
Tempok (juga dikenali sebagai boh hor, sajak, dan ta jug, ialah panggilan umum bagi pakaian kepala tradisional orang peribumi Melayu Proto, Negrito dan Senoi di semenanjung tanah Melayu. Lazimnya, ia diperbuat daripada daun panjang seperti daun kelapa, nipah, salak, dan mengkuang, yang dianyam untuk membentuk satu corak dan menjadi satu bulatan untuk dipakai di atas kepala seseorang.[1] Terdapat juga jenis tempok yang diperbuat daripada kulit kayu dan bahan-bahan alami lain.
Ia sering kali digabungkan dengan pakaian lain seperti baju yang diperbuat daripada kulit kayu, selempang daun, dan lain-lain yang menjadi sebahagian daripada tatarias mereka.[2]
Peristilahan
Perkataan 'tempok' dikatakan berasal daripada kumpulan bahasa Senoi seperti Semai dan Temiar, sama juga dengan perkataan 'boh hor'. Manakala kumpulan bahasa Negrito asalnya menggunakan istilah 'sajak' dan 'ta jug', namun tiada sumber yang dapat menjelaskan etimologi masing-masing.[3] Orang asli Melayu Proto seperti Jakun pada asalnya menggunakan perkataan 'putaran' atau 'tanjak'.[4]
Kini, kebanyakan dari kalangan orang asli di Malaysia menggunakan istilah tempok bagi panggilan umum untuk kesemua pakaian kepala tradisional orang asli yang diperbuat daripada bahan semula jadi.[3]
Jenis


Terdapat beberapa jenis tempok berdasarkan cara anyaman dan bahan yang digunakan:[3]
- Tempok daun tembakau diperbuat daripada daun-daun halus seperti daun salak yang dianyam membentuk rupa corak menggunakan warna atau legap daun, dan dipakai oleh kumpulan Senoi.
- Tempok daun lalang diperbuat daripada bahan tumbuhan semula jadi halus yang diikat keliling kepala, dan digunakan oleh kumpulan Senoi dan Negrito.
- Tempok daun nipah diperbuat daripada daun panjang lebar seperti nipah, mengkuang, dan kelapa yang dianyam keliling kepala, lazimnya dengan lipatan berbentuk bunga di hadapan, dan dipakai oleh suku Temuan dan Mahmeri.
- Tempok daun kelapa atau tempok kaki lipan hampir sama seperti tempok daun nipah, tetapi mempunyai ceracak dan tanpa lipatan bunga, dan didapati di kesemua suku orang asli semenanjung.
- Tempok kulit kayu terap diperbuat daripada kulit kayu yang dilembutkan menjadi seolah-olah kain lembut, dan digunakan oleh kumpulan Melayu Proto.
- Tempok daun mengkuang diperbuat daripada daun panjang lebar yang dilipat menjadi beberapa bentuk dan corak untuk melitupi bahagian kepala, dan digunakan oleh suku Jah Hut.
Tempok yang dihasilkan daripada daun kadangkala digunakan sewaktu ia segar dipetik, dan ada juga yang digunakan setelah ia kering. Kebanyakan tempok jenis daun nipah dan jenis daun kelapa dilipat ketika ia masih segar dan hijau bagi memudahkan proses penglipatan.
Kebudayaan
Tempok memainkan peranan besar dalam budaya orang asli di Malaysia. Pada asalnya, ia lazimnya dipakai oleh para tok batin dan bomoh ketika istiadat dan majlis seperti perkahwinan dan sewang.[3] Namun ia kemudian turut diguna pakai oleh orang-orang keramaian bagi melambangkan budaya mereka. Bagi sesetengah kaum orang asli seperti kaum Jakun, tempok dipercayai mempunyai semangat yang melindung diri dan kaum mereka.[5]
Ia juga menjadi lambang kebanggaan dan penyatuan orang asli di semenanjung.[6] Ahli Dewan Rakyat Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang merupakan ahli Dewan Rakyat dan timbalan speaker Dewan Rakyat orang asli pertama, mencipta sejarah apabila menghadiri pembukaan sidang Dewan Rakyat dengan memakai tempok di samping busana rasmi dan memulakan ucapannya di dalam bahasa Senoi setelah memenangi pilihan raya kecil pada 2019.[7][8]
Tempok juga sering menjadi tampilan kebudayaan Malaysia semasa acara-acara penting.[9] Ia juga dipasarkan dan dijual kepada orang ramai sebagai sumber pendapatan tambahan masyarakat orang asli.[10][11]
Rujukan
- ^ Idris, Siti Rohana (2022-01-29). "Tikar mengkuang, tempok daun salak kraf tangan Orang Asli". Berita Harian (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-07-29.
- ^ MISRANI, SAIRUL ZAMRI (2023-02-06). "Gadis Kampus: Cinta Nur Syazwani pada tarian sewang". Kosmo Digital. Dicapai pada 2025-07-29.
- ^ a b c d Pemakaian & Jenis Tempok. Muzium Senikraf Orang Asli. 2024.
- ^ BAKRI, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF (2023-12-03). "Tempok Pelendong Ang: Mengintai seni, identiti Orang Asli suku Jakun". Utusan Malaysia. Dicapai pada 2025-07-29.
- ^ Sidek, Shima (2023). Tempok Pelendong Ang (dalam bahasa Jakun). Kanta. ISBN 9789671930014.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ Abdullah, Sharifah Mahsinah (2019-08-23). "'Tempo headgear symbol of Orang Asli unity' | New Straits Times". NST Online (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-07-29.
- ^ AHMAD, MOHD RASDAN (2022-12-19). "Pakaian Ramli Mohd. Nor jadi tumpuan Dewan Rakyat". Kosmo Digital. Dicapai pada 2025-07-29.
- ^ SUKAIMI, SITI A'ISYAH (2024-10-18). "Belanjawan 2025: Ramli pakai tempok, aksesori Orang Asli". Kosmo Digital. Dicapai pada 2025-07-29.
- ^ Aisha Hani Nor Azmir (2025-05-23). "Orang Asli Culture Showcased Alongside 46th ASEAN Summit". newspaper. Kuala Lumpur. BERNAMA. Dicapai pada 2025-07-29.
- ^ BERNAMA (2023-07-09). "Kampung Bakar Batu Orang Asli Womenfolk Seek Help Marketing Their Fish-scale Jewellery". BERNAMA (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-07-29.
- ^ Ithnin, Hafiz (2017-12-05). "Keunikan Orang Asli". Harian Metro (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-07-29.