
Sayanacharya atau Sayana (IAST: Sāyaṇa; Sāyaṇācārya) ialah seorang ahli falsafah Hindu dan sarjana Mimamsa berbahasa Sanskrit dari abad ke-14, yang berasal dari Empayar Vijayanagara di India Selatan, berhampiran kawasan Bellary moden di Karnataka. Beliau merupakan seorang tokoh ulasan Veda yang sangat berpengaruh, dan terkenal di bawah pemerintahan Raja Bukka Raya I serta penggantinya, Harihara II. Lebih daripada seratus karya dikaitkan dengan beliau, termasuk ulasan terhadap hampir semua bahagian dalam Veda. Selain itu, beliau turut menulis dalam pelbagai bidang lain seperti perubatan, etika, muzik dan tatabahasa.
Beliau dipercayai hidupa pada abad ke-14 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 1387 M.
Jika Sankara (788–820 M) diangkat sebagai tokoh yang menjelaskan ajaran suci Vedanta, khususnya Prasthanatraya, maka takdir pula memilih Sayana untuk menghuraikan tiga aspek lain dalam kesusasteraan Veda, iaitu Samhita, Brahmana dan Aranyaka. Tanpa karya agung beliau, sebahagian besar kesusasteraan Veda mungkin kekal tidak difahami.[1]
Walaupun secara kronologi beliau hidup jauh selepas zaman Veda, didikan beliau dalam tradisi ortodoks serta penguasaannya dalam bahasa Sanskrit dan kesusasteraan kuno menjadikan beliau sosok paling sesuai untuk memikul tanggungjawab besar ini.
Kehidupan Awal
Beliau merupakan anak kedua kepada Mayana dan Srimati, manakala Madhava (juga dikenali sebagai Vidyaranya) ialah abang beliau, dan Bhoganatha pula adik bongsunya.
Dari segi fizikal, beliau digambarkan sebagai tegap dan tampan, serta mahir dalam seni pertahanan diri. Pendidikan beliau dalam kitab-kitab suci, seni dan sains tradisional bermula daripada bimbingan ayahandanya sendiri dan kemudian disempurnakan oleh Sarvajna Visnubhatta (Vidyatirtha) dan Srikantha Upadhyaya.
Sayana juga terlibat dalam pendidikan putera-putera diraja empayar Vijayanagara dan pernah memegang jawatan sebagai perdana menteri di bawah empat orang raja, dari tahun 1340 hingga 1387 M.
Karya-karya Utama
Sebanyak lapan karya dikaitkan dengan nama beliau, iaitu:
- Subhasita-sudhanidhi - koleksi kata-kata hikmah berkenaan akhlak, etika dan pengetahuan umum.
- Yajñatantra-sudhanidhi - menghuraikan pelaksanaan korban Veda.
- Prayascitta-sudhanidhi - juga dikenali sebagai Karmavipaka, membincangkan tentang amalan penebusan dosa (prayascitta).
- Ayurveda-sudhanidhi - dipercayai ditulis oleh Ekamranatha Pandita atas permintaan Sayana, tetapi tidak lagi wujud pada hari ini.
- Alankara-sudhanidhi - berkaitan dengan gaya bahasa dan perhiasan sastera, kemungkinan ditulis oleh Bhoganatha, adik beliau. Teks penuhnya belum ditemui.
- Dhatuvrtti - karya penting dalam tatabahasa Sanskrit, memberi tumpuan kepada akar kata (dhatu), dan telah disunting serta diterbitkan.
- Purusartha-sudhanidhi - menghuraikan empat tujuan hidup manusia: dharma (tugas), artha (kekayaan), kama (keinginan) dan moksha (pembebasan), serta mirip karya dharmasastra dan agama.
- Vedarthaprakasa
Karya terakhir—Vedarthaprakasa— karya yang mengabadikan nama Sayana dalam sejarah Veda, dipercayai ditulis antara tahun 1360 hingga 1385 M. Namun, kebanyakan sarjana berpendapat bahawa karya ini sebenarnya hasil kerjasama sebuah kumpulan ilmuwan di bawah seliaan Sayana (dan Vidyaranya), dengan Sayana sendiri memberi sumbangan besar terhadap isinya. Karya ini memberi tumpuan kepada bahagian Karmakanda dalam Veda (iaitu yang berkaitan dengan ritual), dan tidak menyentuh Jnanakanda (bahagian yang membicarakan falsafah atau Upanishad/Vedanta). Kejayaan karya agung ini banyak bergantung pada sokongan dan perlindungan diraja yang diberikan oleh Raja Bukka (memerintah dari 1354 hingga 1376 M). Ramai sarjana ternama ketika itu turut menyumbang terhadap karya ini, antaranya Pancagni Madhava, Naraharibhatta, Narayana Vajapeyi, Pandari Diksita dan Vamanabhatta. Namun, sumbangan terbesar tetap datang daripada Sayana sendiri.
Penghargaan
Sayana juga amat teliti dalam menyebut nama-nama guru dan pentafsir terdahulu seperti Yaska, Apastamba, Asvalayana, Panini, Katyayana, Patanjali, Bhattabhaskara Misra, Skanda Swamin dan lain-lain.
Walaupun tafsiran beliau kadangkala dikritik oleh sarjana moden—baik dari kalangan Eropah mahupun India—tidak ada tokoh lain yang berjaya melaksanakan tugas sebesar ini dengan ketelitian dan keutuhan sepertinya.
Para sarjana agama dan falsafah, terutamanya dalam kalangan penganut agama Hindu, wajar terus menzahirkan penghargaan terhadap jasa besar beliau.
Swami Dayananda Saraswati, pengasas Arya Samaj—sebuah gerakan pemulihan Veda—tidak memberikan penekanan besar terhadap ulasan Veda yang ditulis olehnya.
Ulasan Sayana terhadap Rigveda telah diterjemahkan dari bahasa Sanskrit ke bahasa Inggeris oleh Max Muller (1823–1900). Sebuah edisi baharu hasil suntingan Vaidik Samshodhan Mandala (Institut Penyelidikan Veda) di Pune, di bawah penyeliaan umum V. K. Rajwade, telah diterbitkan pada tahun 1933 dalam empat jilid.
Rujukan
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism