
Zon pumpunan antara tropika (bahasa Inggeris: Intertropical Convergence Zone; singkatan: ITCZ atau ICZ),[1] yang dikenali oleh pelayar sebagai doldrum, kawasan tenang atau kawasan teduhan disebabkan oleh cuaca tanpa angin, merupakan satu kawasan apabila angin dagang timur laut dengan angin dagang tenggara bertembung. Kawasan ini mengelilingi Bumi berhampiran khatulistiwa terma, walaupun kedudukan khususnya akan berubah-ubah mengikut musim. Apabila zon ini terletak berhampiran kawasan khatulistiwa geografi, ia dipanggil lekukan khatulistiwa atau zon pumpunan khatulistiwa. Apabila ITCZ ditarik masuk dan bergabung dengan peredaran monsun, ia kadangkala dirujuk sebagai lekukan monsun (penggunaan yang lebih biasa di Australia dan sebahagian kawasan Asia).
Meteorologi
ITCZ pada asalnya dikenal pasti sejak 1920-an hingga 1940-an sebagai Perenggan Antara Tropika (ITF); bagaimanapun, selepas pengiktirafan kepentingan pumpunan medan angin dalam penghasilan cuaca tropika sekitar dekad 1940-an dan 1950-an, istilah Zon Pumpunan Antara Tropika (ITCZ) kemudiannya digunakan.[2]
ITCZ muncul sebagai satu jalur awan, biasanya ribut petir, yang mengelilingi dunia berhampiran Khatulistiwa. Di Hemisfera Utara, angin dagang bergerak ke arah barat daya dari timur laut, manakala di Hemisfera Selatan, angin bergerak ke arah barat laut dari tenggara. Apabila ITCZ berada pada kedudukan utara atau selatan Khatulistiwa, arah ini berubah mengikut kesan Coriolis yang disebabkan oleh putaran Bumi. Contohnya, apabila ITCZ terletak di utara Khatulistiwa, angin dagang tenggara berubah menjadi angin barat daya apabila ia melintasi Khatulistiwa. ITCZ terbentuk melalui gerakan menegak yang sebahagian besarnya kelihatan sebagai aktiviti perolakan ribut petir yang didorong oleh pemanasan suria, yang menarik udara masuk secara berkesan.[3] ITCZ dengan efektifnya merupakan penyurih kepada cabang sel Hadley yang menaik dan basah. Cabang menurun dan kering pula merupakan latitud kuda.
Lokasi ITCZ secara beransur-ansur berubah mengikut musim, kira-kira berpadanan dengan lokasi khatulistiwa terma. Memandangkan kapasiti haba lautan lebih besar daripada udara di atas daratan, penghijrahan lebih menonjol di kawasan daratan. Di kawasan lautan pula yang merupakan zon pumpunan yang lebih tertakrif, kitaran bermusim akan menjadi lebih tidak ketara disebabkan oleh perolakan yang dikekang oleh taburan suhu lautan.[4] Kadangkala, ITCZ berganda akan terbentuk dengan satu terletak di utara dan satu lagi di selatan Khatulistiwa, dengan salah satu daripadanya biasanya lebih kuat daripada yang lain. Apabila hal ini berlaku, rabung sempit bertekanan tinggi akan terbentuk di antara dua zon pumpunan.
Rujukan
- ^ "ITCZ". National Weather Service.
- ^ Barry, Roger Graham; Chorley, Richard J. (1992). Atmosphere, weather, and climate. London: Routledge. ISBN 978-0-415-07760-6. OCLC 249331900.
Atmosphere, weather, and climate.
- ^ "Inter-Tropical Convergence Zone". JetStream - Online School for Weather. NOAA. 2007-10-24. Dicapai pada 2009-06-04.
- ^ "Inter Tropical Convergence Zone (ITCZ) - SKYbrary Aviation Safety". www.skybrary.aero (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-04-12.
Pautan luar
![]() |
Cari doldrum dalam Wikikamus bahasa Melayu, kamus bebas. |
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Zon pumpunan antara tropika |
- ITCZ di Afrika melalui Universiti Carolina Selatan
- "A Shifting Band of Rain", Scientific American (Mac 2011)
- Duane E. Waliser dan Catherine Gautier, November 1993: "A Satellite-derived Climatology of the ITCZ" . J. Iklim, 6, 2162–2174.