
Tasbih (Jawi: تسبيح menyerap bahasa Arab) adalah seutas tali manik yang diikat sekali sebagai pemegangnya untuk tujuan ibadah penganut-penganut agama Islam, Kristian, Bahai, Hindu, Buddha dan Sikh.
Kelaziman
Dalam agama Islam
Biasanya biji tasbih dibuat dari kayu, namun ada pula biji tasbih yang dibuah dari biji-biji zaitun. Umumnya seutas biji tasbih terdiri dari 99 batu melambangkan nama-nama Allah yang berbilang sama; namun ada pula biji tasbih yang terdiri dari 33 atau 11 batu-batuan yang boleh dibilang berulang dalam kitaran memberi sama jumlah.
Tasbih biasanya digunakan ketika berzikir iaitu "tasbih" (atau SubhanAllah), tahmid (atau Alhamdulillah) dan takbir (atau Allahu Akbar) maasing-masing sebanyak 33 kali. Oleh itu, seutas tasbih biasanya mempunyai 33 biji manik tetapi ada juga tasbih dengan 99 atau 100 biji manik.
Dalam agama Buddha
Tasbih penganut agama Buddha (Bahasa Cina: 佛珠; 念珠; pinyin: fózhū, niànzhū, Jepun: 数珠, rumi: juzu, zuzu, Korea: 염주 yeomju, Bahasa Tibet: ཕྲེང་བ།) lazim dalam aliran Mahayana dalam mengucapkan mantera secara penuh tumpuan.[1] Manik boleh diperbuat dari biji benih terutamanya dari ara spesies Ficus religiosa (kerana perkaitannya dengan pokok bodhi bersemadinya Gautama Buddha semasa pencerahan beliau) atau teratai. Jumlah manik biasanya boleh dibahagi dengan 108 melambangkan bilangan kelesa atau dharma dialami,[2][3] bilangan ini boleh dikurangkan serendah 27 atau 54 biji.[2] Sebiji manik lebih besar menjadi "induk" penanda untuk memulakan bacaan mantera dari manik kecil sebelahnya sebagai ucapan pertama.[2]
Penggunaannya adakala sering menjadi keperluan sami biksu untuk tujuan sembahyang peribadi seperti yang dicatatkan di China pada abad ke-7 Masihi.[2]
Dalam agama Hindu
Rencana Utama: Japamala
Tasbih dalam agama Hindu dipanggil sebagai jalamala (माला "kalungan"). Dalam tradisi Hindu, japa merujuk kepada pengulangan berterusan nama suci Tuhan atau mantra, sama ada secara mental mahupun lisan, sebagai bentuk penyembahan dan penumpuan rohani. Bagi memastikan kiraan ulangan dilakukan dengan tertib dan disiplin, digunakanlah japamālā – sejenis tasbih suci yang menjadi alat penting dalam amalan tersebut. Manik-manik japamālā diperbuat daripada bahan-bahan yang memiliki nilai spiritual yang tinggi:
- Rudrākṣa – dikaitkan dengan Tuhan Shiva. dari biji-biji pokok spesies Elaeocarpus, terutamanya dari pokok geniteri (Elaeocarpus ganitrus) yang juga diberi nama rudrākṣa (Sanskrit: रुद्राक्ष, "mata/air mata Rudra").[4]
- Tulasī – ranting kering pokok suci Ocimum sanctum, digunakan dalam pemujaan Vishnu.
- Kayu Bilva – dari pokok Aegle marmelos, juga suci dalam tradisi Shaiva.
- Emas, kristal, mutiara, delima, zamrud dan karang – digunakan untuk tujuan khusus, seperti pencerahan atau pemurnian.
- Bhasma – abu suci yang dikeringkan dan dijadikan manik.
Benang daripada kapas, sutera, atau dawai perak/tembaga digunakan untuk menyusun manik-manik tersebut.
Bilangan Manik
Bilangan manik dalam satu japamālā adalah simbolik dan tetap:[5]
- 108 biji – jumlah utama dan paling lazim.
- 54 biji – separuh daripada 108.
- 27, 32, atau 64 biji – digunakan untuk amalan tertentu.
- Sebiji tambahan, dikenali sebagai meru atau sumeru, dijadikan penanda permulaan dan akhir; ia tidak dikira dalam japa dan tidak boleh dilangkaui.
Cara Penggunaan
- Ibu jari digunakan untuk menggerakkan manik.
- Jari tengah menyokong japamālā.
- Jari telunjuk dielakkan kerana dianggap kurang suci.
- Apabila tiba di meru, pengamal akan berpatah balik dan tidak melangkaui biji tersebut.
Dalam agama Kristian

Alat ini yang juga dikenali dengan nama rosario (dari Latin: rosarium "taman ros/mawar") digunakan penganut beraliran Katolik dan Ortodoks. Tasbih Kristian boleh dikenali kerana adanya suatu "buah" salib kecil menghiasi hujung utas. Manik-manik tasbih Kristian dihasilkan dari pelbagai jenis batu permata, kaca atau mutiara[6] manakala salib diperbuat dari perak atau emas. Jumlah biji tasbih digunakan berbeza-beza mengikut kebiasaan dalam aliran: anutan Gereja Katolik menggunakan 59 biji manik manakala anutan Gereja Ortodoks Timur menggunakan 100 manik
Bacaan yang sering dikumat-kamitkan pada awalnya semasa membilang alat ini adalah Pater Noster,[7] doa paling terutama dalam kepercayaan Kristian. Pembilangan ini kemudiannya dilanjutkan kepada pengucapan bacaan-bacaan lain seperti "salam kepada Maria" (bahasa Inggeris: Hail Mary, Latin: Ave Maria) dan Gloria Patri.
Rujukan
- ^ "How to Use a Mala (5 Ways)". Japa Mala Beads (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2019-11-16.
- ^ a b c d Kieschnick, John (2003). The Impact of Buddhism on Chinese Material Culture (dalam bahasa Inggeris). Princeton and Oxford: Princeton University Press. m/s. 118–38. ISBN 0691096767.
- ^ Buswell, Robert Jr; Lopez, Donald S. Jr., penyunting (2013). Princeton Dictionary of Buddhism. Princeton, NJ: Princeton University Press. m/s. 520. ISBN 9780691157863.
- ^ "What Significance Rudraksha holds in Hinduism?". NewsGram. 19 June 2017. Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-01-16. Dicapai pada 2021-06-21.
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
- ^ Prayer beads in Christianity Retrieved 18 December 2008
- ^ Thurston, Herbert; Shipman, Andrew (1912). "The Rosary". The Catholic Encyclopedia. Vol. 13. New York: Robert Appleton Company. Dicapai pada 11 July 2014.








