
Ram Mohan Roy, Raja Ram Mohan Roy, Ram Mohun juga dieja Rammohun, Rammohan, atau Ram Mohan (Benggali: রাজা রামমোহন রায়; 22 Mei 1772 – 27 September 1833), ialah seorang pengislah atau reformis keagamaan, sosial dan pendidikan India. Beliau juga orang yang berperikemanusiaan yang mencabar budaya Hindu tradisional dan melopori laluan kemajuan masyarakat India semasa di bawah pemerintahan Brtish. Beliau digelar "Pengasas India Moden" dan "Bapa India Moden".[1] Selain itu, beliau dinobat sebagai "Bapa Pembaharuan Bengal": beliau, bersama-sama Dwarkanath Tagore dan orang Bengal lain mengasaskan Brahmo Sabha dalam tahun 1828. Pertubuhan ini mengasakan Brahmo Samaj, sebuah pergerakan pengislahan sosio-agama yang amat berpengaruah semasa Pembaharuan Bengal.
Ram Mohan Roy berkempen untuk mengharamkan amalan Sati dalam kalangan masyarakat India.
Kehidupan Awal
Raja Rammohan Roy (1772–1833), pengasas Brahma Samaj, dilahirkan di Radhanagar, sebuah kampung di daerah Hoogly, Bengal pada tahun 1772. Tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan awalnya. Datuk moyangnya, Krishnakanta Bandyopadhyay, adalah seorang Brahmin Kulin Rarhi (bangsawan). Dalam kalangan Brahmin Kulin — keturunan lima keluarga Brahmin yang dikatakan berhijrah dari Kannauj atas perintah Ballal Sen pada abad ke-12 mengikut mitos yang popular — mereka dari daerah Rarhi di Bengal Barat terkenal pada abad ke-19.
Bapanya, Ramkanta, merupakan seorang penganut aliran Vaisnava, manakala ibunya, Tarini Devi, berasal dari keluarga pengikut aliran Saivisme.
Rammohan Roy berkahwin sebanyak tiga kali. Isteri pertamanya meninggal dunia pada usia muda. Dengan isteri keduanya, beliau mendapat dua orang anak lelaki, Radhaprasad pada tahun 1800 dan Ramaprasad pada tahun 1812. Isteri keduanya meninggal dunia pada tahun 1824. Isteri ketiganya pula masih hidup selepas kematian beliau.
Pendidikan
Roy menetap di Kolkata pada tahun 1814. Pada waktu beliau mula dikenali, beliau sudahpun merupakan seorang cendekiawan dalam bahasa Sanskrit, Parsi dan Arab. Kemudian, beliau turut menguasai bahasa Inggeris.
Sumbangan
Pada tahun 1828, beliau menubuhkan Brahmo Sabha bersama Debendranath Tagore. Menjelang tahun itu, beliau sudah menjadi tokoh yang dikenali di seluruh India. Pada tahun 1830, beliau berangkat ke England sebagai dutanya Maharaja Mughal, Akbar Shah II, yang telah mengurniakan gelaran ‘Raja’ kepadanya untuk mewakili baginda ke istana Raja William IV.
Buku Gaudiya Vyakaran karangan beliau diterbitkan pada tahun 1826 dan merupakan karya pertama yang lengkap dalam tatabahasa bahasa Bengali.
Pada tahun 1828, beliau menubuhkan Brahmo Sabha bersama Debendranath Tagore. Menjelang tahun itu, beliau sudah menjadi tokoh yang dikenali di seluruh India. Pada tahun 1830, beliau berangkat ke England sebagai dutanya Maharaja Mughal, Akbar Shah II, yang telah mengurniakan gelaran ‘Raja’ kepadanya untuk mewakili baginda ke istana Raja William IV.
Beliau tidak berpuas hati dengan beberapa amalan agama Hindu pada zamannya seperti penyembahan berhala, perkahwinan kanak-kanak, dan amalan sati (membakar balu di atas pembakaran mayat suami), serta nasib balu muda yang sering terabai. Setelah mengkaji dengan mendalam kitab-kitab Dharmasastra (kitab undang-undang Hindu), beliau membuat kesimpulan bahawa amalan-amalan tersebut adalah tambahan kemudian dan telah menyebabkan kemerosotan dalam masyarakat Hindu.
Penubuhan Brahmo Samaj
Dengan hasrat untuk memperbaiki nilai dan amalan sosial Hindu serta mengembalikannya kepada sumber asalnya, iaitu ajaran Upanisad, beliau menubuhkan Brahmo Samaj pada 20 Ogos 1828. Dalam usahanya ini, beliau dibantu oleh tokoh-tokoh terkenal seperti Ramacandra Vidyavagisa, Utsavananda Vidyavagisa dan Taracandra Cakravarti. Pada tahun 1830, beliau berjaya membina sebuah bangunan yang menjadi pusat pertubuhan tersebut.
Pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19, masyarakat Hindu berada dalam keadaan gawat. Pendidikan Inggeris dan pengaruh budaya Kristian yang dibawa oleh penjajah British serta gereja Kristian memberi kesan yang mendalam terhadap pemikiran generasi muda. Ramai yang mula hilang kepercayaan terhadap agama mereka sendiri, Hindu, serta nilai dan budaya kehidupan Hindu. Pada saat genting inilah muncul tiga gerakan kebangkitan semula daripada tubuh agama Hindu. Brahma Samaj merupakan gerakan terawal, diikuti oleh Arya Samaj dan Ramakrishna Mission.
Pengaruh terhadap Gerakan Pembaharuan Sosial India
Usaha Raja Rammohan Roy dalam memperjuangkan hak wanita, pendidikan, dan pembaharuan sistem kasta telah diteruskan oleh tokoh-tokoh reformis selepasnya seperti Ishwar Chandra Vidyasagar (yang memperjuangkan perkahwinan semula bagi balu), Jyotirao Phule (pendidikan untuk golongan kasta rendah dan wanita), serta Swami Vivekananda (yang menekankan kerohanian yang rasional dan praktikal).[2]
Brahmo Samaj yang diasaskan oleh Roy turut meneruskan agenda pembaharuannya dan memberi pengaruh besar kepada gerakan pembaharuan yang lahir kemudian seperti Arya Samaj dan Prarthana Samaj.[3]
Pengaruh Raja Rammohan Roy jelas kelihatan dalam bidang politik, pentadbiran awam, pendidikan dan agama. Beliau terkenal dengan usahanya untuk menghapuskan amalan sati dan perkahwinan kanak-kanak. Roy menulis Gaudiya Vyakaran, iaitu buku tatabahasa Bengali yang pertama lengkap ditulis.
Pelopor Kewartawanan India
Pada tahun 1821, Raja Rammohan Roy melancarkan Sambad Kaumudi (bererti Cahaya Berita), sebuah akhbar berbahasa Bengali yang bertujuan mendidik masyarakat India tentang isu-isu semasa dalam bidang sosial dan politik.[4] Penerbitan ini memainkan peranan penting dalam menyuarakan pembaharuan progresif seperti hak wanita, penghapusan amalan Sati, dan galakan kepada pendidikan moden.[5] Dengan memilih bahasa Bengali sebagai medium, Roy memastikan mesej-mesejnya dapat disampaikan kepada khalayak yang lebih luas, terutamanya golongan bukan elit yang tidak fasih berbahasa Inggeris.
Setahun kemudian, pada tahun 1822, beliau menubuhkan Mirat-ul-Akhbar (Cermin Berita), sebuah akhbar berbahasa Parsi. Pada ketika itu, bahasa Parsi merupakan bahasa rasmi pentadbiran dan ilmu di India, menjadikan akhbar ini medium penting untuk menyampaikan pemikiran kepada golongan elit India dan cendekiawan berbahasa Parsi (Gupta, 2017). Melalui Mirat-ul-Akhbar, Roy membincangkan peristiwa global semasa, mengkritik dasar British, dan mempromosikan fahaman rasionalisme serta humanisme. Namun, disebabkan peningkatan penapisan oleh pihak British, Roy terpaksa menutup akhbar tersebut pada tahun 1823 sebagai tanda protes terhadap Akta Peraturan Pelesenan yang bersifat menindas.[6]
Penulisan
Karya-karya
- Vedanta Gantha: Diterbitkan pada 1815
- A Conference between the Advocate for, and an Opponent of Practice of Burning Widows Alive: Diterbitkan pada 1818 dalam bahasa Benggali dan bahasa Inggeris
- A Defence of Hindu Theism: Diterbitkan pada 1820
- The Precepts of Jesus- The Guide to Peace and Happiness: Diterbitkan pada 1820
- Bengali Grammar: Diterbitkan pada 1826
- The Universal Religion: Diterbitkan pada 1829
- History of Indian Philosophy: Diterbitkan pada 1829
Akhbar
- Mirat-ul-Akhbar
- Sambad Kaumudi,suratkhabar mingguan dalam bahasa Benggali diterbitkan di Kolkata pada awal kurun ke-19
Warisan

Sebuah Blue Plaque telah dikeluarkan oleh Greater London Council dan dipasang pada dinding rumah di 49 Bedford Square, tempat Raja Rammohan Roy menetap semasa berada di United Kingdom.
Komitmen Roy terhadap pendidikan dan pemikiran Inggeris telah mencetuskan perdebatan antara Mahatma Gandhi dan Rabindranath Tagore. Gandhi membantah kesetiaan Roy terhadap pendidikan Inggeris dan pandangan Barat, serta menyifatkan beliau terlalu menyokong wacana falsafah Barat sehingga mengabaikan pemikiran bebas. Sebaliknya, Tagore menolak pandangan Gandhi dalam sepucuk surat, dengan menulis: "[Roy] mewarisi sepenuhnya kebijaksanaan India. Beliau bukan seorang murid kecil kepada Barat, justeru beliau memiliki maruah untuk menjadi sahabat kepada Barat."

Pada tahun 1983, satu Pameran Penuh mengenai Ram Mohan Roy telah diadakan di Muzium dan Galeri Seni Bristol. Potret besar beliau yang dilukis oleh Henry Perronet Briggs pada tahun 1831 masih tergantung di situ dan pernah menjadi subjek syarahan oleh Max Muller pada tahun 1873. Di tengah kota Bristol, di College Green, terdapat sebuah patung gangsa bersaiz sebenar yang menggambarkan Raja Rammohan Roy, dihasilkan oleh pengukir moden dari Kolkata, Niranjan Pradhan. Sebuah lagi arca separuh badan (bust) hasil karya Pradhan yang dihadiahkan kepada Bristol oleh Jyoti Basu pula ditempatkan di ruang legar utama City Hall Bristol.
Sebuah laluan pejalan kaki di Stapleton telah dinamakan "Rajah Rammohun Walk". Terdapat sebuah plak Brahmo yang bertarikh 1933 pada dinding barat luar Stapleton Grove, dan kawasan perkuburan awal Roy ditandai dengan pagar besi dan batu peringatan granit. Makam serta chhatri (kubah peringatan) beliau di Arnos Vale kini tersenarai sebagai tapak bersejarah Grade II oleh English Heritage.[7][8]
Dalam Budaya Popular
Sebuah filem berbahasa Bengali dari India bertajuk Raja Rammohan, yang mengisahkan tentang usaha pembaharuan beliau, telah diterbitkan pada tahun 1965. Filem ini diarahkan oleh Bijoy Bose dengan Basanta Chowdhury memegang watak utama sebagai Raja Rammohan Roy.
Pada tahun 1988, saluran Doordarshan menayangkan siri Bharat Ek Khoj yang diterbit dan diarahkan oleh Shyam Benegal. Siri ini menampilkan satu episod penuh yang menggambarkan kisah hidup Raja Rammohan Roy. Watak beliau dimainkan oleh pelakon TV terkenal Anang Desai, bersama Urmila Bhatt, Tom Alter dan Ravi Jhankal sebagai pelakon sokongan.
Pada tahun 1984, Films Division of India menghasilkan sebuah dokumentari bertajuk Raja Rammohan Roy, diarahkan oleh P. C. Sharma.
Pada tahun 2004, Raja Rammohan Roy telah menduduki tangga ke-10 dalam undian BBC bagi “Tokoh Bengali Terunggul Sepanjang Zaman”.
Lihat juga
Rujukan
- ^ Beck, Rodger B. et al. Modern World History: Patterns of Interaction.
- ^ Chattopadhyay, B. (2020). Indian Renaissance: The Social and Cultural Reforms of Raja Ram Mohan Roy. Routledge
- ^ Basu, S. (2021). Raja Ram Mohan Roy and the Making of Modern India. Oxford University Press.
- ^ Manohar, Sarvajith Kumar J, Raja Ram Mohan Roy: The Pioneer Of Indian Journalism And Social Reform, IJCRT, Volume 13, Issue 2 February 2025, ISSN: 2320-2882
- ^ Natarajan, J. (1955). History of Indian Journalism. Publications Division, Ministry of Information and Broadcasting, Government of India.
- ^ Sharma, R. (2015). The Power of the Press: Raja Ram Mohan Roy and the Development of Indian Journalism. South Asian Historical Review, 8(2), 78-99
- ^ https://arnosvale.org.uk/the-raja-reformer-radical-and-religious/
- ^ https://arnosvale.org.uk/the-raja-reformer-radical-and-religious/