| Tapak Warisan Dunia UNESCO | |||||||||||||||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Sebahagian dari | Tokong dan Tanah Perkuburan Konfusius serta Rumah Besar Keluarga Kong di Qufu | ||||||||||||||||||||
| Kriteria | Budaya: (i), (iv), (vi) | ||||||||||||||||||||
| Rujukan | 704 | ||||||||||||||||||||
| Inskripsi | Sesi 1994 (ke-18 ) | ||||||||||||||||||||
| Koordinat | 35°35′48″N 116°59′3″E / 35.59667°N 116.98417°E | ||||||||||||||||||||
| Nama Bahasa Cina | |||||||||||||||||||||
| Tulisan Cina Ringkas | 孔庙 | ||||||||||||||||||||
| Tulisan Cina Tradisional | 孔廟 | ||||||||||||||||||||
| |||||||||||||||||||||
Tokong Konfusius (Cina ringkas: 孔廟; pinyin: Kǒng miào) di Qufu, Wilayah Shandong, ialah Tokong Konfusius yang terbesar dan paling masyhur di Asia Timur.
Sejak 1994, Tokong Konfusius telah menjadi sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO "Tokong dan Tanah Perkuburan Konfusius serta Rumah Besar Keluarga Kong di Qufu".[1] Dua bahagian lain tapak ini ialah Rumah Besar Keluarga Kong berdekatan, tempat tinggal keturunan utama Konfusius, dan Tanah Perkuburan Konfusius beberapa kilometer di utara, tempat Konfusius dan ramai keturunannya dikebumikan. Ketiga-tiga tapak ini dikenali di Qufu sebagai San Kong (三孔), iaitu "Tiga Tapak Konfusianisme".
Terdapat patung Konfusius setinggi 72 meter yang diperbuat daripada tembaga dan diperkuat dengan keluli. Qufu di Wilayah Shandong ialah tempat kelahiran ahli falsafah dan pendidik Cina purba ini.
Sejarah

Dalam tempoh dua tahun selepas kematian Konfusius, bekas rumahnya di Qufu telah dijadikan tokong oleh Duke Lu.[2] Pada 205 SM, Maharaja Gaozu dari Han ialah maharaja pertama mempersembahkan korban bagi memperingati Konfusius di Qufu. Beliau menjadi contoh diikuti ramai maharaja dan pegawai tinggi. Kemudian, maharaja akan melawat Qufu selepas pertabalan atau pada upacara penting seperti kejayaan peperangan. Secara keseluruhan, 12 maharaja berbeza membuat 20 lawatan peribadi ke Qufu untuk menyembah Konfusius. Kira-kira 100 lagi menghantar wakil mereka dalam 196 lawatan rasmi. Rumah tiga bilik asal Konfusius dikeluarkan daripada kompleks tokong ketika pembinaan semula pada tahun 611 M. Pada 1012 dan 1094, semasa Dinasti Song, tokong diperluas dengan tiga bahagian dan empat halaman, di sekelilingnya kemudian disusun lebih 400 bilik. Kebakaran dan perosakan memusnahkan tokong pada 1214 semasa Dinasti Jin. Ia dipulihkan semula menjelang tahun 1302 pada zaman Dinasti Yuan. Tidak lama kemudian, pada 1331, tokong dibina dengan tembok mengelilingi berpandukan istana diraja.
Selepas kebakaran besar lain pada 1499, tokong dipulihkan semula ke skala yang wujud kini. Pada 1724, kebakaran sekali lagi memusnahkan dewan utama dan patung-patung di dalamnya. Pemulihan seterusnya selesai pada 1730. Ramai patung gantian rosak dan musnah semasa Revolusi Kebudayaan pada 1966. Secara keseluruhan, Tokong Konfusius telah mengalami 15 pembaikan besar, 31 pembaikan besar sederhana, dan pelbagai pembaikan kecil.
Satu lagi Tokong Konfusius utama didirikan di Quzhou oleh cabang selatan keluarga Konfusius.
Deskripsi

Kompleks tokong ini antara yang terbesar di China, meliputi kawasan seluas 16,000 meter persegi dengan jumlah 460 bilik. Oleh kerana reka bentuk semula besar terakhir selepas kebakaran 1499 berlaku tidak lama selepas pembinaan Kota Larangan pada zaman Dinasti Ming, seni bina Tokong Konfusius menyerupai Kota Larangan dalam banyak hal.
Bahagian utama tokong terdiri daripada sembilan halaman diatur di paksi tengah utara–selatan sepanjang 1.3 km. Tiga halaman pertama mempunyai pintu kecil dan ditanam pokok pain tinggi, berfungsi sebagai pengenalan. Pintu pertama (paling selatan) dinamakan "Pintu Lingxing" (欞星門) sempena bintang dalam buruj Beruang Besar, yang membawa maksud Konfusius ialah bintang dari langit. Bangunan di halaman selebihnya membentuk inti kompleks. Ia ialah struktur mengagumkan dengan bumbung jubin kuning (selalunya hanya untuk maharaja) dan dinding merah, dikelilingi pokok pain hijau gelap untuk menghasilkan kontras warna pelengkap.
Struktur utama tokong ialah:
- Pintu Lingxing (欞星門)
- Pintu Shengshi (聖時門)
- Pintu Hongdao (弘道門)
- Pintu Dazhong (大中門)
- Tiga Belas Pavilon Batu Bersurat (十三碑亭)
- Pintu Dacheng (大成門)
- Dewan Kuiwen (奎文閣, dibina 1018, dipulih 1504 semasa Dinasti Ming dan pada 1985)
- Pavilon Xing Tan (杏壇, Pentas Aprikot)
- Gerbang De Mu Tian Di
- Liangwu (兩廡)
- Dewan Dacheng (大成殿, dibina pada zaman Dinasti Qing)
- Dewan Istirahat (寢殿, didedikasikan kepada isteri Konfusius)
Dewan Dacheng
Dewan Dacheng (Bahasa Cina: 大成殿; pinyin: Dàchéng diàn), yang biasanya diterjemah sebagai Dewan Kesempurnaan Agung atau Dewan Kejayaan Agung, ialah pusat seni bina kompleks kini. Dewan ini berkeluasan 54 × 34 m dan setinggi hampir 32 m. Ia disokong 28 tiang berhias, setiap satu setinggi 6 m dan bergaris pusat 0.8 m yang dipahat seketul daripada batu tempatan. Sepuluh tiang di bahagian hadapan dihiasi naga berlingkar. Dikatakan tiang ini ditutup semasa lawatan maharaja agar tidak menimbulkan iri hati. Dewan Dacheng berfungsi sebagai tempat utama mempersembahkan korban memperingati Konfusius. Ia juga dianggap salah satu pemandangan terindah di Tokong Konfusius.
-
Fasad Dewan Dacheng
-
Salah satu tiang naga di hadapan Dewan Dacheng
Pentas Aprikot

Di tengah halaman di hadapan Dewan Dacheng berdiri Pavilon Xing Tan (Cina ringkas: 杏坛; Cina tradisional: 杏壇; pinyin: Xìng Tán), atau Pentas Aprikot. Ia memperingati Konfusius mengajar murid-muridnya di bawah pokok aprikot. Setiap tahun di Qufu dan di banyak tokong Konfusius lain, upacara diadakan pada 28 September untuk memperingati hari lahir Konfusius.
Paviliun Batu Bersurat
Sebilangan besar batu bersurat terletak di kawasan Tokong Konfusius. Sebuah buku terkini mengenai batu bersurat Konfusian di Qufu menyenaraikan sekitar 500 monumen di kawasan tokong,[3] dengan catatan bahawa senarai itu masih belum lengkap.[4] Batu bersurat ini memperingati pelbagai pembinaan semula dan pemulihan kompleks tokong, mengandungi teks memuji Konfusius serta titah diraja yang menganugerahkan gelaran kehormat baharu. Walaupun kebanyakan tablet ini pada asalnya berkaitan dengan Tokong Konfusius, sebahagiannya telah dipindahkan ke kawasan tokong bagi tujuan keselamatan daripada lokasi lain di Qufu pada zaman moden.[5]
Inskripsi pada batu bersurat kebanyakannya dalam bahasa Cina, namun ada juga batu bersurat dari zaman Dinasti Yuan dan Dinasti Qing yang turut mengandungi teks masing-masing dalam Bahasa Mongolia Pertengahan (menggunakan tulisan *'Pags-Pa*) dan bahasa Manchu.
Antara batu bersurat diraja yang paling penting tertumpu di kawasan yang dikenali sebagai "Tiga Belas Paviliun Batu Bersurat" (十三碑亭, Shisan Bei Ting). Ketiga belas paviliun ini tersusun dalam dua baris di halaman sempit antara Paviliun Bintang Sastera (奎文閣, Kuiwen Ge) di selatan dan Pintu Gerbang Kejayaan Agung (大成門, Dacheng Men) di utara.
Barisan utara mengandungi lima paviliun, setiap satunya menempatkan sebuah batu bersurat besar yang dipikul oleh kura-kura batu gergasi (bixi) dengan hiasan naga di atasnya; ia dipasang semasa era Maharaja Kangxi, Maharaja Yongzheng dan Maharaja Qianlong dari Dinasti Qing (antara tahun Kangxi 22 hingga Qianlong 13, iaitu 1683–1748 M). Batu bersurat diraja ini setinggi 3.8 hingga 4 meter, kura-kura batu panjang sehingga 4.8 meter. Berat keseluruhannya mencecah 65 tan (termasuk batu bersurat, kura-kura bixi, dan tapak dudukannya).[6]
Barisan selatan pula mempunyai lapan paviliun, menempatkan batu bersurat yang lebih kecil, beberapa dalam setiap paviliun. Empat daripadanya mengandungi batu bersurat dari zaman Jurchen Dinasti Jin (1115–1234) dan Dinasti Yuan, manakala yang lain dari zaman Dinasti Qing.[7]
Selain itu, sebilangan besar tablet kecil dari pelbagai era, tanpa tapak bixi, tersusun di kawasan terbuka dalam "annex" di empat penjuru kawasan Tiga Belas Paviliun Batu Bersurat.[8]
Empat batu bersurat diraja beralas kura-kura dari zaman Dinasti Ming terletak di halaman selatan Paviliun Bintang Sastera. Kawasan ini mempunyai dua paviliun batu bersurat. Paviliun timur menempatkan batu bersurat dari tahun ke-4 era Hongwu (1371), yang menamakan dewa-dewa berkaitan arah geografi. Paviliun barat pula mengandungi batu bersurat dari tahun ke-15 era Yongle (1417), memperingati pemulihan tokong. Dua lagi batu bersurat berada di ruang terbuka: satu dari tahun ke-4 era Chenghua (1468), di hadapan paviliun timur, dan satu dari tahun ke-17 era Hongzhi (1504), di hadapan paviliun barat, juga memperingati kerja pemulihan tokong. Puluhan lagi batu bersurat kecil tanpa kura-kura turut ditempatkan di kawasan ini.[9]
- Batu bersurat beralas kura-kura di Tokong Konfusius
-
Taiping Xingguo 8 (983)
-
Cheng'an 8 (1197)
-
Dade 5 (1301)
-
Era Dade (1297–1307) (kiri); Dade 11 (1307) (kanan); Akhir Zhiyuan 5 (1339) (tengah)
-
Hongwu 4 (1371)
-
Yongle 15 (1417)
-
Chenghua 4 (1468)
-
Hongzhi 17 (1504)
-
Shunzhi 8 (1651)
-
Kangxi 7 (1668)
-
Kangxi 15 (1676; kanan), Kangxi 21 (1682; kiri)
-
Kangxi 22 (1683)
-
Kangxi 25 (1686)
-
Yongzheng 8 (1730)
-
Yongzheng 8 (1730)
-
Yongzheng 8 (1730)
-
Qianlong 13 (1748)
Galeri
-
Tembok Istana Wanren
-
Pintu Lingxing
-
Pintu Hongdao
-
Pintu Dazhong
-
Pintu Tongwen
-
Paviliun Kuiwen
-
Pintu Dacheng
-
Pentas Aprikot (Xingtan)
-
Dacheng Hall
-
Tiang naga di Dacheng Hall
-
Bahagian dalam Dacheng Hall
-
Patung Konfusius di dalam Dacheng Hall
-
Dewan Puisi dan Adab (Shilitang)
-
Upacara pengorbanan Konfusius
-
Jalan utama
-
Pemandangan dalam
-
Batu bersurat Chenghua
-
Dinding Lu
Rujukan
- ^ "Temple and Cemetery of Confucius and the Kong Family Mansion in Qufu". UNESCO World Heritage Centre. United Nations Educational, Scientific, and Cultural Organization. Dicapai pada 3 April 2021.
- ^ Advisory Body Evaluation of the Temple of Confucius, the Cemetery of Confucius, and the Kong Family Mansion in Qufu (ICOMOS) (Laporan). ICOMOS. 1994. Dicapai pada 3 April 2021.
- ^ Luo Chenglie (2001), senarai hlm. 1110-1128
- ^ Luo Chenglie (2001), hlm. 1 (Prakata penyusun)
- ^ Contohnya, beberapa batu bersurat yang ditemui di perkampungan Jiuxian, yang merupakan pusat daerah Qufu pada zaman Song, Jin dan Yuan.
- ^ Senarai batu bersurat di barisan ini dalam Luo Chenglie (2001), hlm. 1119, dan entri individu untuk lima batu bersurat yang disenaraikan di sana. Maklumat berat: hlm. 10 (nota hujung 1) dalam Prakata penyusun.
- ^ Senarai batu bersurat dalam paviliun ini dalam Luo Chenglie (2001), hlm. 1119-1122.
- ^ Senarai batu bersurat di empat kawasan ini dalam Luo Chenglie (2001), hlm. 1122-1126.
- ^ Senarai batu bersurat di kawasan ini dalam Luo Chenglie (2001), hlm. 1110-1114.








