
Kuil Kalighat (IAST: Kālīghāṭ) atau dikenali sebagai Kuil Kali Kolkata atau Kuil Kali Kalighat merupakan salah satu tempat pemujaan yang terkenal di Kolkata, India. Kuil Hindu ini terletak di tebing sungai Hooghly. Tuhan disembah di kuil ini sebagai Kali.
Kuil ini merupakan salah satu daripada 51 Shakti Pitha di India. Menurut Devi Bhagavata Purana, Kalika Purana dan Shakti Peetha Stotram, jari kaki kanan Dewi Sati dikatakan jatuh di sini selepas tubuhnya dipecahkan kepada beberapa bahagian oleh cakra Sudarshan milik Vishnu untuk meredakan kemarahan Siva.
Sebagai salah satu tempat ibadat tertua dan paling penting di India Timur serta salah satu daripada empat Adi Shaktipeetha, kuil ini menarik ratusan ribu penganut sepanjang tahun, terutamanya pada perayaan seperti Kali Puja, Tahun Baru, Poila Baisakh, Snana Yatra, Durga Puja, dan setiap Amavasya (bulan gelap).
Kuil ini ialah sebuah mercu tanda penting di bandar tersebut dan dikunjungi oleh ribuan orang daripada pelbagai agama setiap hari.
Lagenda

Terdapat beberapa lagenda berbeza tentang asal-usul Kuil yang terletak di kawasan hutan ini ditemui.
Seorang brahmana yang sedang mandi di sungai Bhagirathi (Ganga) ternampak sekelumit cahaya muncul dari air di satu tempat tertentu. Setelah menyelam di situ, beliau menemui sekeping batu yang diukir seperti jari kaki manusia. Pada malam itu, beliau bermimpi bahawa itu ialah jari kaki dewi Sati Daksayani (Parvati).
Menurut tradisi mengenai penciptaan tempat-tempat suci Sakti (atau Shaktipitha – tempat-tempat suci bagi Dewi Parvati), tempat ini dianggap sebagai lokasi kedua di mana jari kaki Sati Daksayani jatuh.
Brahmana itu juga menemui sebuah lingga Siva di kawasan berhampiran. Beliau menempatkan imej batu jari kaki itu di situ dan mula menyembah kedua-duanya. Lingga ini dikenali sebagai Nakulesvar.)
Sekitar imej-imej inilah, sebuah kuil besar kemudian dibina hasil usaha para penyembah.
Beberapa kisah lain yang berkaitan dengan kuil ini boleh diringkaskan seperti berikut:
- Santosh Roy Choudhury dari keluarga terkenal Sabarna Roy Choudhury menemui imej ini di dalam hutan setelah mendengar bunyi sangkakala secara tidak sengaja ketika melalui kawasan itu. Beliaulah yang mula-mula membina kuil dan memulakan penyembahan. Anak beliau, Ram Lal, dan anak saudara beliau, Rajiv, menyiapkan pembinaan kuil itu pada tahun 1809 Masihi.
- Keshav Roy Choudhury, seorang lagi keturunan keluarga Sabarna, menemui imej itu melalui mimpi. Beliau mengangkatnya dan membina sebuah kuil kecil. Kuil yang ada sekarang dibina kemudian oleh Rajiv Lochan Roy.
- Beberapa Kapalika menemui imej itu dalam hutan dan menetapkannya di situ juga.
- Chaurangi Giri, seorang rahib dari mazhab Dasanami (Advaita Vedanta), menemui imej itu dan menyempurnakan penyuciannya dalam sebuah kuil.
- Terdapat rujukan kepada seorang bernama Bhuvanesvar Brahmacari yang menjadi pendeta kuil ini pada tahun 1550 Masihi, sekali gus mengesahkan kewujudan kuil itu sejak masa tersebut. Beliau membenarkan penempatan salagrama dalam kuil itu, yang masih boleh dilihat hingga kini.
Sejarah
Kuil Kalighat dalam bentuknya yang ada sekarang berusia sekitar 200 tahun, walaupun ia sudah disebut dalam Mansar Bhasan pada abad ke-15 dan Kavi Kankan Chandi pada abad ke-17. Struktur kuil sekarang disiapkan dengan sokongan keluarga bangsawan Sabarna Roy Choudhury pada tahun 1809.
Santosh Roy Chowdhury, seorang penganut setia Dewi Kali, memulakan pembinaan kuil ini pada tahun 1798 dan pembinaannya mengambil masa 11 tahun. Namun, sokongan tradisional keluarga Roy Choudhury terhadap dewi tersebut menjadi bahan perdebatan.
Pada tahun 1835, Kashinath Roy membina sebuah Nat Mandir (balai persembahan) di dataran kuil. Pada tahun 1843, seorang penganut Waisnava bernama Uday Narayan Mondal dari keluarga diraja Bawali mendirikan Kuil ShyamRai yang kini terdapat di dataran kuil Kalighat. Pada tahun 1858, Madan Gopal Koley menambah struktur Dal Mancha di kuil ShyamRai tersebut.
Seni Bina
Kuil ini dibina mengikut gaya seni bina kuil Bengal yang dikenali sebagai ath-chala. Bumbung kuil berbentuk bumbung segi tiga bersusun yang dikenali sebagai chala dalam bahasa Bengali, meniru reka bentuk pondok-pondok beratap jerami dari kampung.
Bangunan utama kuil berbentuk empat segi dan menampilkan kubah yang rendah. Dua lapisan bumbungnya mengandungi lapan sisi keseluruhannya. Bumbung ini dicat dengan warna perak metalik, manakala bahagian sempadan atau cornice dihiasi dengan warna kuning, merah, hijau dan biru.
Puncak kuil mempunyai tiga menara (shikhara) dengan menara tertinggi dihiasi bendera segitiga berwarna emas. Dinding luar kuil mempunyai corak papan catur berbentuk berlian dalam warna hijau dan putih berselang-seli.
Sempadan di bawah bumbung ath-chala dihiasi dengan ukiran terrakota yang menggambarkan pelbagai dewa Hindu dan unsur alam semula jadi—unsur penting dalam seni bina kuil-kuil bersejarah Bengal.
Lokasi
Kuil Kalighat terletak di tebing sungai Bhagirathi (atau Ganges), di Benggala Barat, bandar Kolkata.
Bandar Calcutta (kini dikenali sebagai Kolkata) pada asalnya merupakan sebuah kawasan kecil bernama Kalikata (tanah milik Kali), yang mengandungi sebuah kuil purba kepada Ibu Kali yang terletak di tebing sungai Bhagirathi. Perkataan ghat merujuk kepada tempat pemandian atau pelantar di tebing sungai. Maka, Kalighat membawa maksud "pelantar di tebing sungai Bhagirathi yang menjadi lokasi kuil Kali".
Rupa Dewi Kali
Imej Ibu Kali diperbuat daripada batu Kosti yang berwarna hitam. Tangan-tangan Dewi dihiasi dengan gelang emas dan perhiasan tangan. Cincin hidung-Nya juga diperbuat daripada emas. Dewi memegang sebilah pedang perak di sebelah tangan dan kepala yang telah dipenggal di tangan yang lain. Kalung-Nya terdiri daripada kepala-kepala manusia yang diperbuat daripada emas dan perak. Gigi dan lidah-Nya juga disaluti emas.
Dewi memakai mahkota emas dan di atasnya terdapat payung emas. Seluruh tubuh-Nya diselubungi kain dan banyak kalungan bunga menghiasi leher-Nya. Tuhan Siva terbaring di kaki Dewi. Imej Siva juga disaluti dengan perak.'
Struktur Kuil
Kuil Siva Nakulesvar (dibina pada tahun 1805 Masihi) terletak di hadapan kuil Kali.
Natmandir (balai perhimpunan atau dewan upacara) mengandungi imej Sri Krishna sebagai Vasudeva. Di situ hanya makanan vegetarian yang dipersembahkan.
Pengubahsuaian
Pada tahun 2024, kuil yang berusia lebih 200 tahun ini menerima kerja pengubahsuaian besar buat kali pertama sejak ia dibina pada 1809. Dengan bajet sebanyak INR 2 bilion, INR 1.65 bilion disumbangkan oleh Perbandaran Kolkata, manakala Mukesh Ambani menyumbangkan bakinya melalui Yayasan Reliance sebagai tanda bakti kepada Maa Kali.
Gaya seni bina ath-chala asal yang rumit tidak diubah, malah dibaik pulih dengan penuh teliti untuk mengekalkan keaslian warisan seni bina Bengal. Kerja-kerja pemulihan ini dijalankan oleh firma landskap Quintessence di bawah pengawasan arkitek pemuliharaan Kalyan Chakraborty dan artis Tamal Bhattacharya. Mereka menemui ukiran terrakota halus yang tersembunyi di bawah struktur bumbung ath-chala, yang kini dipulihkan dan sebahagiannya ditambah dengan reka bentuk baharu.
Bhattacharya juga menemui pelbagai motif terrakota yang diilhamkan daripada alam seperti bunga, burung dan daun, yang telah rosak teruk sepanjang dua abad lalu. Beliau memutuskan untuk menonjolkan semula elemen-elemen ini selepas pengubahsuaian sebagai sebahagian penting daripada keaslian kuil dan simbol kegemilangannya yang lampau.
Pelajar seni bina dari Bishnupur turut diambil untuk membantu kerja-kerja terrakota tersebut. Oleh kerana agak sukar untuk mencari salinan asli yang sama, motif baharu dicipta untuk menggantikan yang tidak dapat diselamatkan.
Kuil ini dahulunya mempunyai 25 jenis jubin berbeza yang dipasang secara rawak bergantung kepada ketersediaan, dan tidak diselenggara dengan baik. Semua jubin tersebut kini diganti dengan jubin seragam menggunakan teknik pemindahan pelekat dan lapisan glazing.
Tiang-tiang kuil dicat semula, dan tiga menara pada shikhara disalut dengan 50 kg emas. Menara tertinggi dihiasi dengan bendera emas, melambangkan keagungan rohani kuil tersebut.
Tembok baharu juga dibina untuk memisahkan kawasan pasar daripada kompleks utama kuil bagi pengurusan pelawat yang lebih teratur. Sistem pengudaraan dipertingkat dan air yang bertakung di atas daun belpata juga dialirkan dengan lebih baik.
Ritual
Pengorbanan kambing kepada Ibu Kali merupakan amalan biasa.
Penganut yang datang ke sini turut menjalankan upacara mandi suci yang dikenali sebagai Snan Yatra di kolam Kundupukur dalam kawasan kuil.
Ramai orang miskin diberi makan setiap hari.
Lawatan ke Kuil Kalighat
Stesen kereta api terdekat ialah Howrah, manakala stesen metro terdekat ialah Kalighat.
Waktu terbaik untuk melawat kuil ini ialah pada awal pagi atau waktu tengah hari. Arca Dewi Kali di sini sangat besar. Bagi mereka yang datang buat kali pertama, adalah baik untuk mengelakkan waktu sesak supaya dapat melihat seluruh kawasan kuil dengan selesa.