Harrison Hassan | |
|---|---|
| حَارِصُون حَسَّان | |
| Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia | |
| Menyandang jawatan 18 Januari 2025 | |
| Presiden | Muhyiddin Yassin |
| Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor bagi Jeram | |
| Menyandang jawatan 12 Ogos 2023 | |
| Didahului oleh | Mohd Shaid Rosli (PH–BERSATU) |
| Majoriti | 5,398 (2023) |
| Maklumat peribadi | |
| Lahir | Harrison bin Hassan |
| Kewarganegaraan | |
| Parti politik | Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) (sehingga 2023) Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) (sejak 2023) |
| Gabungan politik lain | Barisan Nasional (BN) (sehingga 2023) Perikatan Nasional (PN) (sejak 2023) |
| Pekerjaan | Ahli politik |
Dato' Harrison bin Hassan merupakan seorang ahli politik Malaysia yang telah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) bagi kawasan Jeram sejak Ogos 2023. Beliau merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), sebuah parti komponen dalam gabungan Perikatan Nasional (PN). Sebelum itu, beliau merupakan ahli, Timbalan Ketua Bahagian Sungai Buloh dan Setiausaha Kerja Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti komponen dalam gabungan Barisan Nasional (BN). Beliau juga telah dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU sejak Januari 2025.[1][2]
Kerjaya politik
Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (sejak 2023)
Pilihan raya negeri Selangor 2023
Dalam Pilihan raya negeri Selangor 2023, Harrison telah membuat penampilan sulungnya dalam pilihan raya selepas dicalonkan oleh PN untuk bertanding di kerusi negeri Jeram. Harrison memenangi kerusi tersebut dan telah dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) bagi Jeram untuk penggal pertama selepas menewaskan calon BN, Jahaya Ibrahim dengan majoriti 5,398 undi.[3]
Semasa tempoh berkempen, bekas Menteri Kesihatan dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin turut hadir memberi sokongan kepada Harrison dan meluangkan masa bersamanya dalam satu sesi ramah mesra bersama pengundi Jeram. Khairy menyokong Harrison kerana beliau merupakan sahabat dan rakan seperjuangannya dalam Pemuda UMNO serta menambah bahawa inilah masa yang sesuai untuk Harrison bertanding dalam pilihan raya. Beliau turut menyatakan bahawa pengalaman, pengetahuan, sikap rajin dan realistik yang dimiliki oleh Harrison menjadikannya calon ADUN Jeram yang cemerlang.[4]
Harrison pernah dilantik sebagai Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada umur 26 tahun ketika pergerakan itu di bawah Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau seterusnya aktif dan bertanding dalaman parti UMNO dari era Pemuda UMNO sehingga menang sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Sungai Buloh pada 2013 dan 2018. [5]
Kontroversi dan isu
Dipecat daripada UMNO dan menyertai BERSATU
Pada 28 Julai 2023, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Pengerusi BN dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pemecatan automatik Harrison sebagai ahli UMNO selepas beliau diumumkan sebagai calon yang mewakili PN dan BERSATU, yang merupakan musuh politik kepada UMNO. Ahmad Zahid turut menyatakan bahawa UMNO memerlukan ahli yang setia kepada parti dan bukan sebaliknya serta tindak balasnya tidak mengejutkan kerana beliau telah maklum lebih awal tentang penghijrahan Harrison.[6] Sebagai maklum balas, Harrison menjelaskan bahawa keputusan beliau untuk bertukar parti adalah berdasarkan kehendak rakyat yang mahukan perubahan politik, walaupun beliau dilabel sebagai ‘pengkhianat’. Beliau turut menyatakan bahawa perjuangannya adalah secara ikhlas tanpa dipengaruhi atau dipaksa oleh mana-mana pihak, dan tidak taksub kepada mana-mana idola. Beliau turut mempertahankan tindakannya dengan mendakwa bahawa BN dan UMNO masih terperangkap dalam politik lama, manakala beliau tidak lagi berada dalam kerangka tersebut.[7]
Kehidupan peribadi
Mengidolakan Hishammuddin Hussein
Beliau mengidolakan Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein yang pernah bekerjasama dengannya di Kementerian Pertahanan. Beliau berkongsi bahawa Hishammuddin terkejut namun bersikap positif apabila mendapat tahu beliau bertanding dalam pilihan raya, malah memeluknya sebagai tanda sokongan.[8]
Kesihatan
Semasa penghujung tempoh kempennya, Harrison terpaksa menggunakan tongkat selepas mengalami bengkak pada buku lali beliau. Namun begitu, kecederaan tersebut tidak menghalangnya untuk turun padang bertemu para pengundi. Beliau mengaitkan kecederaan itu dengan kemungkinan berjalan terlalu banyak sepanjang tempoh tersebut. Beliau menyifatkan perkara itu sebagai satu ujian baginya kerana beliau berazam untuk mengunjungi kesemua 13 pusat mengundi di Jeram dan bertemu seramai mungkin pengundi.[9]
Pendidikan
Harrison mendapat pendidikan menengah di Maktab Tentera DiRaja, Sg Besi dan melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda Undang-undang di Coventry University, United Kingdom.[10]
Keputusan pilihan raya
| Tahun | Kawasan pilihan raya | Calon | Undi | Peratus | Lawan | Undi | Peratus | Undi sah | Majoriti | Hasil | ||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| 2023 | N12 Jeram | Harrison Hassan (BERSATU) | 16,731 | 59.62% | Jahaya Ibrahim (UMNO) | 11,333 | 40.38% | 28,064 | 5,398 | 76.45% | ||
Anugerah
Rujukan
- ^ "Y.B. Dato' Harrison Bin Hassan". Dewan Negeri Selangor. Dicapai pada 25 Februari 2024.
- ^ "Jadi calon PN, timbalan ketua Umno Sungai Buloh lucut keahlian". Free Malaysia Today. 27 Julai 2023. Dicapai pada 25 Februari 2024.
- ^ "Selangor polls: Official Results". New Straits Times. 13 Ogos 2023. Dicapai pada 25 Februari 2024.
- ^ "Khairy joins in Perikatan campaign in Jeram to back former Umno Youth colleague". Malay Mail. 8 Ogos 2023. Dicapai pada 25 Februari 2024.
- ^ Maklumat peribadi Harrison
- ^ "PRN: Ahmad Zahid tidak terkejut Harrison Hassan tanding tiket PN". Malaysia Gazette. 27 Julai 2023. Dicapai pada 25 Februari 2024.
- ^ "'Saya tukar parti demi tuntutan rakyat' - Harrison". Sinar Harian. 10 Ogos 2023. Dicapai pada 25 Februari 2024.
- ^ "PRN: Hishammuddin idola calon PN Harrison Hassan". Astro Awani. 7 Ogos 2023. Dicapai pada 25 Februari 2024.
- ^ "PRN: Biar bertongkat, Harrison datang bertemu pengundi". My Metro. 12 Ogos 2023. Dicapai pada 25 Februari 2024.
- ^ Maklumat peribadi
- ^ "Keputusan Pilihan Raya Negeri Selangor ke-15". Dicapai pada 5 Oktober 2023.
- ^ "Semakan Penerima Darjah Kebesaran Bintang Dan Pingat". www.istiadat.gov.my.








