1°27′27.0″N 103°45′08.1″E / 1.457500°N 103.752250°E
| Zoo Johor زو جوهر | |
|---|---|
![]() | |
| Tarikh dibuka | 1928[1] |
| Lokasi | Johor Bahru, Johor, Malaysia |
| Keluasan tanah | 4.73 hektar[2] |
| Bil. haiwan | 414[3] |
| Bil. spesies | 70[3] |
| Pengurusan | Kerajaan Negeri Johor |
Zoo Johor (pernah dikenali sebagai Kebun Binatang atau Taman Haiwan atau Zoo Diraja Johor[4]) ialah sebuah fasiliti yang menempatkan pelbagai spesis haiwan sebagai pendedahan dan pendidikan kepada orang ramai. Ianya terletak di Johor Bahru dalam negeri Johor dan dibangunkan di atas tapak berkeluasan 4.73 hektar serta berada dalam kawasan Istana Besar, Johor Bahru[5]. Zoo Johor diiktiraf sebagai zoo tertua sekali di Malaysia[1].
Pada bulan Januari 2025, zoo ini merekodkan sebanyak 373 ekor haiwan daripada 65 spesis[6] yang tergolong kepada empat kumpulan iaitu mamalia, burung, reptilia dan primat. Antara spesis yang terdapat di Zoo Johor termasuklah Rusa sambar (Rusa unicolor), Tenuk Malaysia (Tapirus indicus)[6], Buaya tembaga (Crocodylus porosus), Ungka Borneo (Hylobates muelleri), Kambing pigmi[6] dan burung Kakaktua Palma (Probosciger aterrimus).
Zoo Johor diuruskan oleh Kerajaan Negeri Johor sejak tahun 1962. Pada asalnya, zoo ini dikenali sebagai Kebun Binatang yang menempatkan pelbagai spesis haiwan hasil koleksi peribadi Keluarga Diraja Johor dan dibuka pada tahun 1928 oleh Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar. Pada 31 Ogos 2024, Zoo Johor dibuka semula selepas kerja-kerja naik taraf selesai dan ia telah dirasmikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim[2].
Pada bulan Oktober 2025, Kerajaan Negeri Johor memperkenalkan maskot rasmi bersempena dengan Tahun Melawat Johor 2026 iaitu dua ekor harimau belang (Panthera tigris)[7] yang bernama Cuping dan Jucy, masing-masing dilahirkan di Zoo Johor[8]. Cuping ialah seekor harimau jantan yang lahir pada tahun 2013 dan Jucy ialah seekor harimau betina yang lahir pada tahun 2018[8].
Sejarah
Zoo Johor pada asalnya dibangunkan sebagai zoo persendirian yang mengumpulkan koleksi peribadi milik Tengku Mahkota Johor pada ketika itu, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim[9] (1894-1981) dan diuruskan sendiri oleh baginda dengan dibantu oleh beberapa orang pekerja[10]. Koleksi haiwan yang terdapat di sini kebanyakannya dihadiahkan kepada baginda oleh pihak pengurusan zoo di luar negara. Antara spesis yang dihadiahkan termasuklah kanggaru dan Joyinah Hitam yang dibawa masuk dari Zoo Perth, Australia, spesis beruang yang dibawa masuk dari Zoo Washington, Amerika Syarikat dan burung Makaw dari Afrika Selatan[10]. Zoo ini juga dibuka kepada umum dan tiada bayaran masuk dikenakan[10].

Pada bulan Januari 1939, berlakunya insiden di mana baginda diserang oleh seekor harimau kumbang semasa baginda sedang melakukan penyelenggaraan rutin di zoo[11]. Baginda kemudian menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Umum Johor akibat daripada kecederaan di bahagian bahu. Seorang pekerja zoo juga dimasukkan ke hospital selepas diserang haiwan itu[11]. Harimau kumbang yang menyerang baginda itu dikatakan baru sahaja dibawa masuk ke zoo kira-kira tujuh bulan sebelumnya dari Siam[12]. Baginda kemudian berangkat pulang selepas mendapatkan rawatan selama seminggu di hospital berkenaan[13].
Semasa zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Zoo Johor mengalami kemusnahan yang teruk akibat daripada perbuatan yang dilakukan oleh tentera Jepun. Ada di antara koleksi haiwan yang dikumpulkan baginda mati akibat kelaparan dan ada juga haiwan seperti rusa dijadikan sebagai makanan[14]. Dilaporkan dalam media pada ketika itu bahawa berkemungkinan hanya seekor kuda belang betina sahaja yang terselamat[14] dan spesis haiwan liar seperti harimau terpaksa ditembak mati kerana kebimbangan haiwan-haiwan ini terlepas dan menyerang orang ramai jika tentera Jepun melakukan serangan bom[15]. Seorang pekerja zoo diseksa tentera Jepun apabila mereka bertindak mengurung pekerja terbabit ke dalam sangkar yang diduduki orang utan yang kelaparan[15].
Selepas pengunduran Jepun dari Tanah Melayu, baginda mencemar duli menyelia sendiri projek pemulihan Zoo Johor dengan pembinaan sangkar-sangkar yang diperbuat daripada besi bagi menggantikan sangkar yang rosak[16]. Selain itu, baginda juga berkenan menerima hadiah seperti koleksi haiwan dari spesis kanggaru, walabi, burung emu dan joyinah hitam yang dihantar dari Zoo Taronga, Australia[17] serta membawa masuk spesis haiwan dari luar negara dalam usaha untuk memulihkan zoo kembali seperti sebelumnya[16]. Setakat tahun 1955, koleksi haiwan milik baginda termasuklah 13 ekor buaya, tujuh ekor harimau, lima ekor singa dan sepasang burung Kasuari[18].
Tahun 1950-an menyaksikan lebih banyak spesis dibawa masuk ke Zoo Johor. Pada tahun 1951, baginda berkenan membawa masuk tiga ekor harimau bintang (Panthera pardus) serta pelbagai spesis burung nuri[19]. Pada tahun 1952, baginda berkenan membawa masuk seekor singa jantan dan dua ekor singa betina yang telah ditempah dari Australia kira-kira enam bulan sebelumnya[20]. Bilangan haiwan di dalam Zoo Johor terus bertambah apabila seekor anak rusa telah dilahirkan di dalam zoo[21], di samping kemasukan tiga ekor anak harimau yang sebelum itu dijumpai pasukan keselamatan semasa mereka melakukan operasi di sekitar Gunung Pulai[22].
Rujukan
- ^ a b "More than 10,000 expected to visit Johor Zoo as it reopens after three years". The Straits Times. 31 Ogos 2024. Diarkibkan daripada yang asal pada 29 Oktober 2024. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ a b Jassmine Shadiqe (17 Ogos 2024). "Refurbished Johor Zoo to reopen on National Day". New Straits Times. Diarkibkan daripada yang asal pada 17 Ogos 2024. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ a b Remar Nordin (15 September 2025). "Zoo Johor bakal berwajah baru". BeritaHarian Singapura. Dicapai pada 13 Oktober 2025.
- ^ "Gateway To Federation". Singapore Standard. 13 Mei 1951. m/s. 9. Dicapai pada 29 Januari 2025.
- ^ Nur Adlina Syahirah Mohd Nazri (16 Ogos 2024). "DISKAUN 50 PERATUS, ZOO JOHOR DIBUKA 31 OGOS INI". Media Digital Johor. Diarkibkan daripada yang asal pada 20 September 2024. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ a b c Mohd Farhaan Shah (11 Januari 2025). "Johor Zoo banking on slithery stars". The Star. Diarkibkan daripada yang asal pada 22 Januari 2025. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ Zulhisham Isahak (13 Oktober 2025). "Bas percuma di JB untuk pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026". MalaysiaGazette. Dicapai pada 13 Oktober 2025.
- ^ a b "Video, lagu rasmi Visit Johor Year 2026 dilancarkan". TVS. 13 Oktober 2025. Diarkibkan daripada yang asal pada 13 Oktober 2025. Dicapai pada 13 Oktober 2025.
- ^ "Tungku Mahkota's Private Zoo". The Straits Times. 15 Mei 1938. m/s. 32. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ a b c "JOHORE PRINCE HAS FINE ZOO NEAR SULTAN'S ISTANA". The Straits Times. 15 Mei 1938. m/s. 12. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ a b "Black Panther Attacks The Regent Of Johore". Malaya Tribune. 3 Januari 1939. m/s. 13. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ "JOHORE REGENT ATTACKED". The Straits Budget. 5 Januari 1939. m/s. 4. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ "TUNGKU MAHKOTA OUT OF HOSPITAL". The Straits Times. 19 Januari 1939. m/s. 12. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ a b "Johore Weekly Letter". The Straits Times. 8 Disember 1948. m/s. 9. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ a b "Jap soldier put him in a cage with a hungry orang-utan!". The Straits Times. 26 September 1954. m/s. 6. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ a b "NO CAGE TO HOLD THAT TIGER". Malaya Tribune. 8 Februari 1949. m/s. 8. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ "Gift Of Zoo Animals For Johore Sultan". The Straits Times. 21 April 1949. m/s. 4. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ "Randezvous at Johore Zoo". Sunday Standard. 20 Mac 1955. m/s. 7. Dicapai pada 28 Januari 2025.
- ^ "3 LEOPARDS FOR ZOO". The Straits Times. 26 Julai 1951. m/s. 4. Dicapai pada 29 Januari 2025.
- ^ "Johore Zoo gets three new animals". The Straits Times. 19 April 1952. m/s. 8. Dicapai pada 29 Januari 2025.
- ^ "Baby deer is the latest Zoo addition". The Straits Times. 26 Oktober 1952. m/s. 4. Dicapai pada 29 Januari 2025.
- ^ "A NEW FAMILY FOR RITA: THREE TIGER CUBS". The Straits Times. 26 Julai 1953. m/s. 4. Dicapai pada 29 Januari 2025.
Pautan luar
| Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Zoo Johor |









