
Yatra atau Tīrthayātrā atau lawatan ke tempat-tempat suci memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang Hindu walaupun ia tidak diwajibkan. Tempat-tempat suci dapat meningkatkan tahap kesucian dan kerohanian seseorang. Benua India penuh dengan tempat-tempat suci, dari Amarnath di utara India hingga Rameswaram di selatan, dan dari Somnath di barat hingga Puri di Timur. Malah boleh dikatakan bahawa agama Hindu mempunyai lebih banyak tempat-tempat suci berbanding semua agama lain. Tempat-tempat ini amat purba dan berkaitan dengan orang-orang alim dalam zaman purba. Selain itu terdapat tempat-tempat lain yang berkaitan dengan orang-orang alim dan pemimpin-pemimpin agama daripada pelbagai zaman. Sering kali, tempat-tempat suci ini terletak di kawasan yang penuh dengan keindahan semulajadi seperti gunung-ganang, lembah-lembah, tepi-tepi sungai, pulau-pulau, hutan belantara, pantai-pantai dan seumpamanya yang amat sesuai untuk renungan dan ketenangan.
Menurut, Matsya Purana (184.66-67), lawatan suci boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa batasan kasta, darjat atau keadaan. Namun, terdapat beberapa hukum yang perlu dipatuhi oleh seseorang yang ingin menjalankan lawatan suci. Misalnya, seorang brahmachari yang tinggal di rumah gurunya perlu mendapatkan kebenaran guru terlebih dahulu. Seseorang yang telah berkahwin wajib melakukan lawatan suci bersama-sama pasangannya, dan sekiranya gagal, dia tidak akan mendapat hasil pahala melakukan lawatan suci.
Kehebatan tempat-tempat suci Hindu direkodkan dalam teks-teks Purana utama dan juga dalan Sthala Purana.
Kitab-kitab Suci
Subjek lawatan suci telah dibincangkan dalam pelbagai kitab suci. Terdapat lebih 400,000 ayat-ayat dalam Mahabharata dan purana-purana lain mengenai lawatan suci. Selain itu, terdapat beberapa buah buku lain yang menyentuh tentang subjek ini seperti:
- Krtya Kalpataru oleh Lakshmidhara (kurun ke-12 Masihi)
- Caturvargacintamani oleh Hemadri (kurun ke-13 Masihi)
- Tirthacintamani oleh Vachaspati (kurun ke-15 Masihi)
- Tirthasara oleh Dalapati (1490 Masihi)
- Tristhalisetu oleh Narayanabhatta (1570 Masihi)
Selain ini terdapat juga beberapa karya khususnya tentang sesuatu tempat tertentu seperti Gaya dan Puri.
Tujuan Lawatan Suci
Perkataan 'Tīrtha' bermaksud 'Tīryate anena iti tīrthaṁ, saṁsārasāgarataraṇopāya-bhūtaṁ', 'sesuatu yang merentasi, sesuatu yang membantu merentasi samudera kehidupan semula' ialah Tīrtha. Maka, dengan menjalani lawatan suci, seseorang dapat merentasi samsara atau kitaran kelahiran semula dan mencapai kesempurnaan.
Menurut Vishnu Dharma Sukta (2.16, 17), lawatan suci ialah salah satu Samanyadharma (kewajiban umum untuk semua orang). Seseorang yang menjalani lawatan suci akan mendapat banyak pahala, dosanya akan dihapuskan dan hatinya menjadi suci.
Misalnya Rig Veda (10.75 khila) menyebut tentang kesucian pertemuan sungai Ganga dan Yamuna. Seseorang yang bermandi di pertemuan sungai-sungai ini akan mencapai syurga. Seseorang yang mati di sini akan mencapai keabadian.
Keindahan tempat-tempat suci juga amat merangsangkan meditasi dan renungan. Tempat-tempat ini juga kaya dengan sejarah dan memori orang-orang alim yang telah melawatnya. Oleh itu, aliran kerohanian ("spiritual current") amat padat di tempat-tempat suci ini.
Syarat-syarat
Terdapat beberapa syarat-syarat yang perlu diikuti sebelum melakukan lawatan suci. Kehidupan yang bermoral ialah syarat penting yang perlu diikuti dan tanpanya, lawatan suci tidak bermakna. Menurut Vayu Purana (77.125) seorang yang melanggari rukun-rukun agama dan Dharma yang menjalani lawatan suci dengan kepercayaan, menyesali perbuatan dosanya, dan bertekad untuk meninggalkan dosa dan kejahatan, akan mendapat faedah daripada lawatan suci.
Lawatan suci tidak wajib untuk seseorang yang menjalani kehidupan yang alim dan suci. Namun, dia akan dapat meningkatkan tahap kerohaniannya dengan melakukan lawatan suci. Amalan seperti jñāna (ilmu agama), kṣama (sifat memaafkan orang lain), dayā (belas kasihan), dan dama (kawalan diri sendiri) juga dipanggil sebagai 'Tīrtha' kerana semua perbuatan ini juga menyucikan hati dan minda seseorang. Selain itu, orang-orang alim juga dianggap sebagai Tīrtha kerana pergaulan dengan mereka akan menyucikan hati dan minda seseorang.
Prosedur untuk Diikuti
Purana dan Dharmasastra telah menggariskan beberapa langkah yang perlu diikuti ketika melakukan lawatan suci.
Pada hari sebelum lawatan, seseorang perlu berpuasa. Sebelum bertolak, seseorang perlu menyembah Dewa keluarganya, Ganapati, dan Navagraha, dan memberikan hadiah kepada orang-orang miskin, memakai pakaian jingga atau kuning, mengambil Sankalpa (tekad agama) seperti yang dinyatakan oleh kitab-kitab suci dan menjalani kehidupan yang sederhana ketika melaksanakan lawatan suci. Ketika lawatan suci, seseorang perlu menjalani kehidupan yang sederhana dan memakan sayur-sayuran yang sederhana. Selepas menyempurnakan lawatan suci dan kembali ke rumahnya, seseorang perlu mengulangi pemujaan di rumahnya, dan memberikan hadiah kepada orang-orang miskin sebagai tanda bersyukur.
Dalam zaman moden ini, seseorang boleh memulakan dan menamatkan lawatan sucinya dengan bersembahyang di rumahnya sendiri atau di kuil berdekatan dan mendapatkan restu orang tuanya.
Seseorang yang melakukan lawatan suci juga perlu mengambil tahu dan mengikuti prosedur-prosedur yang khusus untuk sesuatu tempat suci.
Tīrtha yang Popular
Tempat-tempat suci yang popular boleh dikelaskan seperti ini:
- Bandar-bandar purba yang disebut dalam Purana seperti Varanasi (Kashi), Allahabad (Prayag), Haridwar, Rishikesh, Mathura, Vrindavan, dan Ayodhya.
- Char Dham (Empat Tempat Suci yang terkenal): Bandar Puri, Rameswaram, Dwarka,dan Badrinath (atau kadang-kadang Badrinath, Kedarnath, Gangotri, dan Yamunotri)
- Kumbha Mela: perayaan Kumbha Mela ialah salah satu perayaan Hindu yang amat popular. Perayaan ini diadakan setiap dua belas tahun dan menarik jutaan penganut Hindu. Lokasi Kumbha Mela bersilih ganti antara Prayag, Haridwar, Nashik, dan Ujjain.
- Bandar-Bandar Kuil Besar: Puri iaitu bandar kuil Jagannath dan perayaan Ratha Yatra; Katra, kuil Vaishno Devi; Madurai, kuil Meenakshi Amman; Tirumala - Tirupati, kuil Tirumala Venkateswara; dan Sabarimala, kuil Swami Ayyappan.
- Shakti Peetha: tempat suci yang berkaitan dengan Shakti Peethas, di mana Dewi Shakti disembah. Antara Shakti Peethas yang popular ialah Kalighat (di Kolkata) and Kamakhya.
- Dvadasa Jyotirlinga Sthalas: Dua belas kuil Jyotirlinga.
- Panchabhoota Sthalas: Dua belas kuil Sivalinga yang berkaitan dengan lima elemen.
- Divyadesam: 108 tempat suci Vaishnava.
- Sungai-sungai suci: Ganga, Yamuna, Saraswathi, Godavari, Narmada, Sindhu, dan Kaveri. Terdapat juga beberapa Sungai suci yang penting seperti Brahmaputra, Sarayu, Krishna, Pampa, dan Alaknanda.