![]() Anjing Karakachan | |
Negara asal | Bulgaria |
---|---|
Anjing (Canis lupus familiaris) |
Anjing Karakachan[a] ialah satu baka anjing yang berasal dari Bulgaria. Ia berkaitan dengan anjing penjaga haiwan ternakan di negara-negara sekitarnya: Romania di utara, Macedonia Utara dan Serbia di barat, dan Greece dan Turki di selatan.[1] Anjing ini dinamai sempena orang Karakachan, iaitu gembala nomad Yunani. Oleh sebab tradisi pembiakbakaan ternakan konservatif mereka, mereka telah memelihara sesetengah baka tertua haiwan bela jinak di Eropah: biri-biri Karakachan, kuda Karakachan, dan anjing Karakachan.
Anjing ini digunakan sebagai anjing penjaga haiwan ternakan yang dihargai kerana kecerdasan dan sifat tidak takutnya. Ia terkenal sebagai "pembunuh serigala". Anjing Karakachan juga kemudiannya digunakan di Bulgaria sebagai anjing pengawas tentera sempadan. Baka ini hampir dilenyapkan dan hanya dipelihara melalui perlindungan sengit dan dedikasi para gembala Bulgaria di rantau pergunungan. Kini, ia digunakan terutamanya sebagai anjing penjaga haiwan ternakan dan anjing pengawal harta benda. Populasi paling banyak bagi anjing Karakachan baka tulen penjaga haiwan ternakan terdapat di Bulgaria dan di Amerika Syarikat. Anjing Karakachan diiktiraf secara rasmi sebagai baka asli Bulgaria pada tahun 2005. Ia merupakan sebahagian daripada asal usul anjing gembala Bulgaria, tetapi tidak patut dikelirukan sebagai baka sama.
Sejarah
Anjing Karakachan ialah anjing penjaga haiwan ternakan tipikal, yang diwujudkan untuk menjaga kawanan ternakan dan harta pemiliknya; ia tidak teragak-agak untuk melawan serigala atau beruang untuk mempertahankan pemiliknya dan keluarganya sekiranya terdapat bahaya. Leluhurnya mula terbentuk seawal milenium ketiga SM. Anjing Karakachan ialah keturunan anjing orang Trakia,[2][sumber lebih baik diperlukan] yang terkenal sebagai pembiak baka ternakan. Anjing ini dinamai sempena orang Karakachan. Oleh sebab tradisi pembiakbakaan ternakan konservatif mereka, mereka berjaya memelihara sesetengah baka tertua haiwan bela jinak di Eropah – biri-biri Karakachan, kuda Karakachan, dan, sudah tentu, anjing Karakachan. Dengan nama inilah anjing Karakachan muncul dalam karya sesetengah karya klasik kesusasteraan Bulgaria, iaitu oleh Yordan Yovkov, Georgi Raitchev, dan Yordan Radichkov. Pada tahun 1938, H. B. Peters menulis tentangnya dalam majalah kinologi Jerman, Zeitschrift für Hundeforschung ("Majalah untuk Penyelidikan Anjing").[3] Penyelidik pertama baka ini ialah Todor Gajtandjiev, yang mencadangkan pemiawaian baka ini pada tahun 1970-an.[perlu rujukan]
Etimologi
Perkataan karakachan paling berkemungkinan diterbitkan daripada istilah bahasa Turki kara ("hitam") dan kaçan ("yang melarikan diri", "yang terlepas").[4] Orang Karakachan (panggilan di Bulgaria), orang Sărăcen (panggilan di Romania), atau orang Sarakatsan (panggilan sendiri) ialah populasi nomad etnik Yunani yang telah tinggal di serata Semenanjung Balkan, tetapi kini sebahagian besarnya telah berasimilasi ke dalam populasi-populasi tempatan.[5]
Piawaian baka
Piawaian baka rasmi dikarang pada tahun 1991 dan diluluskan pada tahun 2005 oleh Suruhanjaya Negeri untuk Baka Haiwan dalam Kementerian Pertanian Republik Bulgaria. Baka ini mempunyai sijil untuk pengiktirafan bil. BG 10675 P2.[petikan lengkap diperlukan] Ia berdaftar dalam Pangkalan Data Karakachan Antarabangsa di Bulgaria. Pendaftaran akan menunjukkan MAKK atau IKDA. Hanya anjing tersebut daripada susur galur anjing Karakachan "sejati".

Keberkesanan
Anjing Karakachan tergolong dalam kumpulan baka pelindung haiwan ternakan jarang. Anjing ini berkesan dalam perlindungan kawanan ternakan menentang pemangsa dan pencurian. Sejak tahun 1998, terdapat tiga kes serangan pemangsa berjaya dalam kawanan ternakan yang mempunyai anjing ini untuk projek ini. Dalam satu kawanan yang terdiri daripada 650 ekor biri-biri, empat ekor telah dibunuh, tetapi ini kerana gembala membahagikan kawanan itu kepada separuh semasa merumput dan lagi separuh telah ditinggalkan tanpa anjing.
Anjing Karakachan adalah amat teritorial. Ia menerima kawanan ternakan sebagai wilayahnya, walau di mana kawanan ternakan berada. Dengan kedekatan dengan kawanan ternakan, ia menjadi kelihatan agresif jika kawanan itu terancam. Jika orang asing mencuba untuk mengeluarkan haiwan daripada kawanan, anjing tersebut akan menjadi amat agresif. Walau bagaimanapun, apabila kawanan melalui kampung, anjing tersebut berjalan dengan tenang tanpa menghiraukan orang. Terdapat satu lagi sebab untuk kekurangan kemalangan: tradisi penjagaan haiwan ternakan dengan anjing besar dan agresif sentiasa wujud di Bulgaria. Semua orang tahu tentang anjing ini dan orang ramai hanya mengelakkan kawanan. Maka, konflik tidak berlaku. Juga terdapat anjing, yang tidak benar-benar agresif terhadap manusia, tetapi pada masa sama merupakan pengawal sangat baik menentang haiwan pemangsa lain. Trend pembiakbakaan anjing ini adalah untuk menghasilkan anak yang kurang agresif terhadap manusia.[6]
Penghasilan baka baharu
Sesetengah penggemar anjing amatur di Bulgaria sedang mewujudkan baka pertunjukan anjing besar baharu yang dengannya anjing Karakachan tidak patut dikelirukan. Ini merupakan baka silang anjing Karakachan dengan baka gergasi seperti anjing gembala Kaukasus, anjing gembala Asia Tengah, anjing pengawal Moscow, anjing Santo Bernard, anjing Landseer, dan anjing Newfoundland. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan anjing gergasi dan berat yang serupa dari segi pewarnaan dengan anjing Karakachan asli. Anjing baharu ini kebanyakannya dibiakbakakan sebagai haiwan peliharaan.
Kebudayaan popular
Semasa Presiden Amerika Syarikat George W. Bush melawat Bulgaria pada tahun 2003, presiden Bulgaria Georgi Parvanov menghadiahi beliau seekor anjing gembala Karakachan. Perdana Menteri Bulgaria Boyko Borisov pula memberikan seekor anjing Karakachan, yang dipanggil Buffy kepada Perdana Menteri Rusia Vladimir Putin sebagai hadiah pada tahun 2010.
Lihat juga
Catatan
- ^ Jawi: انجيڠ کاراکاچن; Bahasa Bulgaria: каракача́нско ку́че; bahasa Inggeris: Karakachan dog
Rujukan
- ^ Dohner, Janet Vorwald (4 Oktober 2016). Farm Dogs: A Comprehensive Breed Guide: 93 Guardians, Herders, Terriers, and Other Canine Working Partners [Anjing Ladang: Panduan Baka Komprehensif: 93 Anjing Pengawal, Anjing Gembala, Terier, dan Pasangan Anjing Pekerja Lain] (dalam bahasa Inggeris). North Adams, Massachusetts, Amerika Syarikat: Storey Publishing. m/s. 84–86. ISBN 9781612125923. OCLC 952855172.
- ^ Topashka-Ancheva, Margarita N.; Gerasimova, Tsvetelina; Dinchev, Venelin; Dimitrov, Krastio (2009). "Karyological Data About the Bulgarian Native Dog Breed "Karakachan Dog"" [Data Kariologi tentang Baka Anjing Asli Bulgaria "Anjing Karakachan"]. Biotechnology & Biotechnological Equipment (dalam bahasa Inggeris). Taylor & Francis. 23 (sup1): 136–139. doi:10.1080/13102818.2009.10818384. ISSN 1314-3530. S2CID 53323108.
- ^ Schöps, Paul, Zentralblatt für Kleintierkunde und Pelztierkunde [Helaian Pusat untuk Ilmu Haiwan Kecil dan Ilmu Haiwan Berbulu] (dalam bahasa Jerman), Leipzig, Jerman
- ^ "Judul tidak dikenal pasti". Kamus Dalam Talian TDK (dalam bahasa Inggeris). Persatuan Bahasa Turki. Dicapai pada 24 Mei 2025.[pautan mati]
- ^ Fermor, P. L. (1962). "The Black Departers". The Atlantic Monthly (dalam bahasa Inggeris). Jil. 6.
- ^ Sedefchev, Sider (Disember 2005). "The Karakachan Dog - Continuation of an old Bulgarian Tradition" [Anjing Karakachan - Perselanjaran Tradisi Lama Bulgaria] (PDF). CDPnews (dalam bahasa Inggeris). No. 9. LIFE EuroLargeCarnivores. m/s. 14–19. Dicapai pada 24 Mei 2025.
Pautan luar
![]() |
Wikimedia Commons mempunyai media berkaitan Anjing Karakachan |
- "Karakachan Dog Breed Standard" [Piawaian Baka Anjing Karakachan] (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh Radeva, Elica. karakachan.eu.org. Dicapai pada 3 Ogos 2013.
- "Semperviva - home" [Semperviva - laman] (dalam bahasa Inggeris). SAVE Foundation. Diarkibkan daripada yang asal pada 7 Mei 2008. Dicapai pada 3 Ogos 2013.
- "National pride on four legs" [Kebanggaan kebangsaan berkaki empat] (dalam bahasa Inggeris). The Sofia Echo. Dicapai pada 3 Ogos 2013.[pautan mati]
- "Vereniging van Herders- en Berghonden uit Zuid- en Oost Europa en Azië" (dalam bahasa Belanda). Vereniging van Herders- en Berghonden uit Zuid- en Oost Europa en Azië. Dicapai pada 3 Ogos 2013.
- Marinov, Miroslav; Teofanova, Denitsa Rumenova; Gadjev, Dimitar; Radoslavov, Georgi Aleksandrov; Hristov, Peter (27 Jun 2018). Alexandrov, Ludmil B. (penyunting). "Mitochondrial diversity of Bulgarian native dogs suggests dual phylogenetic origin" [Kepelbagaian mitokondrion bagi anjing asli Bulgaria mencadangkan asal usul filogenetik duaan]. PeerJ (dalam bahasa Inggeris). PeerJ. 6. doi:10.7717/peerj.5060. ISSN 2167-8359. PMC 6026455. PMID 29967734. S2CID 49549262. Unknown parameter
|article-number=
ignored (bantuan)
- Rencana dengan pautan luar mati dari Mei 2025
- Rencana kekurangan rujukan yang boleh dipercayai dari Januari 2020
- Semua rencana dengan kenyataan tidak bersumber dari Januari 2020
- Rencana yang memerlukan rujukan lebih terperinci dari Oktober 2010
- Baka anjing
- Baka anjing berasal dari Bulgaria
- Anjing penjaga haiwan ternakan