| Perayaan Qixi | |
|---|---|
Pertemuan Zhinü dan Niulang di Jambatan Murai, lukisan abad ke-19 di Beijing | |
Juga dikenali sebagai | Perayaan Qiqiao (乞巧節) |
Diraikan oleh/di | Masyarakat Cina |
| Jenis | Budaya, tradisional |
| Tarikh | Hari ke-7 bulan ke-7 kalendar lunisolar Cina |
| Kekerapan | Tahunan |
Berkaitan dengan | Tanabata (Jepun), Chilseok (Korea), Thất Tịch (Vietnam) |
| Qi Xi | |||||||||||||||||||||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
Qixi dalam Tulisan Cina | |||||||||||||||||||||||||||||||
| Tulisan Cina Ringkas | 七夕 | ||||||||||||||||||||||||||||||
| Tulisan Cina Tradisional | 七夕 | ||||||||||||||||||||||||||||||
| Hanyu Pinyin | Qīxī | ||||||||||||||||||||||||||||||
| Maksud harfiah | "Malam Ketujuh" | ||||||||||||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||||||||||||
Perayaan Qixi (Cina ringkas: 七夕; Cina tradisional: 七夕; pinyin: Qīxī; secara harfiahnya "Malam Ketujuh"), juga dikenali sebagai Perayaan Qiqiao (Cina ringkas: 乞巧; Cina tradisional: 乞巧; pinyin: Qǐqiǎo; secara harfiahnya "Memohon kepandaian"), ialah sebuah perayaan tradisional Cina yang meraikan pertemuan tahunan antara Zhinü dan Niulang dalam mitologi Cina.[1][2][3][4]
Perayaan ini disambut pada hari ketujuh bulan ketujuh dalam kalender lunisolar Cina.[1][2][3][4]
Sebagai satu perayaan cinta romantis, ia sering digambarkan sebagai setara dengan Hari Valentine dalam kebudayaan Cina.[5] Ia berakar dari mitos cinta rakyat: dua kekasih, Zhinü (gadis penenun) dan Niulang (penggembala lembu), dipisahkan oleh galaksi dan hanya boleh bertemu sekali setahun pada malam ketujuh bulan ketujuh.[5][2][4]
Kisah Zhinü dan Niulang telah diraikan dalam Perayaan Qixi sejak zaman Dinasti Han.[6] Rujukan bertulis paling awal kepada mitos ini ditemui dalam puisi yang berusia lebih 2,600 tahun daripada Klasik Puisi.[7]
Perayaan ini juga dikenali sebagai Perayaan Tujuh Berganda,[4] Hari Valentine Cina,[8] Malam Ketujuh,[2][9] atau Perayaan Burung Murai.[10]
Asal Usul
Kisah popular ini merupakan sebuah kisah cinta antara Zhinü (織女, gadis penenun, yang melambangkan bintang Vega) dan Niulang (牛郎, penggembala lembu, yang melambangkan Altair).[2]
Niulang sering didera oleh kakak iparnya. Akhirnya, dia dihalau keluar dari rumah dan hanya diberi seekor lembu tua. Suatu hari, lembu tua itu tiba-tiba berkata bahawa para bidadari akan turun mandi di kolam berdekatan pada malam itu, dan salah seorang daripada mereka akan tinggal di bumi jika gagal kembali ke langit sebelum pagi.
Mengikut kata lembu tersebut, Niulang pergi ke kolam itu dan melihat bidadari-bidadari yang cantik sedang mandi. Dia jatuh cinta dengan seorang daripadanya – seorang penenun dari langit. Untuk menghalangnya kembali ke langit, Niulang menyembunyikan pakaian ajaibnya, menyebabkan dia hilang kuasa dan menjadi wanita biasa. Mereka kemudian berkahwin dan mendapat dua orang anak.
Namun, Maharaja Langit (玉皇大帝, secara harfiah "Maharaja Jed") mengetahui perkara ini dan amat murka. Baginda mengarahkan pengikutnya membawa Zhinü kembali ke langit. Niulang yang patah hati dibantu sekali lagi oleh lembu tua, yang menyuruhnya menggunakan kulit lembunya untuk membuat jubah terbang dan mengejar mereka. Niulang berjaya mengejar sehingga ke langit.
Namun, Permaisuri Barat melukis satu sungai perak (Bima Sakti) di langit untuk menghalang mereka bertemu. Cinta antara Niulang dan Zhinü begitu menyentuh hati burung murai sehingga mereka datang beramai-ramai membentuk jambatan di langit, membolehkan pasangan itu bertemu kembali.
Maharaja Langit yang turut tersentuh, akhirnya membenarkan pasangan ini bertemu sekali setahun – pada hari ketujuh bulan ketujuh dalam kalender lunar Cina. Inilah asal usul Perayaan Qixi.[11][12]
Tradisi
Semasa zaman Dinasti Han, amalan sambutan perayaan ini dilakukan mengikut upacara rasmi negara.[1] Namun, dengan berlalunya masa, aktiviti perayaan ini juga melibatkan pelbagai adat yang diamalkan oleh rakyat biasa.[1]
Gadis-gadis akan mengambil bahagian dalam upacara penyembahan kepada makhluk langit (拜仙) semasa upacara ritual.[3] Mereka akan pergi ke tokong tempatan untuk berdoa kepada Zhinü agar dikurniakan kebijaksanaan.[4] Barangan kertas biasanya dibakar sebagai persembahan.[13] Mereka turut membaca doa tradisional untuk memohon kemahiran menjahit yang melambangkan kebolehan isteri yang baik.[4][14] Kadangkala, upacara ramalan dilakukan untuk meramal tahap kemahiran menjahit seseorang.[13] Mereka juga akan membuat hajat untuk bertemu jodoh dengan suami yang baik dan penyayang.[2] Semasa perayaan ini, gadis-gadis akan mempamerkan kemahiran kerja tangan mereka.[2] Dahulu, terdapat pertandingan untuk melihat siapa yang paling mahir memasukkan benang ke dalam jarum dalam keadaan cahaya malap, seperti cahaya bara api atau cahaya bulan separa.[13] Kini, ada yang akan mengumpul barangan penjagaan diri sebagai penghormatan kepada tujuh bidadari langit.[13]
Perayaan ini juga mempunyai kepentingan khas bagi pasangan yang baru berkahwin.[3] Secara tradisinya, mereka akan menyembah pasangan langit tersebut buat kali terakhir dan mengucapkan selamat tinggal kepada mereka (辭仙).[3] Perayaan ini menjadi simbol kepada perkahwinan bahagia dan menunjukkan bahawa wanita yang berkahwin dihargai oleh keluarga barunya.[3]
Pada malam perayaan, masyarakat Cina akan melihat ke langit mencari bintang Vega dan Altair yang bersinar di langit bersama Deneb – bintang ketiga yang membentuk jambatan simbolik antara kedua-duanya.[6] Dikatakan bahawa jika hujan turun pada malam itu, ia adalah kerana sungai langit telah menghanyutkan jambatan burung murai, atau ia merupakan air mata pasangan yang terpisah.[15] Berdasarkan legenda mengenai burung murai yang membentuk jambatan untuk menyatukan pasangan tersebut, sepasang burung murai menjadi simbol kebahagiaan rumahtangga dan kesetiaan.[16]
Adat pemakanan semasa Perayaan Qixi berbeza mengikut tempat, dan dikenali sebagai "makan makanan Qiao". Makanan tradisional paling terkenal ialah Qiao Guo, yang mempunyai sejarah lebih seribu tahun dan mula terkenal sejak zaman Dinasti Song.[perlu rujukan] Bahan asasnya ialah tepung, minyak dan madu, kadangkala ditambah bijan, kacang tanah, kekacang, kelopak mawar dan bahan-bahan lain. Selepas dicampurkan, ia akan digoreng sehingga rangup. Selain itu, masyarakat juga makan gula-gula rangup, manisan dan buah-buahan sebagai lambang harapan untuk kepandaian, kesihatan keluarga, dan kebahagiaan hidup.
Kesusasteraan
Banyak karya sastera seperti puisi, lagu dan opera telah dihasilkan sempena perayaan ini serta tentang kisah Pengembala Lembu dan Gadis Penenun, sejak zaman Dinasti Zhou melalui karya Klasik Puisi (Classic of Poetry).[17][18][19] Banyak puisi menggambarkan suasana perayaan ini atau menceritakan kisah-kisah berkaitan, yang kini menjadi warisan sastera berharga dan membantu para sarjana moden memahami adat resam, emosi dan pandangan masyarakat silam mengenai perayaan ini.[18]
- 迢迢牽牛星 – Tanpa Nama (Dinasti Han) Jauh, Jauh di Sana Si Pengembala – Anonim (puisi yuefu dinasti Han)[18]
迢迢牽牛星,
皎皎河漢女。
纖纖擢素手,
札札弄機杼。
終日不成章,
泣涕零如雨。
河漢清且淺,
相去復幾許?
盈盈一水間,
脈脈不得語。
Jauh, jauh di sana Si Pengembala Bintang,
Indahnya Gadis Penenun bersinar terang.
Lincah jarinya yang halus menjalin benang,
Bunyi rakit tenun berdenting terang.
Seharian menenun, kain tak selesai,
Air mata mengalir umpama hujan yang lebat.
Sungai langit bening dan cetek,
Namun mereka masih terpisah,
Antara dua tebing yang tidak jauh,
Mereka menatap diam, tiada mampu berkata.
(Diterjemah oleh Yang Xianyi dan Gladys Yang)[20]
- 秋夕 – Du Mu (Dinasti Tang) Malam Musim Luruh – Du Mu
銀燭秋光冷畫屏,
輕羅小扇撲流螢。
天階夜色涼如水,
坐看牽牛織女星。
Cahaya lilin berkelip di tabir lukisan pada malam luruh yang dingin,
Tangannya memegang kipas sutera kecil menghalau kelip-kelip.
Langit malam bertabur bintang sejuk seperti air,
Dia duduk memandang Altair dan Vega, pasangan bercinta di langit.
(Diterjemah oleh Betty Tseng)[21]
- 鵲橋仙 – Qin Guan (Dinasti Song) Dewa di Jambatan Murai – Qin Guan
纖雲弄巧,
飛星傳恨,
銀漢迢迢暗渡。
金風玉露一相逢,
便勝却人間無數。
柔情似水,
佳期如夢,
忍顧鶴橋歸路。
兩情若是久長時,
又豈在朝朝暮暮。
Awan tipis seperti karya seni,
Bintang berlari membawa rindu.
Di seberang Sungai Perak, Pengembala dan Gadis Penenun bertemu.
Bila Angin Emas musim luruh bertemu Embun Jade,
Segala kisah cinta di bumi pudar begitu sahaja.
Cinta mereka mengalir seperti sungai,
Janji temu bagaikan mimpi indah.
Bagaimana mereka sanggup berpisah semula?
Jika cinta sejati kekal selamanya,
Apa perlu bersama setiap pagi dan petang?
(Diterjemah oleh Xu Yuanchong)[22]
Tarikh
Hari ketujuh bulan ketujuh takwim lunisolar pada sepuluh tahun akan datang:
- 2007-08-19
- 2008-08-07
- 2009-08-26
- 2010-08-16
- 2011-08-06
- 2012-08-23 (Catatan: Jepun ialah 2012-08-24 kerana perbezaan masa.)
- 2013-08-13
- 2014-08-02
- 2015-08-20
- 2016-08-09
Lihat juga
- Perayaan Kuih Bulan
- Mitos Cina
- Astrologi Cina
- Tanabata - Qi Xi di Jepun
- ^ a b c d Zhao 2015, 13.
- ^ a b c d e f g Brown & Brown 2006, 72.
- ^ a b c d e f Poon 2011, 100.
- ^ a b c d e f Melton & Baumann 2010, 912–913.
- ^ a b Wei, Liming (2010). Chinese Festivals: Traditions, Customs and Rituals (ed. Second). Beijing: China Intercontinental Press. m/s. 43–46. ISBN 9787508516936.
- ^ a b Schomp 2009, 70.
- ^ Schomp 2009, 89.
- ^ Welch 2008, 228.
- ^ Chester Beatty Library, dalam talian Diarkibkan 2014-10-22 di Wayback Machine.
- ^ "Magpie Festival". prezi.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 18 November 2021. Dicapai pada 2021-11-18.
- ^ "Saint Valentine's Day: The Legend of Magpie Bridge". www.novareinna.com. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 April 2021. Dicapai pada 2021-04-25.
- ^ "七夕节的由来和风俗简介_七夕节的来历和风俗特点". www.xuexi.la. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 April 2021. Dicapai pada 2021-04-25.
- ^ a b c d Stepanchuk & Wong 1991, 83
- ^ Kiang 1999, 132.
- ^ Stepanchuk & Wong 1991, 82
- ^ Welch 2008, 77.
- ^ "Cowherd and the Weaving Girl". en.chinaculture.org. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Mac 2023. Dicapai pada 11 Mac 2023.
- ^ a b c Ralat petik: Tag
<ref>tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama中國節日的故事 2001 - ^ Zhang, Megan (25 Ogos 2020). "Qixi: The story, past and present, of Chinese Valentine's Day". The China Project. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Mac 2023. Dicapai pada 11 Mac 2023.
- ^ Ralat petik: Tag
<ref>tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernamaYang Far, far away, the Cowherd - ^ "English Translation of Chinese Poetry – 中文詩詞英譯". 28utscprojects.wordpress.com (dalam bahasa Inggeris). 23 November 2010. Dicapai pada 11 Mac 2023.
- ^ 许渊冲 (1 Januari 2021). 许渊冲译宋词三百首(上册). Beijing Book Co. Inc. ISBN 978-7-999218-42-5. Dicapai pada 11 Mac 2023.








