| Sekolah Kebangsaan Kangka Tebrau سكوله كبڠسأن كڠك تبراو | |
|---|---|
| Lokasi | |
Malaysia | |
| Maklumat | |
| Nama lama | Sekolah Melayu Kangkar Tebrau |
| Jenis sekolah | Sekolah Kebangsaan, Sekolah Kerajaan |
| Moto | Berguna |
| Ditubuhkan | 1931 |
| Sesi | Pagi |
| Nombor sekolah | 6073540778 |
| Kod sekolah | JBA1028 |
| Pengerusi PIBG | Dato' Haji Sukarno bin Sayuti |
| Guru besar | Haji Mohd Huzaini @ Huzaironi bin Haji Jufrin |
| Faks | 6073570519 |
Sekolah Kebangsaan Kangka Tebrau atau nama ringkasnya SK Kangka Tebrau, merupakan sebuah Sekolah kebangsaan yang terletak di Jalan Pinang.
Pada 2009, Sekolah Kebangsaan Kangka Tebrau memiliki 327 pelajar lelaki dan 292 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 619 orang. Ia mempunyai seramai 48 orang guru.2009
Sejarah
Penubuhan Sekolah Kebangsaan Kangka Tebrau bermula pada tahun 1931. Ketika itu, sekolah ini menumpang di sebuah bangunan kedai lama yang diubahsuai menjadi ruang pembelajaran. Jumlah murid pada awalnya hanyalah seramai 20 orang. Kangkar Tebrau pada masa itu merupakan sebuah pekan kecil yang mempunyai balai polis, kastam, serta jeti untuk memunggah barangan, memandangkan kawasan ini terkenal sebagai pengeluar lada hitam.[1]
Pada tahun 1933, sekolah ini berpindah ke tapaknya yang kekal hingga hari ini. Ketika itu, ia dikenali sebagai Sekolah Melayu Kangkar Tebrau. Kawasan sekitarnya dipenuhi tanaman kelapa dan lada hitam, dengan hanya 10 buah rumah di sekitar kawasan sekolah. Murid-murid datang dari kawasan seperti Batu 7, Pandan Dalam dan Pandan Luar. Jumlah murid meningkat kepada 93 orang, dan sekolah hanya menawarkan pendidikan sehingga Darjah Empat, dengan empat orang guru. Guru Besarnya ialah Cikgu Md. Said, dibantu oleh Cikgu Omar, Cikgu Raja Mat dan Cikgu Kassim. Murid-murid yang ingin menyambung pelajaran ke Darjah Lima dan Enam perlu bersekolah di Sekolah Ayer Molek. Waktu persekolahan bermula dari pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, tanpa had umur yang ditetapkan.[1]
Antara mata pelajaran yang diajar ialah Congak, Ilmu Hisab, Tulisan Rumi, Bacaan Melayu, Ilmu Alam dan Tawarikh. Sebelum sesi pembelajaran bermula, murid akan menjalankan aktiviti berkebun dan menyiram tanaman yang disediakan.[1]
Semasa Pendudukan Jepun
Semasa zaman penjajahan Jepun, sekolah ini diubah suai menjadi rumah pam air dan dijadikan markas tentera Jepun kerana lokasinya yang berdekatan dengan lapangan terbang di Batu 7. Air dari pam tersebut berwarna jernih namun berasa kelat.[1]
Untuk meneruskan pendidikan, pelajar terpaksa belajar di bawah rumah seorang penduduk tempatan bernama Pak Mat, yang dijadikan dua buah kelas. Guru yang mengajar ketika itu ialah Cikgu Maheran dan Cikgu Md. Som bin Mohamad. Semua pembelajaran dijalankan dalam bahasa Jepun, termasuk tulisan dan sebutan. Zaman ini penuh kesukaran kerana sumber asas seperti makanan amat terhad dan ubi kayu menjadi sumber utama. Oleh itu, kelas yang ada dikurangkan daripada empat kepada dua sahaja.[1]
Selepas Perang Dunia Kedua
Selepas perang, sekolah ini mengalami perkembangan dengan pembinaan beberapa bangunan baharu.[1]
Kantin Sekolah
Pada awalnya, sekolah tidak mempunyai kantin. Murid membeli makanan dari warung berdekatan. Menjelang akhir tahun 1960-an, sebuah kantin telah dibina di bawah Blok Wira dan mula digunakan sepenuhnya pada tahun 1972. Kantin lama itu kini dikenali sebagai Serambi Ilmu, manakala murid kini menggunakan kantin baharu yang terletak di Blok Exora.[1]
Bangunan Sekolah
Pada tahun 1933, sekolah ini hanya mempunyai satu bangunan kayu dan sebuah padang. Bekalan air diperoleh melalui kolah yang menakung air hujan, digunakan untuk tanaman dan keperluan harian.[1]
Dengan pertambahan murid dan perkembangan pendidikan, bangunan baharu seperti Blok Satria dibina selepas Blok Wira. Kedua-duanya telah diruntuhkan dan digantikan dengan Blok Exora. Menjelang akhir tahun 1960-an, Blok Iswara pula dibina dengan reka bentuk bertiang tinggi bagi mengatasi masalah banjir semasa musim tengkujuh. Pada awal tahun 1980-an, Blok Perdana dibina di atas tanah tambak. Tahun 1990-an pula menyaksikan pembinaan Blok Rusa dan Blok Putra.[1]
Sebelum wujudnya bangunan sekolah agama, para pelajar menerima pendidikan agama di bangunan sekolah kebangsaan yang sama; sesi pagi untuk sekolah kebangsaan dan sesi petang untuk sekolah agama.[1]
Pada tahun 1980-an, setiap malam Jumaat, padang sekolah menjadi lokasi tayangan wayang pacak dan tayangan filem dari FINAS, menjadikan sekolah sebagai pusat komuniti setempat.[1]
Fasiliti Terkini
Kini, dengan keluasan 6 ekar, SK Kangkar Tebrau memiliki 5 blok bangunan, 2 dewan besar, surau, 2 makmal komputer, kelas prasekolah, kantin moden serta persekitaran yang indah. Sekolah ini menampung seramai 567 orang murid, 53 orang guru dan 6 kakitangan sokongan. Kini, di bawah kepimpinan Guru Besar, Tuan Haji Mohd Huzaini @ Huzaironi bin Haji Jufrin, sekolah ini terus melangkah maju dan mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang.[1]
Pencapaian
SK Kangkar Tebrau telah melahirkan ramai individu yang berjaya dalam pelbagai bidang. Antaranya ialah Puan Hajah Tuminah binti Safar, ibu kepada Yang Dipertua PIBG SK Kangkar Tebrau, Dato’ Haji Sukarno bin Sayuti. Beliau merupakan salah seorang bekas murid terawal dan kini seorang ahli perniagaan Melayu yang berjaya.[1]
Ramai bekas pelajar sekolah ini telah melanjutkan pelajaran ke luar negara dan memegang jawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta — termasuk sebagai doktor, pendidik, eksekutif dan lain-lain. Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih guru-guru yang dibantu oleh pihak pentadbir, PIBG dan komuniti setempat. Semoga usaha murni ini diteruskan demi kecemerlangan generasi akan datang.[1]
Alamat
- Sekolah Kebangsaan Kangka Tebrau
- Jalan Pinang
- 81100, Johor Bahru
- Johor, Malaysia








