Kapitan Cina Yap Ah Loy | |
---|---|
叶亚来 | |
![]() | |
Kapitan Cina Kuala Lumpur | |
Dalam jawatan 1868–1885 | |
Didahului oleh | Kapitan China Liu Ngim Kong |
Digantikan oleh | Kapitan China Yap Ah Shak |
Maklumat peribadi | |
Lahir | Huizhou, Guangdong, Dinasti Qing | 14 Mac 1837
Meninggal dunia | 15 April 1885 Kuala Lumpur, Selangor, British Malaya |
Pasangan | Kok Kang Kweon (郭庚嬌) |
Anak | Yap Hon Chin Yap Ngit Thian[1] |
Kediaman | Kuala Lumpur, Malaysia |
Yap Ah Loy (juga dikenali sebagai Yap Tet Loy dan Yap Mao Lan) (14 Mac 1837 - 15 April 1885) merupakan Kapitan Cina ketiga dan telah pesat memajukan Kuala Lumpur . Beliau telah memacu kota dari sebuah pusat perlombongan kepada ibu kota Malaysia. Sempena memperingati beliau, sebuah jalan diabadikan sebagai Jalan Yap Ah Loy di tengah-tengah kawasan Chinatown di Kuala Lumpur.
Kehidupan awal
Beliau dilahirkan di Wilayah Guangdong di selatan Negara China. Ibubapanya menetap di kampung Tan Shui di daerah Kwai Yap. Beliau juga merupakan keturunan Hakka. Yap Ah Loy meninggalkan China melalui Macau untuk ke Malaya pada 1854 pada umur 17 tahun dan mendapati Malaya sangat berbeza dari China. Malaya pada ketika itu dikenali sebagai negara emas dan bijih timah. Beliau pada mulanya tinggal di Durian Tunggal dan kemudiannya menumpang di rumah pak ciknya di Kesang.
Pada mulanya, beliau gagal menyara diri dan telah membuat keputusan untuk kembali ke China. Ketika kapalnya berlabuh di tengah perjalanan, kerana terdesak kerana tak ingin kembali dengan tangan kosong, beliau telah mencuba nasib di meja judi. nasib tak menyebelahinya dan beliau kehilangan semua duit yang beliau ada. kerana terlalu malu untuk balik setelah gagal, beliau mengambil keputusan untuk mencuba lagi sekali lalu beliau pun ke Lukut.
Di Lukut, Yap Ah Loy berkerja sebagai tukang masak dan kemudiannya penternak babi. Kemudiannya beliau berpindah ke Sungai Ujong. Beliau bernasib baik dapat tinggal dengan Liu Ngim Kong, ketua panglima atau orang kanan kepada Kapitan Shin. 1860, berlakunya perang Sungai Ujong dimana Kapitan Shin telah terbunuh. Yap Ah Loy sendiri hampir mati akibat perang itu. Kapitan Yap Ah Shak kemudiannya memberi kata putus untuk melantik Yap Ah Loy sebagai kapitan Sungai Ujong.
Dalam enam atau tujuh tahun, Yap Ah Loy bertukar menjadi seorang yang tegas dan lebih arif dalam perniagaan. Beliau ketika itu sangat berbeza dari dirinya ketika mula tiba di Malaya. Yap Ah Loy pergi ke Kuala Lumpur atas permintaan Liu Ngim Kong yang ketika itu telah menjadi orang kanan Kapitan Hiu Siew. Liu Ngim Kong dan Yap Ah Loy sangat rapat. Apabila Liu Ngim Kong menjadi kapitan kedua Kuala Lumpur, dia memilih Ah Loy untuk menjadi pemangkunya.
Peranannya dalam pembangunan Kuala Lumpur
Selepas tamatnya Perang Saudara Selangor pada November 1873, Yap Ah Loy telah dilantik secara rasmi sebagai Kapitan Cina oleh Sultan Selangor. Beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan semula bandar tersebut yang ketika itu telah rosak teruk akibat peperangan[2].
Yap Ah Loy telah menggerakkan usaha menghidupkan semula kegiatan ekonomi di Kuala Lumpur dengan membuka kawasan perlombongan baharu, membina jalan raya, dan menggalakkan pertanian dalam kalangan penduduk tempatan, termasuk masyarakat Melayu yang berpindah ke pinggir bandar untuk bercucuk tanam. Beliau juga menubuhkan rumah kebajikan bagi menjaga kebajikan dan kesihatan warga tua yang daif dan tidak mempunyai keluarga.
Pada tahun 1879, Yap Ah Loy telah menjadi individu terkaya di Kuala Lumpur, dengan lebih 5,000 orang pelombong bijih timah bekerja di bawah pengurusannya[3]. Dalam tempoh kegemilangannya, beliau merupakan pemilik kawasan perlombongan terbesar dan memiliki dua pertiga daripada tanah di Kuala Lumpur[4]. Pada tahun 1883, kerajaan British telah menganugerahkan hak milik tanah secara rasmi kepadanya dan memberikan pengecualian daripada membayar nilai tanah tersebut sebagai pengiktirafan terhadap jasanya.
Namun, pada tahun 1881, satu kebakaran besar telah memusnahkan hampir keseluruhan Kuala Lumpur dengan anggaran kerugian mencecah $100,000. Yap Ah Loy telah membeli tanah di kawasan luar bandar yang kini dikenali sebagai Brickfields dan memulakan pengeluaran batu-bata bagi membina semula bangunan-bangunan di Kuala Lumpur dengan menggunakan bahan tahan api seperti bata dan jubin[5], menggantikan rumah beratap daun yang mudah terbakar. Usaha ini menjadikan Brickfields sebagai kawasan perindustrian dan perumahan baharu yang diasaskan oleh beliau[6].
Beliau juga meminjam wang dan menyampaikan cadangan kepada Residen Selangor, Sir Frank Swettenham, untuk membelanjakan sebanyak $20,000 bagi pembinaan jalan raya utama seperti Jalan Ampang, Jalan Pudu, dan Jalan Petaling, yang kemudiannya menjadi arteri penting bandar Kuala Lumpur[7]. Berkat usaha beliau, Kuala Lumpur telah dinamakan ibu negeri Selangor, dan kemudiannya menjadi ibu kota Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Yap Ah Loy turut memainkan peranan dalam menegakkan undang-undang dan ketenteraman awam melalui kerjasama dengan pasukan polis tempatan serta kumpulan Hai San yang bernaung di bawahnya[8][9]. Beliau dikenali sebagai tokoh yang bijaksana dalam pentadbiran dan diplomasi, termasuk ketika kuasa pentadbiran Kuala Lumpur dipindahkan secara rasmi kepada pihak British. Beliau tidak menentang langkah tersebut, sebaliknya menyerahkan kuasa dengan penuh tanggungjawab, yang kemudiannya mendapat pujian daripada Sir Frank Swettenham dalam penulisannya mengenai peranan Yap Ah Loy.
Kematian
Pada akhir 1884, Yap Ah Loy jatuh sakit menghidap bronkitis dan abses paru-paru kiri. Pada bulan Mac 1885, beliau membuat pemulihan sedikit sebelum beliau meninggal dunia pada 15 April 1885 pada usia 47 tahun. Doktor memeriksa badan Yap dan kemudian mengesahkan bahawa kematiannya sama ada disebabkan oleh kegagalan jantung atau keracunan oleh asap arang batu bara. Doktor juga melihat kecerahan matanya yang luar biasa.[10] Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Kwong Tong yang besar di Kuala Lumpur..
Rujukan
- ^ Philp Rodrigues (1980-10-15). "Woman: I'm Daughter of Yap Ah Loy" (PDF). The Star. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2015-12-06. Dicapai pada 2015-12-03. Unknown parameter
|deadurl=
ignored (bantuan) () - ^ Ee, Tan Liok (2001). "Review of THE END OF EMPIRE AND THE MAKING OF MALAYA". Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. 74 (1 (280)): 120–123. ISSN 0126-7353.
- ^ Staff, ExpatGo (2012-06-21). "Yap Ah Loy – Founder of Kuala Lumpur". ExpatGo (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-05-11.
- ^ caramelsalty (2018-11-26). "Kuala Lumpur – Chinatown – The Story Of Yap Ah Loy". Caramel Day Trips (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-05-11.
- ^ Deol, Haresh (2014-10-08). "Brickfields: Big in history". Malay Mail (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-05-11.
- ^ "Yap Ah Loy's Administration". yapahloy.tripod.com. Dicapai pada 2025-05-11.
- ^ Lifestyle, Toon Kit Yi @ FMT (2024-01-06). "A tribute to the pioneers who helped build Kuala Lumpur". Free Malaysia Today | FMT (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-05-11.
- ^ "The Battle for the Tin Mines". www.sabrizain.org. Dicapai pada 2025-05-11.
- ^ caramelsalty (2018-11-26). "Kuala Lumpur – Chinatown – The Story Of Yap Ah Loy". Caramel Day Trips (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2025-05-11.
- ^ J.M. Gullick (1983). The Story of Kuala Lumpur, 1857-1939. Eastern Universities Press (M). m/s. 46–47. ISBN 978-9679080285.
Pautan luar
- The History of Yap Ah Loy
- Yap Ah Loy, Sejarah Malaysia
- "The Beginning". Diarkibkan daripada yang asal pada 23 October 2007. The Introduction of Kuala Lumpur Urban History
Pejabat-pejabat kerajaan | ||
---|---|---|
Didahului oleh Kapitan Liu Ngim Kong |
Kapitan Cina Kuala Lumpur 1868–1885 |
Diikuti oleh: Kapitan Yap Ah Shak |