| Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ) Pulai Chondong معهد تحفيظ القرآن و القراءات | |
|---|---|
| Lokasi | |
| Pulai Chondong, Machang, Kelantan | |
| Maklumat | |
| Jenis | Sekolah menengah agama |
| Ditubuhkan | 1992 |
| Pengetua | Haji Mohd Mansor bin Haji Daud (pengetua pertama) |
| Kakitangan | 43 tenaga pengajar, 9 staf sokongan[1] |
| Kemasukan | 283 pelajar[1] |
| Afiliasi | Yayasan Islam Kelantan |
Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat (MTAQ) Pulai Chondong, Machang, Kelantan merupakan sebuah sekolah tahfiz kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK). MTAQ menggabungkan tiga kurikulum bersepadu iaitu Kurikulum Al-Quran dan Qiraat mengikut sukatan pelajaran Maahad Qiraat Al-Azhar Mesir, Kurikulum Arab & Agama mengikut sukatan pelajaran Maahad Bo’uth Al-Azhar Mesir dan Kurikulum Akademik mengikut sukatan pelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia.[2]
Sejarah
MTAQ Pulai Chondong ditubuhkan pada tahun 1992 hasil cadangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan ketika itu, selepas beliau mula mentadbir Kelantan pada tahun 1990. Kerajaan Negeri Kelantan meletakkan MTAQ di bawah pengurusan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dengan seramai 30 orang pelajar sebagai generasi sulung. YIK melantik al-Fadhil Ustaz Mohd Mansor bin Haji Daud sebagai pengetua pertama dan al-Fadhil Ustaz Nazaruddin bin Jalaluddin sebagai guru tahfiz Al-Quran dan guru penolong.[3]
Pada awalnya, pelajar ditempatkan sementara di bangunan Lembaga Peperiksaan YIK, Nilam Puri kerana kompleks MTAQ sedang dibina. Pada 16 Mei 1993, MTAQ berpindah ke kompleks baharu di Pulai Chondong di atas tanah seluas 4.8 ekar dengan sebuah bangunan 2 tingkat.
MTAQ didaftarkan di bawah Enakmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (1994). Pada tahun 1995, sebuah masjid dan perpustakaan dibina hasil sumbangan masyarakat, diikuti asrama baharu dengan dana Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK).
Antara kejayaan awal MTAQ ialah Anugerah Sekolah Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1997 dan Anugerah Sekolah Terbaik Sijil Tinggi Ugama (STU) pada 1998, kedua-duanya dengan keputusan 100% peringkat YIK.
Pada 18 Ogos 2003, nama sekolah ditukar kepada Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat. Pada 2004, sebuah bangunan tiga tingkat dengan sembilan bilik darjah, makmal sains, dan makmal teknologi maklumat siap dibina hasil usaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Pada 2005, sebuah masjid bernilai RM3.9 juta dibina di kawasan sekolah dan dinamakan Masjid Keputeraan. Masjid ini siap pada 2007 dan dirasmikan pada 27 April 2009 oleh KDYMM Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra.[3]
Pada 2006, YIK membuka cawangan Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Asriah (MTAQA BC) di Pasir Mas dengan pengambilan seramai 60 pelajar, menjadikan jumlah pelajar baharu MTAQ meningkat kepada 120 orang setahun.[3]
Objektif
Objektif utama penubuhan MTAQ adalah untuk menyediakan kemudahan mengkaji dan mempelajari Ulum Al-Quran dan Qiraat bagi melahirkan ulama yang mampu:[2]
- Memahami isi kandungan al-Quran dan menjadi rujukan masyarakat.
- Memelihara keaslian bacaan al-Quran daripada penyelewengan.
- Membaca al-Quran dengan pelbagai wajah bacaan Qiraat Tujuh Toriq Al-Syatibiyyah.
- Menguasai ilmu-ilmu tajwid.
- Menjadi ulama beramal soleh, bertakwa, dan berakhlak mulia.
- Mewarisi kepimpinan negara dan membimbing masyarakat ke arah Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur.
Visi
Melahirkan Qurra’ yang berketerampilan unggul.
Misi
Melahirkan Huffaz yang mahir ilmu-ilmu al-Quran, beramal, bertakwa serta dapat merealisasikan dalam masyarakat.
Moto
Hafazan Al-Quran Menjana Kegemilangan.
Rujukan
- ^ a b Laman rasmi MTAQ Pulai Chondong
- ^ a b Pengenalan MTAQ Laman rasmi MTAQ Pulai Chondong
- ^ a b c Sejarah penubuhan MTAQ Laman rasmi MTAQ Pulai Chondong








