Raja Mahmud | |
---|---|
Raja Muda Negeri Selangor Darul Ehsan ke 05 | |
![]() Raja Muda Haji Mahmud dari Selangor | |
Raja Muda Selangor ke-5 | |
Pemerintahan | 1853 - 1859 |
Didahului oleh | Raja Muhammad Shah |
Diikuti oleh | Raja Muda Musa ibni Sultan Abdul Samad |
Tok Penghulu Mukim Ulu Semenyih, Daerah Hulu Langat | |
Pemerintahan | 1860 - 1902 |
Ahli Jawatankuasa Lembaga Kebersihan Kuala Lumpur | |
Pemerintahan | 1902 - 1914 |
Ketua Penempatan Pertanian Melayu (Kampung Baru, Kuala Lumpur) | |
Pemerintahan | 1902 - 1914 |
Keputeraan | Raja Mahmudd Ibni Raja Muhammad 1849 Istana Kuala Selangor |
Kemangkatan | 1919 Kuala Selangor |
Pemakaman | 1919 Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang, Jalan Ampang, Mukim Bukit Hilir ran, Daerah Kuala Lumpur, Negeri Selangor Darul Ihsan Malaysia |
Anakanda | Raja Endut, Raja Kechil, Raja Long, Raja Ja'afar, Raja Putra, Raja Abdul Rahman, Raja Putri
|
Ayahanda | Sultan Muhammad Shah ibni Sultan Ibrahim Shah |
Bonda | Tengku Ampuan Basik binti Arung To' Mojong |
Agama | Sunni |
Raja Mahmud ibni Sultan Muhammad Shah atau dikenali sebagai Raja Muda Mahmud dilahirkan pada tahun 1849 di Istana Kuala Selangor, Bukit Malawati |[1] dan mangkat pada tahun 1919 adalah seorang tokoh bangsawan dari kerabat diraja Kesultanan Selangor Darul Ehsan.
Baginda pernah dilantik sebagai Raja Muda negeri Selangor dan memainkan peranan penting dalam kemajuan dan pembangunan Kuala Lumpur yang pada ketika itu menjadi pusat pemerintahan negeri Selangor.
Keluarga
Ayahanda baginda ialah DYMM Sultan Muhammad Shah, Sultan Selangor yang ketiga. Manakala ibunda baginda pula ialah DYMM Tengku Ampuan Basik binti Arung To' Mojong, merupakan permaisuri Selangor, isteri pertama daripada tiga orang isteri Sultan Muhammad Shah. Tidak diketahui nama isteri kepada baginda Raja Mahmud dan berapa orang semuanya tetapi baginda telah dikurniakan enam orang putera dan seorang puteri iaitu:
- Y.M. Raja Endut bin Raja Mahmud.
- Y.M. Raja Kechil bin Raja Mahmud.
- Y.M. Raja Long bin Raja Mahmud.
- Y.M. Raja Ja'afar bin Raja Mahmud.
- Y.M. Raja Putra bin Raja Mahmud.
- Y.M. Raja Abdul Rahman bin Raja Mahmud.
- Y.M. Raja Putri binti Raja Mahmud.
Krisis Penggantian Sultan
Pada tahun 1853, telah berlakunya pertelingkahan di antara putera-putera Sultan Muhammad Shah iaitu Raja Sulaiman, Raja Uthman dan Raja Yusuf yang berebutkan jawatan Raja Muda Selangor. Namun perebutan tersebut tamat dengan sendirinya apabila ketiga-tiga anak raja tersebut telah mangkat terlebih dahulu sebelum Sultan Muhammad Shah sendiri, misalnya Raja Sulaiman telah mangkat pada tahun 1853. Pada masa itulah dikatakan Sultan Muhammad Shah telah mengangkat Raja Mahmud sebagai Raja Muda Selangor, walaupun pada masa itu baginda masih kecil.[2]
Walaupun terdapat dakwaan bahawa Sultan Muhammad Shah telah melantik Raja Mahmud sebagai Raja Muda, namun demikian ada juga ditegaskan bahawa setakat ini tidak terdapat bukti-bukti sama ada berdasarkan fakta dan undang-undang bahawa Raja Mahmud pernah menduduki jawatan Raja Muda. Namun begitu, tidak dinafikan ada di antara pegawai ketika itu memanggil baginda dengan panggilan Raja Muda.[3][4]
Apabila Sultan Muhammad Shah mangkat pada tahun 1857, balunya Tengku Ampuan Basik, yang disokong oleh Nakhoda Omar dan Che Tambah Hitam mencadangkan supaya Raja Mahmud yang ketika itu berusia lapan tahun diiktiraf sebagai Raja Muda; manakala Raja Unos (Yunus) sebagai Sultan Selangor. Manakala menurut Haji Buyong Adil di dalam buku Sejarah Selangor menyatakan bahawa Tengku Ampuan Basik mahukan puteranya Raja Muda Mahmud ditabalkan sebagai sultan dan Raja Abdullah, adik Raja Jumaat dari dinasti Johor Riau sebagai Raja Muda.[5] Cadangan ini tidak disokong oleh pembesar lain kerana mereka seperti Dato' Aru Pasangan, Dato' Penggawa Permatang, Dato' Jeram dan Dato' Kaya Klang menyokong supaya Tengku Panglima Besar iaitu Raja Abdul Samad ibni Raja Abdullah ibni Sultan Ibrahim dilantik sebagai Sultan Selangor. Raja Jumaat dan Raja Abdullah juga menyokong Raja Abdul Samad. Tengku Ampuan Basik akhirnya mengalah dan menerima cadangan para pembesar. Dengan itu Dato' Aru dan Dato' Penggawa datang ke Langat meminta Raja Abdul Samad menjadi Sultan Selangor.[6]
Dikatakan Sultan Abdul Samad telah menjaga Raja Mahmud yang masih kanak-kanak dan kemudiannya gelaran Raja Muda yang disandang oleh Raja Mahmud akhirnya hilang.[7] Tengku Ampuan Basik tidak henti berikhtiar mencari jalan supaya puteranya itu dapat menaiki takhta kerajaan, hinggakan beliau cuba meminta campur tangan Inggeris di Singapura. Pada 1858, Tengku Ampuan Basik mengajukan surat kepada Gabenor E.A. Blunddell menyatakan bahawa para pembesar Selangor telah memilih Raja Mahmud sebagai Raja Muda. Padahal Gabenor Singapura itu telahpun dimaklumkan bahawa Raja Abdul Samad sudah terpilih menjadi Sultan Selangor. Gabenor menjawab bahawa pemilihan Sultan Selangor itu terserahlah pada orang-orang besar Selangor. Pemilihan Raja Abdul Samad ini diakui kemudiannya oleh Tengku Ampuan Basik dalam suratnya kepada Gabenor bertarikh 1860, yang mana mencatatkan bahawa Raja Abdul Samad dipilih dengan sebulat suara.[8][9][10]
Perwatakan
Raja Mahmud disifatkan sebagai seorang yang berkebolehan baik dari segi pencapaian intelek, berpandangan luas mahupun idea yang berprogresif. Baginda boleh bercampur gaul dengan semua golongan masyarakat Eropah tetapi tetap mempertahankan pandangannya. Bagi orang Eropah hanya dengan baginda sahaja yang mereka boleh berbincang tentang hal-hal yang berfaedah.[11]
Baginda tidak diketahui pernah terlibat dengan Perang Saudara Selangor. Nama "Raja Mahmud" yang terlibat sebagai tokoh dalam peperangan itu selalu dikelirukan dengan dikaitkan kepada baginda sedangkan nama tersebut adalah merujuk individu lain iaitu Raja Mahmud bin Tengku Panglima Raja.
Perebutan takhta Selangor hanya dilakukan oleh bonda baginda ketika baginda masih kanak-kanak. Apabila baginda dewasa tidak direkodkan baginda ada membuat cubaan untuk mencabar keabsahan Sultan yang sedia ada walaupun baginda berhak berbuat demikian. Bahkan ketika istiadat Kemahkotaan Sultan Alauddin Sulaiman Shah pada 23 Oktober 1903, baginda mengambil bahagian dengan menjawat jawatan Penghulu Permainan, bertanggungjawab mengatur hiburan dan persembahan untuk majlis kemahkotaan. Ikrar taat setia baginda telah dirakamkan oleh Dato' Penghulu Istiadat Wan Muhammad Amin bin Wan Muhammad Sa'id dalam bukunya Kenang-kenangan Selangor[12]:
Kemudian Bentara Kiri berseru pula akan nama Raja Mahmud bin Sultan Muhammad. Maka Raja Mahmud pun berdiri seraya berkata, "Patik sekalian Ahlul Hal telah menzahirkan bagi Duli Yang Maha Mulialah takhta Kerajaan Negeri Selangor dan sekalian takluk jajahannya. Tuankulah yang berdaulat." Maka berkatalah sekalian orang, "Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku".
Jawatan Yang Disandang
Selain pernah menyandang jawatan Raja Muda Selangor dari tahun 1853 hingga 1859, baginda juga telah dilantik sebagai Penghulu Semenyih pada tahun 1897, baginda memegang jawatan tersebut setelah ianya disandang selama beberapa tahun oleh Raja Amin. Nama asal Semenyih ialah Sungai Monyet.[13]
Selain itu, baginda juga memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Sanitary Board Kuala Lumpur (sekarang Majlis Bandaraya Kuala Lumpur) dari tahun 1902 hingga 1914. Baginda juga adalah Penghulu kepada Malay Agricultural Settlement (sekarang dinamakan Kampung Baru Kuala Lumpur). Ketika baginda menjadi Penghulu di Kuala Lumpur, terdapat banyak kebun di Bukit Nanas yang mendapat surat kebenaran daripada baginda untuk diusahakan hingga Kuala lumpur semakin lama semakin ramai dan memangkin banyak perniagaan orang Melayu.[14] Antara yang mendapat kebenaran membuka kebun di Bukit Nanas ialah Dato' Dagang Dianjuk Abdullah Hukum[15][16]:
Pada masa Raja Mahmud ibn Sultan Muhammad menjadi Penghulu Kuala Lumpur saya mendapat surat kebenaran membuka kebun di Bukit Nenas kemudian saya mendapat surat kebenaran daripada Tuan Maxwell dan Raja Laut membuka Sungai Putih, iaitu Bangsar Road sekarang.
Elaun
Dalam Majlis Mesyuarat Negeri Selangor ke-56, pada 16 Julai 1887, Sultan Abdul Samad bersama-sama J.P. Rodger, Raja Sulaiman, Raja Kahar dan Raja Hassan berbincang mengenai kenaikan elaun terhadap kerabat diraja Selangor, antaranya termasuklah elaun Raja Mahmud ibnu Sultan Muhammad Shah. Baginda yang pada tahun 1887 mendapat elaun sebayak $1,080 telah dinaikkan kepada $1,200 pada tahun 1888.[17]
Legasi
Nama baginda diabadikan pada Jalan Raja Mahmud di Kuala Lumpur sebagai menghargai jasa-jasa baginda.[18]
Kemangkatan
Baginda telah mangkat pada tahun 1919 dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang.[19]
Nota kaki
- ^ Y.T.M. Raja Mahmud ibni al-Marhum Sultan Muhammad Shah, Raja Muda (cre. 1857). b. at the Istana, Kuala Selangor
- ^ Buyong Adil (2019). Sejarah Selangor (Edisi Semakan). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s 54-55
- ^ C.O. 717/117, Memorial presented on behalf of His Highness Tungku [Tengku] Badar Shah, Tungku [Tengku] Panglima Besar of Selangor, concerning His Right and claim to be appointed Raja Muda of Selangor, m/s 6
- ^ Adnan Haji Nawang & Mohd. Fadzil Othman (1992). Selangor Sejarah dan Proses Pembangunannya. Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan Lembaga Muzium Sultan Alam Shah Selangor Darul Ehsan. m/s 88
- ^ Buyong Adil (2019). Sejarah Selangor (Edisi Semakan). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s 58-59
- ^ C.O. 717/117, Opinion of The Chiefs of Selangor, Dato' Penggawa Tua Muhammad Shah, Kampung Kuantan, 1 Mac 1936
- ^ C.O. 717/105, Pesuruhjaya Tinggi kepada Sir Philip Cunliff-Lister, 17 Mei 1934, Enclosure 2, "Historical Narrative"
- ^ Selangor Sejarah dan Proses Pembangunannya. Kuala Lumpur: Jabatan Sejarah Universiti Malaya dan Lembaga Muzium Sultan Alam Shah Selangor Darul Ehsan. 1992. m/s 89
- ^ Buyong Adil (2019). Sejarah Selangor (Edisi Semakan). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. m/s 59
- ^ Yusoff Hassan PJK (1983). Jugra Dalam Sejarah. Kuala Lumpur: Penerbitan Tra-Tra. m/s 7
- ^ Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus (2001). Sanitary Board Kuala Lumpur: Peranan dan Pentadbiran 1890-1914. Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia. m/s 64
- ^ Wan Muhammad Amin, Dato' Amar Diraja Penghulu Isti'adat Selangor Darul Ehsan (1916) (Dikaji dan diperkenalkan oleh Mardiana Nordin) (2020). Kenang-Kenangan Selangor. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan. m/s 86
- ^ J.M. Gullick (2007). History From The Selangor Journal 1892-1897. Selangor: The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. m/s 84-85
- ^ Tan Sri Datuk Seri Dr. Suleiman Mohamed (2020). Diaspora Khatib Koyan Penghulu Di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Dr. Suleiman Mohamed. m/s 64
- ^ Adnan Haji Nawang (1997). Kuala Lumpur Dari Perspektif Haji Abdullah Hukum. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd. m/s 30
- ^ Dato' Dagang Dianjuk Haji Abdullah Hukum bin Haji Abdul Rahim (10 November 1935). Riwayat Kuala Lumpur. Singapura: Warta Ahad.
- ^ Minutes of Selangor Council/1486/80, Minutes of the 56th Meeting of the State Council Held at Jugra on Saturday, July 16th,1887
- ^ https://selangorkini.my/2023/09/jejaki-warisan-kesultanan-selangor-di-kuala-lumpur/
- ^ https://www.geni.com/people/Raja-Mahmud-Ibni-Sultan-Muhammad-Shah-Raja-Muda-of-Selangor/6000000008726367454