Sandilya Upanisad (Sanskrit: शाण्डिल्य उपनिषत्, IAST: Śāṇḍilya Upaniṣad) ialah sebuah teks Sanskrit dan termasuk dalam kumpulan Upanisad kecil dalam agama Hindu. Ia merupakan salah satu daripada dua puluh Yoga Upanisad dalam keempat-empat Veda, dan dikaitkan dengan Atharvaveda. Kandungannya berfokus kepada teknik-teknik yoga, dan dianggap antara yang paling terperinci dalam kumpulan teks Upanisad yang didedikasikan untuk yoga.
Kitab ini mengandungi tiga adhyaya (bab), yang dibahagikan kepada 14 khanda (bahagian kecil) dengan jumlah keseluruhan 147 mantra.
Walaupun dikategorikan sebagai Upanisad kecil dan tergolong dalam kumpulan Atharvaveda, Sandilya Upanisad merupakan karya yang agak panjang dan membicarakan secara menyeluruh satu topik yang rumit, iaitu yoga.[1]
Sinopsis
Kitab ini mengandungi tiga adhyaya (bab), yang dibahagikan kepada khanda (bahagian kecil) dengan jumlah keseluruhan 14 khanda dan 147 mantra.
Bab Pertama (11 khanda, 120 mantra)
Khanda 1: Sandilya bertanya kepada gurunya, Atharvana, tentang ashtanga yoga (yoga dengan lapan langkah), iaitu yama, niyama, asana, pranayama, pratyahara, dharana, dhyana dan samadhi. Sepuluh jenis yama dijelaskan, antaranya ahimsa (tidak mencederakan), satya (benar), asteya (tidak mencuri), brahmacarya (menjaga kesucian), daya (belas kasihan), arjava (jujur), kshama (pemaaf), dhriti (tabah), mitahara (makan secara sederhana) dan sauca (kebersihan).
Khanda 2: Sepuluh jenis niyama dihuraikan, termasuk tapas (tapa), santosa (reda), astikya (percaya kepada Veda), dana (pemberian), isvarapujana (menyembah Tuhan), siddhantasravana (mendengar ajaran Vedanta), hri (malu dalam kebaikan), mati (keyakinan dalam ritual Veda), japa (pengulangan mantra) dan vrata (mematuhi perintah Veda).
Khanda 3: Lapan jenis asana dibicarakan iaitu svastika, gomukha, padma, vira, simha, bhadra, mukta dan mayura. Asana yang diamalkan dengan betul dapat menghapuskan penyakit tubuh.
Khanda 4: Penjelasan teknikal tentang saluran tenaga (nadi), khususnya sushumna nadi, kundalini, sepuluh prana dan fungsinya.
Khanda 5: Kelayakan seseorang untuk berlatih yoga termasuk pengawalan diri, tidak terikat pada dunia, cintakan kebenaran, taat kepada ibu bapa dan guru. Turut dijelaskan ciri tempat yang sesuai untuk mendirikan asrama latihan yoga.
Khanda 6: Menghuraikan pranayama, kaedah penyelarasan peringkatnya (recaka, puraka, kumbhaka) dengan tiga suku kata pranava (a, u, m) dan meditasi terhadap tiga aspek Dewi (Gayatri, Savitri, Sarasvati).
Khanda 7: Mengupas disiplin Hatha Yoga seperti pembersihan sushumna, teknik pranayama, diet, bandha, mudra, kawalan minda, pencapaian siddhi, kesihatan, dan samyama.
Khanda 8-9: Lima jenis pratyahara (penarikan deria) dan lima jenis dharana (pemusatan fikiran).
Khanda 10: Dua jenis dhyana—saguna (berbentuk) dan nirguna (tanpa bentuk).
Khanda 11: Samadhi, iaitu penyatuan jiwa individu (jiva) dengan Paramatman yang membawa kebahagiaan tanpa batas.
Bab Kedua (1 khanda, 6 mantra)
Menghuraikan sifat Brahman yang tidak beratribut, melampaui fikiran dan kata-kata, dan merangkumi segala kewujudan. Ia hanya dapat direalisasikan melalui guru yang benar.
Bab Ketiga (2 khanda, 21 mantra)
Khanda 1: Sandilya bertanya bagaimana Brahman yang satu menjadi alam semesta yang beraneka. Atharvana menjelaskan tiga rupa Brahman—niskala (tanpa bahagian), sakala (berbahagian) dan sakala-niskala (gabungan kedua-duanya). Melalui maya, Brahman menjadi Mahesvara dan seterusnya mencipta alam.
Khanda 2: Menjelaskan bahawa Brahman atau Atman juga dikenali sebagai Dattatreya, anak kepada resi Atri dan Anasuya. Sesiapa yang bermeditasi dengan kesedaran “Aku adalah Dia” menjadi bijaksana dan bebas daripada dosa.
Doktrin Sandilya
Matlamat utama ajaran Sandilya Upanisad ialah mencapai kesedaran akan hakikat sebenar Atman (diri sejati) dan kesatuannya yang tiada beza dengan Brahman (realiti mutlak). Inilah yang dikenali sebagai “doktrin Sandilya”, dinamakan sempena resi Veda Sandilya yang dalam Chandogya Upanisad bahagian 3.14 telah merumuskan kenyataan paling awal yang menjadi asas falsafah Vedanta. Doktrin ini, yang turut diulangi dalam dua bab terakhir teks ini, menegaskan “penyatuan Brahman dengan Atman, Tuhan dengan jiwa.”
Lihat Juga
Rujukan
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism