertai penubuhan Amerika Syarikat. Walaubagaimanapun, salah satu negeri tersebut iaitu Rhode Island menolak untuk menghantar wakil ke persidangan tersebut. Pada awalnya, ruang lingkup perbincangan persidangan tersebut terhad kepada meminda Piagam Persekutuan, yang mana dinilai oleh sebahagian besar negeri sebagai tidak berkesan dalam memenuhi keperluan negara yang masih baru ditubuhkan.
Namun, dalam situasi luar jangka, perwakilan-perwakilan yang hadir mula menimbang untuk memansuhkan Piagam Persekutuan dan menggantikan Piagam Persekutuan dengan dokumen lain. Rangka pertama telah dibentang oleh perwakilan daripada Virginia, yang mana mencadangkan sebuah Kongres yang terdiri daripada dua dewan ditubuhkan. Ahli-ahli dewan ini akan dipilih berdasarkan perkadaran bilangan penduduk sesebuah negeri, selain daripada memilih Ketua Eksekutif, dan melantik cabang kehakiman. Sebagai alternatif kepada Rangka Virginia (Virginia Plan), sebuah lagi rangka telah dibentangkan iaitu Rangka New Jersey (New Jersey Plan), yang turut merangkumi cadangan untuk memilih ahli eksekutif, walaupun dalam masa yang sama menyokong pengekalan struktur legislatif berdasarkan Piagam Persekutuan, yang hanya memiliki satu dewan dan setiap negeri diwakili dengan satu undi sahaja.
Pada 19 Jun 1787, perwakilan-perwakilan memilih untuk membantah Rangka New Jersey, di mana tiga negeri menyokong, tujuh negeri membantah dan satu negeri berkecuali. Kekalahan rangka ini telah membawa kepada pelbagai siri perbincangan yang memfokuskan kepada dua usul utama iaitu: perhambaan dan perwakilan berkadar. Usul pertama, perhambaan, telah memulakan tekanan yang jelas daripada Negeri-negeri Utara (Northern States), yang sudah mula memansuhkan konsep perhambaan di negeri-negeri tersebut sedangkan di Negeri-negeri Selatan (Southern States), ekonomi berteraskan pertanian yang amat bergantung kepada tenaga kerja manusia daripada golongan hamba.
Bagi memenuhi kepentingan Negeri-negeri Selatan, terutamanya Georgia dan South Carolina, para perwakilan bersetuju untuk melindungi perdagangan hamba selama 20 tahun. Selain itu, perhambaan juga dilindungi di mana sesebuah negeri dibenarkan untuk mengambil kira seseorang hamba sebagai tiga per lima dalam bancian penduduk, seterusnya digunakan sebagai bilangan rasmi penduduk dalam bancian kerajaan persekutuan. Dalam masa yang sama, mana-mana hamba yang melarikan diri, wajib dipulangkan kepada pemilik asal mereka walaupun ditangkap di dalam wilayah kawasan negeri yang telah memansuhkan perhambaan.
Akhirnya, para perwakilan telah mengguna pakai Kesepakatan Connecticut (Connecticut Compromise), yang mencadangkan penubuhan Kongres yang mengguna pakai perwakilan berkadar di dewan bawah, serta melaksanakan perwakilan setara di dewan atas (Dewan Senat) di mana setiap negeri akan diwakili oleh dua orang senator. Melalui kesepakatan ini, negeri-negeri dalam persekutuan mampu untuk terus kekal bersatu dan memudahkan ratifikasi Perlembagaan. Walaubagaimanapun, perhambaan terus berjalan selama enam dekad, dan negeri-negeri berpenduduk rendah terus mengahdapi masalah perwakilan berkadar yang tidak seimbang di Dewan Senat dan pengagihan Badan Pemilih (Electoral College).
Sejarah
Latar Belakang
Bermula 5 September 1774 sehingga 1 Mac 1781, Persidangan Kontinental Kedua (Second Continental Congress), yang bersidang di Dewan Kemerdekaan di Philadelphia, berfungsi sebagai kerajaan sementara bagi Amerika Syarikat. Perwakilan-perwakilan yang dihantar untuk menyertai Persidangan Kontinental Pertama (First Continental Congress) pada 1774 dan Kongres Kontinental Kedua pada 1775 hingga 1781, sebahagian besarnya dipilih daripada ahli jawatankuasa Perang Revolusi daripada pelbagai koloni berbanding dipilih daripada ahli-ahli yang membentuk pentadbiran di Tiga Belas Koloni Pertama.
Piagam Persekutuan dan Persatuan Nirkala (Perpetual Union) merupakan perlembagaan pertama Amerika Syarikat. Dokumen ini telah dirangka oleh sebuah jawatankuasa yang dilantik oleh Kongres Kontnental Kedua sekitar pertengahan Jun 1777 dan dokumen ini telah diguna pakai oleh oleh Kongres pada pertengahan November tahun yang sama. Proses meratifikasi oleh kesemua 13 koloni mengambil masa lebih tiga tahun dan selesai pasa 1 Mac 1781. Secara amnya, Piagam ini hanya memberi bidang kuasa yang sangat terhad untuk kerajaan pusat. Walaupun Kerajaan Persekutuan diberi kuasa untuk menggubal keputusan, namun kemampuan untuk menguatkuasakan keputusan tersebut amatlah terbatas. Sebarang penguatkuasaan keputusan, termasuklah sebarang pindaan pada Piagam, memerlukan pengesahan legislatif daripada kesemua 13 negeri yang baru dibentuk.
Meskipun menghadapi keterhadan ini, berdasarkan bidang kuasa Kongres yang disebut dalam Perkara 9, kesepakatan negeri-negeri ini dikira setara dari segi kuasa, jika dibandingkan dengan mana-mana persekutuan republik yang pernah dibentuk. Punca utama masalah ini ialah, terletak pada perkataan George Washington, "tiada wang" ("no money"). Oleh hal yang demikian, Kongres Persekutuan mempunyai kuasa untuk mencetak wang, namun wang tersebut tidak mempunyai nilai, dan dalam masa yang sama Kongres mempunyai kuasa untuk meminjam, namun tiada kuasa untuk membayar semula. Tiada negeri yang menyerahkan dengan secukupnya bahagian cukai yang dikutip oleh mereka, seperti mana yang dipersetujui bersama untuk mebiayai kerajaan persekutuan, bahkan ada negeri yang langsung tidak menyerahkan bahagian mereka.
Berdasarkan Piagam, Amerika Syarikat mempunyai kemampuan yang amat terhad untuk mempertahankan kedaulatannya. Kebanyakan anggota tentera yang terdiri daripada 625 anggota hanya dikerahkan untuk menjaga perbatasan negara daripada ancaman pihak British yang membina kubu-kubu mereka di sepanjang sempadan, walaupun pada hakikatnya langsung tidak memberi ancaman yang berbahaya. Anggota-anggota tentera yang dikerah langsung tidak diupah, menyebabkan sebilangan mereka melarikan diri, dan selebihnya mula merancang pemberontakan. Pihak Sepanyol menutup New Orleans kepada perusahaan-perusahaan Amerika Syarikat, walaupun mendapat tentangan keras daripada Amerika Syarikat.
Lanun-lanun Barbar (Barbary pirates) mula menawan kapal-kapal dagang Amerika Syarikat, dan dalam masa yang sama, pihak Perbendaharaan pula menghadapi kekangan kewangan untuk membayar tebusan yang diminta. Sekiranya Amerika Syarikat menghadapi sebarang krisis ketenteraan yang memerlukan tindak balas, Kongres langsung tidak mempunyai kuasa untuk meminjam atau kuasa untuk memungut cukai bagi membiayai aktiviti ketenteraan tersebut.
Secara mudah, Piagam Persekutuan gagal membawa penyatuan dalam meghadapi kepelbagaian sentimen dan kecenderungan pelbagai pihak daripada semua negeri. Walaupun Perjanjian Paris (Treaty of Paris) pada 1783 telah ditandatangani antara Britain dan Amerika Syarikat, dan setiap negeri telah disebut nama di dalam perjanjian tersebut, sebilangan negeri masih memilih untuk melanggar perjanjian ini. New York dan Carolina Selatan berulang kali menghukum bunuh golongan Setiawan (Loyalist) atas tindakan mereka semasa Perang Kemerdekaan, dan dalam masa yang sama, merampas, dan mengagih-agihkan harta mereka. Dewan-dewan legislatif setiap negeri telah mengambil langkah kendiri dalam menguatkuasakan embargo, berunding dengan kuasa luar, menubuhkan tentera, mengisytiharkan perang, yang mana semua ini melanggar perjanjian yang telah ditandatangani dan tidak memenuhi aspirasi Piagam tersebut.
Pada September 1786, Persidangan Annapolis 1786 (inter-state Annapolis convention) telah diadakan bagi membincangkan dan membentuk satu kesepakatan, bagi memansuhkan sekatan perdagangan yang bersifat terlalu melindungi (protectionist) yang mana telah digubal oleh negeri masing-masing. Dalam persidangan tersebut, James Medison mempersoalkan sama ada Piagam Persekutuan merupakan suatu kesepakatan yang mengikat, sehingga layak untuk ditafsirkan sebagai kesepakatan yang membentuk sebuah kerajaan. Connecticut langsung tidak pernah membayar sebarang jumlah, dan dalam masa yang sama menolak untuk membayar sebarang taksiran kepada kerajaan Amerika Syarikat selama dua tahun. Khabar angin pada waktu tersebut, menyebutkan bahawa sebuah gabungan yang disifatkan menghasut yang terdiri daripada sekumpulan ahli legislatif New York telah memulakan rundingan bersama Wizurai Kanada (Viceroy of Canada).
Di selatan, pihak British telah dikatakan memberi dana secara terbuka kepada etnik Creek Indian (Creek Indian) untuk melancarkan serangan ke atas Georgia, yang mengakibatkan negeri ini diisytiharkan darurat. Tambahan lagi, semasa Pemberontakan Shay (Shay's Rebellion) pada Ogos 1786 sehingga Jun 1787 di Massachusetts, Kongres tidak dapat memperuntukkan sebarang dana untuk memberi sokongan kepada negeri yang menghadapi ancaman. Jeneral Benjamin Lincoln telah dipertanggungjawabkan untuk memungut dana dari pedagang-pedagang Boston bagi membiayai tentera sukarelawan.
Kongres gagal untuk melakukan sebarang tindakan yang memberi kesan, tanpa menerima kesepakatan dari sekurang-kurangnya sembilan negeri, dan bahkan sebahagian undang-undang, memerlukan persetujuan penuh daripada kesemua tiga belas negeri. Sekiranya sesebuah negeri hanya menghantar seorang wakil yang hadir, undi wakil tersebut tidak akan dikira. Sekiranya undi antara perwakilan sesebuah negeri adalah sama rata, maka undi yang mewakili negeri tersebut tidak dapat diambil kira bagi memenuhi undi yang kesembilan.
Kongres, bagi Persekutuan ini, dalam erti kata lain telah dianggap "lumpuh daripada menjalankan kuasanya". Visi bagi menjadi sebuah negara yang dihormati oleh negara-negara lain nampaknya makin memudar di mata para pendukung revolusi seperti George Washington, Benjamin Franklin dan Rufus King. Cita-cita mereka untuk mendirikan sebuah republik, negara tanpa pemerintahan secara pewarisan, yang mana punca kuasa pemerintahannya berasal dari kuasa rakyat, melalui pilihan raya secara berkala, dampaknya semakin buntu.
Pada 21 Febuari 1787, Kongres telah mengadakan sebuah persidangan di Philadelphia, dihadiri oleh para perwakilan negeri, dengan tujuan untuk meminda Piagam Persekutuan. Berbeza daripada cubaan sebelumnya, persidangan ini bukan bertujuan untuk menggubal undang-undang baru atau meminda bahagian-bahagian tertentu, sebaliknya persidangan ini "bertujuan semata-mata untuk menyemak semula Piagam Persekutuan". Persidangan ini tidak semata-mata terhad untuk urusan-urusan berkala, sebaliknya memfokuskan "memastikan Piagam Persekutuan memenuhi keperluan untuk keabsahan dan keberkesanan kerajaan serta pemeliharaan Kesatuan".
Draf 1787
Pada 14 Mei 1787, hanya perwakilan daripada Virginia dan Pennsylvinia sahaja yang hadir, mengakibatkan mesyuarat pembukaan persidangan tersebut terpaksa ditangguhkan kerana tidak memenuhi kuorum. Kuorum yang terdiri daripada tujuh negeri akhirnya berjaya dicapai pada 25 Mei, sekaligus persidangan akhirnya dapat dimulakan. Selanjutnya, 12 negeri akhirnya hadir, di mana Rhode Island menolak untuk hadir. Daripada jumlah 74 perwakilan yang dilantik oleh negeri-negeri, 55 daripada perwakilan tersebut telah hadir. Mandat utama persidangan ini pada awalnya terhad kepada pemindaan Piagam Persekutuan, yang mana telah terbukti sangat tidak berkesan bagi memenuhi keperluan pentadbiran negara. Walaubagaimanapun, tanpa mengambil masa yang lama, para perwakilan sebaliknya mempertimbangkan beberapa usul bagi menggantikan Piagam Persekutuan.
Dua rancangan untuk menstrukturkan kerajaan persekutuan terus diusulkan sejurus persidangan dimulakan:
- Usul pertama yang dibincangkan, diusulkan oleh perwakilan daripada Virginia, yang mana dikenali sebagai Rangka Virginia (Virginia Plan), Rangka Negara Besar (Large State Plan) atau Rangka Randolph. Usul ini memperkenalkan sistem Kongres Dwidewan (Bicameralism), iaitu sistem dua dewan, yang mana ahli dewan tersebut dipilih secara berkadar kepada populasi negeri, serta melantik seorang ketua eksekutif, dan melantik cabang kehakiman. Secara umumnya, usul ini menyebelahi negeri-negeri yang berpenduduk tinggi, yang mana selari dengan falsafah oleh John Locke, di mana pemerintah harus diberi restu oleh golongan diperintah, selain doktrin pemisahan kuasa oleh Montesquieu, dan penekanan doktrin kebebasan sivil oleh Edward Coke.
- Alternatif kepada Rangka Virginia, ialah Rangka New Jersey (New Jersey Plan), yang turut menuntut pemilihan ahli eksekutif, namun masih mengguna pakai struktur legislatif seperti mana dalam Piagam Persekutuan, iaitu Kongres Ekadewan (Unicameralism), atau satu dewan, di mana setiap negeri akan mendapat satu undi. Secara umumnya, usul ini akan lebih menyebelahi negeri yang berpenduduk rendah. Dalam masa yang sama, usul ini juga selari dengan falsafah salah seorang ahli Parti Whig dari England, iaitu Edmund Burke, yang beraliran konservatif, serta ahli perundangan, William Blackstone, yang menekankan kedaulatan bidang kuasa legislatif. Idea ini jelas memperlihatkan bahawa setiap negeri akan dianggap entiti bebas dan terasing, penyertaan mereka ke dalam Amerika Syarikat adalah suatu kebebasan dan secara persendirian, serta seterusnya akan selama-lamanya begitu.
Pada 31 Mei, Persidangan tersebut telah berubah menjadi Jawatankuasa Penuh (Committee of the Whole), seterusnya mempertimbangkan Rangka Virginia. Pada 13 Jun, resolusi Virginia yang telah dipinda telah dikembalikan semula untuk pertimbangan jawatankuasa, dan sebaliknya Rangka New Jersey telah dibawa ke hadapan sebagai pilihan lain kepada Rangka Virginia.
Pada 19 Jun 1787, perwakilan telah menolak usul yang dibawa melalui Rangka New Jersey, di mana tiga negeri menyokong, tujuh membantah dan satu negeri berbelah bahagi. Kekalahan usul ini telah membawa kepada siri-siri rundingan yang berpusatkan dua isu utama: perhambaan dan perwakilan berkadar.
Bidang Kuasa Kehakiman
Usul yang dibawa oleh Madison (Virginia) dan Wilson (Pennsylvinia) mencadangkan kuasa veto Mahkamah Agung ke atas perundangan negara. Usul ini diambil daripada sistem yang diamalkan di New York, di mana Perlembagaan 1777 memperuntukkan Jawatankuasa Penilaian (Coucil of Revision), yang dianggotai Gabenor dan Hakim-hakim Mahkamah Agung Negeri. Jawatankuasa ini akan menilai dan memveto mana-mana undang-undang yang diluluskan. Usul yang dibawa oleh Medison ini telah ditolak sebanyak tiga kali, dan digantikan oleh kuasa veto oleh Presiden, yang mana keputusan veto tersebut boleh ditolak oleh Kongres.
Alasan bagi semakan kehakiman seharusnya dibentangkan secara jelas, dan seterusnya dibawa bagi ratifikasi secara terbuka dia setiap negeri, dan dilaporkan dalam akhbar. John Marshall (Virginia), James Wilson (Pennsylvinia) dan Oliver Ellsworth (Connecticut), berpendapat bahawa semakan kehakiman oleh Mahkamah Agung ialah bidang kuasa legislatif negeri. Dalam sebuah esei bertajuk Federalist No. 78, Alexander Hamilton menekankan doktrin dokumen bertulis sebagai sumber undang-undang tertinggi bagi rakyat. Menurut beliau, "Perlembagaan yang bersifat terhad hanya mampu dikekalkan, tidak melalui cara lain, melainkan mahkamah sahaja yang memansuhkan sebarang pertentangan dalam perundangan yang tidak selari dengan Perlembagaaan". Pengekalan kuasa rakyat ke atas para legislatif terletak "secara khas pada para hakim".
Connecticut dan Rundingan Tiga per Lima
Isu yang melibatkan perwakilan berkadar, menjadi keutamaan bagi negeri-negeri yang berpenduduk rendah, di mana dalam Piagam Persekutuan, negeri-negeri ini mempunyai kuasa yang setara dengan negeri-negeri yang lebih besar. Daripada 2 Julai sehingga 16 Julai, Jawatakuasa Kesebelasan (Committe of Eleven), terdiri daripada seorang perwakilan daripada setiap negeri yang menghantar wakil, telah bertemu bagi merundingkan isu bilangan perwakilan di badan legislatif persekutuan. Semua perwakilan bersetuju dengan satu bentuk kerajaan republik yang didirikan atas dasar mewakili rakyat di setiap negeri. Bagi isu legislatif, dua perkara utama mesti dipertimbangkan : (i) bagaimana undi akan diagihkan kepada setiap negeri di dalam Kongres, dan (ii) bagaimana ahli-ahli dewan tersebut akan dipilih.
Kandungan Perlembagaan
Mukadimah Perlembagaan Amerika Syarikat menyatakan:
“Kami rakyat Negeri-Negeri Bersatu, Bagi membentuk Persatuan yang sempurna, mewujudkan Keadilan, menjaminkan Kesejahteraan dalam negara, menyediakan pertahanan awam, menggalakkan Kebajikan awam, dan mendapatkan Restu Kebebasan kepada diri kami dan Generasi depan kami, mentahbiskan dan mewujudkan Perlembagaan ini untuk Persatuan Negeri-negeri Amerika.
We the People of the United States, in Order to form a more perfect Union, establish Justice, insure domestic Tranquility, provide for the common defense, promote the general Welfare, and secure the Blessings of Liberty to ourselves and our Posterity, do ordain and establish this Constitution for the United States of America.
Mukadimah ini bukan satu undang-undang tetapi memberi sebab kepada penulisan Perlembagaan. Tiga perkataan pertama, "We the people," selalu digunakan.
Perlembagaan ini terbahagi kepada 7 bahagian utama yang dipanggil "Artikel".
- Artikel 1: Legislatif
- Artikel 2: Eksekutif
- Artikel 3: Kehakiman
- Artikel 4: Kuasa dan had kuasa negeri
- Artikel 5: Proses pindaan
- Artikel 6: Kuasa Federal
- Artikel 7: Ratifikasi
Pindaan
Perlembagaan Amerika Syarikat mempunyai 27 pindaan. Sepuluh yang pertama dikenali sebagai Undang-Undang Hak Asasi dan telah diratifikasi serentak. 17 selebihnya diratifikasi berasingan.
Antara pindaan-pindaan ini, Pindaan Pertama selalu dikaitkan dengan Amerika Syarikat sebagai negara demokrasi ideal. Pindaan Pertama menjamin kebebasan beragama, kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, dan
Helaian asal Perlembagaan
-
Ms. 1
-
Ms. 2
-
Ms. 3
-
Ms 4
Nota
a. Negara-negara lain seperti United Kingdom, Kanada dan New Zealand, serta negara-negara Komonwel yang lain, mempunyai peraka-perkara yang ditakrifkan di dalam perlembagaan seperti Akta Hak Asasi 1689 (Bill of Right 1689), serta klausa-klausa perundangan lain, yang mana dikuatkuasakan lebih dahulu berbanding Perlembgaan Amerika Syarikat yang masih berkuat kuasa sehingga hari ini.
Rujukan
- Maier 2010, p. 35.
- Goodlatte says U.S. has the oldest working national constitution, Politifact Virginia website, September 22, 2014.
Pautan luar
- ^ Maier 2010, p. 35.
- ^ "Sean Gorman". Politifact Virginia. 22 September 2024.