
Uddalaka Aruni (sekitar abad ke-8 SM), (Devanagari: उद्दालक आरुणि) juga dikenali sebagai Uddalaka, Aruni atau Uddalaka Varuni, merupakan seorang maharesi Veda yang dihormati dalam tradisi Hindu.[1] Beliau disebut dalam banyak teks Sanskrit era Veda, dan ajaran falsafahnya menjadi inti penting dalam Brihadaranyaka Upanishad dan Chandogya Upanishad, dua daripada kitab Upanishad tertua.
Sebagai seorang guru Veda yang masyhur, Aruni hidup beberapa abad sebelum kelahiran Buddha[2] dan menarik para pelajar dari pelbagai pelosok benua kecil India. Antara murid-muridnya yang turut dihormati dalam tradisi Hindu ialah Yajnavalkya. Kedua-dua tokoh ini—Aruni dan Yajnavalkya—adalah antara guru paling kerap disebut dalam kitab-kitab Upanishad.[3]
Menurut Ben-Ami Scharfstein, profesor emeritus dalam bidang falsafah di Universiti Tel Aviv, Uddalaka Aruni merupakan salah seorang ahli falsafah terawal dalam sejarah yang direkodkan. Debiprasad Chattopadhyaya pula mengiktiraf Aruni sebagai 'ahli sains tabii' pertama dalam sejarah intelektual dunia. Dalam Chandogya Upanishad, Aruni mengemukakan persoalan metafizik tentang hakikat realiti dan kebenaran, memerhati perubahan yang berterusan, dan bertanya sama ada wujud sesuatu yang kekal dan tidak berubah. Daripada persoalan-persoalan ini, yang disampaikan melalui dialog dengan anaknya, beliau mengutarakan konsep Atman (roh, Diri) dan Brahman (Diri sejagat).
Asal-Usul
Aruni, putera kepada Aruna Aupavesi dan murid Dhaumya. Ketika masih dalam latihan mempelajari Veda, gurunya, Dhaumya, pernah mengarahkannya untuk menghentikan aliran air yang bocor dari ladang ashram. Aruni tanpa berlengah membaringkan dirinya menutup kebocoran tersebut dan berjaya menghentikan air daripada terus mengalir keluar. Sejak peristiwa itu, beliau dikenali sebagai Uddalaka — yang bermaksud "dia yang mengikat atau menutup benteng". Nama lain beliau ialah Gautama.[4]
Svetaketu ialah anaknya.
Pada suatu ketika, beliau mengunjungi Raja Pravahana Jaivali dan dengan rendah hati belajar daripadanya mengenai Pancagnividya — iaitu doktrin lima api, suatu ajaran metafizik yang mendalam tentang kitaran kelahiran dan kematian.
Setelah anaknya, Svetaketu, pulang dari rumah gurunya dengan rasa bangga kerana telah menguasai ilmu Veda, Aruni mengajukan satu soalan asas yang menyentuh hakikat pengetahuan: “Adakah engkau mengetahui sesuatu yang, apabila ia diketahui, segala yang lain turut menjadi diketahui?” Oleh kerana Svetaketu tidak tahu dan memohon agar diajarkan, Aruni pun menyampaikan kebijaksanaan rahsia itu kepadanya — seperti yang tercatat dalam Chandogya Upanishad, bab keenam.
Falsafah
Salah satu karya penting Debiprasad Chattopadhyaya berjudul Science and Society in Ancient India membincangkan tentang Aruni secara mendalam. Dalam buku ini, beliau menegaskan bahawa Uddalaka Aruni ialah "ahli sains tabii" pertama dalam sejarah intelektual manusia. Beliau menulis, “Uddalaka mengumpulkan pemerhatian setakat yang diizinkan oleh keadaan sejarahnya, dan malah berusaha gigih melakukan eksperimen untuk memahami alam dan manusia.”
Teori Tiga Unsur
Menurut teorinya, terdapat tiga unsur yang membentuk makhluk hidup, dan setiap unsur mempunyai kuasa tersendiri. Unsur-unsur tersebut ialah haba, air, dan makanan (yang bermaksud tumbuhan). Beliau percaya bahawa penciptaan yang pertama sekali berlaku adalah hasil daripada keinginan, yang lalu melahirkan haba/cahaya. Cahaya yang mempunyai keinginan yang sama kemudian memancarkan air dari dirinya, dan air pula memancarkan makanan. Inilah sebabnya, menurut beliau, mengapa makanan bertambah banyak apabila hujan turun. Aruni menjelaskan bahawa kewujudan (sat) meresap masuk ke dalam ketiga-tiga unsur tersebut, dan apabila ia masuk, ia menyebabkan setiap unsur mengandungi ciri-ciri dua unsur yang lain. Api, sebagai contoh, bukan sahaja mengandungi haba, tetapi juga unsur air dan makanan.
Doktrin Atman-Brahman
Salah satu ajaran Atman yang paling terkenal terkandung dalam Chandogya Upanishad, sebagai pengajaran Uddalaka Aruni kepada anaknya, Svetaketu. Uddalaka memulakan penerangannya dengan menyatakan bahawa seseorang boleh mengenali hakikat sesuatu bahan secara menyeluruh hanya melalui satu objek yang diperbuat daripadanya. Sebagai contoh, dengan melihat sesuatu yang diperbuat daripada tanah liat, seseorang boleh mengenali tanah liat; melalui perhiasan daripada tembaga, seseorang boleh memahami tembaga.
Beliau memberikan perumpamaan untuk menjelaskan doktrin Atman-Brahman: Seperti lebah mengumpulkan madu dari pelbagai sumber tetapi apabila dihimpunkan, ia menjadi satu jisim tanpa perbezaan; seperti sungai-sungai yang mengalir ke laut akhirnya bersatu dengan laut — begitulah juga Atman wujud secara individu dalam setiap makhluk tetapi akhirnya bersatu dan menjadi satu dengan Brahman.
Uddalaka kemudian meminta anaknya memasukkan garam ke dalam segelas air. Svetaketu menurut. Apabila diminta untuk mengeluarkan kembali garam tersebut, dia tidak dapat kerana garam itu telah larut. Uddalaka kemudian menyuruh anaknya merasa air itu. Apabila didapati ia terasa masin, Aruni menggunakannya sebagai pengajaran tentang Hakikat Tertinggi.
Beliau berkata, “Kau tidak menyedari bahawa satu Kewujudan (sat) itu berada dalam tubuhmu, wahai anakku, namun ia benar-benar ada. Segala yang ada berasaskan hakikat yang halus itu. Itulah Realiti! Itulah Jiwa! Dan engkaulah itu, wahai Svetaketu!”[5]
Teks
Sarjana Aruni dihormati dalam tradisi Hindu, dan seperti ramai sarjana kuno lain yang dihormati, para cendekiawan dari zaman kemudian sering menamakan atau mengaitkan karya-karya mereka dengan namanya. Antara karya-karya tersebut termasuk:
Arunisruti, juga dikenali sebagai Uddalaka Sruti, dipercayai merupakan sebuah teks teistik dari zaman pertengahan yang kini telah hilang ditelan zaman. Teks ini pernah disebut oleh Madhvacharya.
Aruneyi Upanishad (juga dikenali sebagai Aruni atau Arunika Upanishad) merupakan sebuah Upanishad minor dari Samaveda.[6] Ia juga antara Upanishad terawal yang membicarakan tentang kehidupan pertapaan dan jalan hidup sannyasa (penolakan duniawi) dalam Hindu. Menurut Joachim Sprockhoff, seorang sarjana Jerman dalam bidang Upanishad, dan juga menurut Patrick Olivelle, teks ini mungkin disusun sekitar abad ke-4 SM atau selepasnya, namun sebelum bermulanya era Masihi.
Upanishad Aruneyi menegaskan bahawa ilmu berasaskan kitab dan ritual semata-mata adalah tidak mencukupi. Pengejaran ilmu yang sebenar ialah pencarian makna, inti dan maksud yang mendalam dalam ajaran Veda. Seseorang itu berhak dan bertanggungjawab untuk meninggalkan kehidupan duniawi demi pencarian rohani yang tulen.
Pengaruh
Uddalaka Aruni dikatakan telah menyusun dan mengatur pemikiran Veda dan Upanishad secara sistematik. Banyak Mahavakya yang dinisbahkan kepada beliau, antaranya ialah "Tat Tvam Asi" ("Engkau adalah Itu") daripada Chandogya Upanishad, yang sering dipetik dalam ajaran Hindu. Dalam wacana tersebut, Uddalaka Aruni bertindak sebagai guru manakala anaknya, Svetaketu, sebagai murid.
Ajarannya tidak terhad kepada spekulasi metafizik dan falsafah semata-mata. Sebahagian daripada karyanya mengandungi benih kepada fahaman atomisme India, berasaskan kepercayaannya bahawa "zarah-zarah yang terlalu kecil untuk dilihat akan bergabung membentuk segala benda dan objek dalam pengalaman kita." Sesetengah sarjana seperti Hermann Jacobi dan Randall Collins membandingkan Aruni dengan Thales dari Miletus dari segi metodologi saintifik mereka, dan menyifatkan kedua-duanya sebagai “ahli fizik primitif” atau pemikir “proto-materialis”.[7]
Dalam Mahabharata
Bahagian Adi Parva dalam Mahabharata menggambarkan Aruni sebagai murid kepada Maharesi Ayoda-Dhaumya. Suatu ketika, banjir telah melanda kawasan ladang milik ashram dan menyebabkan berlakunya kebocoran pada benteng air. Dhaumya mengarahkan Aruni untuk menahan aliran air tersebut. Setelah sekian lama Aruni tidak kembali, Dhaumya keluar mencarinya. Beliau mendapati Aruni sedang berbaring di celah kebocoran itu untuk menghalang air daripada terus mengalir masuk. Kerana kesetiaannya yang luar biasa, Aruni juga dikenali sebagai Uddalaka Aruni sebagai tanda penghormatan daripada gurunya.
Rujukan
- ^ H. C. Raychaudhuri (1972), Political History of Ancient India, Calcutta: University of Calcutta, pp. 8-9, 21–25
- ^ Ben-Ami Scharfstein (1998), A comparative history of world philosophy: from the Upanishads to Kant, Albany: State University of New York Press, pp. 9-11
- ^ Klostermaier, Klaus K. (2010). Survey of Hinduism, A: Third Edition. State University of New York Press. p. 158. ISBN 978-0-7914-8011-3.
- ^ Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
- ^ Chandogya Upanishad, Bab 6
- ^ Swami Upanishad, A Concise Encyclopaedia of Hinduism
- ^ Collins, Randall (2009). The Sociology of Philosophies. Harvard University Press. pp. 963 note 15. ISBN 978-0-674-02977-4.