| Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin | |
|---|---|
| Lokasi | |
| Bukit Besar, 81450 Gugusan Taib Andak, Kulai, Johor Darul Takzim | |
| Maklumat | |
| Jenis sekolah | Sekolah menengah kebangsaan, Sekolah kerajaan |
| Moto | Berusaha Berjaya |
| Nombor sekolah | 07-8977200 |
| Kod sekolah | JEA3056 |
| Pengerusi PIBG | Kusni Bin Amat |
| Pengetua | Abu Samah bin Osman |
| GPK Pentadbiran dan Akademik | Hanim binti Hashim |
| Penolong Kanan Hal Ehwal Murid | Ruzita Binti Rasti@Apandi |
| Penolong Kanan Kokurikulum | Farid Shafari Bin Harun |
| Faks | 07-8976860 |
Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin atau nama ringkasnya SMK Sultan Alauddin, merupakan sebuah Sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Felda Bukit Besar, Gugusan Taib Andak. SMK Sultan Alauddin juga dikenali dengan nama SEMESTA.
Sejarah
Peringkat awal pembinaan pada tahun 1969 murid-murid menumpang di SK LKTP Bukit Ramun dan berpindah pada tahun 1970 apabila sekolah siap dibina dengan nama Sekolah Menengah Rendah Bukit Besar. Nama sekolah ini kemudiannya ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin sempena dengan nama pengasas Kesultanan Johor yang menyambung kewibawaan Kesultanan Melayu Melaka yang berhijrah ke negeri Johor pada abad ke-16. Ini dapat dibuktikan dengan kewujudan Makam Tujuh, Sungai Sayong Kota Tinggi yang berdekatan dengan sekolah sejauh 12km.
Pengetua pertama SMK Sultan Alauddin ialah En. Jamian bin Hj. Nawawi. Secara rasminya, SMK Sultan Alauddin telah dibuka pada tahun 1971 yang mengandungi 9 buah kelas, 14 orang guru dan 359 orang murid. Sekolah ini mencapai kemuncak populasinya pada tahun 1980 iaitu 52 buah kelas, 78 orang guru dan 2130 orang murid dan terdapat 2 sesi (pagi dan petang) pada ketika itu. Namun bermula pada tahun 1991 hingga sekarang bilangan murid semakin berkurangan kerana ramai peneroka yang telah meningkat usia dan meninggal dunia dan sekolah menjadi satu sesi pagi sahaja. Kini hampir semua murid SMK Sultan Alauddin terdiri daripada generasi kedua dan ketiga Felda di Gugusan Taib Andak iaitu terdiri daripada Felda Sg Sayong, Felda Bukit Besar, Felda Pasir Raja, Felda Bukit Ramun, Kampung Rantau Panjang, Kota Tinggi, Ladang YPJ, Ladang Alaf, Taman YPJ dan Residensi Prima Kota Tinggi.
Semasa mula beroperasi, SMK Sultan Alauddin hanya mempunyai sebuah bangunan untuk menempatkan bilik darjah dan sebuah lagi bangunan menempatkan makmal sains, bilik sains rumahtangga, sebuah makmal pertanian dan sebuah kantin. Pada tahun 1978, sekolah ini mempunyai cawangannya di Bandar Tenggara hingga tahun 1982. Cawangan SMK Sultan Alauddin di Bandar Tenggara kemudiannya beroperasi sendiri dan diberi nama SMK Bandar Tenggara.
Pada peringkat awal, SMK Sultan Alauddin di bawah pentadbiran Pejabat Pelajaran Daerah Kota Tinggi. Bermula pada tahun 1984 setelah wujudnya Pejabat Pelajaran Daerah Kulai, segala aktiviti dan pentadbirannya berpindah ke PPD Kulai disebabkan SMK Sultan Alauddin terletak berhampiran dengan Bandar Kulai. SMK Sultan Alauddin berkeluasan 13.5 ekar yang terletak di lot tanah Mukim Hulu Sungai Johor. Pembangunan fizikal rancak dilaksanakan di SMK Sultan Alauddin, antaranya seperti berikut:
- 1976: Sebuah Dewan Besar (Dewan SEMESTA)
- 1978: Sebuah bangunan tiga tingkat dan dua makmal sains.
- 1981: Sebuah bangunan baru menempatkan Pusat Sumber, makmal Biologi, Kimia dan Fizik.
- 1981: Sebuah bangunan pasang siap.
- 1990: Sebuah bangunan empat pintu melalui konsep gotong-royong yang menempatkan Bilik Kaunseling, Bilik rawatan, SPBT dan sebuah kelas.
- 2003: Sebuah makmal komputer.
- 2011: Dua buah bangunan empat tingkat dan sebuah bangunan dua tingkat.
Kini, SEMESTA mempunyai 28 buah kelas, 6 makmal sains, sebuah pusat sumber, bengkel reka bentuk dan teknologi (studio reka bentuk, pembuatan, pertanian, elektrik dan elektronik), surau At-Taufiq, bilik kebal untuk kegunaan PPD Kulai, bilik grafik komunikasi teknikal,studio reka cipta, studio seni visual, bilik rawatan, bilik SPBT, bilik akses, koperasi, padang, gelanggang serbaguna, kantin, bilik unit bimbingan/kaunseling juga menempatkan bilik pameran anti dadah. Perkembangan prasarana semakin lengkap apabila 2 blok bangunan menempatkan bilik mesyuarat, pejabat pentadbiran, dan beberapa bilik darjah yang mula beroperasi sepenuhnya pada tahun 2011 iaitu Blok A dan B.
Dalam usaha meningkatkan taraf prasarananya, SMK Sultan Alauddin telah mendapat peruntukan pembinaan 3 blok bangunan yang terdiri daripada 2 blok 4 tingkat dan 1 blok 2 tingkat. Pembinaannya telah bermula pada awal Jun 2009 dan mula digunakan pada Julai 2011.
Senarai Pengetua
| Nama | Tahun |
|---|---|
| Hj Jamian bin Ajmain | 1969-1970 |
| Alias bin Dasmi | 1971 - 1980 |
| Zohdan bin Omar Basaree | 1980 - 1992 |
| Seniwal bin Harun | 1993 - 1995 |
| Hjh. Eshah bin Yaakob | 1995 - 1997 |
| Hjh. Kamariah binti Ali | 1998 - 2000 |
| Zainal bin Othman | 2000 - 2006 |
| Hj Juhair bin Jumaat | 2006 - 2008 |
| Hj Jumali bin Ahmad | 2008 - 2011 |
| Zainal bin Mesran | 2011 - 2015 |
| Hjh Mahizan bin Muhammud | 2015 - 2016 |
| Shurina Bt Abd Jalil | 2017-2018 |
| Rashid bin Muhidin | 2018-2019 |
| Hj Juhari bin Ahmad | 2019-2020 |
| Anim bte Mohamed Jaib | 2021-2024 |
| Abu Samah bin Osman | 2024-kini |
Penerangan Lencana Sekolah

Warna
| Warna | Maksud |
|---|---|
| Putih | Kesucian dan Kebersihan |
| Merah | Semangat dan Kesungguhan |
| Hijau | Kesegaran dan Keindahan |
| Kuning | Disiplin dan Ketaatan |
Unsur dan Lambang
| Unsur & Lambang | Maksud |
|---|---|
| Buku | Ilmu dan gedung ilmu |
| Obor | Semangat dan ketekunan |
| Alat Geometri | Mata pelajaran diajar menggunakan alat tulis |
| Gelang & Pengakap | Aktiviti kokurikulum dan sukan |








