Mirzan Mahathir | |
---|---|
ميرزن محضير | |
Kelahiran | Mirzan bin Mahathir 26 November 1958 |
Pendidikan | Kolej Sultan Abdul Hamid |
Pusat pendidikan | Universiti Brighton (BSc) Sekolah Perniagaan Wharton (MBA) |
Pasangan | Jane Hint Husainy Abdullah |
Anak-anak | 4 |
Ibu bapa | Mahathir Mohamad (bapa) Siti Hasmah Mohamad Ali (ibu) |
Saudara | Mohamad Iskandar (datuk) Wan Tempawan Wan Hanapi (nenek) Marina Mahathir (kakak) Mokhzani Mahathir (adik) Mukhriz Mahathir (adik) Meera Alyanna Mukhriz (anak saudara) |
Mirzan bin Mahathir (Jawi: ميرزن بن محضير; lahir 26 November 1958) ialah ahli perniagaan Malaysia yang juga merupakan anak kedua Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan 7.
Kehidupan awal dan pendidikan
Mirzan bin Mahathir dilahirkan di Alor Setar, Kedah, Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia) pada 26 November 1958. Beliau merupakan anak kedua kepada pasangan Mahathir Mohamad dan Siti Hasmah Mohamad Ali selepas kelahiran kakaknya, Marina Mahathir pada tahun sebelumnya. Mirzan mandapat pendidikan awal di Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau menerima Ijazah Sarjana Muda (BSc) Sains Komputer daripada Universiti Brighton, United Kingdom (1979–1982) dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) daripada Sekolah Perniagaan Wharton, Amerika Syarikat (1986–1987).[1]
Kerjaya perniagaan
Mirzan mula bekerja sebagai IBM World Trade Corporation selama tiga tahun san kemudiannya bekerja di bank pelaburan selama empat tahun dengan Solomon Brothers. Pada September 1992, beliau dilantik ke dalam Lembaga Konsortium Logistik Berhad. Pada Januari 1996, syarikat ini disenaraikan ke dalam Bursa Malaysia. Beliau merupakan pemegang saham utama Konsortium dan memegang jawatan sebagai Pengerusi dan Presiden Eksekutif Crescent Capital, sebuah firma penasihat strategik dan kewangan bebas. Setakat tahun 2018, Mirzam mempunyai sumber kekayaan melalui aset-aset dan pegangan saham yang dimilikinya sebanyak RM 780.00 juta.[2]
Kontroversi dan isu
Arahan pengisytiharan harta oleh SPRM
Bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mendedahkan bahawa anaknya, Mirzan telah diugut dengan hukuman penjara selama lima tahun. Beliau menambah, “Anak saya didakwa dengan ugutan jikalau dia buat apa-apa tindakan yang pendakwa anggap bertentangan dengan dakwaan dia akan dipenjara selama lima tahun. Tidak disebut akan di hadap ke mahkamah. Inilah reformasi. Di luar (sebelum menjadi) kerajaan cakap tentang kezaliman pihak berkuasa.” Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan Mirzan mengisyitharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada di dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut. Arahan terbabit dibuat SPRM setelah suruhanjaya terbabit menyerahkan notis perintah di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009.[3] Walaupun begitu, beliau bersama adiknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir telah mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM dalam tempoh ditetapkan.[4]
Kehidupan peribadi
Mirzan telah mendirikan rumah tangga dengan Jane Hint Husainy Abdullah dan mempunyai empat orang anak.
Rujukan
- ^ "LIST OF NOMINATIONS & PROFILE OF CANDIDATES FOR ELECTION OF THE BOARD OF DIRECTORS OF ATF TO BE HELD AT THE VIRTUAL ANNUAL GENERAL MEETING (AGM) ON 17TH NOVEMBER 2021" (PDF). Asian Tennis Federation (dalam bahasa Inggeris). 17 November 2021. Dicapai pada 28 Julai 2025.
- ^ "Biodata Ringkas Anak-Anak Tun Dr. Mahathir". Iluminasi.com. 13 Jun 2018. Dicapai pada 28 Julai 2025.
- ^ "Mirzan diugut penjara lima tahun, dakwa Tun M". Malaysia Gazatte. 19 January 2024. Dicapai pada 28 Julai 2025.
- ^ "Mokhzani, Mirzan sudah isytihar harta kepada SPRM". Berita Harian. 18 September 2024. Dicapai pada 28 Julai 2025.
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Mirzan Mahathir |