Tuan Guru, nama sebenarnya Abdullah Kadi Abdus Salaam, juga Abdullah bin Qadhi Abdus Salaam, dalam bahasa Inggeris juga Qadi Abdussalam (lahir: 1712 di Tidore, Maluku - maut: 1807 di Bo-Kaap, Cape Town), ialah Imam besar Islam pertama di Afrika Selatan selepas Syekh Yusuf. Dia yang pertama membawa kitab Al-Quran ke Koloni Cape. Sebelum ini Gabenor Hindia Belanda VOC, Joan Maatsuycker tidak membolehkan umat Islam di wilayah ini untuk menjalankan perintah beragama dengan tujuan membuat murtad mereka. Walau demikian, jumlah penganut ajaran Islam di Afrika Selatan tetap bertambah banyak sebelum kedatangannya.
Biografi
Qadhi dilahirkan sebagai salah seorang pengiran raja di Kesultanan Tidore, beliau mengambil bahagian dalam penentangan terhadap Syarikat Hindia Timur Belanda yang ketika itu aktif di Maluku.[1] Pada satu pertempuran menghadapi Armada kapal perang Belanda, Qadhi ditangkap oleh Belanda. Dia ditawan di Pulau Robben, Cape Colony semasa berumur 70 tahun semasa Perang Inggeris-Belanda Keempat berlaku sekitar 1780 hingga 1784. Sebelum ditahan, dia menyelesaikan karyanya: مظاهر الإسلام و الإيمان, Mazhari al Islam wa al Iman. Dia menterjemahkan beberapa karyanya ke dalam bahasa Portugal semasa dipenjara.
Beliau dipenjara selama dua belas tahun, jauh dari anak cucunya di Tidore. Qadhi yang sudah uzur, masih mampu mengaji menggunakan hafalannya dan menulis Al-Quran dari ingatannya yang kuat. Belanda membebaskannya pada 1792/1793, tetapi tidak boleh pulang ke Tidore. Dia hanya boleh bermastautin di Cape Town.
Semasa masih di bawah pentadbiran kolonial Inggeris, beliau mengasaskan madrasah pertama di Afrika Selatan. Tempatnya di Dorp Street, Bo-Kaap. Atas pengajarannya, Qadhi menerima gelaran kehormatan Tuan Guru. Beliau juga mengasaskan Masjid Auwal di Bo-Kaap pada tahun 1794, masjid pertama di negara itu, di mana beliau menjadi Imam sehingga kematiannya.
Sebagai seorang ulama dari mazhab Syafi'i, risalah undang-undangnya berfungsi sebagai karya utama bagi Muslim Melayu pada abad ke-19. Beliau meninggal dunia pada 1807, di umur 95 tahun dan dikebumikan di Jirat Tana Baru. Jirat bersejarah di Bo-Kaap, yang telah ditutup Inggeris pada tahun 1886.[2]
Cabaran berdakwah di Afrika Selatan
if the slaves were left in a state of ignorance, they would fall prey to the zeal of the Mohammedan priests, who were conducting a school in Cape Town.
— ucap seorang pejawat British selepas mendatangi Madrasahnya
Beliau dikenal sebagai tokoh yang sangat tegas dalam berdakwah baik di Pulau Roubben atau masyarakat sekitar Cape Town, beliau tanpa kenal bosan terus berdakwah. Pada penyampaian dakwah, ada sekat bahasa yang besar. Hampir semua masyarakat Melayu di Cape Town, tidak faham bahasa Melayu. Beliau sehari-hari di sana lebih menggunakan bahasa Belanda.
Semasa hendak menubuhkan Masjid Al-Awal, dia dihalangi oleh pihak kolonial Belanda. Tanpa kenal takut, dia mengajak seluruh masyarakat Bo-kaap untuk shalat juma'at, shalat aidil fitri dan aidil adha di sekitar Jalan Chiappini secara terang-terangan. Laksamana Henry Craig yang berjaya merebut Cape dari Belanda kemudian membolehkan penubuhan Masjid Al-Awal. Gabenor Cape itu diam-diam kagum dengan lelaki tua yang memimpin jamaahnya ini.
Belanda tidak dapat berbuat banyak selepas mereka kembali. British segera menaklukan semula Koloni Cape. Sebelum kematiannya, Tuan Guru telah mempunyai 375 murid. Setiap tahun ada murid-murid baru yang menyertai madrasahnya. Hal ini membuat pihak kolonial yang mempunyai misi 3G (Gold, Glory, Gospel) menjadi geram. Salah satu muridnya yang paling terkenal ialah Jan van Bugis, perantau yang berasal seperti dari nama belakangnya. Perjuangannya diteruskan Tuan Nuruman hingga 1810.
Kehidupan peribadi
Bekas Menteri Sukan Indonesia era Soeharto, Abdul Ghafur Tengku Idris dan Perdana Menteri Tidore, Amin Faroek ialah salah satu keturunan langsung dari Tuan Guru.
Rujukan
- ^ Lubbe, Gerrie (1986). "Tuan Guru: Prince, Prisoner, Pioneer". Religion in Southern Africa. 7 (1): 25–35. ISSN 0258-3224.
- ^ Kompasiana.com (2022-06-22). "Tuan Guru, Putera Tidore yang Diagungkan di Afrika Selatan". KOMPASIANA (dalam bahasa Indonesia). Dicapai pada 2025-04-25.